Saturday, November 04, 2006

Prestasi Malaysia bagi Indeks Rasuah 2005

Kerajaan Malaysia telah menyediakan dasar dan rangka kerja pelaksanaan baru yang dikenali sebagai Misi Nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri mengariskan lima teras Misi Nasional iaitu :


1.Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang lebih tinggi.

2.Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk minda kelas pertama.

3.Menangani ketidakseimbangan sosioekonomi secara membina dan produktif.

4.Meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup.

5.Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.


Rasuah adalah amalan masyarakat yang dipandang keji dan boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan. Pencapaian negara yang terlibat dengan rasuah sangat menyedihkan kerana boleh membawa kerosakan kepada ekonomi, politik, budaya dan kemanusiaan.

Transparency International (TI) iaitu sebuah agensi yang menjalankan kajian mengenai kajian persepsi rasuah di negara-negara terpilih telah meletakkan Malaysia di tangga ke-39 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2005. Pencapaian ini sama seperti tahun sebelumnya, cuma mata yang diperolehi lebih baik iaitu 5.1 berbanding 2004 (5.0). Kedudukan Malaysia dalam tujuh tahun yang lepas agak mengecewakan berbanding Singapura
(Sila hubungi editor).


Jadual 1 : Perbandingan CPI Malaysia dan Singapura


CPI adalah bancian yang menggunakan persepsi ahli-ahli perniagaan dan penganalisis tempatan dan asing mengenai sesebuah negara. Didapati setiap tahun ada penambahan negara baru yang dikaji dan ini akan memberi persaingan kepada kerajaan negara-negara terbabit untuk membaiki kedudukan mereka.

Di seluruh dunia, rasuah merupakan halangan kepada pembangunan mapan sesebuah negara. Tiga punca utama yang berkait antara satu sama lain ialah urus tadbir di sektor kerajaan, sektor swasta dan orang ramai.

Di Malaysia, usaha telah dimulakan bagi menambahbaik sistem penyampaian kerana faktor ini dikenal pasti sebagai punca utama berleluasanya rasuah. Diyakini usaha ini dapat menutup ruang dan peluang serta salah guna kuasa dalam sektor awam dan swasta.

Bagi memastikan langkah-langkah berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan menubuhkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dilengkapi dengan kaedah dan teknik meningkatkan kemampuan mencegah, pengawasan dan sains forensik.

Pelan Integriti Nasional (PIN) dirangka bagi meningkatkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti kakitangan awam dan swasta. PIN merangkumi lapan strategi yang memberi keutamaan kepada institusi keluarga, komuniti, masyarakat sivil, sosiobudaya, agama, ekonomi, politik dan pentadbiran.

Pengukuhan pelaksanaan pencegahan rasuah memerlukan program pembangunan dan penyelidikan. Sebagai badan pemikir kerajaan, penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) memberi sumbangan yang amat besar untuk menjalin pakatan dan strategi dengan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi antarabangsa bagi mengukuhkan program-program integriti.

YAB Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Forum Pertama Mengenai Antirasuah anjuran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 28 Ogos 2006 yang lalu, menekankan kepentingan tadbir urus yang baik seperti yang disarankan di dalam Al Quran dengan menjadikan Nabi Muhammad sebagai rujukan. Elemen yang terdapat dalam tadbir urus yang baik ini ialah nilai-nilai kejujuran, integriti, keadilan, mesra rakyat dan bersedia mendengar pandangan. Malaysia juga memberi penekanan ke atas kekuatan politik untuk menguatkuasakan undang-undang antirasuah.

Mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), kegiatan rasuah didefinisikan sebagai apa-apa kesalahan yang ditakrifkan dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang melibatkan wang, apa-apa jawatan, bayaran, perkhidmatan, tawaran dan lain-lain dari individu kepada individu lain. Hukuman yang menanti pesalah termasuklah :


1.Penjara selama tempoh tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun.

2.Didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM 10,000.00 mengikut mana yang lebih tinggi.


Sistem penyampaian berkesan adalah nadi kepada pentadbiran dan pengurusan. Lapan teras strategik bagi meningkatkan sistem ini dapat mengurangkan kos perniagaan, menggalakkan pelaburan swasta dan membina tanggapan positif terhadap persekitaran pelaburan di Malaysia. Strategi berkenaan ialah :


1.Memberi tumpuan kepada pentadbiran daerah dan PBT.

2.Menyediakan interaksi kerajaan-pelanggan yang berkesan.

3.Mengkaji semula dan memperkemas syarat dan keperluan kawal atur.

4.Memantau dan mengukur prestasi.

5.Memastikan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.

6.Menguruskan aduan awam.

7.Menggunakan aplikasi dan infrastruktur ICT.

8.Mengadakan dialog dengan sektor swasta.


Walau bagaimanapun, Trasparency International (TI) percaya masalah rasuah lebih banyak berkait dengan tahap pendapatan rakyat sesebuah negara dan bukannya berkaitan dengan amalan agama. Daripada 10 buah negara yang sentiasa berada di atas dalam CPI, rata-rata negara ini mempunyai tahap pendapatan yang tinggi
(Sila hubungi editor).


Jadual 2 : CPI 2005


Pendapatan per kapita adalah salah satu jalan penyelesaian kepada memerangi amalan rasuah. Daripada 10 negara di atas, semuanya mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi. Norway mempunyai pendapatan per kapita yang paling tinggi iaitu $42,300 dengan penduduk berjumlah 4.6 juta orang, diikuti Iceland ($35,600) dengan 300,000 orang penduduk dan Denmark ($34,600) dengan 5.45 juta orang. Selain daripada itu, tahap pendidikan mereka juga adalah yang terbaik kerana melalui pendidikan, nilai-nilai murni dan peneguhan jati diri dapat dipupuk sejak kecil lagi.

Malaysia yang mempunyai 24.4 juta penduduk dengan pendapatan per kapita sebanyak $12,100 (2005 ang.) wajar melihat pengukuran ekonomi ini sebagai kayu ukur bagi membasmi rasuah.

Sekiranya kerajaan Malaysia bersunguh-sungguh hendak memerangi rasuah, perlulah melihat kenaikan gaji sebagai satu alternatif supaya kakitangan kerajaan dan swasta tidak tergoda untuk mendapatkan habuan kerana difikiran mereka, pendapatan yang tinggi sudah cukup untuk menampung perbelanjaan hidup yang sedia ada. Pemberian bonus, penambahan elaun dan Cola adalah antara elemen penambahan pendapatan tetapi tidak mencukupi jika ingin menghapuskan rasuah. Tidak mengapa bagi pihak kerajaan untuk rugi sedikit jika menaikkan gaji anggota perkhidmatan awam kerana hasil akhir yang diperolehi nanti lebih banyak memberi kebaikan daripada keburukan.

TI percaya untuk memerangi rasuah, lima perkara teras perlu diberi keutamaan iaitu :

1.Menghapuskan kemiskinan dan menggalakkan keseimbangan sosial.

2.Mengalakkan ketelusan dalam perdagangan dan perniagaan antarabangsa.

3.Menyumbang kepada pembangunan persekitaran yang mapan.

4.Membangunkan dan menyuburkan amalan demokrasi dan keterbukaan kerajaan.

5.Mengukuhkan keselamatan global.


Oleh kerana keyakinan TI terhadap punca rasuah adalah tidak ada keseimbangan dalam tahap pendapatan, strategi yang digunakan adalah untuk menambahkan tahap pendapatan melalui pembasmian kemiskinan.

Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu berpendapat bahawa penyumbang utama rasuah di kalangan negara-negara Islam ialah syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi tanpa mementingkan nilai dan etika perniagaan yang baik. Syarikat-syarikat ini hanya mementingkan keuntungan dengan membelakangkan etika perniagaan yang boleh menghancurkan ekonomi negara dengan menggalakkan amalan rasuah.

YAB Perdana Menteri telah membuka gelanggang untuk bercakap dan berbincang tentang rasuah. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah tindakan susulan yang lebih mantap. Kedudukan Malaysia pada tangga ke-39 perlu diperbaiki supaya masyarakat perniagaan, penganalisis antarabangsa dan pelabur luar negara memberi keyakinan kepada kepimpinan Malaysia. Kerjasama semua pihak bagi memerangi rasuah di Malaysia amatlah diharapkan sama ada daripada pegawai kerajaan, penguatkuasa, pendidik mahupun orang ramai.

Tidak ada jalan singkat dan mudah untuk berhadapan dengan rasuah. Kita boleh membuat banyak perubahan melalui strategi dan tindakan pembaharuan ke atas manusia, perundangan dan pentadbiran.

No comments:

Post a Comment