Pendidikan adalah nadi kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara. Pendidikan juga merupakan indikator pencapaian pembangunan negara khususnya dalam sumber manusia. Jumlah penduduk yang ramai belum tentu mempunyai sumber manusia yang bijak jika tidak mempunyai pendidikan yang baik dan berkesan. Malahan terdapat negara yang mempunyai bilangan penduduk yang sedikit tetapi mempunyai rakyat yang terdidik dan menguasai pelbagai bidang. Negara Cuba umpamanya, merupakan sebuah negara yang kecil tetapi mempunyai perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa. Indonesia sebagai sebuah negara yang berpenduduk ramai, masih mempunyai bilangan rakyat termiskin yang berjumlah berjuta-juta orang.
Pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mengenai tujuh langkah usaha penambahbaikan sekolah di luar bandar adalah satu keputusan yang bijak. Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan jurang prestasi di antara sekolah bandar dan luar bandar. Selain itu, ia bagi memartabatkan perkhidmatan perguruan di luar bandar. Tujuh langkah berkenaan ialah :
1.Memantapkan perkhidmatan prasekolah di luar bandar.
2.Memperbaiki kemudahan asas sekolah.
3.Membina infrastruktur baru.
4.Membaiki sistem pengajaran dan pembelajaran.
5.Rancangan tambahan pemberian makanan.
6.Kemudahan elaun untuk guru.
7.Menambah kelas pemulihan di luar bandar.
Usaha ini diharap dapat mengurangkan perbezaan prestasi pendidikan antara sekolah-sekolah. Jumlah pelajar miskin yang hampir separuh juta orang di luar bandar akan mendapat manfaat sepenuhnya jika kesemua program yang dirancang itu dapat dijayakan sepenuhnya.
Bagi tempoh 14 tahun yang akan datang, Malaysia akan mencapai tahun 2020. Pembangunan sumber manusia ataupun modal insan adalah sasaran utama YAB Perdana Menteri bagi mempastikan pencapaian Wawasan 2020 adalah sesuatu yang bermakna. China dan India berbangga dengan bilangan penduduk yang ramai tetapi kita wajar berbangga dengan penduduk yang berpendidikan.
Pembangunan sekolah luar bandar yang dilengkapi dengan kemudahan sistem pengajaran dan pembelajaran akan mengurangkan banyak jurang pencapaian pelajar. Dianggarkan 61,000 kanak-kanak akan mendapat kemudahan makmal komputer, kelengkapan web-TV dan sistem komunikasi. Peruntukan yang disediakan ini adalah peluang keemasan untuk para pelajar di luar bandar meningkatkan tahap pendidikan mereka.
Keciciran di kalangan pelajar luar bandar akan memberi kesan besar terhadap masa depan mereka. Bilangan yang ramai akan memberi masalah sosial dari segi peluang pekerjaan, jenayah dan pembangunan modal insan. Tahap pendidikan yang rendah akan menghasilkan rakyat yang terhad pemikiran, rendah cita-cita dan tidak ada impian yang besar.
Kanak-kanak luar bandar yang membesar dengan tahap pendidikan yang rendah tidak mampu bersaing seterusnya ketinggalan dalam banyak aspek.
Dari mana mereka hendak mendapatkan pekerjaan yang baik? Tidak cukup dengan memotong getah atau menuai padi kerana pekerjaan sedemikian tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan jika dibuat dalam skala yang kecil dan menggunakan teknologi tradisional. Bagi yang mempunyai harta yang banyak tidaklah menjadi masalah kerana mereka boleh mengusahakannya tetapi bagaimana pula dengan yang sebatang kara dan tidak berharta?
Pendidikan adalah penentu hidup bagi masa depan seseorang. Tanpa latar belakang pendidikan yang baik, masa depan menjadi gelap dan tidak dapat meraih semua impian yang ada.
No comments:
Post a Comment