Tuesday, December 30, 2008

Jenayah rogol







Rogol tidak lagi menjadi masalah kepada wanita, keluarga atau masyarakat sahaja sebaliknya menjadi masalah negara. Kajian menunjukkan majoriti mangsa keganasan seks adalah wanita dan kanak-kanak perempuan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 36 hingga 62 peratus mangsa keganasan seks ini terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 15 tahun.

Rogol berlaku di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, etnik, status ekonomi, agama dan kebudayaan. Kebanyakan keganasan seks dan fizikal serta penderaan psikologi dan emosi dilakukan secara tersembunyi dan terselindung daripada mata masyarakat. Ini menyebabkan kes-kes keganasan atau penderaan sukar dibuktikan di mahkamah.

Banyak aspek yang perlu diberi perhatian bagi menyelidiki punca rogol. Dalam hal ini, profail penjenayah mesti diselidiki supaya pihak berkuasa mendapat gambaran lengkap mengenai watak dan jangkaan latar belakang perogol. Profail mangsa rogol juga boleh menjadi data untuk analisis jenis perwatakan, umur dan tingkah laku.

Rogol dan punca-puncanya

Seseorang perogol dapat dilihat dari empat kategori iaitu macho (power assertive) yang mewakili 44 peratus daripada kes, pernah dikecewakan (anger retaliation) yang mewakili 30 peratus daripada kes, tidak berkeyakinan (power inferior) iaitu 21 daripada kes dan sadistik (anger excitation) iaitu lima peratus daripada kes rogol.

Kajian-kajian yang dijalankan di barat telah menyifatkan perogol sebagai seorang yang licik seperti belut. Mereka adalah ‘faceless’ dan orang yang melakukannya adalah seseorang yang tidak disangka boleh berbuat sedemikian. Kebiasaannya mereka mempunyai dua personaliti.

Perogol terbahagi kepada dua jenis iaitu merogol secara spontan dan perogol yang merancang tindakan mereka.

Perogol yang bertindak secara spontan akan menyerang sesiapa sahaja di hadapannya jika berpeluang berbuat demikian. Kes rogol seperti ini yang menjadi perhatian media beberapa tahun yang lalu ialah kematian seorang jurutera komputer wanita iaitu Noor Suzaily Mokhtar. Beliau dirogol, diliwat dan dibunuh oleh seorang pemandu bas ekspres pada awal pagi hari. Kejadian berkenaan berlaku tanpa dirancang sebaliknya perogol yang mendapat peluang melakukannya tanpa mengira siapa yang menjadi mangsanya.

Manakala perogol yang merancang tindakan mereka akan menyusun strategi dan menjadi pemerhati kepada mangsa dengan meneliti jadual pergerakan mangsa sebelum mengambil tindakan. Sumbang mahram boleh dikategorikan dalam perogol jenis ini kerana ahli keluarga mempunyai niat untuk merogol dan akan merancang perbuatan mereka pada masa dan tempat yang sesuai seperti ketiadaan ahli keluarga atau keadaan rumah yang tidak kondusif untuk tidur yang menyebabkan percampuran lelaki dan perempuan.

Dorongan kepada rogol bagi kedua-dua jenis perogol ini bukan disebabkan lambakan filem lucah yang mudah didapati di pasaran atau dimuat turun dari Internet. Filem lucah berperanan memberi idea kepada penyerang dan tidak bertindak sebagai pemangkin kerana novel dan bahan bacaan lucah telah lama berada di pasaran lagi iaitu sejak tahun 1953 lagi. Namun, jenayah rogol dan bunuh jarang berlaku ketika itu. Besar kemungkinan nilai-nilai kemanusiaan masih lagi kuat diamalkan di dalam masyarakat.

Satu lagi punca kepada rogol ialah kehadiran ubat rangsangan seks yang mudah didapati di pasaran kerana penjualan ubat ini turut menyumbang kepada jenayah rogol.

Perogol tidak tertumpu kepada mana-mana kumpulan etnik dan sebarang lelaki boleh menjadi perogol. Umur perogol juga tidak khusus kepada peringkat tertentu dan kebanyakan daripada perogol tidak menyesal apa yang mereka lakukan.

Punca utama jenayah rogol bukannya pakaian seksi wanita yang mendedahkan tubuh badan mereka kerana mangsa rogol bukan sekadar wanita dewasa malah ada antaranya ialah bayi, kanak-kanak bawah umur dan warga tua. Ditinjau dari konsep ‘Freudian’, lelaki sebenarnya mempunyai keinginan seks atau libido yang tinggi. Selain itu faktor ekonomi, tahap pendidikan yang rendah dan tidak ada kemahiran kerja turut menyumbang kepada jenayah rogol.

Kajian oleh All Women's Action Society (AWAM) mendapati 80 peratus perogol mengenali mangsa dan daripada jumlah ini, 70 peratus kejadian rogol berlaku di rumah mangsa sendiri. Keinginan untuk merogol bermula dari rangsangan fikiran dan kurang dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.

Mengatasi jenayah rogol

Rogol merupakan masalah besar kepada mangsa rogol dan keluarganya. Turut terpalit dengan jenayah ini ialah saudara-mara dan sahabat-handai. Kebanyakan mangsa pula berasa malu untuk melaporkan kejadian rogol kepada pihak polis kerana bimbang berita berkenaan akan tersebar luas dan menambah beban kepada ahli keluarga. Ada juga yang bimbang masa hadapan mereka akan terus gelap jika dibicarakan di mahkamah.

Terdapat banyak cara untuk kita menggurangkan jenayah rogol di dalam masyarakat. Antaranya ialah:

-Didikan awal di rumah dapat membentuk jiwa kanak-kanak dan ahli keluarga supaya menghormati wanita.
-Membetulkan cara didikan kanak-kanak.
-Masyarakat diajak untuk memberi ruang kepada mangsa dan keluarga bagi melupakan tragedi hitam dengan cara memberi sokongan emosi dan fizikal.
-Mempercepatkan pendakwaan kepada pesalah rogol.
-Pertubuhan bukan kerajaan diberi akses yang lebih luas kepada penubuhan pusat perlindungan seperti bantuan geran, khidmat kaunselor dan kursus peningkatan pengurusan tempat perlindungan supaya mangsa rogol berasa yakin dan dapat menerima kehidupan baru.
-Tapisan keselamatan ke atas semua pekerja yang akan diambil bertugas tanpa mengira sektor.
-Mewujudkan Majlis Perundingan Keluarga Negara (MPKN) supaya program dan aktiviti pembangunan keluarga dapat disusun dari peringkat kampung, taman perumahan, daerah dan negeri. Penglibatannya pula diperluaskan.
-Menggerakkan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan penduduk melalui aktiviti pemantauan dan pencegahan secara berterusan.
-Kempen memperhebatkan talian hotline Polis Diraja Malaysia iaitu 03-26226555 bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.
-Pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar mengambil tanggungjawab memastikan persekitaran kawasan perumahan khususnya jalan atau lorong gelap. Kawasan seperti ini berpotensi menjadi tempat penjenayah rogol mencari mangsa mereka. Contoh kes ialah Audrey Melisa yang dirogol ketika ke sekolah di laluan awam kerana ketiadaan lampu jalan.

Kesimpulan
Jenayah rogol amat menakutkan. Ia menjadi musuh kepada kumpulan wanita khususnya kanak-kanak yang mudah menjadi sasaran penjenayah. Pendekatan atau mekanisme yang dirancang bagi menangani kes rogol ini perlu berbentuk holistik dan mengambil kira kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Selain itu, kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menjadi pemimpin kepada kajian mengenai faktor penyebab rogol di semua peringkat.

Institusi kekeluargaan mesti diperkukuhkan dengan nilai-nilai teras yang menjadikan hormat dan kawalan diri sebagai fokus ke arah pembentukan masyarakat penyayang.
Post a Comment