Sunday, November 12, 2006

Merdeka negara, jiwa dan pemikiran

Masyarakat Malaysia terdedah kepada pelbagai jenis pemikiran kesan daripada pendidikan dan pembangunan negara. Ulang tahun sambutan kemerdekaan negara yang ke-49 tahun menggambarkan kematangan masyarakat pelbagai kaum untuk hidup dalam suasana harmoni. Pembangunan negara yang berterusan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup yang boleh diukur melalui pertambahan kuasa membeli dan gaya hidup. Kemakmuran yang dinikmati itu adalah hasil perjuangan pemikir-pemikir yang sentiasa bersemangat menentang penjajahan sama ada nampak ataupun tidak.

Di mana sesetengah orang amat kaya dan yang lain tidak memiliki apa-apa, hasilnya adalah demokrasi melampau atau oligarki mutlak, ataupun sistem pemerintahan kuku besi timbul daripada salah satu sistem melampau itu.

Aristotle (384-322 BC)

Pada 13 Mei 1969, rusuhan kaum telah meletus dalam keadaan penuh prasangka. Kuala Lumpur menjadi huru-hara. Nyawa melayang dan harta benda musnah terbakar. Ketika rusuhan berada di kemuncak kekacauan, seorang pemimpin kanan Melayu telah menegaskan bahawa demokrasi telah mati di Malaysia. Orang luar yang begitu sangsi dengan keupayaan pemimpin mentadbir negara bersorak bahawa ramalan suram tentang Malaysia telah terbukti menjadi satu kenyataan.

Sejak merdeka pada 31 Ogos 1957 hingga 13 Mei 1969, kaum-kaum di Malaysia telah hidup dengan penuh prasangka. Orang Melayu melihat dengan perasaan marah dan tidak berpuas hati kerana orang Cina berterusan menguasai ekonomi. Penguasaan terhadap ekonomi Malaysia sangat ketara bermula daripada saluran runcit, syarikat pengangkutan dan perniagaan pengedaran. Di bandar-bandar besar, tulisan Cina begitu besar di papan-papan tanda perniagaan yang bercorak pemilikan keluarga dan para pekerja yang rata-ratanya Cina.

Orang-orang Melayu yang kebanyakannya miskin dan tinggal di kawasan pedalaman hidup merempat di negara sendiri. Air mata darah, mengalir keringat dan merintih melihat bumi dipijak milik orang asing. Segelintir Melayu yang sedar keadaan masyarakatnya mulai menuntut sebahagian daripada kekayaan negara melalui penyertaan dalam perniagaan utama dan projek perindustrian. Kerajaan Perikatan diletakkan harapan yang sangat tinggi bagi mengubah keadaan tersebut. Apabila tidak ada apa-apa tindakan yang boleh dibanggakan, timbullah rasa perkauman yang menyalahkan orang Cina sebagai punca orang Melayu miskin dan tidak ada peluang dalam perniagaan.

Rasa tidak puas hati orang Melayu dipanaskan lagi dengan kempen pilihan raya 1969 yang berterusan selama enam minggu. Ketika inilah sokongan secara terbuka terhadap perkauman dibuat secara terang-terangan. Perikatan menang pilihan raya dengan majoriti yang kecil. Pulau Pinang jatuh ke tangan Gerakan dan Kelantan turut terlepas. Di Perak dan Selangor, parti Perikatan tidak dapat membentuk kerajaan kerana gagal mendapat majoriti undi yang jelas.


Jadual 1 : Keputusan pilihan raya umum 1969
(Sila hubungi editor)


Ekoran rusuhan pada tahun 1969 ini, Majlis Gerakan negara (MAGERAN) telah dibentuk. MAGERAN mengkaji secara mendalam punca-punca perbezaan ekonomi dan ketidaksamaan dalam perkembangan di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Sebuah Majlis Perunding Negara telah dibentuk bagi membantu merumuskan satu dasar ekonomi ke arah penyusunan semula ekonomi masyarakat supaya agihan kekayaan yang lebih adil dapat dicapai antara kaum. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1971 akhirnya menjadi kenyataan dengan matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi.

Sepanjang tempoh DEB (1971-1990), pembasmian kemiskinan amat diutamakan. Sebanyak RM329,000 juta telah dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima. Jumlah ini merupakan 73.1 peratus daripada perbelanjaan pembangunan kerajaan bagi tempoh tersebut.

Perubahan Sikap

Buku Jejak-Jejak Di Pantai oleh Profesor Diraja Ungku Aziz membuatkan pembacanya berasa kembali ke zaman awal 1900-an. Kandungan buku ini lebih kepada melihat kembali konsep kemiskinan Melayu sepanjang 50 tahun dari era Za’ba ke Aziz dan Rancangan Malaysia Kedua. Pemikiran Za’ba mengenai beberapa sikap orang Melayu sangat kritikal dan menggambarkan betapa lamanya mereka dicengkam dengan penjajahan sehingga melahirkan ”jiwa hamba”. Kesan penjajahan selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun membentuk jiwa dan kehidupan Melayu yang berpuas hati (contended), bersederhana (modest) dan segan (inarticulate).


Jadual 2 : Sejarah penjajahan Malaysia
(Sila hubungi editor)


Kenapa berpuas hati? Oleh sebab mereka tidak tahu tentang keadaan yang lebih baik. Kenapa bersederhana? Oleh sebab kepercayaan bahawa memajukan diri memerlukan kelayakan yang hanya boleh diperolehi melalui pelajaran yang mencukupi. Kenapa segan? Oleh sebab mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan atau apa yang harus diperkatakan atau bagaimana hendak dilakukan.

Pandangan Za’ba ini dipanjangkan lagi dalam tulisan beliau ”Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri”. Beliau berpendapat yang dikatakan bergantung kepada diri sendiri ialah membuat sendiri kerjanya, menimbang baik buruk dan sedia menanggung akibat daripada tindakannya itu. Tanggungjawab melaksanakan sesuatu tugas atau kerja terletak pada orang yang tetap, tekun dan sabar dengan bergantung kepada ikhtiar, daya upaya sendiri dan memohon pertolongan Allah SWT.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Ar Ra’d ayat 11

Orang Melayu yang telah lama tingal dalam lompang penjajahan terbiar begitu lama iaitu sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu dan kerajaan kolonial tidak pernah memberi perhatian untuk pembangunan. Mereka yang majoritinya tinggal di kampung dan kawasan luar bandar telah menidakkan keupayaan mental untuk merasai kemajuan. Di sekeliling rumah dalam masyarakat tidak ada gerakan yang aktif untuk keluar daripada lingkungan kemiskinan. Apatah lagi pembentukan sistem pendidikan yang mengarah kepada kemajuan dan pembangunan. Za’ba menilai sistem pendidikan Melayu sebagai ”lemah dalam pengetahuan dan kebudayaan”.

Pendidikan masyarakat Melayu turut dihalang dari terus berkembang bebas. British tidak pernah berhasrat melihat pegawai-pegawai Melayu tetapi cukup mendapat pengetahuan membuat bakul dan berkebun, mengasingkan aliran umum dan mengehadkan penggunaan Bahasa Melayu semata-mata. Dengan cara ini, pelajar-pelajar Melayu tidak ada yang akan belajar bahasa-bahasa lain, menjadi pentadbir yang pintar dan pemimpin yang disegani kerana peluang untuk mereka berjaya dan maju dalam pelajaran sangat terhad. Peluang belajar kemahiran tangan, berkebun dan mempelajari 3M (membaca, menulis dan mengira) hanya sebagai persediaan untuk mereka hidup berdikari di kampung.

Masalah utama orang Melayu ialah kemiskinan. Kenapa mereka miskin? Punca miskin adalah pelbagai, walau bagaimanapun terdapat dua perspektif yang boleh dijadikan sandaran iaitu perspektif ekonomi dan perspektif sains sosial. Perspektif ekonomi melihat tidak ada pekerjaan sebagai sebab utama kerana ukuran pendapatan boleh diukur dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang menentukan miskin ataupun tidak.


Jadual 3 : Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK
(Sila hubungi editor)


Perspektif sains sosial melihat kepada peranan nilai dan budaya di kalangan masyarakat. Perubahan sukar kerana tradisi telah mengikat pemikiran mereka untuk menerima pembaharuan pemikiran dengan cepat. Misalnya ada yang beranggapan dengan kehidupan miskin itu dapat merapatkan lagi hubungan dengan Allah SWT, dapat mengelak dari terpesong ke jalan yang salah dan menerima kemiskinan sebagai nasib yang ditakdir. Sedangkan Islam membawa rahmat kepada umat manusia untuk berusaha mencari kekayaan sehingga dapat mengeluarkan zakat bagi membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Pada hari ini, masyarakat Malaysia harus berbangga dengan kejayaan negara mengurangkan kadar kemiskinan. Pada tahun 1970, hampir separuh rakyat Malaysia (49.3 peratus) berada dalam kelompok miskin. Kebanyakannya adalah orang Melayu yang bekerja dalam bidang pertanian yang tidak memberikan pendapatan yang lumayan. Pada tahun 2002, kadar kemiskinan telah berkurangan kepada 5.1 peratus setelah pelbagai dasar dan rancangan dilaksanakan khususnya Dasar Ekonomi Baru. Keadaan orang Melayu yang sangat miskin dahulu adalah kerana hasil usahanya yang sangat kecil (kerana penggunaan alat perkakas yang sederhana, teknik yang lama dan biji benih kurang baik), tertindas (kerana pekedai mengambil untung yang tinggi, kadar faedah yang melampau menyebabkan berhutang dan sewa tanah yang tinggi) dan terbiar (tanpa dipedulikan kebajikan dan keupayaan politik).

Melayu yang menjadi majoriti masyarakat Malaysia telah berubah. Pembasmian kemiskinan telah mencapai tahap yang memuaskan dan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kemiskinan tegar akan dibasmi sepenuhnya. Di Malaysia, tidak ada sesiapa pun yang akan miskin jika sanggup bekerja.

Pemimpin-pemimpin negara dari Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah berusaha melakukan sesuatu yang terbaik bagi masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia.

Menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-49 adalah lambang sejarah kejayaan negara. Perkembangan ekonomi dengan kadar purata 6.2 peratus setahun dalam tempoh 1991-2005, inflasi yang rendah pada kadar 2.9 peratus setahun dan Pariti Kuasa Membeli (PPP) meningkat kepada USD$10,318 pada tahun 2005. Semua faktor ini akan menjadi sebahagian daripada pemangkin kepada pencapaian Wawasan 2020. Tun Dr. Mahathir telah meletakkan hala tuju negara dan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi akan memastikan perjalanan ke arah itu akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment