Wednesday, September 03, 2008

Bisnes lembu

"Rahsia memang tidak ada. Apa yang kita mahu ialah memberi fokus dan memahami keperluan lembu," kata penternak lembu, Yap yang memiliki 8,000 ekor lembu di Kampung Kaladakan, Keningau. Seekor lembu menghasilkan 30 liter susu dengan kekerapan dua perahan sehari.

Yap berusaha sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan. Selain itu dia mempunyai semangat kental dan tidak berputus asa. Bermula dengan dua ekor lembu tenusu 26 tahun lalu, kini ladang Yap mampu menghasilkan 1.4 juta liter susu setahun sekali gus menjadi pengeluar susu lembu utama di Sabah.

Keperluan terhadap daging dan susu lembu menyebabkan kerajaan Malaysia mengimport lembu dari Australia hampir 6,000 ekor sebulan. Kos untuk membawa masuk lembu-lembu ini juga mahal yang mencecah ratusan juta ringgit. Seperti yang dilakukan oleh Yap, dia menternak sendiri lembu untuk pasaran tempatan kerana bisnes lembu memang lumayan.

Katakan seekor anak lembu jantan dijual dengan harga RM3 bagi satu kilogram. Jika berat anak lembu ini 150 kilogram, harganya saja sudah RM450. Anak lembu dara pula lebih mahal iaitu RM1,200 seekor. Kalau jumlah lembu sudah 8,000 sekor, bayangkan berapa banyak penternak lembu seperti Yap mendapat keuntungan.

Selain berkira-kira dengan jumlah pendapatan, baka lembu turut berperanan menghasilkan daging yang banyak. Antara baka tersebut ialah kacukan komersial dari Australia, kacukan friesian sahiwal, droughtmaster, kacukan pedaging kk, kedah kelantan, brahman dan local indian dairy.

Kos untuk menternak lembu juga perlu diberi perhatian kerana penyediaan rumput yang berkualiti dapat menjamin kualiti daging dan susu yang segar.

Ada empat cara memberi rumput kepada lembu iaitu cara meragut lepas bebas di mana lembu-lembu dibiarkan bebas meragut di kawasan rumput, termasuk; cara berkurung atau fidlot di mana lembu-lembu pembiak sentiasa berada di dalam kandang dengan mendapat makanan bermutu secukupnya. Cara ini digunakan oleh Yap untuk lembunya.

Seterusnya ialah cara separa intensif di mana lembu yang dipelihara dibenarkan bebas meragut sama ada di kawasan rumput yang berpagar atau di kawasan ragutan awam dalam tempoh masa yang dihadkan; dan cara integrasi dengan tanaman utama iaitu kawasan yang bertanam dengan tanaman utama seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan dusun yang luas dan banyak rumput-rumpai yang subur.

Untuk berjaya dalam bisnes lembu, tiga perkara penting mesti diberi perhatian iaitu, pertama, mendapatkan sijil halal dari Jakim bagi mempastikan kehalalan proses penyembelihan dan yang bersangkutan dengannya.

Kedua ialah menyediakan produk lembu yang berkualiti termasuk aspek kebersihan.

Ketiga ialah mempunyai pasukan pengurusan dan pemasaran yang berkesan untuk mengendalikan cabaran pasaran dan mempastikan perumbuhan syarikat yang lebih besar.

Keperluan terhadap produk lembu dan kerbau hanya 25 peratus di dalam pasaran, manakala kambing sembilan peratus. Penguasaan pasaran daging lembu ini masih lagi dikuasai oleh daging import. Jadi, permintaan dalam negara wajar ditambah kerana unjuran menunjukkan ia harus bertambah kerana permintaan yang semakin meningkat dari setahun ke setahun.

No comments:

Post a Comment