Sambutan ‘Aidilfitri 1427 Hijrah adalah tanda kemenangan umat Islam mengharungi sebulan berpuasa pada bulan Ramadhan. Kemeriahan sambutan ini telah pun dirasai seminggu yang lalu dengan pesta jualan besar-besaran barangan keperluan untuk menyambut hari yang mulia ini. Jualan murah berterusan sehinggalah jam 12 tengah malam hari raya. Berkerumun pengunjung memilih apa sahaja yang boleh dibeli. Dari bayi, kanak-kanak kecil hinggalah ke warga emas, semuanya ada keperluan tersendiri yang dipenuhi. Tidak kisah berapa harganya asalkan boleh bergaya dengan pakian yang cantik.
Masyarakat Islam Malaysia dilimpahi dengan rezeki yang ruah. Tidak pernah kedengaran rakyat Malaysia mati kerana lapar kecuali mati kerana kemalangan jalan raya atau sakit jantung. Sekali-sekala mati kerana terkejut semasa menonton perlawanan bolasepak di televisyen, itu pun di sebelahnya ada makanan. Kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan keadilan sosial adalah tiga elemen yang sentiasa berpengaruh ke atas kesenangan rakyat Malaysia pada hari ini.
Sepanjang Ramadhan tahun ini, setiap hari di media ada sahaja ahli masyarakat yang didedahkan kemiskinan dan kedaifan hidup mereka dari seluruh negara khususnya Kelantan dan Kedah. Dua buah negeri ini adalah antara negeri paling miskin termasuk Sabah. Hidup di kampung, bilangan adik-beradik yang ramai dan tahap pendidikan yang rendah adalah penyumbang kepada kemiskinan hidup.
Peranan media di Malaysia amat berkesan mendedahkan keadaan hidup keluarga sebegini seperti pakaian yang tidak teratur, pinggan mangkuk yang tidak terurus dan keadaan rumah yang usang. Media pastilah mempunyai beberapa kriteria yang melayakkan sesebuah keluarga ini diberi perhatian dan umumnya terdapat dua kriteria iaitu bilangan adik beradik yang ramai dan terdapatnya anggota yang hilang keupayaan kekal. Ibu tunggal adalah biasa. Paparan demi paparan sama ada media massa dan elektronik akan mengundang simpati daripada masyarakat. Sikap dermawan rakyat Malaysia sangat terserlah pada bulan Ramadhan dan biasanya banyaklah sumbangan barangan keperluan harian dan wang ringit yang dihulurkan. Justeru, rakyat Malaysia secara umumnya dianggap sebagai pemurah dan ramailah peminta sedekah yang datang untuk menagih simpati di atas sikap dan sifat itu tadi.
Hari ini saja seramai 950 orang penduduk Iraq terkorban di sepanjang bulan Oktober 2006 kerana konflik peperangan. Di Malaysia, sejak Ops Sikap 11 dilancarkan, setiap hari lebih 10 orang maut di jalan raya. Kemalangan yang kecil seperti bermain mercun dan bunga api telah mencederakan kaki, tangan dan mata mangsa.
Hari raya sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan, memakan makanan yang lazat dan sedap serta memakai pakaian yang indah-indah. Inilah hari yang sangat ditunggu-tunggu umat Islam. Keadaan inilahyang ingin dkongsi oleh ramai umat Islam dengan golongan yang miskin dan daif. Kemeriahan berbelanja kepada orang miskin dan anak-anak yatim seharusnya menjadi amalan yang bertambah-tambah kepada umat Islam pada tahun-tahun yang akan datang.
Ramadhan 1427 Hijrah adalah madrasah pendidikan hati dan akhlak. Semoga kita yang melalui madrasah ini akan dapat melahirkan jiwa dan hati yang bersih seterusnya akhlak yang mulia.
No comments:
Post a Comment