Negara Malaysia terdiri dari pelbagai kaum dan etnik dengan kaum terbesar ialah Melayu, Cina, Kadazan-Dusun, Iban, Cina dan lain-lain. Kewujudan pelbagai etnik ini memberi banyak dimensi kepada budaya, perpaduan dan sering menjadi agenda yang mewarnai politik, sosial dan pentadbiran negara. Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, Malaysia menghadapi keresahan masa depan yang tidak menentu. Walau bagaimanapun kewujudan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya menjadi kekuatan walaupun masyarakat luar melihat ia merupakan suatu mimpi ngeri bagi negara ini.
Terdapat suara sinis ke atas kemampuan pemimpin-pemimpin masyarakat untuk mengurus kepelbagaian ini biarpun ada yang meyakini kepelbagaian tersebut dapat diurus dengan sempurna. Perubahan yang dilalui oleh sebahagian besar masyarakat setelah mendapat kemerdekaan daripada British masih lagi menjadi persoalan sehingga kini.
Sepanjang meniti usia kemerdekaan ini, beberapa peristiwa besar telah menggugat perpaduan kaum yang dilihat sebagai mencacatkan rekod perpaduan yang dilalui. Dengan peristiwa 13 Mei 1969 menjadi igauan buruk kepada generasi tua, ia tidak lagi menjadi satu yang diutamakan oleh generasi muda, generasi "hip-hop" atau generasi "reformasi."
Bagaimana seharusnya pemimpin-pemimpin negara mengurus kepelbagaian ini? Apakah mereka wajar melupai sejarah silam dan melihat masa hadapan dengan lebih optimis dan mengukir bait-bait indah ke atas laluan getir politik negara?
Laluan perjalanan sejarah bangsa dan negara tidak harus dipinggirkan apabila kita ingin melihat hala tuju pada masa depan. Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang agama, bangsa, bahasa dan budaya, andaian-andaian yang buruk seringkali menjadi fokus. Contohnya, sebelum mendapat kemerdekaan, malahan selepas merdeka turut menjadi persoalan iaitu perkauman.
Setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia tidak boleh lari daripada identiti kaum. Dalam pendidikan, keutamaan diberikan kepada kelompok majoriti manakala sekolah rendah dan menengah berasaskan vernakular masih diberi bantuan oleh kerajaan. Dalam hal ehwal ekonomi dan pentadbiran awam masih terdapat kouta yang perlu dipatuhi. Pendek kata, statistik pencapaian dalam sesuatu bidang masih lagi ditentukan oleh perkauman. Sekiranya wujud kekurangan, pemimpin-pemimpin kaum yang berkepentingan akan mula mencanang kegelisahan mereka supaya setiap keadaan yang pincang diperbetulkan.
Akan sampai masanya keretakan etnik yang dikhuatiri itu bakal menjadi kenyataan sekiranya konsep politik matang diketepikan.
Namun, kegelisahan ini tidak sepatutnya menjadi masalah kerana konflik di antara kaum yang berlaku selama ini banyak disebabkan oleh kurangnya keseimbangan dalam pembangunan yang menyebabkan ada golongan yang dipinggirkan. Insiden di Kampung Medan sebagai contoh, digerakkan oleh ketidaksamarataan di antara kaum dan kemiskinan bandar. Insiden kemiskinan tegar yang masih wujud di negara ini walaupun semakin berkurangan, nampaknya tidak begitu diusahakan bersungguh-sungguh di bandar sehingga timbul gelaran "kemiskinan bandar."
Selain daripada peristiwa 1969, tidak ada pergaduhan besar yang berlaku melibatkan kaum di Malaysia. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamatkan pembasmian kemiskinan secara bersungguh-sungguh melalui tiga strategi iaitu menambah daya pengeluaran dan pendapatan penduduk, peluang untuk rakyat menukar kegiatan ekonomi daripada sektor rendah daya pengeluaran kepada sektor yang lebih menguntungkan, dan mengadakan perkhidmatan sosial percuma untuk meningkatkan golongan berpendapatan rendah.
Setelah DEB berakhir, terdapat dua dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sebagai kesinambungan ke arah pembasmian kemiskinan di negara ini. Dasar tersebut ialah Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Wawasan Negara yang menggariskan pelbagai strategi.
Kadar kemiskinan yang semakin berkurangan kepada 3.6 peratus pada 2007 telah menjadikan keadaan sosial masyarakat semakin stabil. Tidak timbul lagi apa yang diistilahkan sebagai "keretakan etnik" di dalam masyarakat seperti yang difikirkan oleh ramai orang. Kestabilan ini dapat dilihat apabila negara pernah mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setahun bagi beberapa tahun yang akhirnya memberi idea kepada Tun Dr Mahathir mencetuskan Wawasan 2020.
Dari segi ekonomi, semua kaum telah berusaha untuk menjayakan perkongsian bijak bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ada di kalangan mereka yang bertindak menjadi pemacu ke peringkat global. Ekonomi yang berkembang memberi harapan kepada rakyat pelbagai lapisan memperbaiki taraf hidup masing-masing dengan mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik. Tanpa mengira kedudukan dan batas etnik, mereka berkongsi nilai tentang kejayaan, usaha yang gigih dan hidup bersama. Anehnya, keadaan ini berlaku ketika mereka hidup dalam keadaan silang budaya di mana perbezaan yang sangat jelas dari segi agama, bahasa dan budaya.
Kewujudan nilai-nilai bersama terserlah dalam masyarakat yang mementingkan perpaduan dan menolak sama sekali pemikiran militan dan berat sebelah. Gerakan sosial yang songsang dari kumpulan anti kemajuan akan ditolak supaya keharmonian yang telah wujud tidak digugat sama sekali oleh elemen yang memecah belah.
Tentunya keadaan ini dibentuk setelah pelbagai dasar dan program yang dirancang dan dilaksanakan bersungguh-sungguh supaya citra penjajah tidak lagi menjadi pengaruh yang membayangi masa depan negara. Pihak British sentiasa berpegang kepada konsep etnik yang sempit bukan sahaja kerana mahu mengukuh status quo kuasa malah kerana sikap rasisme dan etnosentrik mereka sendiri terhadap budaya-budaya lain.
Masyarakat majmuk
Konsep ras atau bangsa dari perspektif penjajah ialah berdasarkan ikatan darah yang dilihat mementingkan bangsa sendiri. Struktur sosial masyarakat disusun berdasarkan peranan tertentu yang dikhususkan supaya senang dikawal. Penstrukturan seperti ini hanya mementingkan ekonomi dan survival penjajahan British.
Masyarakat disusun atur dengan memberi peranan untuk orang kulit putih berada di atas susun lapis masyarakat dengan Cina, India, Melayu dan bumiputera lain di bawahnya dalam bidang kegiatan ekonomi dan di bidang politik pula diletakkan selepas orang kulit putih, golongan bumiputera di bawahnya dan diikuti oleh kumpulan-kumpulan etnik yang lain. Orang kulit putih diberi ruang ekonomi dalam perdagangan, timah dan ladang-ladang getah, orang Cina sebagai buruh dalam kegiatan timah dan peniaga-peniaga, orang India buruh dalam sektor awam, pembinaan infrastruktur bangunan dan jalan serta sebagai penoreh getah estet di ladang getah, manakala orang Melayu sebagai pentadbir bawahan, petani dan nelayan sahaja.
Keadaan sejak 51 tahun merdeka telah banyak menunjukkan perubahan yang ketara. Walaupun golongan bumiputera tidak dapat mengecap kouta 30 peratus dalam penguasaan ekonomi seperti yang ditetapkan dalam DEB, terdapat banyak kesedaran terhadap keperluan berekonomi di kalangan kelompok ini. Kekuatan utamanya ialah kesungguhkan kerajaan memberi insentif dan pelabagai galakan lain khususnya kepada generasi muda dengan melibatkan diri secara besar-besaran dalam ekonomi moden.
Jika dahulu agak sukar bagi kita melihat kedai-kedai dan rangkaian peruncitan Melayu, dengan perkembangan teknologi maklumat dan Internet serta pendidikan yang terbaik, kesedaran terhadap pentingnya berniaga mula muncul di dalam diri mereka. Apatah lagi ketika ini corak perniagaan tidak banyak dikelaskan kepada etnik tertentu tetapi lebih kepada nilai dan ciri kepenggunaan seperti berkualiti, kompetetif dan memenuhi kehendak pengguna. Bagi jangka masa panjang, perniagaan berasaskan kepada pengenalan kaum tidak akan menjadi isu utama di Malaysia. Sebaliknya kesungguhan dan kerajinan akan mengambil tempat.
Kerajaan dan rakyat bercita-cita melihat negara ini sebagai sebuah negara industri yang maju dan demokratik di mana setiap rakyat tanpa mengira etnik akan hidup bersama dalam suasana makmur, adil dan sejahtera. Dengan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang dicapai pada masa ini, perjalanan negara untuk mencapai cita-cita pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu bukannya menjadi masalah besar.
Teras kepada realiti ini ialah pengurusan yang mengambil kira kepentingan semua kaum, memelihara hak dan memberi keadilan serta memberi perhatian serius kepada kelompok minoriti bagi mengelakkan peminggiran. Urutan konflik yang berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan bukannya disebabkan oleh perbezaan etnik sebaliknya kemunduran, ketidaksamarataan, kemiskinan dan peminggiran yang menimbulkan rasa tidak puas hati. Justeru bagi menyelesaikan kehendak tersebut, mereka mencari alasan perbezaan etnik sebagai punca utama.
Kestabilan, kemakmuran dan keharmonian etnik yang dikecapi oleh kita sekarang tidak datang bergolek tetapi berlaku di atas kesedaran dan kemahuan kita untuk menjadikan perkara-perkara ini sebagai sebahagian dari kehidupan kita. Justeru itu kita tidak boleh mengambil kejayaan kita secara sambil lewa. Kita perlu bersikap proaktif, merancang, melaksana dasar dan program serta mengawasinya agar buah akhirnya adalah apa yang kita cita-citakan: sebuah negara yang makmur, stabil dan harmoni.
Rumusan
Ruang untuk menang-menang dalam politik, ekonomi dan kehidupan masyarakat kepelbagai budaya boleh dicapai jika acuan perkongsian kuasa, pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan dan mengurus dimensi etnik serta agama berteraskan kesederhanan dijadikan amalan tadbir urus negara yang baik dan adil. "Perpaduan teras kejayaan" hanya akan menjadi kenyataan jika semua pihak berusaha untuk mengekalkan situasi menang-menang yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara Malaysia yang bebas, aman dan merdeka.
No comments:
Post a Comment