Friday, September 19, 2008

Sistem pengangkutan awam perlu 'sentuhan' lestari

oleh Dr Zaini Ujang

Profesor Mogens Henze dari Denmark terperanjat ketika saya menjemput beliau dengan kereta baru malam itu. Dengan nada sinis, beliau mendakwa saya tidak prihatin terhadap isu perubahan iklim dan tidak menunjukkan komitmen mesra alam untuk diteladani.

Walaupun saya memberi alasan bahawa kereta kedua itu milik isteri saya untuk kemudahan ke tempat kerja, beliau tetap menyalahkan saya.

Demikian kejadian menarik untuk sama-sama kita hayati. Profesor tersohor dari Universiti Teknikal Denmark yang berbasikal ke tempat kerja itu berhujah jika golongan yang memahami ilmu alam sekitar tidak menunjukkan komitmen menggunakan pengangkutan awam atau mengamalkan dasar sebuah-kereta-untuk-seisi-rumah, maka sukar untuk Malaysia memajukan sistem pengangkutan awam.


Pengangkutan awam bukan sekadar suatu kemudahan awam, tetapi suatu cara hidup lestari warga kota.

Ketika ini, pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia bertumpu pada jalan raya yang menjadi nadi perhubungan utama antara dua destinasi, terutama dari tempat kediaman ke tempat kerja. Hal ini bukan saja fenomena bandar, malah di desa terpencil. Jalan raya juga menjadi laluan untuk kita bercuti, khususnya pada musim perayaan.

Peranan jalan raya bertambah penting dengan peningkatan kenderaan persendirian, termasuk di kalangan pekerja berpendapatan rendah. Bagi keluarga kelas menengah di bandar, sebuah kereta tidak mencukupi.


Bagi keluarga kaya pula, kereta mewah menjadi ukuran, di samping jenama dan bilangan. Pada hemat saya, dasar kereta nasional dan dasar pengangkutan awam ketika ini turut menyumbang kepada kadar pemilikan kenderaan persendirian yang tinggi. Akibatnya, kadar penggunaan pengangkutan awam mengalami pengurangan daripada 34 peratus pada 1985 kepada 16 peratus pada 2003.

Kesannya ialah kesesakan dan kemalangan jalan raya. Sehubungan itu, jalan raya terpaksa dibesarkan dan ditambah jaringannya. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), sejumlah RM18.415 bilion dibelanjakan untuk pembangunan jalan raya, manakala 22 projek dengan perbelanjaan berjumlah RM4 bilion dilaksanakan di bawah skim bayaran tertangguh.

Di bawah program penswastaan, sejumlah RM4 bilion dilaburkan untuk menyiapkan empat lebuh raya bertol dan memulakan pelaksanaan enam projek baru. Biaya pengangkutan bandar pula sejumlah RM706 juta. Dalam RMK-9, bajet pembangunan jalan raya sejumlah RM17.303 bilion.

Jaringan jalan raya bertambah dari 66,390 kilometer kepada 77,673 kilometer (km) dalam tempoh RMK-8. Dalam tempoh sama, petunjuk kepadatan jalan raya meningkat daripada 0.20 kepada 0.24 dan Indeks Pembangunan Jalan meningkat daripada 0.75 kepada 0.85.


Namun, dalam keghairahan kita merancang, membina dan membesarkan jalan raya, banyak faktor yang juga penting sering kali terabai. Misalnya, faktor pelestarian sistem. Perlu difahami bahawa jalan raya adalah satu komponen dalam sistem pengangkutan. Komponen lain ialah kereta api, rel bandar, pengangkutan air dan udara. Dalam konteks bandar, komponen jalan raya, rel bandar dan kereta api boleh digabungkan bagi mewujudkan sistem yang bersepadu, cekap, anjal dan bolehpercaya (reliable).

Sesebuah sistem tidak lestari menyebabkan kesesakan dan kemalangan jalan raya, malah meningkatkan pelepasan bahan cemar ke udara. Ia juga merugikan pengguna dari segi masa dan peningkatan kos bahan api. Selain itu, pembakaran bahan api juga meningkatkan pelepasan karbon.

Sejak 20 tahun lalu, banyak negara maju cuba mengurangkan pemilikan kereta persendirian dan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, berjalan kaki dan berbasikal. Pelbagai insentif diberi, bahkan disogokkan. Dasar punitif turut diperkenalkan. Ada juga bandar raya, termasuk Singapura dan Kerajaan Tempatan London, mengenakan cukai jalan tambahan kepada pengguna kenderaan persendirian ke pusat bandar pada hari berkerja.

Selain itu, kecekapan, kesepaduan dan keanjalan perkhidmatan rangkaian rel bandar perlu ditingkatkan dengan menyediakan jaringan pengangkutan lain, khususnya teksi dan bas sebagai pelengkap. Sistem ini sudah diamalkan dengan meluas di bandar utama di Eropah.

Saya juga mencadangkan agar pengangkutan air dimajukan sebagai alternatif, khususnya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Sistem sungai di Kuala Lumpur berpotensi untuk dijadikan laluan pengangkutan awam jika aras sungai didalamkan dan terusan dibina, seperti Amsterdam dan London. Dari segi kesan alam sekitar, pengangkutan air kurang menggunakan tenaga berbanding kenderaan darat, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon. Hal ini juga akan memberi impak kepada inisiatif pelestarian sungai seperti yang berjaya dilakukan di Sungai Cheonggyecheon, Seoul.

Hal ini selari dengan strategi RMK-9, iaitu 'menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai mod perjalanan utama khususnya di kawasan bandar dengan meningkatkan penyepaduan pelbagai mod pengangkutan'. Pada hemat saya, pelaksanaan sesuatu dasar mantap seperti dihasratkan dalam RMK-9 memerlukan biaya besar untuk menyediakan kemudahan awam yang efisien, murah, anjal, bersepadu, bolehpercaya dan mesra pengguna. Namun, saya juga berharap supaya pelaksanaan RMK-9 turut mengambil kira penyertaan masyarakat dalam strategi pelaksanaan dasar pengangkutan awam.

Masyarakat perlu disedarkan tentang tujuan dan aspirasi dasar yang dilaksanakan. Menerusi strategi ini nanti, dasar bersifat insentif dan punitif boleh digabungkan. Kita juga perlu meningkatkan kesedaran dan imej pengangkutan awam.

Malah, pembuat dasar juga perlu menunjukkan teladan. Jika kita menggalakkan orang ramai menaiki LRT ke tempat kerja, maka mulakan dengan diri sendiri setiap hari, bukan hanya ketika majlis perasmian atau mengiringi lawatan VVIP saja.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kenderaan persendirian, khususnya berkereta adalah pilihan paling sesuai di jalan raya ketika ini. Itulah pilihan Pak Menteri, pegawai kanan, tokoh korporat, ahli profesional, usahawan dan golongan pekerja.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia.

[Berita Harian Online, 19/9/2008]

No comments:

Post a Comment