Saturday, November 04, 2006

Pembangunan sosial dalam RMK-9

Pembangunan ekonomi Malaysia sedang berada pada landasan yang kukuh bagi memasuki fasa awal 15 tahun ke arah Wawasan 2020. Kesungguhan kerajaan melaksanakan Misi Nasional dalam RMK-9 dapat dilihat berdasarkan lima teras utama iaitu :


1.Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi.

2.Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama”.

3.Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif.

4.Menangani tahap dan kemapanan kualiti hidup.

5.Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.


Kepentingan pembangunan sosial di Malaysia telah diberi keutamaan oleh kerajaan yang akan terus menekankan pembangunan negara secara keseluruhannya. Kefahaman pihak kerajaan terhadap isu-isu dalam pembangunan sosial semakin bertambah apabila mengambil pendekatan mengutamakan program pembangunan modal insan, pengupayaan pembangunan diri dan kerjaya serta program pembangunan sosial.

Pembangunan manusia merupakan satu konsep yang luas dan merangkumi program pemakanan, kesihatan, penyediaan perumahan dan pendidikan. Proses pembangunan manusia akan meningkatkan produktiviti hidup, menambah pendapatan dan mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan. Aspek yang sangat diutamakan dalam pembangunan manusia ini ialah modal insan yang menekankan dua aspek iaitu pengetahuan dan kemahiran. Bagi membangunkan modal insan, kerajaan telah memberi fokus terhadap tahap pendidikan, kemahiran latihan dan peningkatan tahap ekonomi. Secara mudah, modal insan memberi penekanan terhadap pembangunan individu supaya seseorang itu dapat meningkatkan kualiti diri sebelum bersama-sama dengan kumpulan atau komuniti kerja yang lain.

Memetik Kata Pendahuluan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan pada 31 Mac 2006, beliau menerangkan pendekatan yang menyeluruh terhadap pembangunan modal insan yang menekankan bukan sahaja ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi juga nilai etika, minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi.

Pembangunan yang terlalu menekankan modal insan semata-mata tidak akan melahirkan kejayaan yang menyeluruh kerana di negara yang maju sekali pun seperti Korea Selatan, amalan rasuah masih berleluasa suatu ketika dulu sehingga menggegarkan senario politik dan ekonomi negara berkenaan.

Kita yakin ingatan YAB Perdana Menteri mengenai nilai etika, minda yang sentiasa berfikir dan sensitiviti kebudayaan yang dimaksudkan adalah modal sosial. Tanpa menggabungjalinkan modal insan dan modal sosial, jadilah pembangunan negara yang sedikit pincang dan terencat.

Bagaimana kita harus menggerakkan modal sosial ini seiring dengan modal insan di Malaysia? Pembangunan modal insan melibatkan jaringan sosial yang pelbagai bagi meningkatkan pembangunan ekonomi masyarakat dan negara. Peranan jaringan sosial ini amat penting dan besar kerana :


1.Menambahkan pendapatan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

2.Meningkatkan pendapatan yang rendah ke aras yang lebih tinggi.


Kedua-dua kesan ini boleh dan dapat dicapai jika wujud kerjasama melalui jaringan sesama ahli dalam masyarakat kerana kerjasama ini mewujudkan peluang pekerjaan kepada ahli komuniti dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mengubah keadaan hidup mereka.

Dari huraian di atas, jelas bahwa modal sosial adalah lebih bermakna dan sangat berkesan jika kerajaan benar-benar ingin merealisasikan kadar kemiskinan pada kadar 2.8 peratus menjelang tahun 2010.

Usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar melalui peluasan program berpakej di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) seperti Program Peningkatan Ekonomi, Program Pembangunan Infrastruktur Asas dan Program Pembangunan Insan kepada golongan sasar bagi membangunkan modal insan dan bina upaya adalah satu langkah yang sangat membanggakan. Namun begitu, pelaksanaan program ini akan lebih cepat jika elemen modal sosial dijadikan sebagai agenda bersama supaya peranan kerajaan akan dapat diambil kira oleh komuniti apabila sampai tempoh tertentu program tersebut dilaksanakan.

Walaupun peruntukan untuk sektor sosial sebanyak RM86,869 juta (39.5 peratus), banyak kekangan yang akan mendominasi kejayaan pelaksanaannya. Sebagai contoh, pengaruh politik menjelang pilihanraya pasti dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak-pihak yang berkepentingan kerana kita menyediakan ruang bagi perkara sebegini berlaku.

Kejayaan pelaksanaan RMK-9 terletak pada berapa banyak usaha yang diberikan untuk melaksanakan setiap rancangan yang telah dikenal pasti bukannya berapa kerap kita bercakap untuk mengkritik “kenapa itu tidak boleh dibuat, ini tidak akan jadi dan sebagainya”. Inilah cabaran utama kepada agensi kerajaan dan swasta untuk merealisasikan Misi Nasional sebagai pemangkin pembangunan negara “Bersama ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang”.

No comments:

Post a Comment