Perdana Menteri membayangkan harga minyak akan diturunkan lagi jika harga minyak dunia berada di bawah paras US$109 setong untuk jangka waktu tertentu. Beliau juga membayangkan hanya 15 sen sahaja yang kerajaan dapat turunkan.
Perdana Menteri tidak sedar betapa sengsaranya rakyat ketika ini dengan pengekalan harga minyak sedia ada kerana harga barang tidak diturunkan serta merta. Kebanyakan penduduk Malaysia pada hari ini menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak ke sana ke mari khususnya di kawasan bandar. Bagi luar bandar, mereka menggunakan pengangkutan awam atau motosikal sahaja.
Kajian oleh Pollster Sdn Bhd ke atas responden terpilih baru-baru ini mendapati 34 peratus daripada mereka merasakan kesan ekonomi global menyebabkan peningkatan kos hidup. Ini bererti, 66 peratus daripada responden tidak berfikir begitu sebaliknya merasakan ada faktor-faktor lain.
Penyelidikan selama sebulan itu turut menunjukkan sembilan peratus responden merasai kesan kenaikan harga barang sebagai sesuatu yang merungsingkan dan lima peratus berpendapat peniaga yang patut dipersalahkan.
Responden yang dikaji mengenai kesan kenaikan harga barang ke atas corak kehidupan mereka di mana sebanyak 48 peratus berkata mereka tidak lagi membeli barangan yang tidak penting, 40 peratus mengurangkan aktiviti di luar dan 12 peratus memotong perbelanjaan untuk pengangkutan.
Peningkatan kos hidup juga menjadi punca utama berlakunya jenayah dan curi di mana 60 peratus responden bersetuju dengan kenyataan ini.
Lebih separuh daripada responden merasakan rebat petrol yang diberikan oleh kerajaan tidak banyak membantu mereka, 41 peratus menyatakan ia memadai dan 7 peratus tidak pasti.
Sekiranya kita ingin melihat sejauhmana payahnya hidup ketika kenaikan harga minyak dan barang ini, lebih banyak kajian perlu dilaksanakan supaya satu keputusan yang seragam dapat dilihat, merangkumi masyarakat bandar dan luar bandar, julat pendapatan berbeza dan melibatkan pelbagai latar belakang responden.
Seharusnya kajian ini memberi isyarat kepada Perdana Menteri untuk menilai kembali penurunan harga minyak sebanyak 15 sen. Semasa pengumuman kenaikan harga minyak yang lalu, peningkatannya begitu berdesup tetapi untuk turun, ianya sangat liat dan perlahan. Penderitaan rakyat memang amat terasa dan kadangkala tidak dapat lagi diberi tolak ansur. Kerajaan yang prihatin adalah kerajaan yang faham masalah rakyat dan bersedia untuk mengatasi punca masalah tersebut, bukan sekadar membuat penyesuaian yang bersifat kosmetik.
No comments:
Post a Comment