Keputusan parti Gerakan memutuskan hubungan dengan kepimpinan UMNO Pulau Pinang kerana tertekan dengan isu 'pendatang' dilihat sebagai langkah awal bagi parti itu untuk dikeluarkan daripada komponen Barisan Nasional. Keputusan itu juga adalah keputusan pucuk pimpinan parti dan menjadi kayu ukur kepada kesetiaan dan kesepaduan parti-parti komponen berkenaan.
UMNO dan Gerakan telah menjadi rakan akrab di Pulau Pinang pada 1972 apabila Gerakan menyertai Perikatan seterusnya Barisan Nasional. Hubungan ini meminggirkan MCA yang sentiasa berada di bawah bayang-bayang Gerakan di negeri itu. Berikut adalah maklumat yang diperoleh mengenai Gerakan.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau singkatannya Gerakan merupakan sebuah parti politik di Malaysia yang diasaskan pada 24 Mac 1968, kini ia merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional.
Presiden Gerakan sekarang ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertindak sebagai Pemangku Presiden selepas Dr Lim Keng Yaik meletakkan jawatan pada 8 April 2007. Parti ini dijangka akan mengadakan pilihan raya kepimpinan pada penghujung 2008.
Pada 27 Ogos 2005, Gerakan mengadakan pilihan raya parti yang memperlihatkan kedudukan Dr Lim Keng Yaik sebagai presiden dicabar oleh timbalannya, Kerk Choo Ting.
Dr Lim mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden parti selepas memenangi 983 undi berbanding 628 undi yang diperoleh oleh Kerk. Koh Tsu Koon menjadi Timbalan Presiden yang baru selepas beliau menang tanpa bertanding pada hari pencalonan bagi pilihan raya parti.
Pada November 2006, presiden parti komponen Barisan Nasional yang lain, Parti Progresif Penduduk (PPP), M. Kayveas, mengusulkan penggabungan di antara Gerakan dan PPP tetapi ia tidak menjadi kenyataan.
Kebanyakan anggota parti Gerakan terdiri daripada 80 peratus etnik China, dan 15 peratus ialah etnik India, Melayu dan lain-lain. Parti ini mencatat rekod pilihan raya terburuk semasa berlangsung Pilihan Raya Umum 2008 yang memperlihatkan Gerakan hanya memenangi dua kerusi, berbanding kemenangan 10 kerusi pada pilihan raya sebelumnya.
Parti ini juga kehilangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sudah dikuasai oleh mereka bagi satu tempoh yang panjang. Berikutan kekalahan parti dalam pilihan raya yang lalu, presidennya iaitu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab dalam kekalahan tersebut.
Analisis secara mendalam terhadap keputusan Gerakan untuk tidak mahu lagi bersama dengan UMNO Pulau Pinang boleh dilihat dari dua perspektif.
Pertama, hubungan Gerakan-UMNO Pulau Pinang di mana Presiden UMNO sendiri adalah Pengerusi UMNO Pulau Pinang. Secara tidak langsung Gerakan telah memutuskan hubungan dengan pengerusi UMNO negeri tersebut. Ia juga memutuskan hubungan dengan Presiden Barisan Nasional dan Presiden UMNO. Dengan keputusan itu, berakhirlah era hubungan intim UMNO-Gerakan sama ada di peringkat negeri atau pusat.
Kedua, hubungan Gerakan-UMNO Malaysia. Memandangkan masalah ini dicetuskan oleh Gerakan (kerana pemisahan hanya akan memusnahkan Barisan Nasional), pemimpin-pemimpin Gerakan tidak dapat lari daripada memikul tanggungjawab di atas setiap keputusan mereka. UMNO masih kuat dan berpengaruh walaupun kalah banyak kerusi parlimen dalam pilihan raya umum yang lalu. Kekuatan UMNO ialah keupayaannya untuk menaikkan sentimen kaum Melayu di seluruh negara. Apakah UMNO Johor atau UMNO Negeri Sembilan akan berdiam diri? Sekiranya sentimen ini digerakkan dengan membawa sekali unsur agama, seluruh bangsa Melayu akan terkesan dengan tindakan Gerakan.
Dari segi sejarah, kehadiran orang-orang Cina ke Semenanjung Tanah Melayu secara besar-besaran bermula ketika lombong bijih timah dibuka oleh British. Mereka datang dari tanah besar China dengan sehelai sepinggang tanpa ada apa-apa kekayaan. Kedatangan mereka dari kawasan di luar rantau Melayu inilah digelar sebagai pendatang. Begitu juga jika orang Arab datang ke sini dia juga akan digelar pendatang.
Setelah orang-orang Cina mendapat kerakyatan, istilah pendatang tidak lagi relevan kerana masyarakat ini diterima menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu dengan mengiktiraf kontrak sosial. Hak mereka dilindungi sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang perlu ditimbulkan ialah kesetiaan mereka ke atas negara ini dan sumbangan bagi membangunkan Malaysia bersama-sama kaum yang lain.
Perpaduan rakyat Malaysia pada hari ini telah berlaku melalui proses yang panjang. Banyak nyawa yang hilang kerana perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Hidup di dalam sebuah negara yang aman, toleransi tinggi dan memegang nilai-nilai yang disepakati bersama adalah lebih baik daripada hidup dalam keadaan berprasangka, dendam dan berpecah-belah.
Di Malaysia, perpaduan adalah istilah yang seringkali menjadi produk untuk ahli-ahli politik mencipta kemahsyuran. Tidak banyak usaha yang bersungguh-sungguh untuk menjelmakan perpaduan dalam erti kata sebenar. Kerajaan masih lagi membenarkan sistem pendidikan dengan kaedah vernakular seperti sekolah jenis kebangsaan Cina diberi sokongan dan bantuan beroperasi. Malah di Perak, kerajaan negeri memperuntukkan tanah sebagai sumber pendapatan untuk survival sekolah-sekolah Cina di negeri itu.
Seorang pengunjung laman web Lim Kit Siang berpendapat sekolah Cina bukan semuanya baik malah lebih banyak yang membawa keburukan. Realitinya adalah seperti berikut:
-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang tidak dapat bercakap dan menulis dalam bahasa Malaysia atau Inggeris adalah produk sekolah Cina.
-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang berpendapatan rendah seperti penjaja, mekanik atau kontraktor adalah produk sekolah Cina.
-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang fanatik dan tebal unsur perkauman kecinaan adalah produk sekolah Cina.
-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang menganggur adalah produk sekolah Cina.
-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang terlibat dalam kegiatan haram seperti ah long, kongsi gelap dan bookies adalah produk sekolah Cina.
-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang profesional atau mendapat pekerjaan yang baik adalah Cina yang pendidikan Inggeris.
-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang dapat berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain dengan baik adalah Cina yang berpendidikan Inggeris.
Melihat kepada isu Gerakan ini, wajar kita melihat latar belakang pendidikan pemimpin-pemimpin mereka supaya pemahaman kita ke atas isu ini akan lebih jelas. Siapa mereka, belajar di mana, dibesarkan di mana atau di mana mereka bekerja adalah antara soalan-soalan utama yang patut menjadi pertimbangan kita untuk menilai kesetiaan Gerakan kepada barisan nasional atau negara Malaysia.
Sejauhmana Gerakan dapat menyumbang kepada penyuburan pembentukan Bangsa Malaysia juga menjadi tanda tanya apabila enggan bertolak ansur mencari penyelesaian konflik sesama rakan sendiri. Apakah Gerakan boleh diharapkan untuk menjadi pentadbir Pulau Pinang selepas ini?
UMNO wajar menjadikan MCA sebagai rakan mereka di negeri itu kerana Gerakan bukanlah sebuah parti komponen yang setia dalam perjuangan. Masyarakat Melayu di Pulau Pinang juga tidak berada pada kedudukan yang lebih baik sepanjang pemimpin Gerakan menjadi Ketua Menteri malah banyak isu dan keluhan yang kita dengan daripada Melayu Pulau Pinang.
Sudah sampai masanya kepimpinan Melayu di negeri itu berasa insaf dengan kuasa yang mereka ada dan tindakan mereka terhadap masyarakat Melayu. Berjuang atas prinsip bangsa tidak akan ke mana kerana agama lebih menjanjikan kejayaan. Soal mementingkan kuasa, pengaruh dan harta mesti dibuang jauh-jauh daripada setiap pemimpin Melayu Pulau Pinang. Apakah kerana Gerakan tahu yang pemimpin Melayu di sana sudah kemaruk kuasa dan harta maka ia tidak takut lagi dengan ketuanan Melayu di negeri itu?
Ingatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal supaya kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas pencetus perkauman menunjukkan keprihatinan pasukan keselamatan itu untuk menjaga keselamatan negara. Angkatan tentera berada di bawah Yang di-Pertuan Agong. Kesetiaan mereka kepada baginda tidak dapat dipersoalkan dan penglibatan tentera untuk meleraikan konflik kaum diharap tidak akan menjadi kenyataan kerana kesannya yang berpanjangan seperti yang berlaku di kebanyakan negara pada hari ini.
No comments:
Post a Comment