Monday, September 01, 2008

Anak-anakku bangunlah

Penulis: Noraini Eslah (Ummu Anas)
Tahun: 2008
Penerbit: Tinta Image, Kajang, Selangor
Muka surat: 149

Penulis merupakan seorang kolumnis tetap majalah HALUAN dan telah menulis lebih sepuluh tahun di ruangan "Ummu Anas" dan "Muslimah." Sesuai dengan tema buku "Tazkirah untuk remaja," ia menghidangkan 14 bab yang padat dengan panduan dan nasihat dalam bentuk huraian ringkas yang diselang-seli dengan sirah Rasulullah SAW, kisah nabi-nabi dan para sabahat serta ulama-ulama Islam terdahulu.

Kandungan buku yang meletakkan "Tazkirah" bagi menggantikan bab adalah mesej tersirat kepada pembaca untuk memanfaatkan idea dan saranan penulis. Ia merangkumi pembinaan minda yang murni, menyuburkan hati yang lesu dan mati, membangkitkan ghairah untuk kembali mencari hidayah dan memantapkan ketaatan kepada Allah SWT kerana takwa adalah sebaik-sebaik bekalan ke akhirat.

Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman, Ketua Eksekutif, Kolej Teknologi Darulnaim dalam kata pengantar menegaskan bahawa setiap perubahan besar bermula daripada seorang pemimpin besar yang penuh dengan kewibawaan. Pemimpin berwibawa dari perspektif Islam ialah mereka yang terdidik dengan iman yang mendalam, ilmu yang luas dan amalan yang benar menurut ajaran al-quran as-sunnah.

Buku yang sarat dengan peringatan dan nasihat rabbani ini dapat membangkitkan kesedaran akliah dan rohaniah khususnya bagi membina keluarga yang berkasih sayang dan mempraktikkan amalan soleh. Cerita dan nasihat yang dipaparkan adalah panduan yang wajar dijadikan iktibar sepanjang masa.

Memiliki buku ini sudah tentu menjadi kemestian bagi setiap keluarga yang ingin berada dalam suasana pendidikan Islam. Setiap tazkirah boleh dibaca selepas solat berjemaah berulang-ulang kali supaya ia menjadi peringatan berguna kepada semua ahli keluarga sama ada kecil ataupun besar.


Ulasan Editor: Kandungan buku ini telah diolah dan disusun untuk dikongsi bersama oleh remaja, putera dan puteri yang ingin memiliki peribadi dan kepimpinan diri yang dibimbing oleh al-quran dan as-sunnah. Selamat membaca.

3 comments:

  1. Anonymous2:17 PM

    salam

    ummu anas ada blog kah?
    saja tanya.. tq

    ReplyDelete
  2. Tidak ada, tapi kerap menyumbang tulisan di majalah Haluan. Ada di pasaran.

    ReplyDelete
  3. tq kerana perhatian dan minat pd buku 'anak-anakku bangunlah'. kini buku yg kedua dlm proses - doakan Allah mudahkan dan dpt mmbawa manfaat utk semua. Sangat diharapkan cadangan komen utk mengindahkan karya. Sila layari,
    ummu-anas.blogspot.com
    Didahului jazakallah.

    ReplyDelete