Monday, September 29, 2008

Politik penguasaan dunia dan isu yang selainnya

Penulis: Dr. Chandra Muzaffar
Penerbit: Arah Publications
ISBN: 978-983-3718-31-3
Pengulas: Mohd. Khuzairi Ismail

Buku yang membincangkan mengenai permasalahan politik semasa dan isu antarabangsa dalam konteks pembacaan ringan sesuai untuk pemahaman secara santai agak sukar untuk ditemui di pasaran.

Lazimnya kebanyakan buku dengan fokus perbincangan sebegitu seringkali merungkai sesuatu isu atau polemik antarabangsa dengan sangat mendalam dan begitu terperinci, tiada bezanya seperti bacaan ilmiah atau buku rujukan untuk penuntut-penuntut di universiti.

Dengan konsep penerbitan sebegitu, bahan bacaan yang seharusnya berguna sebagai tatapan umum untuk menyingkap jendela dunia dan memahami isu serta polemik semasa antarabangsa berubah menjadi buku yang sangat membosankan.

Berbeza dengan buku Politik Penguasaan Dunia & Isu Yang Selainnya ini, perbincangan mengenai permasalahan dunia dikumpulkan materialnya daripada siri-siri wawancara penulis sebagai seorang penganalisis antarabangsa, seperti yang pernah tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tujuh wawancara mengenai pelbagai isu antarabangsa utama yang menjadi perhatian dunia sepanjang masa itu diangkat semula ke dalam buku ini dan disusun mengikut kepentingan isu bermula pada Oktober 2001 sehingga April 2006.

Selain perbincangan dalam bentuk wawancara, buku ini turut dibahagikan kepada bab lain yang turut memuatkan tujuh artikel penuh yang mengupas pelbagai isu dan permasalahan global lain secara terperinci.


Seperti sesi wawancara, beberapa artikel itu juga pernah disiarkan di dalam Utusan Malaysia serta penerbitan antarabangsa lain termasuk untuk majalah Tempo, Indonesia.

Antara isu yang disorot oleh penulis yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) di dalam wawancara itu termasuk percubaan segelintir elit yang diketuai oleh kepimpinan politik Amerika Syarikat (AS) untuk menguasai dunia.

Faktor-faktor yang menyebabkan politik penguasaan dunia ini, sifat politik penguasaan dunia, kesan-kesan daripada penguasaan, pendorong-pendorong politik penguasaan dan penentangan terhadap penguasaan politik elit Washington dan sekutu-sekutunya antara yang dapat difahami menerusi pembacaan buku ini.

Dalam salah satu sesi wawancara yang dimuatkan juga, penulis diajak berbincang mengenai seruan damai bagi 2005 dalam perspektif kelangsungan usaha untuk membetulkan kepincangan politik dunia.

Ternyata perbincangan itu yang berkisar mengenai aktiviti militan dan pengganas, peperangan di Iraq dan Afghanistan, kemelut krisis Palestin dan Israel serta keangkuhan AS sebagai perencana polemik antarabangsa masih menjadi isu yang relevan untuk dibincangkan dan belum berkesudahan sehingga kini.

Satu sesi wawancara turut didedikasikan buat Chandra mengupas mengenai peperangan yang dilancarkan oleh AS dan sekutunya, Britain ke atas Iraq pada 2003 yang disimpulkan beliau sebagai satu bentuk penjajahan baru menerusi pencerobohan bersifat penaklukan dan penguasaan.

Menerusi kupasan Chandra itu, dapat difahami agenda sebenar di sebalik peperangan itu ialah untuk membentuk satu Orde Baru iaitu dunia yang mana AS tidak ada tentangan sebaliknya menguasai 100 peratus dunia dan mewujudkan empayar global pertama dalam sejarah manusia.

Isu-isu lain yang turut dibincangkan termasuk hubungan antara peradaban, khususnya Barat dan Islam, cabaran terorisme serta peranan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam pergerakan keamanan dunia.

Malah, Chandra menerusi satu artikel di dalam buku ini turut membincangkan secara terperinci mengenai pertembungan Islam dan Barat secara menilai faktor-faktor yang mendorong golongan tertentu di Eropah menaruh minat terhadap agama sebagai fenomena sosial.

Selain permasalahan antarabangsa, Chandra menerusi perbincangan di dalam buku ini juga memberi perhatian istimewa mengenai isu-isu domestik yang berhubung kait secara tidak langsung dengan politik antarabangsa seperti isu keharmonian agama dan hubungan ulama dengan masyarakat di negara ini.

Meletakkan dirinya sebagai aktivis yang pernah terbabit dalam gerakan reformasi sosial sejak tahun 1970-an, Chandra dalam perbincangan mengenai isu tempatan itu meletakkan satu impian tentang masa depan Malaysia supaya jurang perbezaan antara kaum dari segi sosial dan ekonomi dapat dikecilkan.

Beliau juga mahu isu-isu mengenai keadilan, ketelusan dan penyelewengan serta krisis nilai yang semakin meruncing dalam masyarakat diberikan perhatian secara serius oleh kerajaan dan dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu lebih terbuka mendengar pendapat yang berbeza.

Sesuai dengan kepekaan pengamatan beliau terhadap amalan berpolitik tempatan, Chandra menerusi salah satu sesi wawancara itu juga menyimpulkan untuk melihat satu suasana berpolitik yang lebih sihat dan kurang konfrontasi – sesuatu yang sememangnya ditagih dalam senario politik negara ketika ini.



[Utusan Online, 29/9/2008]

No comments:

Post a Comment