Saturday, September 20, 2008

Sejauhmana Akta Hubungan Kaum mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia?

Sejak pilihan raya umum yang lalu, hubungan kaum di negara ini dikatakan bergolak. Kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri dan kurangnya kerusi parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah menyaksikan beberapa insiden yang menggugat perpaduan kaum di negara ini.

Penahanan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ahli parlimen Seputeh Teresa Kok dan pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dikatakan kemuncak kepada keresahan masyarakat ke atas isu ini. Hoon Cheng yang melaporkan isu pendatang Cina dikenakan tahanan ISA kerana pihak polis ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporannya dan pada masa yang sama mengurangkan ancaman keselamatan yang dihadapinya.

Manakala Teresa Kok, seorang ahli politik yang lantang, ditangkap kerana penglibatannya dalam isu azan di Kinrara dan papan tanda pelbagai bahasa yang dikhuatiri boleh menggugat keselamatan negara.

Malaysia adalah sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum. Di sini ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, India Muslim, Siam dan Orang Asli. Negara ini juga menjadi tempat imigran dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Nepal dan Thailand mencari rezeki. Sejak Mei 1969, kerajaan mengambil banyak langkah penguatkuasaan bagi mengekang pertelingkahan kaum daripada terus berlarutan.

Dari sudut undang-undang, dua akta yang terkenal ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Hasutan 1948 sentiasa digunakan bagi mengekang mana-mana individu dan kumpulan yang cuba mencetuskan polemik perkauman yang boleh menggugat keselamatan negara.

Pada 1987, ISA digunakan bagi menahan mereka yang mencetuskan perbalahan kaum seterusnya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ditangkap di bawah akta yang sama kerana mencetuskan keadaan resah di dalam negara pada 1998.

Berhadapan dengan ketegangan kaum ini, satu mekanisme konkrit wajar difikirkan supaya sebarang percubaan ke arah konflik perkauman dapat dipatahkan. Justeru cadangan kerajaan untuk membentuk Akta Hubungan Kaum (AKH) merupakan siri perundangan yang mengukuhkan lagi ISA dan Akta Hasutan. Ia dijangka merangkumi pelbagai sudut seperti agama, bahasa, kebudayaan, adat tradisi, sensitiviti dan sejarah.

Di peringkat antarabangsa, terdapat satu undang-undang berkaitan kaum Yahudi yang dikenali sebagai antisemitisme. Ia merupakan suatu sikap permusuhan atau prasangka terhadap kaum Yahudi dalam bentuk penganiayaan atau penyeksaan ke atas agama, budaya, etnik atau kelompok ras yang dimulai dari kebencian ke atas individu hingga masyarakat.


Sesiapa sahaja yang bercakap atau mengeluarkan pendapat yang boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap kaum itu boleh dikenakan tuduhan antisemitisme. Bagaimanapun sejarah bermulanya undang-undang ini bermula sejak 1096 masihi lagi.

Bagaimana pula AHK yang akan dicadangkan ini berperanan?

Kerajaan tidak wajar meniru sepenuhnya antisemitisme semata-mata hendak melindungi mana-mana kaum sebaliknya perlu mengutamakan toleransi, penyuburan kasih sayang dan saling hormat-menghormati sesama kaum. Tiga keutamaan ini boleh menjadi pemacu ke arah pembinaan hubungan kaum yang lebih berkualiti, menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan ekonomi dan dapat memulakan langkah awal terhadap kemajuan berasaskan kelas sosial.

Pengenalan AHK ini perlu mengambil kira pendidikan negara kerana sekolah merupakan alat sosial asas kepada perpaduan rakyat. Oleh kerana Malaysia bersikap toleransi dengan kewujudan sekolah-sekolah vernakular, AHK tidak banyak membantu mewujudkan perpaduan rakyat yang sebenar kerana ia bersifat menegah, bukannya merangsang kepada perpaduan.

Usaha-usaha yang lebih agresif mesti diteruskan oleh Kementerian Pelajaran bagi memperkasa sekolah kebangsaan supaya daya tarikan ada di situ dari segi kualiti pengajaran dan pendidikan, pelajar yang berakhlak mulia dan dapat mewujudkan daya saing peringkat dunia. Dengan cara ini, lama-kelamaan sekolah-sekolah vernakular akan ditinggalkan dan lenyap sama sekali.

Politik, ekonomi dan sosial hanya mewujudkan perpaduan kaum yang rapuh. Ternyata selepas 51 tahun merdeka, Malaysia masih merancang dan melaksanakan polisi dan keputusan ke arah mempertahankan hubungan kaum yang sedia ada. Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan selepas wujud jurang pendapatan antara kaum yang besar dan komponen parti BN masih lagi berpaksikan kaum masing-masing.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Wolfgang Schaeuble pernah mengutarakan polisi berkaitan kaum di Jerman dengan berkata, "kami tidak bertolak ansur dengan sebarang unsur ekstremis, xenofobia atau antisemitisme." Kerajaan Malaysia juga mesti mengekang dan mengawal sepenuhnya aktiviti-aktiviti negatif yang cuba menimbulkan keresahan kaum tanpa mengira siapa.

Pada masa yang sama, kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi menggalakkan toleransi, persefahaman dan kesedaran masyarakat melalui program-program bersama. Ini semua untuk mempastikan rakyat pelbagai kaum berasa selamat dan menghargai kehidupan mereka sebagai seorang warganegara Malaysia.

No comments:

Post a Comment