Thursday, December 11, 2008

Melayu masih dihimpit kemiskinan

Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, 86, bukanlah seorang usahawan, diplomat, ahli politik dan seorang menteri, namun hasratnya untuk menjadi seorang intelektual tidak menghalang beliau mendekati masyarakat.

Bergelar cendekiawan kelas pertama, walaupun pernah ditawarkan jawatan penting pada zaman Tun Abdul Razak, jiwa pendidiknya amat kental dan beliau sama sekali enggan berpisah dengan dunia pendidikan.

"Sampai sekarang pun pada usia 86 tahun, saya masih menjadi penasihat dan penyelia kepada penuntut pengajian doktor falsafah (Ph.D) dan masih beri ceramah di universiti serta tempat lain dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, saya masih lagi seorang guru," katanya.

Selain menjadi pendidik, keprihatinan beliau berhubung kemiskinan yang dialami masyarakat Melayu mendorong beliau melakukan beberapa kajian untuk mencari punca dan penyelesaian kepada masalah itu.

Sumbangan Prof. Ungku Aziz tidak terhenti di situ malah beliau dilihat melibatkan diri dalam usaha pembangunan ekonomi desa, pendidikan negara dan penubuhan institusi masyarakat.
Pendidikan dekatkan masyarakat

Mengajar dan belajar adalah kunci kejayaan yang dipegang oleh Prof. Ungku Aziz.

Pada awal penglibatannya sewaktu di Singapura pada tahun 1950-an, Prof. Ungku Aziz pernah mengajar ilmu kepenggunaan kepada suri rumah di Singapura. Antaranya mengajar isteri-isteri posmen bagaimana mahu menjadi pembeli yang bijak serta membeli lampu picit dan menggunakan dacing.


"Ketika itu, masih ramai yang beli ikan tetapi tidak tahu menggunakan dacing. Waktu itu, saya dibayar seringgit satu jam dan kadangkala apabila bekalan elektrik terputus, saya mengajar menggunakan lampu picit yang disediakan oleh persatuan orang dewasa," cerita beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Ungku.

Daripada kelas dewasa, Pak Ungku kemudian berangkat ke Jepun memasuki Universiti Waseda. Di sana, beliau perlu menduduki peperiksaan kelayakan yang seratus peratus dalam bahasa Jepun.

"Saya diberi tiga orang guru dan tekanannya cukup hebat. Hinggakan saya rasa saya bermimpi pun dalam bahasa Jepun," tambahnya yang berjaya menguasai bahasa tersebut dalam tempoh sembilan bulan. Beliau lulus dan menjadi penuntut universiti berkenaan pada usia 18 tahun.

Peperangan menyebabkan kesemua universiti ditutup dan beliau pulang ke tanah air menjadi jurubahasa Jepun sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Raffles dan menjadi anak Melayu pertama memasuki Universiti Malaya (UM) di Singapura dengan lulus kelas pertama.

Pada 1963, beliau kemudian berkhidmat sebagai pensyarah di UM yang dibuka di Kuala Lumpur.
Seterusnya menjadi profesor dan dekan fakulti ekonomi sebelum dilantik sebagai Naib Canselor universiti berkenaan dari tahun 1968 hingga 1988.

Kaji kemiskinan

Sewaktu di UM, beliau ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian di London School of Economic (LSE) tetapi menolaknya kerana lebih berminat memikirkan masalah kemiskinan orang Melayu.

"Saya kata tak payahlah, sebabnya, apa yang orang LSE boleh ajar, saya boleh dapatkannya di sini. Maksud saya, kalau saya pilih London, saya tidak akan tahu tentang kemiskinan orang Melayu.

"Kemiskinan orang Melayu hanya boleh dipelajari melalui penyelidikan di sini. Sampai sekarang, saya masih menulis dan memikirkan kenapa orang Melayu tinggal dalam kemiskinan," jelas Pak Ungku.


Beliau mengambil masa selama enam tahun melakukan penyelidikan tersebut. Bermula di Ulu Tiram, Johor pada tahun 1963, sebelum Kedah dan Perlis.

Kajiannya diteruskan hingga ke Pantai Timur iaitu di Beserah, Pahang. Selepas setahun berulang-alik dengan seorang pembantu, kajian diteruskan pula di Kemaman, Terengganu dan Kelantan.

Daripada penyelidikan tersebut, beliau mendapati penduduk di Ulu Tiram yang rata-ratanya menoreh getah bernasib baik jika dapat makan nasi sehari sekali. Selebihnya, mereka hanya makan lempeng sebagai pengalas perut. Keadaan yang sama turut dialami oleh masyarakat di negeri-negeri utara.

Manakala di Pantai Timur, pengalamannya lebih dahsyat apabila wujud kebuluran di Kemaman. Beliau mendapati, masyarakatnya menangkap ikan untuk dijual dan hasil jualan tersebut digunakan membeli barang keperluan terutamanya beras.

Teori Indeks Sarong

Menerusi kajian tersebut, lahirlah teori Indeks Sarong yang digunakan beliau sebagai pengukur tahap kemiskinan di Kelantan dan Terengganu.

"Ada yang perli saya sebagai profesor kain sarung. Tetapi itulah hakikatnya. Bila pergi ke Kelantan dan Terengganu, cuba masuk ke dalam sikit. Tengok kain yang disidai, berapa helai kain sarung? Boleh tanya berapa helai di setiap rumah. Kalau nasib baik tiga hingga empat helai, kalau tidak, mereka basuh dan gilir.

Melihat dan memahami gaya hidup masyarakat desa itu membuatkan beliau sedih dan berfikir bagaimana mahu melepaskan orang Melayu daripada belenggu kemiskinan.

Caranya ialah menerusi pendidikan. Namun dapatan kajian komuniti itu juga menunjukkan bahawa faktor pemakanan mempengaruhi saiz tumbesaran penduduk.

Makanan yang tidak seimbang membawa kepada masalah cacing dan anemia dan tentu sahaja mempengaruhi kecerdasan mereka.

"Saya buat kajian dan cari lebih ramai pakar mengkaji sebab kesihatan dan pemakanan. Uji darah, tengok ada macam-macam kuman. Menerusi sampel najis murid sekolah rendah, ada cacing. Sampai tiga jenis untuk satu orang. Jadi, bila perut penuh cacing maka pemakanannya terbahagi dua. Menyebabkan badan tak akan sihat dan sel darah kurang merah (anemia)," katanya.

Selain kajian tersebut, Pak Ungku turut menulis rencana-rencana berkaitan sebab-sebab orang Melayu terjerumus dalam kemiskinan.

Antaranya ialah masalah perpindahan mangsa banjir. Menurut beliau hingga ke hari ini, mangsa banjir masih lagi melibatkan 95 peratus orang Melayu.

"Masalah ini berterusan sejak 30 tahun dulu lagi. Kenapa Melayu yang kena pindah? Sebabnya, bangsa lain duduk di tempat yang lebih baik dan tinggi. Berbalik semula kepada masalah kemiskinan," ulasnya.


Menurut beliau, sungguhpun kerajaan dari semasa ke semasa mengeluarkan statistik penduduk miskin dan menyatakan tidak ada lagi kemiskinan tegar, beliau tidak bersetuju dan berpendapat masih lagi wujud kemiskinan di kampung-kampung.

Pendidikan dan komuniti

Kerana minatnya dalam usaha membasmi kemiskinan, beliau turut memainkan peranannya sebagai orang kuat akademik apabila mencetuskan idea penubuhan Pusat Asasi Sains di UM.

Asal penubuhannya masih lagi berpegang kepada falsafah membantu golongan miskin. Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya pada tahun 1970-an, kemasukan pelajar ke fakulti perubatan hanyalah seramai lima pelajar. Jika bernasib baik, dua atau tiga orang akan berjaya menjadi doktor.

"Melihat keadaan itu, kita wujudkan satu sistem baru pusat asasi sains. Kita pilih orang yang hendak memasuki kursus perubatan, kejuruteraan dan sains dengan mengambil anak-anak orang kampung. Waktu itu, kebanyakan anak orang kota akan dihantar ke London untuk belajar perubatan.

"Tetapi, di fakulti perubatan, gurunya bercakap dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan anak Melayu yang dipilih berfikir dalam bahasa Melayu. Bukan soal istilah yang menjadi masalah tetapi soal minda yang berfikir dalam bahasa Melayu. Jadi, kita cari guru yang boleh mengajar perubatan dan bidang berkaitan serta mengeluarkan risalah dalam bahasa Melayu," jelas beliau.

Hasilnya, selepas tiga hingga empat tahun persiapan, pelajar Melayu ini telah boleh menyerap istilah dan berfikir dalam bahasa Melayu. Kemudian mereka juga mahir dengan istilah-istilah bahasa Inggeris. Bermakna mereka boleh berdebat dan berbincang tentang perubatan dengan berfikir di dalam bahasa Melayu. Satu perkembangan yang baik untuk negara.

Hari ini, graduan Pusat Asasi Sains UM mungkin telah mencecah tujuh hingga lapan ribu orang. Malah ada yang telah menjadi pakar dan hampir mencecah usia persaraan. - Bernama
Post a Comment