Monday, September 29, 2008

Pelan strategik lonjak kecemerlangan IPT

oleh Syuhada Choo Abdullah

Sebuah universiti baru berstatus Apex akan dibina dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi melonjakkan kecemerlangan pengajian tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pejabat Pengurusan Program (PMO) Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata cadangan membina universiti itu adalah projek trek ketiga Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

"Menubuhkan universiti baru berstatus Apex bagi membentuk kecemerlangan dari peringkat awal lebih mudah berbanding melaksanakan perubahan di universiti sedia ada.


"Bagaimanapun, rancangan ini tertakluk kepada kedudukan kewangan kerana pembinaan universiti baru berstatus Apex memerlukan perbelanjaan tinggi," katanya kepada Berita Harian.

Awal bulan ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan pemilihan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Universiti Apex pertama, mengatasi beberapa universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM).

Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. Sahol Hamid berkata, pemilihan USM untuk merintis program itu adalah projek trek pertama PSPTN.


Beliau berkata, kementerian akan meneliti perkembangan USM dan jika ia menunjukkan kemajuan baik, kemungkinan besar satu lagi proses penilaian dan pemilihan universiti lain untuk memasuki program itu akan diadakan dalam tempoh setahun dua lagi.

Katanya, UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disenarai pendek dalam pemilihan sebelum ini, bagaimanapun tidak akan dipilih secara automatik sebaliknya perlu bersaing semula.

Beliau berkata, persaingan akan terbuka kepada permohonan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mungkin sudah melakukan penambahbaikan serta mencatat peningkatan kemajuan.


"Namun sebelum itu, kemungkinan besar kita akan melaksanakan dulu projek trek kedua PSPTN, iaitu program Apex khusus untuk pusat kecemerlangan di universiti yang tertumpu kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan saja. Polisinya berbeza dengan kemasukan keseluruhan sebuah universiti dalam program Apex.

"Insya-Allah, proses trek kedua ini akan bermula pada Disember depan, termasuk membuka permohonan dan keputusan pemilihan pusat kecemerlangan akan ditentukan menjelang Jun tahun depan," katanya.

[Berita Harian Online, 29/9/2008]

No comments:

Post a Comment