Tuesday, September 02, 2008

Analisis sosial dalam Bajet 2009

Bajet 2009 yang bertemakan "Kerajaan Prihatin" adalah 5.1 peratus lebih tinggi daripada Bajet 2008 iaitu RM207.9 bilion. Sebanyak RM154.2 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus dan RM53.7 bilion untuk pembangunan.

Perbelanjaan mengurus merangkumi pemberian dan kenaan bayaran tetap, emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pembelian aset dan perbelanjaan lain. Manakala perbelanjaan pembangunan pula termasuk pertanian, peindustrian dan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perumahan, keselamatan, pentadbiran dan simpanan luar jangka.

Tema "Kerajaan Prihatin" adalah imbasan kerajaan ke atas tiga strategi iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuh daya saing negara. Sebahagian besar daripada peruntukan ini menjurus kepada insentif membantu meringankan beban rakyat Malaysia ekoran kenaikan kos hidup.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bajet kali ini sangat unik kerana semua golongan mendapat manfaat. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Bajet 2009 tidak ada rangsangan baru untuk meningkatkan ekonomi negara kerana tidak adanya pelaburan-pelaburan baru dan berlakunya peningkatan defisit perbelanjaan negara. Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pula menyifatkan bajet ini sebagai "hebat."

Bagi persatuan pengguna, mereka menyambut baik usaha kerajaan yang memberi keutamaan untuk mengurangkan beban masyarakat.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat beban golongan berpendapatan rendah dapat diatasi khususnya pengguna bil elektrik RM20 sebulan ke bawah tidak perlu membayar bil elektrik. Keputusan ini telah memberi manfaat besar kepada penduduk di luar bandar yang rata-ratanya tidak banyak menggunakan elektrik.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melihat Bajet 2009 lebih prihatin berbanding 2008.

Agihan bajet telah memberi faedah kepada golongan miskin, mangsa bencana dan kanak-kanak kurang bernasib baik. Di sektor awam, elaun bayaran insentif khas kepada anggota polis telah menaikkan semangat mereka untuk bekerja begitu juga bonus sebulan gaji dapat melegakan keperitan kewangan penjawat awam.

Perbandingan peruntukan bagi perkhidmatan sosial dalam bajet-bajet yang lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 34.4 peratus bagi tahun depan. Dalam Bajet 2005 peruntukkan adalah sebanyak RM7.6 bilion, RM9.9 bilion (2006), RM 14.2 bilion (2007) dan RM15.6 bilion dalam Bajet 2008. Bagi Bajet 2009, peruntukkan berkenaan dinaikkan kepada RM17.8 bilion.


Peruntukan yang besar diberikan kepada pendidikan dan latihan iaitu berjumlah RM1.8 bilion bagi meluaskan program-program sedia ada khususnya pertambahan perjawatan melalui pembinaan 26 sekolah rendah dan 41 sekolah menengah baru. Jumlah yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran ini akan melengkapkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP) 2010 dan menambah baik prestasi pelajar dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.

Pertambahan pemberian elaun dan peningkatan jumlah bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dilihat menjadi fokus utama dalam bajet ini. Keperluan masyarakat ini semakin meningkat seiring dengan kenaikan harga barang dan kadar inflasi. Di samping kelompok masyarakat berpendapatan rendah, warga tua, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak kurang bernasib baik turut mendapat habuan masing-masing.

Warga tua yang merupakan aset terpenting kepada kerajaan dapat menikmati faedah yang agak baik dalam pengumuman bajet ini khususnya pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun. Mereka menerima pencen tidak kurang RM720 sebulan mulai tahun depan.

Kesusahan hidup OKU dikurangkan dengan pemberian elaun RM150. Umum menyedari betapa mereka juga terpaksa bersaing dengan orang lain untuk mendapatkan pekerjaan. Bagaimanapun elaun seperti ini hanya layak diterima oleh OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).

Insentif elaun ini seharusnya menjadi perhatian keluarga yang mempunyai anak-anak OKU supaya mereka mendaftarkan diri kerana masih terdapat keluarga yang tidak tahu bagaimana hendak mendaftarkan ahli keluarga mereka yang dikategorikan sebagai OKU. Di sinilah peranan ketua kampung, JKKK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencari OKU dan mendaftarkan diri di JKMM.

Terdapat empat jenis skim bantuan yang ditawarkan oleh JKMM iaitu skim Bantuan Am, Bantuan Orang Tua, Bantuan Kanak-kanak dan Elaun Pekerja Cacat. Daripada keempat-empat skim ini, Bantuan Am merupakan penerima yang paling ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kata-kata aluan Laporan Ekonomi 2008/2009 yang lalu dengan yakin menyatakan bahawa Malaysia akan terus mempunyai daya tahan, kebolehsuaian dan keupayaan untuk menghadapi rintangan dan cabaran.

Masih banyak perkara yang tidak disentuh dengan jelas dalam pembentangan bajet yang lalu khususnya kadar pengangguran siswazah. Mereka adalah kelompok yang mempunyai keupayaan dan kemahiran berfikir yang tinggi di dalam masyarakat. Namun tanpa ada usaha daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini, Bajet 2009 tidak memberi harapan besar kepada pencari kerja ini. Penambahan jawatan kontrak dan sementara hanya akan mengundang masalah kepada kerajaan kerana golongan muda yang bertenaga ini amat dahagakan pekerjaan bagi membayar pinjaman pembelajaran, menampung kos hidup dan wang bulanan untuk diberi kepada ibu dan bapa. Membiarkan pekerja kontrak dan sementara dalam jangka masa panjang menyebabkan kerajaan yang memerintah tidak akan dipilih dalam pilihan raya yang akan datang.

Peruntukan yang besar kepada pasukan polis dilihat akan dapat meningkatkan keberkesanan pencegahan jenayah yang semakin meningkat saban tahun. Peralatan yang canggih dan sistem penyampaian yang lebih baik dapat membantu meningkatkan kecekapan pihak polis melaksanakan tugas-tugas anggota. Pada masa yang sama, pembelian peralatan dan sistem berkenaan mesti bebas daripada amalan rasuah dan pilih kasih kerana tindakan yang tidak berhati-hati akan membazirkan wang kerajaan.

Penduduk Malaysia yang berjumlah 27.7 juta orang pada 2007 adalah aset berharga kepada pembagunan modal insan negara. Namun rakyat Malaysia juga inginkan kedamaian dan kebahagiaan hidup, bebas daripada bebanan kewangan, menikmati keindahan negara dan menyumbang kepada keadilan sosial yang berkekalan. Peranan kerajaan bagi menjayakan misi "Kerajaan Prihatin" tidak harus bersifat retorik dan mementingkan survival politik kerana setiap rakyat berhak mendapat jaminan kebajikan sosial mereka dalam semua aspek hidup.

No comments:

Post a Comment