Saturday, November 25, 2006

Panduan menentukan kesahihan sesuatu berita dan isu

Perkembangan semasa yang berpusatkan pada isu pesanan ringkas pembaptisan di Perak telah menjadikan segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan kandungan mesej berkenaan. Keupayaan mereka untuk mengenal pasti sesuatu isu sama ada benar ataupun tidak, dilihat begitu lemah dan wajar diberi panduan bagi mengelak isu berkenaan dipanjangkan.

Isu Datuk Azhar telah lama berlegar di internet dan tidak tahu kesahihannya sehinggalah beliau muncul di Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang lalu dan menafikan khabar angin berkaitan dirinya. Artikel ini akan mengulas bagaimana kaedah untuk kita menilai dan membuat kesimpulan yang terbaik mengenai sesuatu isu supaya kita tidak terperangkap dalam pemikiran yang keliru dan tidak banyak memberi manfaat. Panduan ini boleh diperhalusi lagi sekiranya membabitkan perbincangan yang serius.

Pertama sekali, bagi sesuatu isu, berita atau maklumat, wajar kita mempastikan penulis atau penyampai tersebut mendapatkan sumbernya (dari buku, temu bual, pemerhatian, pengalaman sendiri dan sebagainya) supaya kita maklum mengenai tujuannya. Jika penulis berkenaan tidak menyatakan sumber rujukan, apakah motif penulis yang tidak memberitahu sumbernya. Adakah dia ingin menyorok maklumat sedia ada atau memang tidak mempunyai maklumat yang sahih dan boleh dipercayai?

Kedua, bagaimana penulis menyokong kenyataan-kenyataannya. Dalam kes Datuk Azhar, pengirim mesej begitu berani dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Adakah pernyataannya berdasarkan fakta sedia ada, baru diperolehi ataupun pendapat dan andaiannya semata-mata. Jika terdapat fakta, apakah fakta tersebut sangat konsisten dalam penulisan atau perbualannya? Perlu juga dilihat apakah terdapat percanggahan fakta dan di mana fakta berkenaan boleh diperolehi? Fakta ini boleh jadi dalam bentuk statistik yang disahkan, laporan ataupun pengesahan daripada pihak yang ada autoriti seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia ataupun jabatan agama.

Ketiga, sekiranya beliau mempunyai fakta, adakah fakta berkenaan menggunakan dokumen asal seperti lampiran rasmi ataupun beliau menggunakan sumber daripada dengar cakap sahaja.

Keempat, diri penyebar mesej berkenaan. Adakah beliau seorang yang ada kuasa untuk menyatakan sesuatu yang belum tentu sahih? Latar belakang penyampai mesej harus diteliti kerana ia akan menentukan kewibawaan dan maruahnya. Keadaan ini sama seperti menentukan latar belakang perawi hadis. Jika disebut Imam Muslim, riwayatnya tidak akan disoal lagi.

Kelima ialah bahasa yang digunakan di dalam mesej. Adakah ia berbau emosional, neutral atau mengajak kepada sesuatu seperti provokasi dan menguji. Pembaca yang mudah terpengaruh dan singkat fikirannya amat suka melihat isu digembar-gembur supaya lebih sensasi.

Keenam, apakah tujuannya berjumpa dengan Sahibus Samahah Datuk Seri Mufti? Adakah beliau ingin sekali meluahkan perasaannya bahawa isu berkenaan sangat besar, tidak dapat ditangguh-tangguh, ataupun untuk meraih simpati dan merayu? Tempat terbaik ialah beliau membuat laporan polis.

Ketujuh, bagaimana dengan tarikh penglibatan Datuk Azhar? Jika tahun 1999, adakah ia masih relevan setelah enam tahun tanpa ada apa-apa tindakan daripada pihak jabatan agama dan pihak berkuasa yang lain. Apakah jarak masa yang paling baik untuk mengesahkan sesuatu isu itu sudah lapuk dan layak di hantar ke pihak arkib?

Kelapan, penyebar mesej telah dikenal pasti. Soalan paling utama ialah apakah penyebar mesej ini ataupun disebut saksi, seorang yang boleh dipercayai? Ada kredibiliti? Latar belakangnya yang lengkap dan motif sebenar dia berbuat begitu?

Kelapan-lapan panduan ini adalah untuk menggerakkan hala tuju pemikiran ke atas isu yang ada sekarang dan bagaimana kita harus bertindak. Menggunakan emosi untuk menyelesaikan isu tidak akan menyelesaikan masalah dalam jangka masa panjang kerana kemungkinan kita akan tertinggal fakta. Kaedah yang paling mudah ialah melihat secara menyeluruh dan menyusunnya satu per satu supaya kita dapat tahu di mana ianya bermula dan bagaimana ia harus berakhir.

Datuk Azhar memilih sikap yang profesional untuk berhadapan dengan isu yang melibatkan dirinya. Menggunakan platform yang sangat berpengaruh untuk menyatakan pendiriannya dan tanpa rasa takut menundukkan musuh-musuhnya yang ingin mengambil kesempatan ke atas kejayaannya mengelilingi dunia. Kita tidak mempunyai ramai watak seperti beliau yang berani tampil kehadapan dan tidak langsung memberi ruang kepada musuh untuk bertindak balas.

Keupayaan memahami isu berdasarkan fakta, khabar angin, gosip atau pendapat harus dicanai dari semasa ke semasa supaya masyarakat bijak membuat pilihan. Isu berdasarkan pendapat memang sangat menyeronokkan tetapi apakah ia akan memberi manfaat kepada pembuat dasar?

Kes ini adalah sebagai panduan kepada kita bagaimana kita harus menggunakan pemikiran yang rasional, licik dan berarah supaya kita tidak menghabiskan wang yang banyak dalam sistem pendidikan negara untuk mengadakan program pemulihan otak terbiar (POT) di sekolah-sekolah seluruh negara.

Friday, November 24, 2006

Politik dunia pada 2050 (1)

Terdapat kebimbangan di kalangan masyarakat Barat terhadap masa depan Eropah dan Amerika Syarikat dalam tempoh 50 tahun yang akan datang. Dalam ruangan forum di internet, pelbagai reaksi dan ramalan telah mereka lontarkan sebagai mengesahkan kebimbangan ini. Salah satu daripadanya ialah kuasa politik yang beralih dari Barat ke Timur.

Sejarah bergerak dan dunia akan berubah lagi. Kekuasaan sesebuah tamadun silih berganti di antara Barat dan Timur. Setelah beberapa abad dunia dikuasai oleh Sepanyol, Perancis, Britain dan kini Amerika Syarikat. Kegagahan Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal dunia memberikan mereka kekuatan untuk menakluk Afghanistan dan Iraq serta menyusun gerakan bagi mempastikan mereka menguasai iklim politik dunia.

Artikel ini membuat analisis apa yang akan berlaku dengan Amerika Syarikat sekarang dan siapa pula yang akan menggantikannya.

Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan tiga keadaan yang memaksa ekonominya berada dalam keadaan genting. Pertama ialah bergantung kepada modal luar untuk menampung perbelanjaan perkhidmatan awam dan swasta. Amat sukar bagi sesebuah bangsa yang terlalu bergantung kepada modal luar bagi menggerakkan ekonomi bagi jangka masa yang panjang. Kedua ialah bergantung kepada sumber manusia yang diimport dari luar untuk mmenuhi sektor pekerjaan utama khususnya teknologi maklumat. Pada masa yang sama bilangan rakyat yang sanggup menyertai pasukan tentera sukarela turut menurun kesan daripada peperangan di Afghanistan dan Iraq. Ketiga ialah kesan daripada defisit ini akan membantutkan projek pembangunan dalam jangka masa panjang.

Kerajaan Amerika Syarikat sendiri terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk mempertahankan kehadiran mereka di Timur Tengah dan Asia Tengah.

Masyarakat Eropah semakin tua. Walaupun Kesatuan Eropah dilihat membesarkan keahlian mereka kepada negara-negara Eropah Timur, sejarah berulangkali memberi pengajaran bahawa komuniti yang besar tidak dapat memberi kuasa politik yang dominan kerana tidak berkualiti. Dengan kadar kelahiran yang semakin rendah dan jangka hayat yang panjang, masyarakat Eropah akan menyaksikan majoriti rakyatnya berumur 40 tahun ke atas dalam tempoh tidak sampai 50 tahun.

Pada tahun 2050, satu daripada tiga orang rakyat Itali, Sepanyol atau Greek akan berusia lebih 65 tahun. Keadaan ini akan memaksa negara-negara Eropah mengubah dasar imigrasi mereka dan memberi ruang kepada penduduk dunia ketiga khususnya negara-negara Arab, India, China, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia untuk berhijrah ke sana. Negara-negara Afrika turut mengeksport rakyat mereka dan akan mewujudkan beberapa puak yang dikenali sebagai Eurabia dan Africabia.

Keadaan seterusnya ialah masyarakat Eropah dan Amerika Syarikat akan hidup dalam dunia pelbagai budaya yang lebih kompleks daripada Malaysia.

Kemajuan ekonomi China tidak akan selamanya kerana akan berlaku krisis ekonomi. Walaupun China membuka pasarannya kepada sistem kapitalis tetapi cengkaman monopoli oleh sistem komunis masih lagi berpengaruh. Agak sukar bagi perniagaan untuk berkembang dalam ekonomi yang dimonopoli oleh kerajaan. Kedudukan China dalam indeks persepsi rasuah bagi 2006, 2005 dan 2004 juga tidak menentu. Bagi 2006, kedudukannya ialah 70, bagi 2005 ialah 78 dan bagi tahun 2004 pula pada kedudukan 71. Naik turun ini menggambarkan rasuah masih lagi menjadi ancaman dan mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi lebih baik.

Dasar pintu terbuka yang dipraktikkan China masih tidak menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan walaupun syarikat Eropah dan Amerika Syarikat berlumba-lumba membuat pelaburan.

Kemunculan masyarakat Islam di Eropah dan Amerika Utara yang bertambah sekali ganda berbanding masyarakat setempat akan mengubah polarisasi dan struktur semasa. Dilaporkan seramai 20,000 rakyat Amerika Syarikat yang memilih agama Islam setiap tahun. Kehadiran masjid dan kedai makanan halal tidak dapat disekat lagi kerana dasar memenuhi hak asasi manusia yang diamalkan. Walaupun terdapat usaha untuk menghalang kemunculan masyarakat Islam bagi mengamalkan ajaran mereka seperti di Britain dan Perancis, usaha ini sama seperti membuat empangan untuk menghalang pengaliran air kerana tuntutan ke atas amalan agama dilihat lebih tinggi. Justeru usaha mempastikan amalan agama ini diterima oleh negara-negara Eropah tidak akan berakhir setakat ini sahaja.

Empayar yang semakin lemah, kemunculan agama Islam dan anarki menjadikan dunia semakin berkrisis. Satu pihak ingin mempertahankan kuasa politik dunia manakala satu lagi akan cuba mengasak dan meluaskan pengaruhnya.

Dalam masa 20 tahun, globalisasi telah berjaya meningkatkan taraf hidup kebanyakan negara kecuali negara yang terlibat dengan peperangan dan ditadbir oleh pemerintah kuku besi. Amerika Syarikat akan terus bermimpi dengan peristiwa kedua 11 September manakala Eropah akan menyaksikan kuasa politik akan ditembusi oleh pergerakan Islam satu per satu.

Kesimpulannya, abad ke-21 sekarang akan menyaksikan kuasa utama dunia, Amerika Syarikat semakin lemah dan dominasi China semakin membesar.

Wednesday, November 22, 2006

Penagih dadah perlukan sokongan keluarga

Penagihan dadah dikaitkan dengan sebahagian besar kes jenayah sama ada kecil ataupun besar. Daripada kes mencuri kasut di masjid, lumba haram hinggalah memeras ugut dan membunuh ibu bapa sendiri.

Dari tahun 1998 hingga 2002, sebanyak 235,495 kes dilaporkan termasuk penagih baru dan berulang. Sehingga 2003 sahaja, bilangannya telah bercambah kepada 250,000 kes. Daripada jumlah ini, 6.7 peratus adalah remaja berusia di bawah 19 tahun, 42.21 peratus melibatkan penagih yang berumur 20 hingga 29 tahun, 32.76 peratus berusia 30 hingga 39 tahun dan 18.4 peratus melebihi umur 40 tahun.

Keseluruhannya 81.67 peratus penagih dadah merupakan remaja dan belia. Majoritinya adalah lelaki.

Dadah merupakan musuh utama negara. Kerajaan Malaysia pernah melancarkan perang terhadap kegiatan dadah ini dan mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar yang didapati bersalah. Hukuman ini dianggap sebagai antara yang paling tegas di dunia tetapi pertambahan kes penagihan berulang dan baru masih menunjukkan peningkatan. Sehingga tahun 2004, terdapat 255,725 penagih dadah di seluruh negara. Dianggarkan pada tahun 2015 nanti, jumlah penagih dijangka meningkat kepada 443,000 (NST, 23 Oktober 2004).

Kedudukan Malaysia yang hampir dengan segitiga emas pengedaran dadah di Indochina, menjadikan usaha pembasmian dadah lebih sukar. Namun begitu, usaha kerajaan yang tidak pernah berputus asa memberi pemulihan, pencegahan dan pengawalan ke atas penagih, pengedar dan pensubahat sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu kerajaan melalui pelbagai program yang dirancang.

Penagih dadah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Daripada penganggur hinggalah artis dan kakitangan kerajaan. Banyak sebab yang menjadikan mereka terjebak ke kancah penagihan dan pengaruh yang kuat ialah rakan sebaya.

Pengaruh kawan dilihat menjadi faktor penarik seseorang terpengaruh dengan penagihan dadah. Berjinak-jinak dengan rokok, ingin merasai nikmat “stim” dan mencari kepuasan adalah antara ruang-ruang yang menjurus kepada penagihan dadah yang juga dikira sebagai kes baru. Bagi kes berulang, tidak ada daya tahan yang kuat, menyendiri dan kerap menerima tohmahan menjadikan mereka kembali menagih.

Penagih remaja, Izham (bukan nama sebenar) merupakan pelajar tahun dua institusi pengajian tinggi swasta. Beliau ditangkap kerana kesalahan menghisap ganja. Semasa pemeriksaan dijalankan, air kencingnya dikesan ada unsur-unsur ganja berkenaan. Motif pengambilan ganja ini adalah kerana beliau ingin mencapai tahap “stim” ketika bermain gitar.

Seorang penagih tegar, Ilyas (bukan nama sebenar) menceritakan bahawa beliau telah menagih selama 30 tahun. Telah beberapa kali ditahan dan pusat serenti menjadi rumah kedua baginya. Tohmahan masyarakat dan kurang daya tahan menjadikan dirinya kembali menagih kerana tidak ada tempat untuk mengadu dan tidak sanggup menerima cercaan dan cacian daripada keluarga dan masyarakat setempat.

Seorang lagi, Mohd Sayuti (bukan nama sebenar) memberitahu ketika di kampung kelahirannya, beliau bukannya menjadi ”orang” kerana setiap masa akan berkumpul di ”pot” yang menjadi tempat pertemuan penagih sama ada menghisap ganja, menghidu gam atau minum air daun ketum. Kalau tidak ada wang untuk membeli dadah, dia akan mencuri apa sahaja bagi mendapatkan belanja membeli dadah.

Pertemuan dengan beberapa orang penagih dadah baru-baru ini mendedahkan betapa peranan keluarga amat penting bagi membantu memulihkan penagih ini kembali ke pangkuan masyarakat. Sokongan yang dimaksudkan bukannya belaian fizikal sahaja tetapi lebih kepada sokongan dan belaian emosi, kasih sayang dan pemedulian semua ahli keluarga.

Kadangkala bekas penagih yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga hilang semangat dan keyakinan diri kerana dipandang hina dan diperlekehkan. Di mana mereka hendak berkongsi kasih sayang yang ada jika kesedaran ahli keluarga amat rendah tentang betapa bermaknanya sokongan keluarga ini?

Keluarga juga berperanan menyediakan sokongan untuk memenuhi keperluan asas bekas penagih yang tidak mempunyai apa-apa lagi di dalam hidup mereka. Yang ada cuma diri sendiri, sehelai sepinggang kerana kemaruk dengan dadah. Justeru, keluarga perlulah melihat pengorbanan asas ini sebagai langkah penting memulihkan keyakinan diri bekas penagih supaya proses penyerapan kembali akan lebih bermakna.

Biasanya para pengedar akan mencari bekas-bekas penagih yang berazam untuk pulih. Mereka sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk menarik bekas penagih kembali menagih dan membuat keuntungan dalam penjualan dan pengedaran dadah. Tanpa kesedaran yang betul-betul bermakna, bekas penagih akan terus terjebak biar pun banyak wang yang telah dibelanjakan untuk membantu penagihan ini.

Kisah seorang penagih yang telah insaf mungkin boleh menjadi iktibar kepada kita betapa penagihan dadah ini boleh diatasi. Mohd Zulyiadi (bukan nama sebenar) merupakan penagih muda yang menjalankan dua kerja, penagih dan pengedar. Sejak awal pembabitannya, barang kemas dan wang ringgit dalam rumah selalu dicuri. Bagi menampung gian terhadap dadah, beliau memberanikan diri untuk menjadi pengedar dadah kecil-kecilan kepada penagih sehinggalah pada suatu hari, dia menghulurkan bungkusan kecil paket dadah kepada adik perempuannya sendiri. Ketika itulah, mencurah-curah datang keinsafan dalam dirinya untuk membuat perubahan.

Zulyiadi menangis terisak-isak mengenangkan nasib diri dan adik perempuannya yang baru sahaja diedarkannya dadah. Bermula dari situlah, beliau mula melawan ketagihan dadah. Dengan kamahuan dirinya dan sokongan keluarga, akhirnya beliau telah pulih dan kembali berkongsi dengan masyarakat untuk bersama-sama membantu bekas penagih yang secara sukarela mahu kembali ke pangkal jalan.

Jika ditanya kepada bekas penagih, apakah mereka mahu berubah? Hampir semuanya akan berkata ya kerana itulah hasrat sebenar mereka. Jika ditanya lagi bagaimana mereka mahu berubah? Pasti mereka akan katakan keluarga sebagai pendokong kepada perubahan hidup.

Jika demikian, kerajaan wajar melihat program kemahiran dan latihan kepada keluarga sebagai kelompok sokongan. Masyarakat mungkin tidak begitu peduli dengan apa yang berlaku tetapi peranan keluarga yang mengambil berat wajar disokong dan diberi pendedahan yang sewajarnya. Walaupun penagih sukar untuk berubah, sekurang-kurangnya ahli keluarga yang sedar dapat membantu mengawal dan memberi simpati kepada penagih untuk keluar daripada keadaan ini.

Peranan Agensi Antidadah Kebangsaan, Pemadam, Pengasih dan Pendamai serta pertubuhan bukan kerajaan adalah pelengkap kepada program pembasmian dadah ini. Pembinaan keluarga yang bermula dari peringkat awal hendaklah diberi pendedahan yang seluas-luasnya supaya tidak ada ahli masyarakat kita yang siang dan malamnya menangis mengenangkan betapa durjana dan dahsyatnya kesan dadah terhadap kehidupan mereka.

Friday, November 17, 2006

Membentuk kemahiran membaca kanak-kanak

Kata orang bijak pandai, “Kunci untuk mendapatkan pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan.” Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.

Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.

Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi.

Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan “mama” dan “papa”. Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.

Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

--Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.

--Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.

--Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, “Ni apa?” atau “Apa tu?”. Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.

Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.

Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak

Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :

--Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.

--Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.

--Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.

--Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.

--Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.

--Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.

--Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.

--Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.

Kesan tidak tahu membaca

Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.

Pengaruhi minat belajar

Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Tidak mahu belajar

Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar. Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.

Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk

Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.

Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba

Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang. Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun

--mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
--belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.
--kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.
--rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.
--kosa kata berkembang sehingga 270.

2 ½ hingga 4 ½ tahun

--peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
--terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.
--perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.
--kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.
--pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.
--mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.

4 ½ hingga 7 tahun

--perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
--kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.
--corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.
--mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.

Walau bagaimanapun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.

Keperluan membaca untuk kanak-kanak

Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik. Keupayaan mereka untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan.

Mengapa kemahiran membaca penting?

Keupayaan membaca menjadikan diri kanak-kanak lebih yakin, aktif dan bertenaga. Kemahiran membaca peringkat awal ini berkait dengan tiga agenda kehidupan manusia sepanjang masa.

1. Iktibar wahyu pertama

Wahyu Allah swt yang diturunkan kepada Rasulullah saw adalah perintah membaca. Dengan perantaraan membaca dan tulisan, Allah swt mengajar banyak pengetahuan kepada manusia. Jika perkara membaca ini telah dikuasai oleh kanak-kanak sejak usia tiga tahun, maka lebih banyaklah pengetahuan yang diperolehi. Firman Allah swt dalam surah Al Alaq ayat 3 hingga 5 yang bermaksud;

Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan pada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Daripada perspektif Islam, mengajar kanak-kanak adalah satu tugas yang murni, amat penting dan diberi keutamaan. Contoh yang amat jelas kepada kita ialah peristiwa selepas peperangan Badar iaitu Rasulullah saw telah membuat keputusan mengenai tawanan perang seramai 70 orang. Mereka diberi dua pilihan iaitu bagi tawanan yang punya banyak harta, dia boleh menebus diri dengan wang, manakala bagi yang miskin tetapi pandai membaca, dia dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga pandai.

2. Merangsang perkembangan otak

Selepas bayi dilahirkan, biasanya ibu bapa dan keluarga sangat sibuk menyediakan keperluan fizikal seperti lampin, tempat tidur, pakaian dan keperluan-keperluan fizikal yang lain. Tetapi jarang sekali orang yang menyediakan keperluan untuk otak bayi yang sedang membangun pesat. Ketika lahir bayi biasanya mempunyai 1,000,000,000,000 (1 trilion) hingga 1,200,000,000,000 (1.2 trilion) sel otak. Dalam masa setahun, saiz otak menjadi tiga kali ganda.

Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun. Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan kadar kepesatan otak membangun dan berkembang ialah semasa berumur 0 hingga 3 tahun. Jika rangsangan dan kemahiran membaca diberikan pada masa ini, ia akan memberi kesan yang paling optimum untuk menaikkan taraf kecerdikannya.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling cepat mempelajari bahasa. Keupayaan mereka menambah perbendaharaan kata semakin bertambah setiap hari kerana mereka sentiasa bertanya dan ingin belajar. Apabila mencapai umur 5 tahun, dianggarkan 10,000 perbendaharaan kata telah terbentuk dalam diri mereka.

Kecerdikan kanak-kanak mempelajari bahasa boleh diperhati daripada keupayaan memilih perkataan tertentu dan menyusunnya menjadi struktur ayat yang difahami. Kanak-kanak boleh diajak bercakap dan membaca dengan betul sebelum berumur 5 tahun. Oleh yang demikian, kemahiran membaca pada peringkat awal dapat mempercepatkan proses penguasaan sesuatu bahasa di kalangan kanak-kanak.

3. Persediaan awal ke sekolah

Pada hari ini, hampir sebahagian besar kanak-kanak didedahkan kepada kemahiran membaca ketika memasuki Darjah Satu. Namun begitu, ramai juga yang gagal membaca walaupun telah belajar tiga atau empat tahun di sekolah. Bagi ibu bapa yang mengambil berat tentang kemahiran membaca terhadap anak-anak akan mendapati jauh lebih mudah mengajar anak-anak di peringkat umur tiga tahun berbanding enam tahun kerana kemampuan mengingat dan menyerap maklumat sangat kuat dan pantas.

Kanak-kanak belajar membaca awal biasanya lebih terkehadapan, lebih maju dan boleh bersaing dengan rakan-rakan apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Apabila diuji dengan peperiksaan, tentulah mereka lebih cepat dan tangkas memberi jawapan.

Faedah membaca kepada kanak-kanak

Manfaat membaca terlalu besar apatah lagi kanak-kanak. Membaca awal bererti terkehadapan. Terdapat empat faedah utama yang akan memberi kelebihan kepada mereka iaitu :

1. Proses pembelajaran menjadi lebih lancar dan mudah

Kanak-kanak yang dapat membaca tentulah akan lebih mudah diberi rangsangan dan dorongan untuk belajar. Kenikmatan membaca di kalangan kanak-kanak memang berbeza daripada orang dewasa kerana semangat ingin tahu mereka sangat tinggi. Dengan membaca, mereka dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman.

Apa sahaja perkataan yang dilihat akan ditanya dan jika tidak faham, ditanya lagi sehingga mereka berpuas hati. Melalui budaya bertanya inilah akan membentuk budaya ingin tahu. Cuba kita bayangkan, sekiranya 100,000 orang kanak-kanak memasuki alam persekolahan telah dapat membaca dengan lancar dan berkesan, negara akan melahirkan satu generasi pelajar yang celik huruf, pintar dan bijaksana mencari ilmu dalam tempoh 20 tahun sahaja.

2. Seronok untuk ke sekolah

Melalui pembacaan, kanak-kanak dapat menguasai sejuta perkataan. Begitulah kesan kemahiran membaca ke atas kanak-kanak. Sistem pendidikan di sekolah yang menitikberatkan aspek membaca adalah satu saham yang amat besar terhadap kanak-kanak yang tahu membaca.

Apabila sudah tahu teknik membaca, mengenal huruf, memahami perkataan dan minat membaca, mereka akan terus membaca di mana-mana sahaja dan bertambah-tambah minat untuk belajar perkara-perkara yang baru di sekolah.

3. Rangsang minat membaca

Membaca adalah jambatan ilmu. Dengan ilmu manusia dipandang mulia sama ada di dunia ataupun akhirat. Minat membaca pada kanak-kanak boleh dirangsang dan dibentuk ketika mereka berumur 18 bulan lagi. Dengan menghadiahkan buku ketika anak-anak mendapat kejayaan dalam pelajaran adalah satu dorongan yang amat bermakna untuk menambah minat membaca mereka.

4. Mempercepatkan proses kematangan

Kemahiran dan keupayaan membaca bukan sekadar membantu anak-anak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tetapi membantu meningkatkan proses perkembangan mental, psikologikal dan sosial yang lebih baik.

Keempat-empat faedah ini boleh dikembangkan lagi supaya ibu bapa dapat memaksimumkan potensi perkembangan mental dan fizikal anak-anak khususnya anak perempuan.

Pada era teknologi maklumat sekarang, pencerapan ilmu paling banyak diperolehi melalui pembacaan dan pemerhatian. Faedah membaca akan nampak nyata pada orang yang mengamalkan ilmu atau idea yang diperolehi daripada proses membaca. Bagi kanak-kanak, membaca membuatkan mereka mempelajari sesuatu yang baru dan menambah tahap kecerdikan untuk bertanya, mengambil tahu dan melaksanakan apa yang mereka tahu. Sebab itulah kita lihat kanak-kanak yang bijak, keupayaan sosialnya lebih baik kerana proses membaca dapat membentuk pemikiran mereka untuk berfikir dan membuat keputusan yang bersesuaian dengan tahap usia masing-masing.

Pendidikan adalah survival bagi masa hadapan seorang kanak-kanak. Mereka harus dibekalkan dengan segala persediaan awal yang dapat mempastikan survival mereka dalam persekitaran masyarakat yang bersaing. Salah satu survival kanak-kanak ialah kemahiran membaca supaya dapat bersaing dan bergerak ke hadapan menghadapi cabaran.

Tuesday, November 14, 2006

Prestasi Malaysia bagi Indeks Rasuah 2006

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menunjukkan kedudukan Malaysia yang semakin merosot ke tangga 44 berbanding 39 tahun lalu. Kedudukan negara dari tahun 1998 hingga 2006 ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah.


Jadual 1 : Kedudukan Malaysia dari 1998-2006 dalam CPI

(Sila hubungi editor)


TI adalah sebuah agensi yang menjalankan kajian mengenai persepsi rasuah di negara-negara terpilih dan pada 2006, sebanyak 163 buah negara telah dikaji. Indeks ini meletakkan kedudukan negara dari segi tahap di mana rasuah dianggap wujud di kalangan pegawai kerajaan dan ahli politik.

CPI 2006 memberikan mata tertentu kepada negara yang terlibat berdasarkan skala dari 0 hingga 10 yang mana 10 menggambarkan tahap rendah persepsi rasuah.



Jadual 2 : CPI 2006 bagi sepuluh negara teratas
(Sila hubungi editor)


Negara-negara Scandinavia masih lagi mendominasi carta CPI 2006 sebagai antara rantau yang tegas terhadap rasuah. Manakala negara-negara Islam masih lagi mengungguli sepuluh tangga terbawah.


Jadual 3 : CPI 2006 bagi sepuluh negara teratas

(Sila hubungi editor)


Presiden Malaysian Society for Transparency and Integrity (TI Malaysia), Tan Sri Ramon V.Navaratnam yang mengulas kedudukan Malaysia ini menjelaskan empat asas kenapa keadaan ini berlaku.

Pertama, kelembapan pelaksanaan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Kedua, jarak masa antara penggubalan dasar baru dan pelaksanaan sebenar dasar berkenaan.

Ketiga, komitmen dan kekaburan dalam proses kelulusan dan pelesenan oleh pihak berkuasa tempatan dan berkanun.

Keempat, budaya ”senyap” iaitu pihak yang menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara dan melaporkan kes berkenaan.

Di antara institusi yang telah ditubuhkan ialah Institut Integriti Malaysia (IIM) hasil daripada resolusi Pelan Integriti Nasional (PIN). IIM terus diperkasakan dengan penubuhan di peringkat negeri yang diberi nama Institut Integriti Negeri (IIN). Penubuhan ini dijangka akan memantapkan nilai dan budaya kerja yang lebih baik khususnya di sektor kerajaan. Idea PIN sangat menarik kerana menunjukkan iltizam kerajaan untuk memantapkan sistem penyampaian dan memperkemaskan jentera pentadbiran negara. Malangnya pelaksanaan idea ini tidak memperlihatkan kesungguhan.

TI mengambil kira lima perkara asas untuk menentukan indeks berkenaan iaitu rasuah dalam politik, kontrak umum, sektor swasta, konvension anti rasuah antarabangsa serta kemiskinan dan pembangunan.

Kriteria di sini memberi panduan kepada kita bahawa rasuah dalam politik diberi keutamaan kerana ia berkait dengan sistem pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara. Politik di Malaysia juga berkait dengan kedudukan prestasi negara dalam CPI 2006. Jadi, bagaimanakah tahap rasuah politik di negara ini?

Peranan agensi penguatkuasa seperti Biro Pencegah Rasuah (BPR) dilihat masih terkongkong walaupun terdapat penambahan dalam pendakwaan kes. Namun begitu, usaha-usaha yang lebih gigih wajar digerakkan supaya masyarakat luar khususnya ahli perniagaan melihat Malaysia adalah sebuah negara yang bebas daripada rasuah.

Empat perkara pertama memerlukan kesungguhan komitmen daripada kerajaan yang memerintah. Tanpa cita-cita dan tindakan, diyakini kedudukan Malaysia dijangka akan turun lagi pada masa yang akan datang.

Faktor kelima memang diketahui sedang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh kerajaan dengan menetapkan insiden kemiskinan berada pada paras 2.8 peratus pada tahun 2010.

Barangkali kerajaan Malaysia harus belajar dari Singapura bagaimana mereka begitu berjaya memerangi rasuah di semua peringkat pentadbiran. Malangnya mereka ini bukannya sebuah negara yang mementingkan agama berbanding Malaysia. Kenyataan TI mengenai kajian persepsi rasuah adalah tepat iaitu rasuah tidak ada kaitan dengan agama sesebuah negara.


Jadual 4 : Perbandingan CPI Malaysia dan Singapura

(Sila hubungi editor)


Di kalangan negara-negara Asean, terdapat perubahan yang ketara seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 5. Perubahan yang dikira memberangsangkan ialah kedudukan Indonesia yang semakin baik dan diharap usaha-usaha memerangi rasuah di negara itu akan menunjukkan kejayaan.


Jadual 5 : Perbandingan CPI Negara-negara ASEAN
(Sila hubungi editor)



Usaha kerajaan Malaysia untuk mengurangkan indeks persepsi rasuah sangat perlahan dan mengecewakan seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Ramon. Gambaran perlahan ini bukan sahaja di sektor kerajaan malah yang lebih penting ialah usaha pembasmian rasuah dalam politik dan sektor swasta yang melibatkan pemberian kontrak. Kita berbangga kerana negara kecil dan maju seperti New Zealand dan Singapura mampu mengatasi rasuah di negara mereka, Malaysia sebagai sebuah negara Islam wajar melihat dan menilai kembali usaha-usaha yang sedang dilaksanakan kerana laungan ”Negara Islam” tidak boleh dikaitkan dengan berleluasanya amalan rasuah dalam masyarakat.




Maklumat lanjut : www.transparency.org

Sunday, November 12, 2006

Dasar Sosial Negara

Dasar Sosial Negara (DSN) adalah dasar yang pragmatik ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang sejahtera. DSN sebagai teras dalam pembangunan modal insan harus diletakkan ruang dan diberi peluang yang seluas-luasnya bagi melahirkan masyarakat yang seimbang dari semua segi sama ada ekonomi, pembangunan fizikal, kerohanian dan kemajuan ilmu pengetahuan.

Peranan melaksanakan DSN ini harus sewajarnya didokong oleh setiap agensi kerajaan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai peneraju utama. Bahagian PINTAS di kementerian ini yang dulunya menjadi penggerak terhadap pelaksanaan DSN di peringkat awal telah dimantapkan dengan perubahan kepada Bahagian Pelaksanaan Dasar Sosial . Masih banyak perkara yang boleh dilakukan oleh Bahagian ini untuk membentuk kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat. Mereka wajar melihat kejayaan DSN selepas tiga tahun dilaksanakan agar selari dengan sembilan cabaran Wawasan 2020. Bahagian Pelaksanaan Dasar Sosial, KPWKM perlu turun padang dan melihat sendiri pencapaian setakat ini supaya langkah-langkah pengukuhan dapat dilaksanakan apatah lagi generasi yang akan mengecapi nikmat Wawasan 2020 sedang berada di peringkat keremajaan yang kritikal.

Meletakkan elemen ekonomi dan sosial sebagai pemacu kejayaan dalam pembangunan negara di samping nilai-nilai murni boleh dijadikan teras cabaran kepada bahagian ini untuk merealisasikan keupayaan Dasar Sosial Negara.

Kita ingin sekali melihat program-program yang tersusun merangkumi jangka masa pendek, sederhana dan panjang dirangka dan disusun sehingga berjaya, tidak sekadar program tergesa-gesa. Melalui pemantapan program inilah akan tercetusnya keprihatinan masyarakat terhadap kewujudan dan kepentingan Dasar Sosial Negara.

Singapura : Negara yang akan hilang

Pembatalan “Jambatan Indah” di antara Malaysia dan Singapura merupakan satu keputusan yang sangat sukar. Memandangkan kedua-dua pihak telah lama berunding, hasil akhir ini turut memberi kesan terhadap proses kepimpinan, kaedah membuat keputusan dan cara berfikir barisan pemimpin yang dipilih oleh rakyat masing-masing. Keupayaan membuat keputusan yang tepat sangat penting terutama yang berkaitan dengan hala tuju dan kecemerlangan bangsa dan negara pada masa depan.

Mengimbau kembali sejarah ketamadunan Asia Tenggara kurun-kurun yang lalu, satu demi satu kerajaan tersebut hilang, selari dengan peredaran masa. Sempadan kerajaan-kerajaan tersebut turut hilang dan berubah sama sekali. Kerajaan Srivijaya, Majapahit, Funan, Champa dan Perlak telah menjadi bahan sejarah dan tidak akan muncul lagi. Pahlawan-pahlawan terbilang seperti Pateh Gajah Mada, Raja Sailendera dan Sang Nila Utama pergi meninggalkan nama dan warisan yang melambangkan maruah tamadun masing-masing.

Begitulan silih berganti kerajaan awal dahulu yang timbul tenggelam bersama peredaran masa. Bagi membincangkan kewujudan kerajaan-kerajaan berkenaan, berikut dimuatkan kerajaan Angkor, Funan, Kedah Tua, Srivijaya, Majapahit dan Melaka.

Funan

Funan adalah sebuah kerajaan Hindu purba pertama di Asia Tenggara yang muncul pada abad pertama masihi. Funan bererti gunung dan merupakan kerajaan Kemboja silam. Negara Funan diasaskan oleh Brahimin India bernama Kaundinya yang mendapat arahan dalam mimpi untuk mengambil mangkuk ajaib dari kuil dan mengalahkan Soma, ratu Khmer. Soma adalah anak Raja Nagas yang kemudiannya berkahwin dengan Kaundinya dan keturunan mereka menjadi dinasti raja Funan.

Terletak di sekitar delta Mekong kerana sungai memainkan peranan ke arah menjadikan Funan sebagai sebuah kerajaan perdagangan yang kuat di samping tanah pertanian yang subur.

Kerajaan Funan mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Fan Shih-Man pada awal abad ketiga masihi iaitu menganjur ke selatan hingga utara Semenanjung Tanah Melayu dan ke barat sehingga ke Burma (Mynmar). Funan menubuhkan sistem perdagangan dan memonopoli perniagaan yang kukuh dan mencorakkan empayar di kawasan ini. Fan Shih-Man memperbesarkan angkatan laut dan birokrasi Funanisme, membentuk separuh feudal yang mengekalkan adat dan pengenalan tempatan terutamanya yang terletak di sempadan empayar.

Kerajaan Funan dikatakan kuat dipengaruhi oleh kebudayaan India dan agama Hindu. Menggunakan rakyat untuk menjadi pemerintah, bahasa sanskrit sebagai bahasa istana dan menyokong kuat amalan agama Hindu. Selepas abad kelima, Funan menjadi penyokong kuat doktrin Buddha dan menjalinkan hubungan yang erat dengan maharaja China. Kerajaan ini mempunyai himpunan buku dan arkib yang meluas di seluruh negara yang menunjukkan peratusan mereka yang terpelajar sangat tinggi pada masa itu.

Pada tahun 357 masihi, Funan telah menjadi jajahan China dan kekal seperti itu sehingga perpecahan besar pada abad keenam.

Kedah Tua

Kerajaan Kedah Tua diasaskan pada kurun kelima masihi. Kerajaan ini juga merupakan salah satu kerajaan awal yang terkenal dan terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Juga dikenali sebagai Kataha dan Cheh-Cha.

Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan utama tetapi kemudian berpindah ke Lembah Bujang. Kedah Tua dipengaruhi oleh agama Buddha seterusnya Hindu dan pengaruh kedua-dua agama ini boleh dilihat melalui peninggalan candi yang terletak di Lembah Bujang.

Gunung Jerai telah menjadi petunjuk kepada pedagang luar untuk singgah di pelabuhan Lembah Bujang atau Sungai Mas. Pelabuhan Kedah Tua menjadi tempat pertukaran barang, tempat persinggahan dan tempat membaiki kapal pelayar dan pedagang dari Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Timur. Ia juga turut menjadi pusat perdagangan pelbagai hasil tempatan yang dikumpul oleh penduduk tempatan seperti bijih timah, emas, beras, lada hitam, gading, damar, rotan dan tanduk. Tanah pamah yang luas menjadikan Kedah Tua sebuah pusat pertanian yang terkenal dan sehingga sekarang dikenali sebagai “Jelapang Padi”.

Pemimpin terkenal kerajaan ini ialah Sultan Mutawakkil (847-861 masihi) yang dibuktikan menerusi penemuan wang perak dan manik yang dibawa dari India dan barangan kaca dari Timur Tengah.

Angkor

Kerajaan Angkor diasaskan pada abad ketujuh masihi. Kerajaan ini menerima pengaruh Hindu-Buddha dan peninggalan yang sangat bernilai adalah Angkor Wat yang tersergam besar hingga sekarang. Raja Angkor dianggap sebagai dewaraja yang mempunyai kuasa yang mutlak. Angkor yang dipimpin oleh Suryavarman II telah mencapai puncak kegemilangan. Kegiatan utama kerajaan ini adalah pertanian yang terletak di Tasik Tonle Sap. Pusat pentadbiran kerajaan Angkor ialah di hilir Mekong.

Srivijaya

Kerajaan Srivijaya terletak di daerah yang kini dikenali sebagai Palembang di Sumatera. Mempunyai sebuah kerajaan yang sangat luas merangkumi Indonesia, Semenanjung Malaysia dan Filipina. Agama dan budaya India sangat mempengaruhi kehidupan rakyat Srivijaya seterusnya agama Buddha sehinggalah ke abad lima masihi, Srivijaya merupakan pusat terpenting penyebaran agama Buddha. Kekuatan dan kepintaran raja-raja Srivijaya membolehkan mereka menguasai kepulauan Melayu menerusi perdagangan dan penaklukan dari kurun ketujuh dan kesembilan.

Ketika inilah penyebaran kebudayaan Melayu sangat hebat dan rancak sehinggalah meliputi ke seluruh Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan Barat Borneo.

Kekuasaan Srivijaya telah merosot pada kurun kesebelas dan mula ditakluki oleh kerajaan Singhasari dan seterusnya silih berganti hinggalah yang terakhir oleh kerajaan Majapahit. Pada tahun 1414, putera terakhir Srivijaya iaitu Parameswara telah memeluk agama Islam dan berhijrah ke Tanah Melayu serta mengasaskan Kesultanan Melaka.

Majapahit

Empayar Majapahit yang terletak di timur Jawa dan menguasai sebahagian besar Tanah Melayu, Borneo, Sumatera dan Bali dari tahun 1293 hingga tahun 1500. Pemerintah terhebatnya ialah Hayam Wuruk (1350-1389) menandakan kemuncak Empayar Majapahit.

Majapahit merupakan kerajaan Hindu terakhir di Kepulauan Melayu. Bagi menggantikan Srivijaya.

Pengasas Majapahit adalah Kertarajasa, menantu raja kerajaan Singhasari yang juga terletak di Jawa. Selepas Singhasari berjaya menakluk keseluruhan Pulau Jawa daripada kekuasaan Srivijaya pada tahun 1290, Singhasari menjadi tumpuan Kublai Khan iaitu pemerintah Mongol di China. Kublai Khan menghantar utusan ke Singhasari menuntut supaya kerajaan Singhasari menghantar ufti kepadanya. Kartanagara, raja Singhasari enggan membayar ufti kepada pihak Mongol. Sebagai balasannya, tentera Mongol dihantar untuk menghapuskan kerajaan Singhasari.

Pada masa itu satu pemberontakan telah berjaya membunuh Kartanagara. Pengasas Majapahit iaitu Kertarajasa telah bersekutu dengan pihak Mongol menentang pemberontak. Sebaik sahaja Singhasari tumpas, beliau membelot dan memaksa tentera Mongol berundur dalam kekeliruan.

Gajah Mada seorang bendahara yang berkuasa dari tahun 1331 hingga tahun 1364, mengembangkan empayar Majapahit ke pulau-pulau sekeliling Majapahit. Selepas kematian Gajah Mada, angkatan laut Majapahit berjaya menawan Palembang menyebabkan berakhirnya kerajaan Srivijaya.


Walaupun raja-raja Majapahit meluaskan pemerintahannya ke kepulauan yang dekat dengannya, objektif utama mereka berbuat demikian adalah untuk menguasai perdagangan di Kepulauan Melayu. Pada masa itu pedagang-pedagang serta pendakawah-pendakwah Islam mula berdagang di situ.

Kekuasaan Majapahit mula merosot selepas perebutan kuasa berlaku. Majapahit menyedari bahawa kekuasaan Kesultanan Melaka sukar dibendung di Selat Melaka. Empayar Majapahit tumbang dalam tempoh masa di antara tahun 1478 hingga 1520. Tidak lama kemudian secara beransur-ansur pulau Jawa menjadi milik kerajaan-kerajaan Islam.

Melaka

Kesultanan Melaka (1402-1511 masihi) adalah sebuah kesultanan yang ditegakkan oleh Parameswara yang melarikan diri daripada perebutan Palembang oleh Majapahit. Pada 1402, dia telah mendirikan ibu kota Melaka di Selat Melaka. Diangkat menjadi Sultan Melaka setelah memeluk Islam dan berusaha mengembangkan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan terunggul di Asia Tenggara pada abad ke-15 dan ke-16.

Kegemilangan Melaka disebabkan beberapa faktor seperti hubungan diplomatik yang erat dengan China yang membantu mengembangkan pelabuhan Melaka dengan selamat selain daripada kepintaran dan kebijaksanaan pentadbir Melaka seperti Tun Perak yang telah memberikan kelebihan dan keistimewaan kepada pembangunan Melaka. Di samping itu keghairahan masyarakat Islam melaksanakan cara hidup Islam termasuk undang-undang syariah telah membawa rahmat kepada umat Melaka yang bersungguh-sungguh menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan Islam terunggul di Asia Tenggara. Kejayaan Melaka ini telah dicemburui oleh kuasa-kuasa Barat dan akhirnya Melaka kalah kepada Portugis pada tahun 1511.
Dalam sejarah perkembangan tamadun dunia, kepemimpinan telah dibincangkan secara ekslusif kira-kira 2500 tahun yang silam. Plato dalam bukunya The Republic menyatakan secara terus-terang bahawa pemimpin hendaklah dari kalangan orang-orang yang bijak kerana mereka telah dilatih dan diberi pendedahan yang sempurna untuk menjadi pemimpin. Rakyat umum tidak perlu menjadi pemain penting dalam proses kepemimpinan kerana mereka kurang bijak dan tidak banyak pengetahuan yang boleh dikembangkan untuk menjayakan kepemimpinan.

Kung Fu Tze adalah pengkritik utama bagi negara China dalam soal membentuk pemerintahan yang baik. Pada zamannya, keadaan negara yang huru-hara telah memberi ruang kepada beliau untuk mencetuskan paradigma baru terhadap konsep pemerintahan negara. Koleksi pengajaran beliau telah menjadi panduan kepada Maharaja China berkurun-kurun seterusnya membentuk pengaruh yang kuat terhadap masyarakat China.

Tamadun Islam yang dibentuk oleh Nabi Muhammad saw dibayangi oleh empat sifat utama iaitu siddik (benar), amanah (percaya), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Matlamat akhir kepemimpinan dalam Islam ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah swt supaya para pemimpin memahami peranan mereka sebagai hamba, khalifah seterusnya memakmurkan alam. Keupayaan sistem latihan dan pembangunan kepemimpinan Islam terbukti dengan kelahiran tokoh-tokoh sepanjang zaman yang berjaya meluaskan empayar kerajaan Islam ke seluruh alam.

Di kalangan pemimpin-pemimpin era moden, terdapat ramai tokoh yang muncul dengan gaya dan matlamat tersendiri. Mereka ini mempunyai watak sendiri untuk menjadi pemimpin yang popular dan berkesan. Antaranya ialah :


Winston Churchill
Perdana Menteri Britain yang serba boleh. Keupayaannya yang dikagumi ialah menyelamatkan manusia daripada kancah Perang Dunia Kedua.

Margaret Tatcher
Digelar wanita besi yang mempunyai ketegasan dan berjaya memulihkan ekonomi Britain.

Napoleon Bonaparte
Panglima perang yang gah. Bercita-cita menakluk Eropah dan merubah sistem pentadbiran Perancis.

Charles De Gaulle
Mempunyai peribadi yang hebat dan berusaha untuk menebus maruah Perancis.

Adolf Hitler
Seorang pemimpin yang tegas dan taksub dengan konsep nasionalisme. Ingin menjadi pemimpin agung dunia.

Komrad Anenaur
Kematangan dan pengalamannya telah membantu Jerman pulih daripada kemusnahan walaupun usianya telah menjangkau 70 tahun.

Benito Mussolini
Berwatak keras dan berjiwa penakluk. Akhirnya terperangkap bersama Hitler.

Joseph Stalin
Melaksanakan dasar ekonomi yang memberi penderitaan kepada penduduk Rusia dan menentang musuh politik secara keras.

V.I Lenin
Seorang yang berwatak intelektual dan pelopor pelaksanaan sistem komunis di Rusia.

Marshall Tito
Juara Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali. Kekuatan peribadi telah menyatukan Yugoslavia tetapi musnah selepas kematiannya.


Mustafa Kamal
Bapa Turki Moden. Melakukan reformasi dalam pelbagai sektor kehidupan masyarakat khususnya amalan-amalan lama.

Gamal Nasser
Pemimpin nasionalis Mesir yang mengetuai beberapa peperangan dengan Israel.

Yasser Arafat
Pejuang umat Palestin yang tidak pernah kenal putus asa berjuang untuk rakyatnya hingga ke akhir hayat.

Ayatullah Khomeini
Pemimpin revolusi Iran yang melenyapkan pemerintahan dinasti Shah di Iran.

Mobutu Sese Seko
Presiden Zaire yang kuat cengkamannya ke atas negara Afrika itu dan liat dengan pelbagai usaha untuk mengekalkan kuasa.

Julius Nyerere
Pemimpin Tanzania yang percaya keupayaan sistem satu parti untuk memajukan negara.

Nelson Mendela
Pencetus antidiskriminasi kaum di Afrika Selatan dan membina pengaruh yang kuat ke atas persamaan hak di seluruh dunia.

Mao Tse Tung
Pengasas China Komunis moden dan Revolusi Kebudayaan.

Maharaja Hirohito
Penyambung tradisi Meiji dan akhirnya terpaksa mengharungi peperangan yang sangat dahsyat.

Deng Tsio Peng
Pemimpin pragmatik China Komunis. Membuat perubahan yang ketara ke atas pemodenan negara.

Ho Chin Minh
Semangat, komitmen dan ketabahan sebagai azimat menundukkan penjajah Perancis dan menghalau Amerika Syarikat dari Vietnam.

Ferdinand Marcos
Dijulang dan dibuang oleh rakyat.

Carlos Romula
Tokoh tentera, diplomat dan pendidik. Pengerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang pertama.

Lee Kuan Yew
Bersifat autokratik dan tegas terhadap rasuah.

Sukarno
Penampilan berkarismatik dan pemidato terulung Indonesia.

Mahatma Gandhi
Percaya penyelesaian tanpa pertumbahan darah. Berlembut tetapi berkuasa.

Abraham Lincoln
Pemimpin yang berfikiran luas dan terkenal dengan kisah kegigihannya mencari ilmu. Menyelamatkan Amerika Syarikat daripada berpecah dua.

Fidel Castro
Pemimpin licik, lantang dan lali dengan ancaman jirannya, Amerika Syarikat.


Asas Kekuatan Kerajaan Dahulu

Hampir keseluruhan kerajaan awal yang membentuk tamadun di Asia Tenggara dipengaruhi oleh agama sebagai pemangkin kejayaan mereka. Kerajaan Funan umpamanya, dinobatkan sebagai kerajaan Hindu purba yang pertama di Asia Tenggara dan diasaskan pada abad yang pertama masihi. Elemen agama Hindu turut memberi kekuatan kepada pemerintah ketika itu untuk merancang peluasan wilayah dan menjalinkan hubungan diplomatik di antara India dan China.

Begitu juga dengan kerajaan Srivijaya yang turut dipengaruhi oleh budaya dan agama Hindu. Ketahanan empayar Srivijaya dari kurun keempat hingga ke 11 menjadikan elemen agama Hindu mendasari setiap aspek kehidupan mesyarakat, menggerakkan fikiran dan mereka ke arah penyebaran agama Hindu kepada tanah jajahan yang lain.

Pengaruh agama Hindu seterusnya menjadi asas kepada pembentukan empayar Majapahit selama 200 tahun. Kerajaan Kedah Tua telah dipengaruhi oleh dua agama iaitu Buddha dan Hindu yang mana kesannya boleh dilihat di Lembah Bujang.

Seterusnya kemunculan Melaka sebagai sebuah empayar ada kaitannya dengan peranan agama Islam yang memberi nilai baru terhadap aspek diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada analisis ringkas ini, faktor agama telah menjadi faktor pengukuh terhadap berdirinya negara bangsa yang meliputi sebahagian besar Asia Tenggara. Kerajaan Funan kekal selama 600 tahun, Srivijaya bertahan selama 800 tahun, Majapahit hampir 200 tahun dan Kesultanan Melaka lebih 100 tahun. Soalannya di sini, apakah yang terdapat pada agama hinggakan mampu mendominasi sistem pentadbiran dan pemerintahan sesebuah kerajaan?

Mahu ataupun tidak, peranan agama sangat penting dalam pembentukan nilai pada setiap orang dalam masyarakat. Nilai-nilai inilah yang disemai dan disuburkan sebagai penyambung sesuatu pemerintahan. Didapati dalam setiap kerajaan ini, peranan nilai telah melahirkan satu tokoh tersohor untuk setiap kerajaan tersebut yang membawa kemajuan.

Empayar Majapahit melahirkan pemerintah paling hebat dalam sejarahnya iaitu gandingan Hayam Wuruk dan bendahara Gajah Mada. Kerajaan Funan turut berbangga dengan Fan Shih Man yang mampu menguasai Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Myanmar (Burma). Manakala Melaka, gandingan Sultan Mansur Shah, Tun Perak dan Hang Tuah meletakkan Melaka sebagai pusat perdagangan tersohor ketika itu.

Pembentukan nilai berkait rapat dengan budaya. Datangnya agama, turut membawa sekali nilai dan budaya kepada penganutnya. Budaya ini biasanya bercampur di antara amalan tradisi dan amalan agama. Bagaimanapun percampuran ini menguatkan lagi pentadbiran negara bangsa tersebut selagi tidak ada pencemaran oleh perkara khurafaat dan bidaah.

Emosi, fikiran, psikologi dan tingkah laku adalah campuran dan ramuan terbaik bagi membentuk nilai. Paling mustahak ialah sejauh mana empat campuran ini memberi kesan ke atas hati manusia khususnya pemimpin. Pentingnya hati ini dapat kita lihat dalam novel “Al Chemist” oleh Paulo Coelho yang menceritakan perjalanan seorang budak bernama Santiago, untuk mencari harta yang terbenam di bawah piramid di Mesir. Dalam satu siri perjalanan Santiago, budak ini berbicara tentang hatinya kepada Alchemist. Kata-katanya yang boleh diingat ialah hatinya sentiasa berkobar-kobar dengan impian, emosi dan boleh menjadi pemusnah. Biar ke mana pergi sekali pun,
“You will never be able to escape from your heart. So it’s better to listen to what it has to say. That way, you’ll never have to fear an unanticipated blow”.

Mungkin agaknya para pemimpin dari dahulu, sekarang dan akan datang akan mempunyai struktur hati yang tertentu bagi membolehkan mereka mempunyai keupayaan menjadi pemimpin negara masing-masing.


Pemerintah empayar Majapahit, Hayam Wuruk mengambil agama Hindu sebagai sistem hidupnya adalah kemuncak kekuatan Majapahit. Mungkinkah dia mempunyai hati seperti yang digambarkan oleh Santiago itu?

Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah turut mempamerkan ketokohan sebagai pemimpin pada zaman Kesultanan Melaka. Apakah mereka turut mempunyai hati seperti yang dinyatakan oleh Santiago itu?

Pemimpin-pemimpin dahulu tidak mengenal FDI (Foreign Direct Investment), saham atau naik turun harga minyak. Mereka tahu adalah betapa ramai pedagang yang datang berniaga, betapa banyak cukai yang boleh dikutip, betapa luasnya daerah pemerintahan.

Akibat sempadan negara yang terlalu besar dan tidak ada sistem pentadbiran yang cekap, akhirnya proses penyampaian dan karenah birokrasi menjadikan semua urusan lambat dan lembap. Oleh kerana masyarakat dahulu lebih gemar mengambil pendekatan berperang untuk menyelesaikan masalah, kerajaan yang berperang bukannya makin kuat, malah sama-sama lemah dan hilang bersama pesaingnya.

Jika dahulu pertarungan tamadun melalui kekuatan fizikal, pertarungan kini adalah kekuatan mental-siapa yang bijak dialah yang menjadi pemenangnya.

Malaysia dan Singapura adalah warisan kewujudan kerajaan awal yang silih berganti. Pengaruh agama, budaya, perkembangan ekonomi dan pengenalan terhadap sistem pendidikan telah mempercepatkan proses kemajuan dan kematangan kedua-dua pihak. Malaysia dan Singapura berbangga dengan pencapaian masing-masing dalam pelbagai bidang. Penduduk Malaysia seramai 26 juta orang hidup berjiran dengan 4 juta rakan mereka di selatan. Berapa lama Malaysia akan ada seperti sekarang dari segi sempadan wilayah, pengaruh agama, bahasa dan budaya serta peranan yang dimainkan oleh pemimpinnya? Bagaimana dengan Singapura yang tidak ada langsung hasil mahsul sumber semula jadi? Berapa lama ia boleh bertahan jika sikap degil dan keras kepala pemimpinnya berterusan selama 100 tahun?

Kerajaan-kerajaan dahulu membentuk empayar tidak pernah mencecah 900 tahun. Malaysia, Singapura dan Asean bolehkah mencecah angka ini?

Malaysia dan Singapura masing-masing mempunyai umat yang beragama dan tentu memahami keadaan ini. Singapura tidak akan kekal lama kerana pemimpin unggulnya telah berlalu seperti mana Hayam Wuruk yang hidup selama 49 tahun. Selepas kematian Hayam Wuruk, Majapahit turut berkubur. Jangka hayat Majapahit hanya 207 tahun dengan penguasaan ke atas Tanah Melayu, Borneo, Sumatera dan Bali.

Singapura akan menjadi sejarah dalam masa 300 tahun yang akan datang kerana tidak mempunyai asas penubuhan sebuah negara yang kuat. Peranan ekonomi tidak akan kekal lama kerana putusnya Tambak Johor akan memutuskan mata pencarian utama Singapura.

Malaysia ada sedikit kelebihan kerana menerapkan secara langsung peranan agama dalam pentadbiran seperti agama Islam sebagai agama rasmi negara, dasar penerapan nilai-nilai Islam dan pengukuhan agama Islam dalam pendidikan. Agama lain turut diberi perlindungan supaya penganutnya dapat beribadat dengan selesa.

Sepuluh tahun yang lepas, seorang tok alim telah memberi pendapatnya yang sangat bertentangan iaitu abad akan datang di tangan orang yang beragama. Hujahnya ialah manusia moden sudah ketandusan rasa kehambaan terhadap Tuhan dan sedang mengisi kekosongan jiwa ini.

Sejarah kegemilangan kerajaan terdahulu pasti akan berulang kembali. Dari tidak ada agama kepada beragama dan menjadi hebat. Sekarang inipun sama dan masa inilah yang sewajarnya digunakan oleh Malaysia untuk membina dan memantapkan kedudukannya sebagai peneraju ummah. Tidak usah melatah dan takut dengan Singapura kerana masa hadapan adalah di tangan orang-orang yang beragama dan mereka tahu apa yang hendak dibuat dan bagaimana hendak meraikan kemenangan.

Isu tambak, ruang udara dan air adalah isu mikro. Isu yang makro ialah bagaimana Malaysia melihat untuk menentusahkan bahawa umat yang tidak bersandar pada agama adalah mereka yang kalah dan tidak ada kekuatan yang hakiki.

Barangkali ungkapan Lao Tzu ini boleh dijadikan renungan;

“A journey of a thousand miles begin with a single step”.

Ungkapan yang terbaik untuk mengiringi setiap usaha bagi melahirkan umat kelas satu ialah maksud surah Al Mulk ayat pertama;

“Maha Suci (Allah) yang ditanganNya kerajaan dan Dia Maha berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu”.

Merdeka negara, jiwa dan pemikiran

Masyarakat Malaysia terdedah kepada pelbagai jenis pemikiran kesan daripada pendidikan dan pembangunan negara. Ulang tahun sambutan kemerdekaan negara yang ke-49 tahun menggambarkan kematangan masyarakat pelbagai kaum untuk hidup dalam suasana harmoni. Pembangunan negara yang berterusan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup yang boleh diukur melalui pertambahan kuasa membeli dan gaya hidup. Kemakmuran yang dinikmati itu adalah hasil perjuangan pemikir-pemikir yang sentiasa bersemangat menentang penjajahan sama ada nampak ataupun tidak.

Di mana sesetengah orang amat kaya dan yang lain tidak memiliki apa-apa, hasilnya adalah demokrasi melampau atau oligarki mutlak, ataupun sistem pemerintahan kuku besi timbul daripada salah satu sistem melampau itu.

Aristotle (384-322 BC)

Pada 13 Mei 1969, rusuhan kaum telah meletus dalam keadaan penuh prasangka. Kuala Lumpur menjadi huru-hara. Nyawa melayang dan harta benda musnah terbakar. Ketika rusuhan berada di kemuncak kekacauan, seorang pemimpin kanan Melayu telah menegaskan bahawa demokrasi telah mati di Malaysia. Orang luar yang begitu sangsi dengan keupayaan pemimpin mentadbir negara bersorak bahawa ramalan suram tentang Malaysia telah terbukti menjadi satu kenyataan.

Sejak merdeka pada 31 Ogos 1957 hingga 13 Mei 1969, kaum-kaum di Malaysia telah hidup dengan penuh prasangka. Orang Melayu melihat dengan perasaan marah dan tidak berpuas hati kerana orang Cina berterusan menguasai ekonomi. Penguasaan terhadap ekonomi Malaysia sangat ketara bermula daripada saluran runcit, syarikat pengangkutan dan perniagaan pengedaran. Di bandar-bandar besar, tulisan Cina begitu besar di papan-papan tanda perniagaan yang bercorak pemilikan keluarga dan para pekerja yang rata-ratanya Cina.

Orang-orang Melayu yang kebanyakannya miskin dan tinggal di kawasan pedalaman hidup merempat di negara sendiri. Air mata darah, mengalir keringat dan merintih melihat bumi dipijak milik orang asing. Segelintir Melayu yang sedar keadaan masyarakatnya mulai menuntut sebahagian daripada kekayaan negara melalui penyertaan dalam perniagaan utama dan projek perindustrian. Kerajaan Perikatan diletakkan harapan yang sangat tinggi bagi mengubah keadaan tersebut. Apabila tidak ada apa-apa tindakan yang boleh dibanggakan, timbullah rasa perkauman yang menyalahkan orang Cina sebagai punca orang Melayu miskin dan tidak ada peluang dalam perniagaan.

Rasa tidak puas hati orang Melayu dipanaskan lagi dengan kempen pilihan raya 1969 yang berterusan selama enam minggu. Ketika inilah sokongan secara terbuka terhadap perkauman dibuat secara terang-terangan. Perikatan menang pilihan raya dengan majoriti yang kecil. Pulau Pinang jatuh ke tangan Gerakan dan Kelantan turut terlepas. Di Perak dan Selangor, parti Perikatan tidak dapat membentuk kerajaan kerana gagal mendapat majoriti undi yang jelas.


Jadual 1 : Keputusan pilihan raya umum 1969
(Sila hubungi editor)


Ekoran rusuhan pada tahun 1969 ini, Majlis Gerakan negara (MAGERAN) telah dibentuk. MAGERAN mengkaji secara mendalam punca-punca perbezaan ekonomi dan ketidaksamaan dalam perkembangan di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Sebuah Majlis Perunding Negara telah dibentuk bagi membantu merumuskan satu dasar ekonomi ke arah penyusunan semula ekonomi masyarakat supaya agihan kekayaan yang lebih adil dapat dicapai antara kaum. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1971 akhirnya menjadi kenyataan dengan matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi.

Sepanjang tempoh DEB (1971-1990), pembasmian kemiskinan amat diutamakan. Sebanyak RM329,000 juta telah dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima. Jumlah ini merupakan 73.1 peratus daripada perbelanjaan pembangunan kerajaan bagi tempoh tersebut.

Perubahan Sikap

Buku Jejak-Jejak Di Pantai oleh Profesor Diraja Ungku Aziz membuatkan pembacanya berasa kembali ke zaman awal 1900-an. Kandungan buku ini lebih kepada melihat kembali konsep kemiskinan Melayu sepanjang 50 tahun dari era Za’ba ke Aziz dan Rancangan Malaysia Kedua. Pemikiran Za’ba mengenai beberapa sikap orang Melayu sangat kritikal dan menggambarkan betapa lamanya mereka dicengkam dengan penjajahan sehingga melahirkan ”jiwa hamba”. Kesan penjajahan selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun membentuk jiwa dan kehidupan Melayu yang berpuas hati (contended), bersederhana (modest) dan segan (inarticulate).


Jadual 2 : Sejarah penjajahan Malaysia
(Sila hubungi editor)


Kenapa berpuas hati? Oleh sebab mereka tidak tahu tentang keadaan yang lebih baik. Kenapa bersederhana? Oleh sebab kepercayaan bahawa memajukan diri memerlukan kelayakan yang hanya boleh diperolehi melalui pelajaran yang mencukupi. Kenapa segan? Oleh sebab mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan atau apa yang harus diperkatakan atau bagaimana hendak dilakukan.

Pandangan Za’ba ini dipanjangkan lagi dalam tulisan beliau ”Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri”. Beliau berpendapat yang dikatakan bergantung kepada diri sendiri ialah membuat sendiri kerjanya, menimbang baik buruk dan sedia menanggung akibat daripada tindakannya itu. Tanggungjawab melaksanakan sesuatu tugas atau kerja terletak pada orang yang tetap, tekun dan sabar dengan bergantung kepada ikhtiar, daya upaya sendiri dan memohon pertolongan Allah SWT.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Ar Ra’d ayat 11

Orang Melayu yang telah lama tingal dalam lompang penjajahan terbiar begitu lama iaitu sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu dan kerajaan kolonial tidak pernah memberi perhatian untuk pembangunan. Mereka yang majoritinya tinggal di kampung dan kawasan luar bandar telah menidakkan keupayaan mental untuk merasai kemajuan. Di sekeliling rumah dalam masyarakat tidak ada gerakan yang aktif untuk keluar daripada lingkungan kemiskinan. Apatah lagi pembentukan sistem pendidikan yang mengarah kepada kemajuan dan pembangunan. Za’ba menilai sistem pendidikan Melayu sebagai ”lemah dalam pengetahuan dan kebudayaan”.

Pendidikan masyarakat Melayu turut dihalang dari terus berkembang bebas. British tidak pernah berhasrat melihat pegawai-pegawai Melayu tetapi cukup mendapat pengetahuan membuat bakul dan berkebun, mengasingkan aliran umum dan mengehadkan penggunaan Bahasa Melayu semata-mata. Dengan cara ini, pelajar-pelajar Melayu tidak ada yang akan belajar bahasa-bahasa lain, menjadi pentadbir yang pintar dan pemimpin yang disegani kerana peluang untuk mereka berjaya dan maju dalam pelajaran sangat terhad. Peluang belajar kemahiran tangan, berkebun dan mempelajari 3M (membaca, menulis dan mengira) hanya sebagai persediaan untuk mereka hidup berdikari di kampung.

Masalah utama orang Melayu ialah kemiskinan. Kenapa mereka miskin? Punca miskin adalah pelbagai, walau bagaimanapun terdapat dua perspektif yang boleh dijadikan sandaran iaitu perspektif ekonomi dan perspektif sains sosial. Perspektif ekonomi melihat tidak ada pekerjaan sebagai sebab utama kerana ukuran pendapatan boleh diukur dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang menentukan miskin ataupun tidak.


Jadual 3 : Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK
(Sila hubungi editor)


Perspektif sains sosial melihat kepada peranan nilai dan budaya di kalangan masyarakat. Perubahan sukar kerana tradisi telah mengikat pemikiran mereka untuk menerima pembaharuan pemikiran dengan cepat. Misalnya ada yang beranggapan dengan kehidupan miskin itu dapat merapatkan lagi hubungan dengan Allah SWT, dapat mengelak dari terpesong ke jalan yang salah dan menerima kemiskinan sebagai nasib yang ditakdir. Sedangkan Islam membawa rahmat kepada umat manusia untuk berusaha mencari kekayaan sehingga dapat mengeluarkan zakat bagi membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Pada hari ini, masyarakat Malaysia harus berbangga dengan kejayaan negara mengurangkan kadar kemiskinan. Pada tahun 1970, hampir separuh rakyat Malaysia (49.3 peratus) berada dalam kelompok miskin. Kebanyakannya adalah orang Melayu yang bekerja dalam bidang pertanian yang tidak memberikan pendapatan yang lumayan. Pada tahun 2002, kadar kemiskinan telah berkurangan kepada 5.1 peratus setelah pelbagai dasar dan rancangan dilaksanakan khususnya Dasar Ekonomi Baru. Keadaan orang Melayu yang sangat miskin dahulu adalah kerana hasil usahanya yang sangat kecil (kerana penggunaan alat perkakas yang sederhana, teknik yang lama dan biji benih kurang baik), tertindas (kerana pekedai mengambil untung yang tinggi, kadar faedah yang melampau menyebabkan berhutang dan sewa tanah yang tinggi) dan terbiar (tanpa dipedulikan kebajikan dan keupayaan politik).

Melayu yang menjadi majoriti masyarakat Malaysia telah berubah. Pembasmian kemiskinan telah mencapai tahap yang memuaskan dan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kemiskinan tegar akan dibasmi sepenuhnya. Di Malaysia, tidak ada sesiapa pun yang akan miskin jika sanggup bekerja.

Pemimpin-pemimpin negara dari Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah berusaha melakukan sesuatu yang terbaik bagi masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia.

Menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-49 adalah lambang sejarah kejayaan negara. Perkembangan ekonomi dengan kadar purata 6.2 peratus setahun dalam tempoh 1991-2005, inflasi yang rendah pada kadar 2.9 peratus setahun dan Pariti Kuasa Membeli (PPP) meningkat kepada USD$10,318 pada tahun 2005. Semua faktor ini akan menjadi sebahagian daripada pemangkin kepada pencapaian Wawasan 2020. Tun Dr. Mahathir telah meletakkan hala tuju negara dan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi akan memastikan perjalanan ke arah itu akan menjadi kenyataan.

Saturday, November 11, 2006

Pembunuh zalim kerana marah

Pembunuhan kejam seorang model sambilan Mongolia, Altantuya, sangat menyedihkan dan mengecewakan. Keadaan matinya sangat mengharukan dan memberi mesej bahawa pembunuhannya telah dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan berkesan. Niat pembunuh ini sangat jahat sehingga sanggup memikirkan kaedah yang tidak pernah difikirkan oleh orang yang siuman untuk menghilangkan bukti. Mayatnya hancur berkecai kerana dibom.

Ketika kes buli jalan raya yang menyebabkan kematian seorang penolong jurutera analisis komputer dulu, pembunuhnya telah membakar kereta Kancil Kelisa mereka tetapi dapat dijejak.

Kejadian pembunuhan yang berlaku setiap hari seperti yang disiarkan oleh akhbar adalah isu masyarakat. Sama ada terbunuh, dibunuh atau bunuh diri, semuanya berkait dengan faktor penarik sama ada di dalam mahupun di luar diri. Membunuh diri umpamanya, berkait dengan masalah dalaman diri mangsa yang berkecamuk dan keliru sehingga tidak mampu untuk berfikir dan membuat keputusan yang waras. Kes seperti ini banyak berlaku di Jepun.

Dibunuh pula berkait dengan faktor yang akan dibincangkan di dalam artikel ini iaitu marah. Persengkataan dan konflik bermula sejak zaman Nabi Adam a.s lagi iaitu persengketaan di antara Habil dan Qabil. Cemburu menyebabkan kematian pertama di dalam sejarah kemanusiaan apabila Qabil telah membunuh Habil dan sejarah selepas itu menyaksikan pembunuhan kerana peperangan, perebutan kuasa dan kelaparan. Selagi wujud konflik dan manusia yang hilang kewarasannya, akan wujud pembunuhan dan konflik sama ada kecil ataupun besar. Keadaan peperangan di Iraq umpamanya, dianggarkan seramai 150,000 orang telah terbunuh manakala di Lubnan baru-baru ini, mengorbankan lebih seribu orang.

Kematian dalam jumlah yang besar akibat dibunuh ialah di Palestine akibat kemarahan Yahudi. Kaum Yahudi ialah kaum yang dilaknat dan tidak pernah bersimpati dengan sesiapa.

Profil pembunuh ini tidak pernah boleh dijangka. Kadang-kadang orang yang disangka baik, jujur dan peramah adalah seorang yang tidak boleh dipercayai sampai bila-bila. Di sebalik sifat-sifat mulia ini tersimpan kukuh niat dan keinginan yang berbeza daripada watak yang dipamerkan. Pembunuh yang dianggap bahaya seperti Bentong Kali umpamanya boleh dikenal pasti dan dikawal kerana hanya pemburu yang mampu mengenal buruannya, hanya jauhari yang mengenal manikam dan hanya pemancing yang mengenal umpan ikan yang terbaik.

Pembunuh boleh terdiri daripada orang di sekitar kita. Lebih-lebih lagi dalam persekitaran sekarang, kita terdedah dengan pelbagai elemen yang menyebabkan konflik dan menimbulkan kemarahan.

Jadi, kenapa sesetengah pembunuh yang tidak pernah terfikir oleh kita bahawa beliau akan menjadi pembunuh, malahan tidak ada tanda-tanda dia akan menjadi pembunuh yang paling zalim?

Bekas presiden Iraq, Saddam Hussein diketahui kepahlawanannya, ketegasannya dan dianggap zalim oleh sebahagian rakyatnya. Adakah riak muka beliau menunjukkan ada tanda-tanda seorang pembunuh? Sukar untuk menilai kerana keterbatasan ilmu yang kita miliki. Walau bagaimanapun, punca kepada konflik yang zalim adalah marah yang keterlaluan.

Bagaimana Menangani Marah?

Marah adalah bisikan iblis dan syaitan yang mendorong kepada perlakuan ganas dan berakhir dengan tragedi. Di dalam Islam, ia mempunyai alasan kenapa tingkah laku yang buruk ini wajar diatasi. Nabi Muhammad saw menghuraikan beberapa kaedah terbaik untuk merawat perasaan dan mengehadkan kesan buruk akibat kemarahan pada seseorang.

1. Memohon agar Allah swt menjauhkan diri daripada hasutan syaitan

Dalam satu peristiwa, dua orang lelaki bertengkar sehingga salah seorang daripadanya kelihatan marah dan mukanya bertukar kemerah-merahan. Urat lehernya juga tegang. Ketika itu baginda saw bersabda, ”Jika lelaki itu marah dan berkata Aku berlindung dengan Allah, marahnya akan hilang” (Sahih al Jaami’ al Sagheer 695).

2. Mendiamkan diri

Dalam kebanyakan keadaan, orang yang marah akan hilang kawalan dan tidak dapat mengawal perkataan yang keluar daripada mulutnya. Mendiamkan diri adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelak diri daripada hilang kawalan ke atas situasi genting yang sedang dihadapi. Imam Ahmad melaporkan Rasulullah saw pernah bersabda, ”Jika di antara kamu menjadi marah, biarkan dia diam” (al Musnab 1/329, Sahih al Jaami’ al Sagheer 693, 4027).

3. Tidak berganjak

Panduan ini adalah untuk mengelak orang yang sedang marah daripada hilang kawalan dan mencederakan orang yang dimarahi seterusnya mengelakkan sebarang kejadian buruk daripada berlaku. Sabda Rasulullah saw, ” Jika sesiapa di antara kamu menjadi marah dan dia sedang berdiri, biarkan dia duduk supaya rasa marah akan hilang, jika tidak biarkan dia berbaring”.
Duduk dapat mencegah pemarah daripada teruja melakukan tindakan berbentuk kekerasan yang lebih teruk. Ia juga dapat mengelak pemarah daripada menyesal kemudian hari di atas perbuatannya.

4. Mengikut nasihat Nabi

Hadis yang sangat terkenal mengenai marah ialah ketika seorang lelaki bertemu dengan Nabi Muhammad saw dan meminta sedikit nasihat. ”Nasihatkan saya, Ya Rasulullah”. Bainda saw menjawab, ”Jangan marah”. Lelaki ini bertanya beberapa kali dan mendapat jawapa nyang sama. Ucapan, kata-kata dan nasihat daripada Nabi adalah sesuatu yang istimewa dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran, ruh dan perlakuan seseorang

5. Syurga balasan untuk orang yang menahan marah

(Dalam Sahih al Jaami’, 7374, Ibn Hijr daripada al Tabarani, al Fath 4/465).
Mengingati janji Allah swt kepada orang-orang yang muttaqin adalah satu langkah berkesan bagi mengelakkan emosi marah bertukar menjadi seperti nyalaan api yang sedang marak. ”Barangsiapa yang mengawal marahnya ketika dia mampu bertindak, Allah swt akan mengisi hatinya dengan perasaan gembira pada hari pembalasan kelak” (Hadis riwayat al Tabarani, 12/453, Sahih al Jaami’ 6518).

6. Mengetahu ketinggian budi orang yang dapat mengawal marah

Semakin memuncak rasa marah, seharusnya semakin kuat seseorang itu patut mengawal marahnya. ”Seseorang yang kuat bukanlah yang dapat mengalahkan orang lain tetapi seorang yang kuat ialah mampu mengawal dirinya ketika marah”(Riwayat Ahmad 2/236).

7. Menjadikan tindakan Nabi ketika marah sebagai contoh

Nabi Muhammad saw adalah pemimpin yang memberikan contoh terbaik bagi menghadapi kemarahan. Ketika baginda saw berjalan dengan Anas bin Malik, seorang Arab Badwi datang dan menarik selendang (cloak) baginda saw. Badwi ini menarik selendang itu dengan cara yang kasar sehingga meninggalkan bekas pada leher kini Nabi saw. Kemudian Badwi ini meminta diberikan harta kepadanya. Sambil tersenyum baginda saw menoleh ke arah badwi itu dan berjanji akan memberikannya sesuatu (Fath al Bari, 10/375).

Baginda saw juga marah tetapi marahnya adalah untuk dan kerana Allah swt. Bainda saw marah apabila diberitahu seorang imam yang bersolat terlalu lama kerana akan mengganggu makmum yang ada keperluan mereka tersendiri.

8. Mendengar peringatan

Marah adalah sebahagian daripada keadaan semula jadi manusia yang berubah sifat dan watak ketika marah. Sukar bagi sesiapa sahaja untuk tidak marah tetapi hanya yang ikhlas akan mengingat Allah swt apabila diberi peringatan dan tidak melangkaui batas sempadannya.

Ibnu Abbas meriwayatkan seorang lelaki meminta izin untuk bercakap dengan Umar al Khattab. Katanya, ”Wahai anak Khattab, kamu adalah seorang yang kedekut dan berlaku tidak adil di antara kita”. Mendengar perkataan itu, Umar naik marah dan mahu membelasah lelaki berkenaan. Ketika itu al Hurr Ibnu Qays berada di sebelah Umar. Beliau berkata, ”Wahai khalifah al mukminun, Allah swt berfirman kepada Rasulnya, ”Maafkanlah dan suruhlah yang ma’ruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil” (Al A’raaf ayat 119).

Lelaki berkenaan adalah seorang yang jahil. Melalui peringatan, Umar tidak jadi meneruskan hasratnya kerana hati yang telah dididik dengan iman dapat mengawal emosinya daripada bertindak secara melulu.

9. Memahami kesan buruk selepas marah

Ramai orang mengetahui kesan buruk akibat marah tetapi ada yang tidak memahaminya. Semasa marah, pemarah akan mengeluarkan perkataan yang keji, biadab, menyerang dan kemungkinan membunuh. Marah yang memuncak akan berakhir dengan kematian. Jika orang yang dimarahi lari, pemarah akan melepaskan kemarahannya pada diri sendiri seperti mengoyakkan baju, menjerit, mencederakan diri ataupun pengsan.

Bagi suami isteri, kekerapan talaq dijatuhkan ketika marah. Penceraian menyebabkan penderitaan pada emosi dan fizikal anak-anak, penyesalan dan kekecewaan, kesusahan hidup yang semuanya berpunca daripada marah.

Kualiti kesihatan diri turut berlaku kesan daripada marah. Tekanan darah tinggi, peningkatan kadar denyutan jantung dan pernafasan akan mengarah kepada keadaan kesihatan yang lebih teruk seperti serangan jantung, kencing manis, meracau dan sebagainya.

10. Doa

Doa adalah senjata orang yang beriman di mana Allah swt akan melindungi dirinya daripada keburukan dan kerosakan. Salah satu daripada tiga perkara yang dapat menyelamatkan diri adalah berlaku adil ketika gembira dan marah (Sahih al Jaami’ 3039).

Kemarahan adalah pintu masuk syaitan ke dalam diri seseorang. Pembunuhan demi pembunuhan tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi sebaliknya akan menambah bebanan kepada pembunuh. Di Malaysia, apabila disebut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes bunuh, hukuman yang menanti adalah tali gantung.

Monday, November 06, 2006

Mat Rempit simbol jiwa remaja memberontak

Sejak akhir-akhir ini kegiatan pelumba haram motosikal ataupun dikenali sebagai Mat Rempit mendapat perhatian yang ketara daripada masyarakat. Malah terdapat sebuah filem yang menceritakan kisah Mat Rempit ini dan mendapat sambutan. Filem ”Remp-It” ini menambah lagi keprihatinan khalayak untuk mengetahui kewujudan golongan remaja dan belia yang rata-ratanya anak muda dan cukup sempurna fizikalnya.

Istilah Mat Rempit telah dipopularkan oleh media. Perkataan ”Rem” adalah perlakuan memulas pedal tangan pada motosikal bagi memerah minyak sebagai aksi memecut. Semakin kuat pulasan, semakin lajulah motosikal berkenaan. Si Rempit akan bersorak jika dapat memecut dan memintas rakan-rakan yang lain. Manakala ”Pit” adalah dari perkataan ”pit stop” yang ada di litar lumba. Gabungan perkataan ini membentuk ”Rempit” yang menggambarkan pelumba motosikal melakukan pelbagai aksi kreatif, menarik dan membahayakan. Mat merujuk kepada pelaku atau penunggang motosikal ini. Perkataan baru yang boleh dipopularkan ialah ”merempit” yang bermaksud melakukan aksi lumba motosikal dan boleh mendatangkan mudarat kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.

Mat Rempit menjadi beban sosial kepada masyarakat dan negara. Beban kepada diri mereka sendiri adalah perilaku jenayah apabila dikaitkan dengan kematian dan mendatangkan kecederaan. Sehingga kini beberapa kes kematian melibatkan pelumba haram motosikal dikaitkan secara langsung dengan mereka termasuk kes bergaduh dan berakhir dengan kematian Mat Rempit Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Di Pulau Pinang pula, sekumpulan Mat Rempit membaling batu ke arah Balai Polis Kubang Semang kerana tidak puas hati dengan tindakan polis menahan dua orang rakan mereka yang sedang merempit.

Mat Rempit diberikan imej negatif kerana tindakan mereka dan kegiatan jenayah yang lain seperti ragut, minum arak, berzina, tingkah laku ganas dan memakan dadah. Awal-awal lagi kriteria Mat Rempit adalah gambaran yang negatif dan buruk. Ini memberi mesej bahawa Mat Rempit memberi dan membawa masalah. Rata-rata mereka yang merempit berumur 16 hinga 25 tahun kerana peringkat umur ini kebanyakannya masih bujang. Majoriti adalah lelaki dan pelbagai latar belakang keluarga. Kegiatan merempit akan berkurangan setelah mereka yang terlibat berkahwin dan beranak-pinak.

Kewujudan Mat Rempit adalah simptom kecil daripada penyakit utama yang lebih besar. Keadaan jiwa mereka yang sentiasa bergelora dan ingin memenuhi pelbagai impian. Banyak perkara yang mahu dicapai dan dimiliki. Ketika peringkat inilah, mereka terdedah kepada bermacam-macam tarikan seperti hiburan dan fesyen serta sukan yang ada baik buruknya. Pendedahan dan tarikan yang kuat serta berterusan mempengaruhi hati, pemikiran dan sikap remaja terhadap hidup. Aspirasi terhadap hidup juga rendah umpamanya tidak ada perancangan masa depan, berserah kepada nasib dan kurang berusaha untuk membaiki diri.

Pembentukan watak Mat Rempit dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Tiga faktor yang menonjol adalah keluarga, pendidikan dan persekitaran.


Keluarga


Peribadi bermula di rumah. Pengaruh keluarga terhadap bentuk personaliti, arah pemikiran dan tingkah laku memainkan peranan penting bagi pembesaran yang positif. Ibu bapa yang mengambil berat kegiatan siang dan malam anak-anak mereka tidak akan membiarkan aktiviti salah laku sosial berlaku. Sebaliknya akan mengambil berat perilaku dan aktiviti sosial seperti dengan siapa anak-anak keluar, ke mana tujuannya dan apa yang dibuat dengan rakan-rakan.

Keganasan rumah tangga, konflik diri, masalah kewangan keluarga dan kurang kemahiran keibubapaan menyumbang kepada kerapuhan ikatan kekeluargaan. Keluarga yang kurang stabil tidak mampu memenuhi keperluan emosi dan spiritual yang minimum kepada ahli-ahli khususnya anak-anak remaja. Kekosongan jiwa ini diisi dengan bercampur dengan rakan-rakan melalui kumpulan motosikal yang memberi keseronokan.


Pendidikan

Tahap pendidikan adalah penentu dan pengukur kelayakan untuk melakukan semua perkara tetapi tidak berpelajaran tinggi bukanlah bererti tidak boleh bersaing menjadi kaya-raya. Cuma corak pemikiran yang berbeza. Orang yang berpelajaran tinggi dengan caranya sendiri dan orang yang berpelajaran rendah dengan caranya pula.

Pembentukan pemikiran, nilai dan sikap dimantapkan di sekolah. Remaja yang tidak mantap cara berfikir, lemah nilai dan sikap serta malas belajar akan menyumbang kepada masalah sosial bukan sahaja Mat Rempit malah tingkah laku delikuensi yang lain. Peranan guru sangat penting bagi membantu kelompok yang dijangka tercicir dari alam persekolahan ini. Kira-kiranya mudah, pelajar yang tercicir tidak mempunyai peluang untuk belajar. Pada zaman ini, graduan di universiti masih belum tentu mendapat pekerjaan yang sesuai dengan tahap kelayakan mereka apatah lagi yang mempunyai tahap pelajaran yang rendah.


Persekitaran

Aktiviti lumba haram kini menular ke pekan-pekan kecil. Dulunya berlegar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar, kini orang kampung turut resah kerana menghadapi tekanan bunyi bising motosikal. Mat Rempit di bandar lebih canggih. Mereka berani, agresif dan membahayakan keselamatan dan nyawa orang ramai. Mereka berbangga apabila aksi yang dilakukan menjadi tontonan dan menerima pujian.

Di gelanggang lumba motosikal inilah minat dan keinginan menjadi jaguh lumba bermula. Terpulang kepada Mat Rempit untuk memilih sama ada kejayaan atau kegagalan. Keadaan jalan raya yang lebih baik dan lurus membantu Mat Rempit menjadi lebih aktif.

Mat Rempit tidak pernah serik walaupun operasi oleh agensi penguatkuasa dilaksanakan dari semasa ke semasa. Mereka akan serik setelah putus tangan atau hilang biji mata. Justeru bagi mengelakkan perkara ini berlaku, kempen kesedaran yang berterusan di samping penguatkuasaan yang lebih ketat perlu diberi perhatian. Saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar merampas motosikal, menggantung lesen memandu dan mengenakan tindakan ke atas penganjur lumba haram boleh diberi perhatian yang serius. Beliau juga turut prihatin ke atas nasib kedua-dua pihak iaitu penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.

Mat Rempit akan selesai apabila penunggang motosikal lebih berhemah di jalan raya dan menghargai hak diri dan orang lain.

Saturday, November 04, 2006

Kadar pertumbuhan masyarakat Malaysia semakin merosot

Selepas 49 tahun merdeka, rakyat Malaysia dijangka bertambah kepada 34.9 juta orang pada tahun 2020. Pertambahan ini dipacu oleh kadar kesuburan jumlah pada 2.6 yang dijangka pada tahun berkenaan. Perangkaan yang lebih tepat telah dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyatakan bahawa penurunan kadar kesuburan wanita iaitu 2.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 2004 berbanding 3.4 anak pada 1990. Keadaan ini disebabkan pelbagai faktor termasuk kesukaran mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya serta kurangnya sokongan sosial.

Kejayaan Malaysia berubah dari sebuah negara berasaskan pertanian kepada sebuah negara pengeksport barangan elektronik dan peralatan perindustrian telah menyebabkan perubahan besar ke atas budaya, nilai dan sikap masyarakat Malaysia keseluruhannya. Program-program pembangunan komuniti seperti Felda dan Felcra serta pewujudan kampung-kampung baru pada peringkat awal pembangunan komoditi telah melahirkan masyarakat yang mempunyai sejumlah pendapatan bagi menampung kehidupan mereka. Dekad 90-an menyaksikan pembangunan sektor industri yang pesat dan telah menggerakkan migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar dan kurang maju ke kawasan yang lebih maju. Perpindahan fizikal ini turut membawa bersama perubahan corak berfikir, budaya kerja dan perspektif baru terhadap kehidupan. Faktor persekitaran juga turut mempengaruhi rangsangan dan minat mereka untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Oleh itu, penginstitusian budaya adalah elemen penting ke atas perubahan-perubahan ini khususnya dalam pembangunan negara. Peranan budaya ke atas perkembangan ekonomi dapat dibahagikan kepada dua keadaan :


i.adalah mustahak untuk memerhati sejauh mana faktor sosial memberi kesan ketara ke atas pembangunan ekonomi,

ii.sejauh mana peranan budaya membentuk proses pembangunan ekonomi.


Dalam masyarakat yang mengejar wang sebagai keutamaan, berlakunya perubahan budaya memang sudah dijangka. Pengenalan sistem ekonomi bebas, struktur keluarga besar telah berkurangan secara perlahan-lahan dan digantikan dengan struktur nukleus. Golongan yang berumur 25 hingga 29 tahun memilih untuk melewatkan perkahwinan. Lebih ramai lelaki yang berumur di bawah 25 tahun masih belum berkahwin. Kadar keseburan jumlah menurun dari 7 kanak-kanak pada 60-an kepada 3.4 pada 1995. Perubahan sosial yang ketara kesan dari perindustrian ialah makin ramai tenaga buruh wanita yang memenuhi permintaan kerja dan sektor industri di Malaysia telah membuatkan kawasan-kawasan terpencil tiba-tiba muncul menjadi kawasan perbandaran utama.

Peranan tenaga kerja wanita meningkat secara mendadak di kawasan bandar dan wanita semakin bijak dan terpelajar untuk memasuki pasaran kerja. Keadaan ini tidak dapat disangkal kerana dalam keadaan ekonomi jenis kapitalis, transformasi ini berlaku dengan sangat pantas.

Sekitar tahun 60-an, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara pertanian. Dalam masyarakat seperti ini, perbelanjaan untuk membesarkan anak-anak adalah sangat rendah. Mempunyai sebuah keluarga besar adalah suatu pilihan kerana keupayaan untuk menampung perbelanjaan melalui konsep bantu-membantu sesama adik-beradik. Anak-anak boleh dianggap sebagai pengganti terhadap prospek keluarga pada masa depan. Bagaimanapun dengan keperluan yang besar terhadap perkembangan anak-anak khususnya pendidikan, keperluan terhadap keluarga besar semakin bertambah. Apatah lagi berlakunya transformasi sistem ekonomi ke arah pasaran terbuka, kos relatif terhadap anak-anak lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Seterusnya saiz keluarga semakin mengecil.


Mobiliti sosial masyarakat Malaysia bertambah baik







Mobiliti sosial adalah peluang yang diberikan kepada status sosial seseorang untuk menaikkan taraf diri daripada tahap yang rendah ke aras yang lebih baik. Proses gerak pindah ini boleh menjadi hasil yang positif atau negatif kerana risikonya sangat tinggi. Berubah ke satu aras hidup yang lebih baik adalah impian bagi setiap orang kerana keselesaan dan kebahagiaan yang akan dinikmati kelak dapat merubah keadaan hidup yang sedia ada. Umpama pepatah “ orang yang cemerlang tunjukkan hasil, orang yang gagal berikan alasan”.

Paul B. Horton mentakrifkan mobiliti sosial sebagai gerakan perpindahan dari satu kelas sosial ke kelas sosial yang lain. Tafsiran Kimball Young dan Raymond W. Mack pula lebih kepada struktur sosial yang melihat wujudnya pola-pola yang mengatur kelompok sosial berkenaan (
http://id.wikipedia.org).

Mobiliti sosial ini lebih mudah berlaku dalam masyarakat yang terbuka dan menjadikan persaingan sebagai pilihan memajukan negara. Sebagai contoh, Amerika Syarikat maju dalam banyak bidang berbanding negara-negara lain kerana masyarakatnya menjadikan persaingan sebagai teras untuk membaiki mobiliti sosial. Masyarakat yang tertutup akan terus berada dalam kemunduran dan lambat untuk berubah kerana sentiasa terikat dengan penjara pemikiran yang diterjemahkan dalam bentuk sistem feudal, kasta atau ideologi.

Justeru, kedudukan Malaysia yang lebih baik berbanding United Kingdom adalah sesuatu yang amat dibanggakan. Kemerdekaan negara telah memberi peluang dan ruang kepada masyarakat Malaysia untuk hidup dengan lebih bebas dan terbuka bagi menentukan hala tuju negara mereka sendiri. Namun harus diingat, United Kingdom telah mempunyai bandar raya sendiri sejak akhir tahun 1800-an lagi dan perkembangan pesat globalisasi telah sedikit sebanyak telah membentuk stratifikasi sosial yang baru dalam masyarakatnya. Kemasukan beramai-ramai imigran asing ke negara itu menjadikan mobiliti sosial agak bercelaru dan kerajaannya terpaksa berdepan dengan cabaran baru yang belum pernah mereka alami.

Stratifikasi sosial adalah pengkelasan masyarakat kepada kelas sosial dan kelas kasta. Perbezaan kedua-duanya ialah kelas sosial lebih bersifat terbuka dan memberi ruang kepada komunitinya untuk memilih dan membuat perubahan manakala kelas kasta lebih ketat dan tidak boleh diubah. Keberuntungan masyarakat Malaysia ialah melihat kelas sosial sebagai salah satu pemangkin kepada kemajuan melalui proses transformasi terhadap penguasaan ilmu dan kemahiran.

Perubahan mobiliti sosial yang sangat jelas di Malaysia ialah ketegasan kerajaan memecahkan pengenalan kaum berasaskan pekerjaan. Proses pembaharuan ini telah dilaksanakan secara terancang melalui pendidikan, pembangunan ekonomi, kestabilan politik dan toleransi agama. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah pemacu kepada kepesatan mobiliti sosial yang menyaksikan pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Dua objektif ini berlangsung selama 20 tahun yang memperlihatkan tumpuan kepada mengeluarkan kelompok masyarakat miskin dan termiskin daripada warisan tradisi nenek moyang yang pernah terjajah dahulu iaitu kemiskinan.

Pada tahun 1970, insiden kemiskinan di kalangan masyarakat ialah 49.3 peratus dan di akhir rancangan DEB, kadar tersebut menyusut kepada 15.0 peratus. Kerajaan memandang berat program ini dengan membelanjakan RM329,000 meliputi Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima. Usaha-usaha ini menepati suruhan Allah swt yang mengarahkan umat manusia untuk berusaha bagi mengubah nasib sendiri.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d ayat 11)

Pencapaian memberangsangkan ini telah memberi keyakinan kepada pemimpin dan rakyat Malaysia untuk menjadi lebih berani meneroka kejayaan demi kejayaan. Aspek pendidikan dan ekonomi adalah dua kaedah yang sangat berkesan untuk merangsang mobiliti sosial ini dan disokong sepenuhnya oleh peranan politik yang sentiasa memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan.

Di Malaysia, sektor ekonomi dikawal oleh etnik Cina yang mendominasi sebahagian besar kek ekonomi negara. Manakala kuasa politik dipegang sepenuhnya dengan utuh oleh etnik Melayu bagi mempastikan iklim pembangunan yang positif dan terkawal. Dalam suasana yang harmoni, pembangunan negara dapat digerakkan ke arah kemajuan dan membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Kewujudan peluang ini telah membuka ruang dan memberi galakan kepada setiap rakyat Malaysia untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran dengan lebih cepat, senang dan selesa. Kemudahan sekolah, kolej dan universiti telah ditingkatkan dan diperkemaskan. Sekolah yang daif dibantu khususnya di luar bandar manakala di bandar pula diwujudkan sekolah bestari bagi menggerakkan literasi komputer di kalangan pelajar bermula dari sekolah rendah.

Kesannya dalam tempoh 20 hingga 30 tahun amat membanggakan kerana semua kelompok masyarakat telah mendapat peluang yang sama. Bezanya ialah sama ada mahu ataupun tidak. Keinginan dan usaha bergantung kepada diri sendiri dan dibantu oleh teknik dan strategi yang betul.

Malaysia melangkah setapak lagi dalam usaha pengukuhan mobiliti sosial ini dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan. YAB Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan baru-baru ini telah memberi nilai yang amat bermakna kepada jiwa masyarakat Malaysia yang telah dibenakkan dengan pembangunan fizikal yang pesat. Oleh kerana pembentukan nilai ini mengambil masa, hasilnya akan jelas kelihatan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun yang akan datang. Pembentukan nilai dan budaya itu nanti sememangnya telah dirancang dengan teliti melalui beberapa instrumen seperti pendidikan dan penyebaran fikrah melalui media supaya masyarakat mendapat gambaran tentang hasil akhir yang ingin dilihat.

Kejayaan meningkatkan mobiliti sosial dapat memadamkan episod lama generasi yang suram. Hari ini anak-anak Melayu di luar bandar tidak lagi mewarisi pekerjaan tradisi ibu bapa mereka dan berada dalam kelas sosial yang tersendiri. Mereka lebih bertuah kerana maksud tersirat berada dalam kelompok sosial ini ialah :

1. Memiliki tahap kesihatan yang memuaskan.
2. Hubungan dan interaksi sesama komuniti yang lebih baik.
3. Mengurangkan jenayah sosial.
4. Sistem keluarga yang harmoni.
5. Menikmati hidup yang lebih ceria.

Kejayaan mobiliti sosial rakyat Malaysia seterusnya akan ditentukan oleh gaya kepimpinan ketua kerajaan yang sedia ada. Cabaran globalisasi menjadi faktor penghalang yang akan melambatkan kesaksamaan sosial di dalam masyarakat. Jurang stratifikasi sosial yang luas akan mewujudkan tiga kategori kelas iaitu :

1. Kelas Atasan (golongan kaya)
2. Kelas Pertengahan
3. Kelas Bawahan (golongan miskin)
4. Di luar Kelas (golongan paling miskin)

Adalah sukar untuk memisahkan keempat-empat golongan ini dalam jangka masa singkat kerana nilai, budaya dan cara berfikir berbeza-beza. Bagaimanapun pendidikan akan merubah susunan kelas ini dalam jangka masa panjang kerana melalui pendidikan, berlakunya perubahan mental dan tingkah laku yang diingini.

Peningkatan mobiliti sosial di Malaysia banyak disumbangkan oleh kesedaran kepimpinan terhadap peranan pendidikan bagi memajukan rakyat Malaysia.