Saturday, November 04, 2006

Membudayakan aktiviti kesukarelaan dalam masyarakat Malaysia

Kesukarelaan adalah satu aktiviti yang murni dalam setiap masyarakat di seluruh dunia. Ia melepasi sempadan budaya, agama, masyarakat dan boleh dijadikan sebagai suatu kerja ibadah di dalam hidup.

Pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia semakin lama semakin bertambah. Bencana alam, masalah sosial, kemiskinan dan pencemaran alam sekitar adalah contoh-contoh peristiwa yang sentiasa berada di benak ramai orang. Kerajaan negara-negara yang terlibat bagi menghadapi bencana alam umpamanya tidak mampu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dengan bersendirian. Mereka juga perlu mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau non-govermental organization (NGO) bagi melancarkan perkhidmatan bantuan. Malah agensi NGO antarabangsa turut bersama-sama menghulurkan kepakaran mereka bagi meringankan bebanan pihak kerajaan.

Ketika memberi ucaptama dan merasmikan Seminar Membudayakan Aktiviti Kesukarelaan Di Kalangan Masyarakat Malaysia di Johor Bahru pada bulan Julai yang lalu, YAM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah telah memberikan definisi yang sangat mudah mengenai sukarela. Dua perkataan yang membentuk struktur sukarela adalah suka dan rela. Terjemahan untuk suka ialah “to like” dan rela ialah “being willing” atau “having a willingness” ataupun “to sacrifice”. Jika disatukan, sukarela bererti “love for sacrifice” atau “sacrificing with love”.

Kemajuan dan kekuatan ekonomi bukanlah segala-galanya dalam kehidupan negara bangsa. Kita memerlukan keseimbangan dalam hidup. Tamadun yang agung seperti Rom, Parsi dan Islam telah mengimbangi keperluan fizikal dan rohani masyarakat mereka. Tanpa keseimbangan akan wujud kepincangan yang merosakkan tamadun berkenaan.

Jiwa akan puas dengan memberi daripada menerima. Keupayaan dan kekuatan untuk memberi biasanya lahir daripada kesedaran dan keyakinan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan kesihatan, merancang perjalanan bandar yang selamat dan selesa serta memperjuangkan penjagaan alam sekitar telah menukar keadaan dunia daripada bercirikan sengsara kepada bahagia.

Konsep yang dipegang ialah kesedaran untuk membantu masyarakat supaya kehidupan lebih sempurna dan bahagia. Tanpa adanya keinginan untuk menolong, keadaan masyarakat tentulah kucar-kacir dan hidup bersendirian. Masyarakat yang suka berbelanja dan bersifat materialistik akan mementingkan gaji yang tinggi, pekerjaan yang selesa, harta yang melimpah dan kenderaan yang canggih. Keadan hidup begini akan memantapkan zon selesa mereka dan menghakis keinginan untuk membantu orang lain.

Pertubuhan-pertubuhan sukarela berkembang di seluruh dunia khususnya apabila berlaku sesuatu bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tsunami dan peperangan. Mereka ini yang telah lama dikenali akan muncul dengan segera untuk memberi bantuan di Iraq, Indonesia, Bangladesh, Iran, Thailand, Turkey, Mongolia dan Ukraine serta di seluruh dunia. Kepantasan dan kesegeraan ini melambangkan kekuatan ekonomi dan sikap profesionalisme yang dimiliki serta pengalaman yang sangat menakjubkan.

Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa sebagai contoh organisasi sukarela yang terkenal di dunia telah wujud di 186 buah negara di mana terdapat 90 juta sukarelawan dengan 60,000 orang kakitangan yang bertugas di seluruh dunia. Di antara contoh kejayaan organisasi ini ialah merekrut 6000 orang ahli bagi membantu mangsa banjir di Bangladesh setiap tahun. Pertubuhan seperti ini mampu bertahan lama kerana menyepadukan tiga komponen utama dalam menguruskan kesinambungan mereka iaitu merekrut, melatih dan menyelia. Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) adalah organisasi Palang Merah yang terdapat di Malaysia. PBSM turut mempunyai jumlah anggota yang ramai iaitu hampir 300,000 orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar iaitu kira-kira 80 peratus. Aktiviti PBSM meliputi Malaysia sebagai asasnya dan turut dijemput untuk memberi khidmat bantuan kepada negara seperti Iran, Bosnia-Herzegovina, Phillipines, Afghanistan, Indonesia, Timor Leste dan Kemboja.

Pertubuhan lain yang telah mendapat liputan meluas ialah Mercy Malaysia (Mercy) yang telah diasaskan pada Jun 1999. Sehingga kini Mercy mempunyai 4000 anggota berdaftar bagi melaksanakan misi di negara ini dan juga di negara-negara luar seperti Kosovo, Afghanistan, Korea Utara dan Sudan. Program yang sedang berjalan dan telah menaikkan nama Mercy ialah bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami di Indonesia.

Umumnya NGO yang menonjol adalah mereka yang bergiat aktif dalam memberi perkhidmatan kesihatan kerana setiap kali berlaku bencana dan mala petaka, media akan memberi tumpuan khas dan terdapat ruang yang menceritakan pengalaman dan suasana di tempat kejadian sama ada di media cetak ataupun media elektronik. Tidak hairanlah masyarakat lebih mengenali NGO yang memberi tumpuan dalam bidang ini berbanding bidang-bidang yang lain.

Aktiviti kesukarelaan harus bermula dari peringkat awal. Keluarga dan sekolah adalah institusi penting sebagai penyubur minat terhadap semangat kesukarelaan. Nilai sukarela perlukan proses pendidikan, asuhan dan latihan. Keluarga boleh memulakan aktiviti secara beransur-ansur dengan menyertai mana-mana aktiviti yang diminati melalui persatuan penduduk atau menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Aktiviti seperti ini boleh dilaksanakan secara separuh masa atau sepenuh masa. Antara aktiviti yang boleh dibuat ialah kelas tuisyen, khidmat nasihat, mengurus pesakit di hospital dan membaca untuk orang buta.

Kesukarelaan dapat menukar paradigma berfikir seseorang daripada meminta-minta kepada memberi. Allah SWT telah memberi petunjuk bahawa nikmatNya kepada makhluk terlalu banyak dan tidak meminta apa yang telah diberikanNya melainkan bersyukur. Aktivis sukarela adalah seorang yang ketagih dengan memberi dan ia merasai kedamaian serta kebahagiaan yang tidak diperolehi daripada kerja-kerja yang lain.

Kewujudan pertubuhan-pertubuhan yang memberikan khidmat masyarakat seperti JPA3, Rakan Muda, ABIM, Haluan, CARE dan Rotary Club adalah menunjukkan masyarakat mula melihat sikap membantu adalah lebih baik dan sangat mulia.


Kesukarelaan Daripada Perspektif Islam

Penghayatan terhadap kehidupan moden telah mengurangkan semangat kesukarelaan. Tidak ramai ahli masyarakat yang menggunakan usaha sendiri untuk membantu masyarakat tanpa bantuan kewangan. Khidmat dan bantuan pada hakikatnya bukanlah sekadar wang ringgit malah tenaga, masa, buah fikiran ataupun usaha fizikal. Kesukarelaan adalah tugas setiap umat Islam kerana ia adalah fardu kifayah. Sekiranya tidak dilaksanakan, ia akan ditanya oleh Alah SWT. Beban dan tuntutan kepada orang Islam adalah lebih dan sangat besar. Terdapat tiga kategori pemberian iaitu :


1.Kurang memberi dan lebih menyimpan
2.Lebih memberi dan kurang menyimpan
3.Memberi tanpa had dan berterusan


Kategori 1 dan 2 adalah perspektif konvensional dan melihat pemberian dan sumbangan sebagai komoditi yang perlu dipelihara lebih dan kurangnya manakala kategori 3 adalah saranan dalam Islam kerana rezeki adalah pemberian Allah SWT yang wajar dikongsi bersama oleh semua ahli masyarakat.

Kesukarelaan adalah satu tugas yang murni dan bukannya kerja kelas ketiga. Sikap segelintir masyarakat terhadap aktiviti sukarela perlu berubah supaya fardu kifayah dapat disempurnakan.


Cabaran-Cabaran Kesukarelaan Masa Kini

Penghayatan terhadap pembangunan modal insan adalah peluang bagi aktivis sukarela menggerakkan kesedaran dan semangat masyarakat bagi melaksanakan pelbagai aktiviti. Rakyat Malaysia dilihat sebagai masyarakat yang tinggi kesedaran sukarela tetapi kebanyakannya bersifat ad hoc dan kurang komited kerana tidak ada institusi yang menguruskan aktiviti ini secara sistematik.

Organisasi sukarela perlu meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing kerana tanggungjawab mereka terhadap masyarakat amatlah besar. Proses pembentukan barisan pelapis kepimpinan mesti dilaksanakan secara terancang melibatkan pengrekrutan, latihan dan penyeliaan supaya hanya mereka yang benar-benar berminat dipilih.

Kekurangan penyertaan golongan muda untuk menyertai aktiviti sukarela adalah kerana tarikan aktiviti persekitaran yang sentiasa memenuhi keseronokan mereka. Pertubuhan sukarela harus melihat senario ini sebagai ancaman kerana golongan remaja dan belia pada hari ini akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Ibu bapa yang sibuk dengan kerja adalah gambaran sistem eokonomi kapitalis yang melihat keuntungan sebagai indikator kejayaan dalam hidup. Ibu bapa wajar diberi kesedaran untuk melihat kembali peranan mereka bagi menggerakkan semangat kesukarelaan di peringkat keluarga.


Cadangan Bagi Menggerakkan Semangat Kesukaelaan

Kerajaan memainkan peranan yang sangat penting bagi menggerakkan aktiviti sukarela di kalangan masyarakat Malaysia. Apa jua program intervensi, pencegahan dan pemantapan datangnya daripada usaha kerajaan. Berjuta-juta ringgit diperuntukkan oleh kerajaan bagi menjayakan Kempen Budi Bahasa, begitu juga kempen kesukarelaan perlu diberi bantuan kewangan yang serupa dan digerakkan secara sistematik, berarah dan sepanjang masa.

Elemen yang sangat penting ialah melaksanakan silibus kesukarelaan dalam kurikulum sebagai pendedahan kepada para pelajar bermula dari sekolah rendah. Mewajibkan semua pelajar menyertai kegiatan kurikulum mungkin membebankan guru dan sekolah tetapi memberi keutamaan kepada pelajar yang aktif dalam kurikulum dan cemerlang akademik adalah langkah alternatif yang menarik. Para pelajar akan teruja untuk aktif dalam kegiatan kurikulum sebagai aktiviti sampingan yang dapat memberikan pelbagai kemahiran. Langkah Kementerian Pengajian Tinggi mengenakan syarat 10 peratus bagi kegiatan kurikulum untuk kemasukan ke IPTA adalah sangat tepat bagi menggalakkan para pelajar aktif dalam kegiatan sukarela bermula di peringkat awal lagi.

Ahli parlimen boleh menubuhkan pusat aktiviti kesukarelaan di kawasan masing-masing seperti mana penubuhan Pusat Rujukan Sosial (PRS) dan Masyarakat Penyayang (Mayang), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Pusat sukarela masyarakat boleh memberi bantuan kepada ahli parlimen untuk melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan di kawasan mereka dengan bantuan geran oleh kerajaan.

Pertubuhan bukan kerajaan harus bergerak aktif mengadakan kempen promosi peri pentingnya menjadi sukarelawan supaya masyarakat menyedari peranan mereka sebagai “pemberi” kerana mungkin pada satu hari nanti, “pemberi” tersebut akan bertukar peranan sebagai “penerima” yang meminta-minta.

Ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kelab Penyayang baru-baru ini, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdulah Haji Ahmad Badawi menegaskan bahawa usaha pembangunan modal insan bukan ditumpukan kepada memberi ilmu pengetahuan sahaja tetapi juga menumpukan kepada pembangunan moral supaya lahir perasaan kasih sayang dalam masyarakat. Melalui kasih sayang ini, semangat kesukarelaan dapat dipupuk bermula dari rumah seterusnya akan melata di dalam masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment