Tidak ada sesiapapun yang ingin ditempatkan dalam tembok batu atau penjara yang dikelilingi empat penjuru sudut, sama ada kecil ataupun besar. Pesalah hanya akan menyesal berada di dalamnya bagi jangka masa yang panjang dan setelah melalui pelbagai jenis aktiviti pemulihan. Bagi hukuman yang singkat masa tinggalnya, penyesalan bukanlah dalam tempoh yang lama kerana ada yang dikenakan hukuman penjara dua atau tiga tahun, masih lagi rindukan tempat lamanya dan kembali melakukan kesalahan.
Hukuman yang diterima mendidik banduan untuk menjadi manusia dan kembali ke pangkuan masyarakat.
Kisah dua orang bekas banduan yang menjalani hukuman penjara di Malaysia sangat memberi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat. Dipenjarakan selama 30 tahun, 11 bulan dan 9 hari di Penjara Taiping dan Sungai Buloh adalah tempoh yang sangat panjang. Salleh Taib 57 tahun dan Jamil, 56 tahun pasti menyesal selepas dibebaskan setelah diberi pengampunan oleh Sultan Kedah, KBYMM Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Mereka berdua dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat pada tahun 1976 selepas terlibat dalam rompakan bersenjata di Baling, Kedah yang melibatkan wang gaji Felda sebanyak RM50,000 ketika berumur 27 dan 26 tahun. Di samping penjara, Salleh turut disebat sebanyak enam kali sebagai pakej hukuman ke atasnya.
Salleh dan Jamil merupakan sahabat yang datang daripada keluarga miskin. Kehidupan yang dilalui telah mendorong mereka untuk mengubah keadaan hidup dengan merantau ke Kuala Nerang bagi mencari kerja yang bersesuaian. Ternyata usia muda dengan tenaga yang masih kuat mendorong dua sahabat ini terjebak ke dalam aktiviti jenayah bagi memenuhi jalan singkat untuk keluar daripada kehidupan yang susah.
Peluang mendapatkan senjata iaitu selaras pump gun dan sepucuk pistol di Thailand merealisasikan impian mereka untuk merompak duit gaji pekerja Felda.
Kecekapan sekumpulan detektif daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kedah menumpaskan dua perompak itu menyebabkan kedua-duanya menerima hukuman berat yang setimpal dan sebagai pengajaran kepada orang lain.
Usaha Salleh dan Jamil untuk mendapatkan pengampunan bukanlah mengambil masa yang singkat malah pelbagai rintangan terpaksa dihadapi. Sokongan pihak penjara, pertubuhan bukan kerajaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan media telah merealisasikan hajat dan impian mereka pada 3 Oktober 2006.
Apa yang dilalui oleh Salleh dan Jamil adalah sejarah hidup yang dilalui mereka. Hilang segala-galanya termasuk kehidupan masa muda, rakan-rakan dan saudara mara. Terkurung dalam realiti hidup terpenjara bersama rakan-rakan banduan yang pelbagai latar belakang dan kes. Apa yang ada hanyalah pengalaman pahit yang menjadi peringatan kepada generasi muda dan mereka yang bercita-cita melanggar undang-undang negara dan mengganggu ketenteraman masyarakat Malaysia.
Kehidupan bekas banduan adalah sukar. Paling tidak kerosakan mental yang dialami, penuh prasangka terhadap penerimaan masyarakat dan keyakinan diri untuk hidup dalam persekitaran yang bebas.
Bekas banduan tidak boleh dianggap sebagai tidak berguna, berbahaya dan beban kepada masyarakat. Mereka juga adalah manusia biasa yang telah melalui pengalaman hidup yang berbeza dan mereka memilih untuk hidup sebegitu. Banyak faktor yang mempengaruhi tindakan mereka. Seperti Salleh dan Jamil, faktor kemiskinan adalah penyebab mereka disumbat ke penjara. Antara faktor lain ialah tarikan material, pengaruh kawan-kawan, mengikut emosi sendiri dan juga dianiaya. Punca Mona Fendi dijatuhi hukuman gantung sampai mati adalah tamakkan harta hingga sanggup merancang pembunuhan dan bersubahat dengan jenayah membunuh.
Hidup tanpa pekerjaan turut mempengaruhi masa depan bekas banduan. Walaupun mereka diberikan kemahiran di dalam penjara, sikap rendah diri dan kurang keyakinan tetap akan ada sampai bila-bila. Bagi kes Salleh, keprihatinan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah membantu bekas banduan itu untuk memulakan penghidupan baru sangatlah dikagumi. Baginda telah memilih masa yang tepat, tempat dan ruang yang betul untuk mengubah paradigma masyarakat terhadap bekas banduan.
Raja Dr. Nazrin mempamerkan kemuliaan jiwa yang sangat tinggi dengan memberikan sokongan moral kepada bekas banduan bagi meneruskan kehidupan bersama masyarakat. Titah baginda yang meminta para pembesar negeri menempah kasut masing-masing daripada Salleh adalah sebagai ingatan kepada masyarakat untuk menghargai kemahiran dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab sosial membimbing bekas banduan. Program pemulihan oleh Jabatan Penjara wajar diteruskan oleh masyarakat umum supaya bekas banduan ini dapat diserapkan ke dalam masyarakat dengan cepat dan tanpa prasangka. Masyarakat adalah destinasi terakhir bekas-bekas banduan untuk hidup bersama.
Persepsi masyarakat terhadap bekas banduan seharusnya lebih positif lebih-lebih lagi yang mempunyai kemahiran dan kepakaran khusus. Kita tidak pernah mendengar pertubuhan bukan kerajaan yang khusus membantu bekas banduan ini memulakan hidup baru. Banyak faktor yang menyebabkannya begitu seperti sambutan masyarakat, kesukaran mengadakan aktiviti ataupun belum ada kesedaran terhadap memperkasa bekas banduan dan menyerapkan mereka ke dalam masyarakat.
Raja Dr. Nazrin Shah telah membuka langkah ke arah membantu bekas banduan untuk meraih semula kehidupan dengan membaiki kelemahan diri. Bagi Salleh, perkenan anak raja untuk mengadap dan bersama-sama berbuka puasa adalah satu bentuk sokongan yang sangat padu bagi kehidupan yang akan datang.
No comments:
Post a Comment