Biro Tatanegara (BTN) sentiasa menjadi perhatian banyak pihak kerana peranannya. Ketua Pengarah BTN, Dato’ Shagul Hamid Abdullah menyatakan peranan BTN sejak 1974 ialah membina dan melahirkan masyarakat yang patriotik dan cintakan negara. Walaupun perubahan demi perubahan telah berlaku dalam senario politik, ekonomi dan sosial negara, peranan dan fungsi BTN tidak pernah berubah. Tetap dan berterusan.
Kumpulan sasar BTN juga diperluaskan kepada belia, pelajar, kakitangan kerajaan dan swasta. Para pemimpin agama, sosial, politik, ekonomi dan pendidikan turut dilatih untuk melihat patriostisme sebagai elemen penting dalam memajukan negara. Justeru pada 1992, peranan BTN diperluaskan kepada latihan perubahan sikap melalui program Bina Negara yang bertujuan, 1) mempertingkatkan komitmen rakyat kepada wawasan negara dan usaha-usaha ke arah kecemerlangan negara, 2) mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar-dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa, 3) membina kemampuan rakyat menghadapi cabaran dan memperkasa keupayaan meningkatkan daya saing dalam segenap bidang kehidupan, 4) membina keupayaan rakyat Malaysia menangani kelemahan, meningkatkan keyakinan meneroka pembaharuan dan sekali gus mampu mengenal pasti dan menggembleng kekuatan ke arah kemajuan, 5) membina komitmen rakyat Malaysia terhadap tugas dan tanggungjawab ke arah mencapai kecemerlangan dan kesempurnaan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab, dan 6) membina semangat patriotisme dan ketaatan yang tinggi terhadap negara dan perjuangan bangsa.
Hasrat utama Bina Negara ialah perubahan sikap berteraskan sistem nilai dan kesedaran terhadap Tuhan.
Bagi merealisasikan matlamat BTN sebagai sebuah organisasi teras kepada pembinaan ‘bangsa Malaysia’ yang mantap, BTN mengendalikan kursus dan seminar pemupukan patriotisme kepada semua lapisan masyarakat, mewujudkan media penyampaian pendidikan kenegaraan melalui media, membina rangkaian sahabat dan memberi fokus kepada penyelidikan.
Kualiti pelaksanaan program Bina Negara ini dilaksanakan secara profesional dan dijelmakan dalam slogan ‘Bersama Mencipta Kegemilangan.’
Walaupun hasrat penubuhan organisasi BTN adalah pemupukan nilai cintakan negara, ada pihak yang memandang negatif peranan berkenaan dan menganggap program berkenaan sebagai ‘cuci otak.’ Lim Kit Siang umpamanya, menuduh BTN sebagai organisasi yang memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia sejak 25 tahun yang lepas dengan meracuni dan menyemai sifat perkauman di kalangan kakitangan awam, pemegang biasiswa JPA, pelajar universiti dan belia.
Dua aspek yang penting untuk menerangkan aspirasi patriotisme kepada peserta kursus BTN ialah ceramah dan latihan dalam kumpulan (LDK). Ceramah dan LDK akan berturutan supaya peserta dapat menghazamkan isi kandungan kursus dengan lebih baik.
Beberapa penambahbaikan telah dibuat oleh BTN bagi meningkatkan kualiti penyampaian fasilitator. Salah satu daripadanya ialah program Persijilan Amalan Kerja Kelompok bersama Universiti Utara Malaysia. Program peringkat Sijil Eksekutif ini melibatkan tenaga pengajar profesional yang memberi perhatian khusus kepada pelaksanaan sesi LDK yang lebih berkesan. Modul pengajaran merangkumi dinamika kumpulan, model-model kaunseling seperti humanistik, analisis transaksional, brief therapy, REBT dan gestalt. Manakala kemahiran yang didedahkan kepada fasilitator ialah kemahiran mendengar, memimpin dan mengendalikan konflik.
Pengenalan sijil ini adalah usaha memberi pendedahan kepada fasilitator BTN yang terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan di seluruh negara. Mereka menjadi tulang belakang kepada kejayaan objektif LDK bagi setiap kursus yang dilaksanakan. Ini selari dengan matlamat BTN yang akan memberi tumpuan kepada 60 peratus peserta yang terdiri dari golongan muda di mana mereka ini celik komputer dan terdedah dengan maklumat semasa khususnya dari Internet.
Golongan ini juga berupaya untuk membuat perubahan terhadap apa juga dasar dan sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan. Apatah lagi senario politik pasca pilihan raya lalu menuntut BTN memperkemaskan jentera seminar dan kursus.
Pendekatan baru ini menumpukan perhatian ke atas komunikasi dan psikologi peserta. Fasilitator LDK perlu memperkemaskan maklumat sedia ada supaya perbincangan dalam kumpulan akan mencari penyelesaian terbaik seperti memberi keutamaan nilai yang betul dan panduan membuat keputusan berasaskan fakta.
Biro Tatanegara telah bersedia dengan pendekatan baru bagi mempastikan aktiviti-aktiviti dalam kumpulan LDK berjalan dengan lancar. Penambahbaikan yang dilakukan ini akan meninggalkan kaedah lama yang sinonim dengan BTN iaitu menggertak dan memaksa peserta untuk menerima pemikiran fasilitator. Namun kaedah baru ini, tidak ada lagi paksaan sebaliknya perbincangan dan rujukan kepada fakta kerana peserta tidak akan menerima bulat-bulat apa yang dinyatakan oleh fasilitator, sebaliknya akan berbahas untuk mencari penyelesaian.
Mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan BTN akan mengambil masa kerana pendekatan dulu dan sekarang telah jauh berbeza. Dengan usaha BTN untuk meningkatkan kompetensi fasilitator dalam LDK, usaha-usaha mencapai misi BTN pasti diperkukuhkan.
Tahun 2009 adalah tempoh penting bagi menjayakan LDK dalam suasana perbincangan berbentuk hujah, melayan, mendengar dan menyelesaikan isu. Para peserta LDK yang akan pasti akan berasa puas dengan sesi kumpulan yang dilalui kerana dapat memberi pandangan dan pandangan tersebut sangat dihargai.
Diharap dengan kaedah ini, objektif BTN untuk menerapkan nilai patriotisme kepada seluruh rakyat Malaysia di semua peringkat akan segera tercapai kerana pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu adalah teras kepada kemakmuran dan kemajuan negara.
No comments:
Post a Comment