Saturday, September 13, 2008

Memerangi kemiskinan menerusi kemajuan digital

Oleh Jeffrey D Sachs

Jurang digital semakin rapat. Aliran maklumat digital - melalui telefon bimbit, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet - kini tersebar ke seluruh pelosok dunia hingga ke negara paling miskin, membawa bersamanya revolusi dalam bidang ekonomi, politik dan kemasyarakatan. 

Kemiskinan tegar sering berkait dengan daerah terpencil, terutama kawasan jauh di pedalaman. Tetapi telefon bimbit dan internet menamatkan pengasingan ini. Kewujudan sistem digital membuktikan ia adalah teknologi pengaliran maklumat terbaik dalam proses pembangunan ekonomi hari ini.

Jurang digital yang semakin berakhir bukan disebabkan ledakan tanggungjawab sivik, sebaliknya dicetuskan kuasa pasaran yang luar biasa. Teknologi telefon bimbit hari ini semakin kukuh, apa lagi dengan nilai penghantaran data seunit begitu murah, sekali gus tidak menghalang penduduk dunia yang miskin untuk turut memilikinya.

Setakat ini lebih 3.3 bilion pengguna telefon bimbit di seluruh dunia – purata satu telefon bimbit bagi setiap dua penduduk dunia.

Lebih menarik, usaha menembusi pasaran negara miskin juga menyaksikan peningkatan begitu rancak. India saja memiliki lebih 300 juta pengguna, dengan peningkatan pengguna kira-kira lapan juta sebulan. Brazil mencatat angka 130 juta dan Indonesia kira-kira 120 juta pengguna.

Benua Afrika yang masih dihuni beberapa negara termiskin dunia turut menyaksikan peningkatan menakjubkan – dengan lebih 280 juta pengguna.

Telefon bimbit kini satu pandangan biasa bukan saja di bandar, bahkan di kampung kecil. Walaupun masih ada individu tidak memiliki telefon bimbit, mereka sudah pasti akan mengenali orang yang mempunyainya.

Majoriti rakyat Afrika mempunyai sekurang-kurangnya satu telefon bimbit untuk tujuan kecemasan, sama ada milik sendiri, meminjam dari jiran atau sekurang-kurangnya dimiliki kedai komersial. Lebih menakjubkan ialah peningkatan status maklumat digital – kini sistem tanpa wayar semakin rancak menggunakan talian telefon bimbit ke Internet, komputer peribadi dan pelbagai perkhidmatan maklumat lain. Nilai faedah daripada teknologi ini begitu luas.

Penduduk miskin dunia terutama di daerah terpencil kini mula memiliki akses tanpa wayar untuk menggunakan perkhidmatan perbankan dan pelbagai bayaran lain. Antara yang paling popular ialah sistem M-Pesa yang diperkenal Kenya dan membenarkan perpindahan wang melalui telefon.

Maklumat yang boleh dimuatkan ke dalam teknologi mengagumkan ini turut tersebar kepada pelbagai industri lain – kesihatan, perbankan, malah hiburan – selain fungsi asalnya untuk mewujudkan komunikasi di kalangan keluarga dan teman-teman.

India, pusat dunia bagi kejuruteraan perisian utama global, syarikat teknologi tinggi dan memiliki kawasan pedalaman padat, dengan lebih 700 juta penduduk miskin yang memerlukan hubungan dengan dunia luar untuk pelbagai isu, dilihat sebagai perintis terbaik untuk memacu pembangunan ekonomi melalui kemajuan digital.

Kerajaan dan syarikat perniagaan semakin rancak berganding bahu dalam perkongsian sektor awam-swasta, untuk menyediakan perkhidmatan penting bagi rangkaian digital ini.

Beberapa negeri di bawah pentadbiran India seperti Andhra Pradesh dan Gujarat, sudah mempunyai perkhidmatan ambulans bagi tujuan kecemasan lebih pantas yang boleh dihubungi berjuta-juta penduduknya. Ini semua kerana sokongan padu telefon bimbit, sistem komputer yang canggih dan pelaburan dalam sektor kesihatan yang lebih baik bagi warga luar bandar.

Beberapa sistem teleperubatan bagi skala besar kini menyediakan perkhidmatan kesihatan asas, malah penjagaan jantung kepada penduduk luar bandar.

Selain itu, skim jaminan pekerjaan yang baru diperkenalkan di daerah luar bandar dua tahun lalu, bukan saja berjaya memberi pekerjaan kepada jutaan penduduk miskin melalui bantuan kewangan awam, bahkan membawa jutaan penduduk lain ke dalam sistem perbankan formal – semua ini dibina atas rangkaian digital India.

Dari sudut komersial pula, revolusi telefon bimbit mencipta revolusi logistik bagi pemasaran produk pertanian sehingga barang runcit.

Petani dan pemborong boleh berhubung secara langsung melalui telefon bimbit dan pusat pengedaran di daerah masing-masing, sekali gus membolehkan petani menjual hasil pada harga lebih tinggi dan tanpa bertangguh.

Pembekal pula boleh menghantar hasil pertanian ini ke pasaran dengan kadar kerosakan minimum dan harga lebih rendah bagi pengguna akhir. Pengukuhan rantaian nilai ini bukan saja meningkatkan hasil pendapatan petani, bahkan memperkasa kepelbagaian tanaman dan meningkatkan mutu pertanian.

Pada masa sama, syarikat perisian dunia mencipta pelbagai pekerjaan dalam dunia teknologi maklumat, termasuk mewujudkan peluang perniagaan sehingga ke kampung.

Turut mengalami perubahan ialah bidang pendidikan. Kini di seluruh dunia, sekolah pada semua peringkat melalui proses globalisasi, menyertai rangkaian pendidikan digital dunia.

Pelajar di Amerika Syarikat akan belajar mengenai Afrika, China dan India, bukan saja daripada buku atau video, bahkan melalui hubungan langsung antara kelas di kalangan negara dunia.

Pelajar akan berkongsi idea melalui sembang (chats) secara langsung, berkongsi kurikulum, projek, video, gambar dan teks, yang boleh dihantar melalui rangkaian digital. Universiti juga kini mempunyai dewan kuliah global, dengan pelajar menghadiri kuliah, kumpulan perbincangan dan penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi dunia lain.

Sejak setahun kebelakangan ini, universiti saya sendiri – Universiti Columbia di New York – berganding dengan universiti di Ecuador, Nigeria, United Kingdom, Perancis, Ethopia, Malaysia, India, Kanada, Singapura dan China dalam 'Kelas Global' yang secara serentak menghubungkan ratusan pelajar di lebih 12 kampus bagi kursus mengenai pembangunan mapan global.

Dalam buku saya The End of Poverty, saya menulis bahawa kemiskinan melampau boleh berakhir menjelang 2025. Satu ramalan sukar dicapai jika mengambil kira keganasan global, perubahan iklim dan pelbagai ancaman lain yang boleh menjejaskan bekalan makanan, tenaga dan air.

Tetapi teknologi maklumat digital, sekiranya digunakan secara kerjasama di seluruh dunia, boleh menjadi alat penting manusia, kerana ia membolehkan kita berganding secara global dalam pasaran, rangkaian sosial dan kerjasama bagi meleraikan semua masalah bersama.

Penulis ialah Profesor Ekonomi dan Pengarah Institut Bumi di Universiti Columbia. Hakmilik projek Syndicate, 2008)

[Berita Harian Online, 13/09/2008]

No comments:

Post a Comment