Penagihan dadah dikaitkan dengan sebahagian besar kes jenayah sama ada kecil ataupun besar. Daripada kes mencuri kasut di masjid, lumba haram hinggalah memeras ugut dan membunuh ibu bapa sendiri.
Dari tahun 1998 hingga 2002, sebanyak 235,495 kes dilaporkan termasuk penagih baru dan berulang. Sehingga 2003 sahaja, bilangannya telah bercambah kepada 250,000 kes. Daripada jumlah ini, 6.7 peratus adalah remaja berusia di bawah 19 tahun, 42.21 peratus melibatkan penagih yang berumur 20 hingga 29 tahun, 32.76 peratus berusia 30 hingga 39 tahun dan 18.4 peratus melebihi umur 40 tahun.
Keseluruhannya 81.67 peratus penagih dadah merupakan remaja dan belia. Majoritinya adalah lelaki.
Dadah merupakan musuh utama negara. Kerajaan Malaysia pernah melancarkan perang terhadap kegiatan dadah ini dan mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar yang didapati bersalah. Hukuman ini dianggap sebagai antara yang paling tegas di dunia tetapi pertambahan kes penagihan berulang dan baru masih menunjukkan peningkatan. Sehingga tahun 2004, terdapat 255,725 penagih dadah di seluruh negara. Dianggarkan pada tahun 2015 nanti, jumlah penagih dijangka meningkat kepada 443,000 (NST, 23 Oktober 2004).
Kedudukan Malaysia yang hampir dengan segitiga emas pengedaran dadah di Indochina, menjadikan usaha pembasmian dadah lebih sukar. Namun begitu, usaha kerajaan yang tidak pernah berputus asa memberi pemulihan, pencegahan dan pengawalan ke atas penagih, pengedar dan pensubahat sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu kerajaan melalui pelbagai program yang dirancang.
Penagih dadah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Daripada penganggur hinggalah artis dan kakitangan kerajaan. Banyak sebab yang menjadikan mereka terjebak ke kancah penagihan dan pengaruh yang kuat ialah rakan sebaya.
Pengaruh kawan dilihat menjadi faktor penarik seseorang terpengaruh dengan penagihan dadah. Berjinak-jinak dengan rokok, ingin merasai nikmat “stim” dan mencari kepuasan adalah antara ruang-ruang yang menjurus kepada penagihan dadah yang juga dikira sebagai kes baru. Bagi kes berulang, tidak ada daya tahan yang kuat, menyendiri dan kerap menerima tohmahan menjadikan mereka kembali menagih.
Penagih remaja, Izham (bukan nama sebenar) merupakan pelajar tahun dua institusi pengajian tinggi swasta. Beliau ditangkap kerana kesalahan menghisap ganja. Semasa pemeriksaan dijalankan, air kencingnya dikesan ada unsur-unsur ganja berkenaan. Motif pengambilan ganja ini adalah kerana beliau ingin mencapai tahap “stim” ketika bermain gitar.
Seorang penagih tegar, Ilyas (bukan nama sebenar) menceritakan bahawa beliau telah menagih selama 30 tahun. Telah beberapa kali ditahan dan pusat serenti menjadi rumah kedua baginya. Tohmahan masyarakat dan kurang daya tahan menjadikan dirinya kembali menagih kerana tidak ada tempat untuk mengadu dan tidak sanggup menerima cercaan dan cacian daripada keluarga dan masyarakat setempat.
Seorang lagi, Mohd Sayuti (bukan nama sebenar) memberitahu ketika di kampung kelahirannya, beliau bukannya menjadi ”orang” kerana setiap masa akan berkumpul di ”pot” yang menjadi tempat pertemuan penagih sama ada menghisap ganja, menghidu gam atau minum air daun ketum. Kalau tidak ada wang untuk membeli dadah, dia akan mencuri apa sahaja bagi mendapatkan belanja membeli dadah.
Pertemuan dengan beberapa orang penagih dadah baru-baru ini mendedahkan betapa peranan keluarga amat penting bagi membantu memulihkan penagih ini kembali ke pangkuan masyarakat. Sokongan yang dimaksudkan bukannya belaian fizikal sahaja tetapi lebih kepada sokongan dan belaian emosi, kasih sayang dan pemedulian semua ahli keluarga.
Kadangkala bekas penagih yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga hilang semangat dan keyakinan diri kerana dipandang hina dan diperlekehkan. Di mana mereka hendak berkongsi kasih sayang yang ada jika kesedaran ahli keluarga amat rendah tentang betapa bermaknanya sokongan keluarga ini?
Keluarga juga berperanan menyediakan sokongan untuk memenuhi keperluan asas bekas penagih yang tidak mempunyai apa-apa lagi di dalam hidup mereka. Yang ada cuma diri sendiri, sehelai sepinggang kerana kemaruk dengan dadah. Justeru, keluarga perlulah melihat pengorbanan asas ini sebagai langkah penting memulihkan keyakinan diri bekas penagih supaya proses penyerapan kembali akan lebih bermakna.
Biasanya para pengedar akan mencari bekas-bekas penagih yang berazam untuk pulih. Mereka sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk menarik bekas penagih kembali menagih dan membuat keuntungan dalam penjualan dan pengedaran dadah. Tanpa kesedaran yang betul-betul bermakna, bekas penagih akan terus terjebak biar pun banyak wang yang telah dibelanjakan untuk membantu penagihan ini.
Kisah seorang penagih yang telah insaf mungkin boleh menjadi iktibar kepada kita betapa penagihan dadah ini boleh diatasi. Mohd Zulyiadi (bukan nama sebenar) merupakan penagih muda yang menjalankan dua kerja, penagih dan pengedar. Sejak awal pembabitannya, barang kemas dan wang ringgit dalam rumah selalu dicuri. Bagi menampung gian terhadap dadah, beliau memberanikan diri untuk menjadi pengedar dadah kecil-kecilan kepada penagih sehinggalah pada suatu hari, dia menghulurkan bungkusan kecil paket dadah kepada adik perempuannya sendiri. Ketika itulah, mencurah-curah datang keinsafan dalam dirinya untuk membuat perubahan.
Zulyiadi menangis terisak-isak mengenangkan nasib diri dan adik perempuannya yang baru sahaja diedarkannya dadah. Bermula dari situlah, beliau mula melawan ketagihan dadah. Dengan kamahuan dirinya dan sokongan keluarga, akhirnya beliau telah pulih dan kembali berkongsi dengan masyarakat untuk bersama-sama membantu bekas penagih yang secara sukarela mahu kembali ke pangkal jalan.
Jika ditanya kepada bekas penagih, apakah mereka mahu berubah? Hampir semuanya akan berkata ya kerana itulah hasrat sebenar mereka. Jika ditanya lagi bagaimana mereka mahu berubah? Pasti mereka akan katakan keluarga sebagai pendokong kepada perubahan hidup.
Jika demikian, kerajaan wajar melihat program kemahiran dan latihan kepada keluarga sebagai kelompok sokongan. Masyarakat mungkin tidak begitu peduli dengan apa yang berlaku tetapi peranan keluarga yang mengambil berat wajar disokong dan diberi pendedahan yang sewajarnya. Walaupun penagih sukar untuk berubah, sekurang-kurangnya ahli keluarga yang sedar dapat membantu mengawal dan memberi simpati kepada penagih untuk keluar daripada keadaan ini.
Peranan Agensi Antidadah Kebangsaan, Pemadam, Pengasih dan Pendamai serta pertubuhan bukan kerajaan adalah pelengkap kepada program pembasmian dadah ini. Pembinaan keluarga yang bermula dari peringkat awal hendaklah diberi pendedahan yang seluas-luasnya supaya tidak ada ahli masyarakat kita yang siang dan malamnya menangis mengenangkan betapa durjana dan dahsyatnya kesan dadah terhadap kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment