Saturday, December 13, 2008

27 peratus pekerja tidak jujur tentang cuti sakit - Kaji selidik

Sebanyak 27 peratus daripada tiga perempat pekerja Malaysia yang mengambil cuti sakit pada tahun lalu didapati tidak jujur dalam tindakan mereka itu, menurut kaji selidik Kelly Services.

Pengurus Besar Kelly Services (M) Sdn. Bhd., Melissa Norman berkata, pekerja-pekerja itu sebenarnya tidak sakit tetapi telah memperoleh cuti sakit.

Menurutnya, hampir 48 peratus lagi pekerja menyatakan bahawa mereka yang benar-benar sakit dan diberi cuti sakit pula berasa seolah-olah 'dipersalahkan' oleh majikan kerana bercuti.

"Sebanyak 77 peratus pekerja lain pula berkata, mereka dibayar gaji meskipun memperoleh cuti sakit," katanya dalam satu kenyataan mengumumkan keputusan kaji selidik tenaga kerja mengenai kesihatan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Norman menjelaskan, kaji selidik tersebut telah dilaksanakan oleh Kelly Services Inc. melibatkan 115,000 orang dari 33 buah negara, termasuk 2,000 orang di Malaysia.

Kaji selidik tersebut turut mengenal pasti isu masa bekerja, faktor pendorong kepada masalah kesihatan, tekanan dan masalah tidak dapat tidur.

Beliau berkata, kaji selidik berkenaan mendapati bahawa tempat kerja adalah faktor penting bagi seseorang pekerja memastikan status kesihatan masing-masing sama ada baik atau sebaliknya.

"Bagi pekerja, kerja mereka adalah faktor penting yang boleh menjejaskan kesihatan kerana masa mereka terlalu banyak ditumpukan di situ," jelas Norman.

Beliau menerangkan, berdasarkan kajian tersebut, 26 peratus daripada responden mengakui bahawa kerja mereka telah menyebabkan mereka berasa sakit dan tidak sihat.

Sebanyak 27 peratus lagi responden menghadapi tekanan kerja dan sukar untuk tidur pada waktu malam, katanya.

Menurut Norman, Jepun merupakan negara yang mencatat kadar tertinggi di seluruh dunia dari segi jumlah pekerja menghadapi masalah kesihatan berkaitan kerja diikuti Kanada, Ukraine, Finland dan Hong Kong.

"Malaysia disenaraikan di tangga 22 daripada 33 buah negara dalam kajian tersebut," jelasnya.

Selain itu, Norman memberitahu, kajian tersebut turut mendapati bahawa 87 peratus daripada responden berpendapat bahawa majikan perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kecergasan para pekerjanya.

"Ini boleh dilaksanakan dengan mengadakan masa kerja yang lebih fleksibel, menyediakan tempat untuk beriadah dan bersenam serta mengurangkan tekanan di tempat kerja," katanya.

[Utusan Online, 11/12/2008]

No comments:

Post a Comment