Pembentangan Bajet 2007 pada 1 September 2006 oleh YAB Perdana Menteri telah menggariskan empat program bagi merealisasikan usaha pembasmian kemiskinan di Malaysia. Terdapat kira-kira 67,000 isi rumah yang masih dikategorikan sebagai miskin tegar ketika ini. Insiden kemiskinan di Malaysia adalah 5.7 peratus pada tahun 2004 dan dijangka dapat dikurangkan kepada 2.9 peratus pada akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) nanti. Jumlah peruntukan Bajet 2007 kali ini ialah RM578 juta berbanding RM488 dalam bajet yang lalu. Jumlah yang besar ini akan membawa manfaat kepada lebih 110,000 penerima bantuan sedia ada dan dapat membantu lebih ramai lagi golongan yang kurang mampu.
Di peringkat antarabangsa, isu kemiskinan turut menjadi agenda yang sentiasa dibincangkan. Dalam Persidangan Menteri-Menteri ESCAP Mengenai Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Sosial (ESCAP’s Ministerial Conferences Social Welfare and Social Development) pada tahun 1991 telah menetapkan tiga tema sebagai teras untuk melaksanakan program pembangunan masyarakat yang merangkumi pembasmian kemiskinan, pengagihan yang saksama dan penglibatan masyarakat. Isu yang sama masih dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Pembangunan Sosial di Copenhagen pada tahun 1995 dan di Geneva pada tahun 2000.
Oleh yang demikian, isu kemiskinan adalah masalah sejagat yang perlu dibincangkan bersama. Pembentukan Wawasan 2020 yang hendak menjadikan Malaysia sebuah negara maju adalah selari dengan ”Millenium Development Goals” (MDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengutamakan keperkasaan ekonomi, pembangunan sosial dan penjagaan alam sekitar. Salah satu matlamat MDG ialah mengurangkan 50 peratus kadar kemiskinan yang ketara dalam tempoh 1990-2015. Kedua-dua dasar ini mempunyai objektif yang selari bagi meningkatkan keupayaan ekonomi masyarakat dan menekankan pembangunan sosial yang mantap dan menyeluruh.
Bagaimanapun kejayaan memerangi kemiskinan di negara ini telah berjaya memenuhi Matlamat Pembangunan Milenium lebih awal sebelum tahun 2015. Ini berdasarkan kepada kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan dengan banyaknya iaitu daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 16.5 peratus pada tahun 1990. Bank Dunia mendefinisikan kemiskinan sebagai :
Poverty is hunger. Poverty is lack of shelter. Poverty is being sick and not being able to see a doctor. Poverty is not being able to go to school and not knowing how to read. Poverty is not having a job, is fear of the future, living one day at a time. Poverty is losing a child to illness brought about by unclean water. Poverty is powerlessness, lack of representation and freedom.
Masyarakat Malaysia yang hidup di bawah garis kemiskinan tidaklah terlalu teruk kerana kerajaan sentiasa mengambil berat keadaan hidup mereka melalui pelbagai perancangan dan program. Selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, jumlah kemiskinan berjaya dikurangkan dari 50 peratus kepada kurang lima peratus pada masa ini di luar bandar.Bagi tahun 2007, empat program utama telah diperkenalkan iaitu :
1. Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat
Peruntukan bagi skim ini ialah RM156 juta yang melibatkan program peningkatan pendapatan, program latihan kemahiran dan kerjaya serta program kecemerlangan pendidikan. Skim ini turut memasukkan program pembangunan taska dan Skim Amanah Saham Bumiputera Sejahtera sebagai tambahan kepada program terdahulu.
2. Pembangunan Orang Asli
Orang Asli adalah komuniti yang sentiasa diberi perhatian. Peruntukan kali ini adalah sebanyak RM144 juta yang merangkumi program penempatan tersusun, kegiatan ekonomi dan infrastruktur sosial masyarakat ini.
3. Program Pembangunan Ladang Rakyat oleh FELCRA
FELCRA adalah salah satu agensi kerajaan yang terlibat dalam membuka kawasan pertanian baru yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar khususnya. Sejumlah 2500 hektar kawasan akan terlibat dalam program ini dan diperuntukkan sejumlah RM90 juta. Hasrat akhir program ini ialah menghapuskan kemiskinan tegar.
4. Pembukaan Ladang Getah oleh Lembaga Industri Getah Sabah
Kawasan Pitas di Sabah telah dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi untuk dimajukan sebagai satu strategi mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan. Seluas 2000 hektar kawasan akan terlibat.
Kerajaan akan memperhebatkan usaha membasmi kemiskinan terutama kemiskinan tegar bagi memastikan tidak ada lagi rakyat negara ini yang hidup dalam kedaifan dan melarat. Kerjasama semua pihak terutama sektor swasta dapat membantu kerajaan merealisasikan hasrat tersebut. Hasrat kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2009 diharap akan menjadi kenyataan kerana kemiskinan adalah di antara agenda yang sering dijadikan sebagai keutamaan khususnya dalam pembentangan bajet.
Rata-rata golongan miskin ini adalah masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar dan tidak mempunyai pendapatan yang besar. Oleh itu amat perlu bagi masyarakat Malaysia membantu usaha-usaha kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan ini biarpun mengambil masa yang agak panjang.
No comments:
Post a Comment