Masyarakat Malaysia hari ini terdedah kepada maklumat yang memperkayakan fikiran dan pengalaman hidup. Melalui pendedahan tersebut, mereka membuat keputusan yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara. Perkembangan dunia pendidikan hari ini menyerlahkan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi setelah dijajah selama 446 tahun.
Pelajar-pelajar di sekolah luar bandar telah mendapat peluang dan menikmati kualiti pengajaran sama seperti rakan mereka di bandar. Keputusan peperiksaan yang diumumkan setiap tahun sentiasa menunjukkan peningkatan ketara dalam peratusan kelulusan.
Selain pendidikan, cara berfikir dan membuat keputusan turut dipengaruhi oleh rasa bangga dengan kejayaan negara sendiri. Jika seorang rakyat Malaysia yang menetap di luar negara ditanya tentang negaranya, apa yang hendak diceritakan? Apakah dia akan bercerita tentang bangunan yang tinggi, orang Malaysia yang cantik dan atau, ada lapangan terbang yang hebat? Tentulah yang diceritakannya ialah produk yang dapat dilihat atau disentuh. Salah satu daripadanya pastilah kereta Proton.
Selepas lebih 20 tahun, Proton telah melangkah maju dalam industri automatif negara yang menjadi jenama pilihan ramai. Kejayaan Proton sebagai sebuah organisasi pengeluar kereta utama di ASIAN tidak dapat ditandingi oleh negara lain sehingga kini. Indonesia umpamanya, pernah cuba mengeluarkan kereta nasional jenama Timur iaitu usahasama dengan sebuah syarikat dari Korea Selatan, namun Timur tidak dapat pergi jauh berbanding Proton yang dieksport ke negara luar.
Kini, Proton sinonim dengan salah satu kejayaan negara.
Usaha kerajaan mengeluarkan kereta sendiri adalah tindakan berani untuk memecahkan persepsi dan mentaliti ‘tidak boleh’ sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Jenama Gen.2, Persona dan Proton Saga (baru) adalah refleksi kepada kesungguhan Proton untuk bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa. Tidak lama lagi akan muncul kenderaan pelbagai guna (mpv) terbaru Proton.
Proton berada di 25 buah negara dan senarai negara yang akan di’tawan’ oleh Proton pasti akan bertambah setelah mendapat anugerah ‘Frost & Sullivan ASEAN Automotive Awards 2008’ baru-baru ini bagi kereta Persona dan Savvy. Walaupun bermula dengan banyak kekurangan, Proton menempa nama dari semasa ke semasa.
Satu-satunya model Proton yang telah lama berada di atas jalan raya ialah Perdana, sebuah jentera yang menjadi perhatian akhir-akhir ini kerana dikatakan kos senggaraan yang tinggi. Ia menjadi perhatian kerajaan Terengganu, Perak, Selangor dan Kedah kerana membazirkan wang.
Di Terengganu, Perdana yang menjadi kenderaan rasmi kerajaan negeri ditukar kepada Mercedes-Benz, kereta mewah buatan Jerman yang tahan lasak, kos senggaraan yang lebih rendah dan jaminan kualiti yang lebih baik. Di Perak, kerajaan negeri memilih Toyota Camry 2.4 bagi kegunaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerana mengelakkan pembaziran wang rakyat di atas kos senggaraan yang tinggi, tahan lasak dan kualiti yang lebih baik daripada Proton. Kerajaan negeri Kedah juga berfikir perkara yang sama.
Keputusan kerajaan negeri Terengganu dan Perak menghentikan penggunaan Proton sebagai kenderaan rasmi kerajaan masing-masing adalah tanda yang sangat jelas terhadap tahap moral yang rendah dalam isu menyokong barangan negara sendiri. Dalam erti kata lain, tidak ada sifat patriotisme yang tinggi dan keinginan yang rendah untuk menyokong bisnes Proton.
Dibandingkan dengan kereta buatan Korea Selatan, industri automatif di negara itu mengambil masa 40 tahun untuk muncul sebagai pilihan pengguna di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, mereka masih berusaha meningkatkan kualiti kereta yang dikeluarkan. Industri automatif Korea Selatan dapat bertahan kerana menerima sokongan dan dorongan daripada rakyatnya sendiri untuk mengguna pakai kereta tempatan. Setiap kelemahan yang ada pada kereta Hyundai, Kia atau Daewoo akan segera dibaiki supaya kualiti kereta itu mampu bersaing dengan kereta keluaran Jepun, Eropah atau Amerika Syarikat. Bangganya orang Korea dengan jenama negara sendiri dapat kita tinjau di sekitar Ampang Point dan kondominium yang menjadi tempat tinggal pedagang Korea. Mereka masih memilih Hyundai atau Kia sebagai kenderaan untuk bergerak walaupun bengkel kereta yang menyediakan servis bagi kenderaan itu kurang berbanding Proton.
Mentaliti pemimpin yang dipilih oleh rakyat ini mempunyai corak berfikir yang berbeza-beza. Mereka melihat wang lebih utama daripada memberi sokongan kepada usaha memajukan industri automatif tempatan. Nilai cintakan barangan negara yang menjadi kebanggaan kepada penduduk di 25 buah negara juga tidak penting. Adalah lebih baik jika mereka bersama-sama memberikan pandangan dan bertindak dengan lebih bijak untuk membantu Proton mencari kaedah mengurangkan kos senggara.
Kualiti Proton dan BMW dari Jerman memang tidak setanding. Namun Proton sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kereta dari semasa ke semasa. Seorang pelajar dari Kenya pernah memberitahu bahawa dia akan membeli kereta buatan Eropah kerana tahan lasak, kos senggara yang lebih rendah dan jangka hayat yang panjang. Berbanding kereta Jepun, ia direka dengan kekerapan senggaraan yang tinggi, membina rangkaian bisnes untuk servis dan alat ganti serta berat kereta yang kurang bagi menjimatkan minyak.
Dalam perbandingan ini, Proton banyak memiliki kereta buatan Jepun yang menyebabkan kos senggara yang lebih tinggi. Sebagai tambahan, kualiti cermin tingkap kebanyakan kereta Proton juga sangat lemah.
Dalam isu Toyota Camry, Mercedes dan Perdana, aspek kos senggaraan dilihat menjadi faktor kritikal kepada pembeli. Soal bazir wang rakyat dan bebanan mengurus jentera berkenaan adalah faktor kedua. Namun, apakah cara terbaik untuk kita menyokong kereta sendiri selain daripada memperlekeh hasil kerja Proton? Apakah wang dapat membeli sokongan kepada Proton?
No comments:
Post a Comment