Saturday, November 04, 2006

Penempatan dan kesan sosial







Perkembangan pesat dalam sektor industri negara telah memberi kesan kepada peningkatan peluang pekerjaan. Keadaan ini telah merubah struktur sosial dan ekonomi negara yang menjurus kepada perkembangan pesat perindustrian dan perbandaran lalu memberi lebih banyak peluang ekonomi di pusat-pusat bandar. Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi negara telah mengakibatkan penduduk di pusat-pusat bandar bertambah dengan cepat tetapi sektor perumahan tidak mampu menampung kepesatan ini menyebabkan wujudnya penempatan segera yang tidak tersusun atau lebih dikenali sebagai setinggan.

Fenomena setinggan telah menjadi masalah utama negara sejak dari dulu lagi dan sering dikaitkan dengan gambaran atau imej yang berlawanan dengan nilai-nilai kekeluargaan. Antara imej yang sering dipaparkan ialah keadaan bangunan yang buruk dan berselerak, kemiskinan, masalah sosial, tidak ada kemudahan infrastruktur dan menjadi tempat tumpuan pendatang asing.


Setinggan secara umumnya dirujuk kepada seseorang atau segolongan orang yang mendiami atau menduduki sesuatu tanah secara haram atau melalui cara yang tidak sah dari segi undang-undang sama ada dengan cara pencerobohan ataupun melalui kaedah-kaedah yang lain. Berdasarkan kajian setinggan di seluruh negara, terdapat sebanyak 114,944 unit bangunan kediaman setinggan dengan anggaran penduduk setinggan berjumlah 557,679 orang yang ada di seluruh Malaysia. Jumlah kampung setinggan adalah 1032 buah yang tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah. Kebanyakan penempatan setinggan wujud di kawasan pantai, bekas-bekas lombong, rizab jalan, rizab sungai, rizab kereta api dan kawasan-kawasan pinggiran bandar yang belum dibangunkan. Setinggan berbeza dengan bandar kerana definisi bandar ialah kawasan yang diwartakan serta kawasan tepubina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai sejumlah penduduk seramai 10,000 atau lebih.

Hasil kajian yang diterbitkan oleh Buku Laporan Jabatan Perdana Menteri 1999 mendapati hampir semua penduduk setinggan adalah warga asing kecuali di Melaka dan Negeri Sembilan. Peratusan yang paling tinggi adalah di Sabah (warga Filipina) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (warga Indonesia). Penghijrahan warga asing tanpa kawalan ini telah menyebabkan wujudnya pelbagai implikasi seperti penempatan warga asing, masalah sosial dan jenayah. Analisis juga mendapati terdapat isi rumah setinggan yang berpendapatan kurang daripada RM460.00 sebulan (garis kemiskinan) dan berpendapatan kurang daripada RM300.00 sebulan (golongan termiskin). Ada juga sebilangan penduduk setinggan yang tidak mempunyai pelajaran formal dan berpendidikan sekolah rendah. Keadaan ini menyebabkan mereka ketinggalan dan terpinggir dari sektor pekerjaan dan pembangunan.

Kewujudan kawasan-kawasan setinggan ini telah memberi kesan buruk terhadap keharmonian masyarakat kerana ini dikatakan menjadi lubuk kepada pelbagai masalah sosial seperti mana yang berlaku di kawasan setinggan Jalan Klang Lama pada Mac 2001 yang lalu hingga menyebabkan enam orang mati dan lebih 40 orang cedera. Salah satu punca kejadian ini ialah faktor kemiskinan di samping kehadiran pendatang asing tanpa izin yang mengeruhkan lagi keadaan.

Takrif kemiskinan

Kemiskinan adalah satu konsep yang sukar ditafsir. Oleh yang demikian, ia bersifat subjektif dan memerlukan pertimbangan nilai yang mendalam. Kemiskinan pada umumnya meliputi elemen-elemen yang berikut : golongan yang tidak mempunyai keupayaan pendapatan, golongan yang tiada akses kepada sumber kuasa sosial dan golongan yang tidak menikmati keperluan asas (perlindungan, pemakanan, pendidikan asas, kesihatan, pekerjaan dan sebagainya) yang mengikut piawaian ukuran sara hidup sesuatu masyarakat bandar dan luar bandar (Berita Harian, 9 Disember 2004).

Menurut Rohana Yusof (1997), kemiskinan secara umumnya ditakrifkan sebagai ketidakupayaan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas yang minimum untuk hidup seperti keperluan makanan, perumahan, pakaian, pelajaran, kesihatan, kebajikan dan kemudahan sosial yang lain.

Bagi mengatasi masalah kemiskinan yang turut dikaitkan dengan setinggan, kerajaan telah merancang membina lebih banyak rumah kos rendah atau rumah mampu milik untuk dijual dan disewa bagi penempatan semula setinggan. Melalui Program Perumahan Rakyat (PPR), kerajaan menetapkan beberapa kriteria bagi pemilikan rumah iaitu : suami isteri mestilah warganegara Malaysia; telah berkahwin dan mempunyai anak; berdaftar dengan Jabatan Perumahan Bandaraya; dan pendapatan ketua keluarga atau pendapatan terkumpul suami dan isteri tidak kurang daripada RM201 dan tidak melebihi RM1200.

Mengapa wujudnya masalah-masalah sosial?

Tidak dapat siapapun menafikan bahawa dunia pada hari ini penuh dengan berbagai-bagai ragam dan masalah, sama ada kecil ataupun besar, remeh ataupun sukar, melibatkan golongan atasan ataupun bawahan dan sesiapa sahaja sepertimana yang berlaku pada peristiwa tsunami yang melanda sekitar Asia pada 26 Disember 2004 yang lalu. Pokoknya, sebahagian besar daripada masyarakat bersetuju bahawa dunia hari ini mengalami masalah sosial. Timbulnya masalah-masalah sosial ini yang berpunca daripada pendapatan rendah memang boleh dijangkakan. Bezanya cuma dari segi keseriusan masalah tersebut dan sejauh mana kita mampu mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan.

Mohd Shatar Sabran (2003) memberikan definisi masalah sosial sebagai satu masalah apabila sebahagian besar daripada ahli masyarakat ataupun sekumpulan masyarakat yang mempunyai pengaruh merasakan bahawa sesuatu perkara yang berlaku itu tidak baik dan bercanggah dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat. Lanjutan daripada itu, masyarakat dan kumpulan yang terlibat akan berusaha untuk mengubah ataupun memperbetulkan keadaan berkenaan.

Berpandukan kepada definisi masalah sosial ini, ia sebenarnya bersifat subjektif di mana berlakunya perubahan mengikut tempat, keadaan dan masa. Sesuatu perkara yang dianggap menyalahi dan menyimpang daripada norma masyarakat pada masa lalu tidak lagi dianggap sebagai masalah pada masa sekarang.

Bagi tujuan perbincangan ini, masalah sosial yang muncul setelah wujudnya penempatan yang tidak tersusun adalah sepantas penambahan setinggan yang berselerakan. Munculnya masalah yang berkaitan dengan komuniti setinggan yang tentunya sebahagian besarnya berpendapatan rendah menuntut setiap pihak untuk menilai semula perancangan bandar dan memaksa pihak kerajaan khususnya untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara kita yang dianggarkan kira-kira 50,000 keluarga atau satu peratus daripada keseluruhan 25 juta orang penduduk negara (Utusan Malaysia, 3 Jun 2004). Daripada jumlah ini, seramai 10,000 keluarga tinggal di kawasan bandar dan memenuhi kawasan setinggan. Dengan keadaan persekitaran yang tidak kondusif dan tidak ada sistem yang baik, golongan ini gagal untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak mempunyai kelayakan akademik, di samping terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.

Walaupun usaha gigih kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan pelbagai agensi yang terlibat, kadar kemiskinan belum dapat dihapuskan sepenuhnya, hanya dapat dikurangkan dari 16.5 peratus pada tahun 1990 ke 5.1 peratus pada tahun 2002. Bagi tempoh yang sama juga, kemiskinan di kawasan bandar telah berkurangan daripada 7.1 peratus ke 2.0 peratus. Walau bagaimanapun maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan 2004 melalui Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah menyatakan kadar kemiskinan tegar di negara ini ialah 0.7 peratus yang melibatkan 36,500 isi rumah.

Bagi sesetengah orang, memiliki rumah sendiri adalah salah satu keperluan primer yang perlu dipenuhi sebagai syarat bagi kesempurnaan hidup mereka. Misi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat setinggan sifar “menjelang tahun 2005” diharap dapat mempercepatkan proses pembangunan perbandaran yang lebih tersusun dan bersistematik.


Menurut kajian oleh Lawrence (1995), Nurizan (1991) dan Shahnaz (1996) (dalam Nurizan dan Laily Paim, 1999) menyatakan bahawa keadaan perumahan yang tidak menepati kelayakan minimum keperluan sesuatu projek perumahan akan memberi kesan yang negatif terhadap komuniti berkenaan seperti kesesakan, pencemaran persekitaran, tidak puas hati dan wujudnya kesan-kesan gejala sosial. Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah bagaimana mengatasi peningkatan yang mendadak penduduk bandar akibat daripada penghijrahan penduduk luar bandar yang meningkat dari 29 peratus pada 1970 ke 34 peratus pada 1980 seterusnya 50.5 peratus pada 1990 (Sixth Malaysian Plan, 1991).

Pembukaan bandar dan kawasan industri yang baru menarik minat penduduk luar bandar untuk mencari kerja di tempat-tempat ini di samping kemasukan tenaga buruh pekerja asing telah meningkatkan populasi di kawasan bandar yang memberi kesan secara langsung dan serius ke atas perkhidmatan perbandaran termasuk perumahan.

Teori dan pendekatan sosiologikal dalam memahami masalah sosial

Akhir-akhir ini banyak pihak yang melahirkan rasa gusar ke atas peningkatan tahap masalah sosial di kalangan masyarakat. Kerisauan golongan ini mungkin ada benarnya apabila melihat dan mengambil kira aliran semasa yang menunjukkan peningkatan terutama dalam kes jenayah dan salah laku. Dalam mengaitkan aliran-aliran ini dengan gejala sosial, adalah menarik sekali kita meneropong Laporan Awal Pihak Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (November 1999) kepada Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Sosial diambil kira.


Menurut laporan yang dikemukakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan bahawa kebanyakan aktiviti kumpulan salah laku bermula atau berlaku di kalangan penduduk yang berpendapatan rendah dan menetap di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti setinggan, rumah panjang dan rumah pangsa murah. Terdapat juga faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi gejala sosial ini seperti keciciran sekolah, penceraian dan kawasan persekitaran perumahan yang tidak mempunyai prasarana yang sempurna (Yayasan Strategik Sosial 2002).

Beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai menyumbang kepada masalah sosial yang berlaku di negara ini dan boleh dilihat daripada perspektif yang berbeza-beza. Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, pendidikan, persekitaran dan sebagainya. Walaupun pelbagai jenis pendekatan yang ditangani bagi memahami masalah sosial ini, hasil akhir ialah mengenal pasti punca dan cara mengatasi isu-isu sosial berkenaan.

Setelah mengetahui perbezaan persepsi terhadap masalah sosial, para intelektual dan sarjana pula berpendapat bahawa perbezaan persepsi tersebut dapat dibahagikan kepada dua iaitu yang pertama berpendapat bahawa “masalah sosial adalah suatu yang objektif seperti pembunuhan, penderaan dan masalah dadah” manakala persepsi yang kedua pula berpendapat “masalah sosial adalah suatu yang subjektif dengan mengambil kira lokasi, siapa dan bila ia dibincangkan”.

Bagi memahami masalah sosial dengan lebih terperinci, apa yang perlu diberi perhatian ialah mengenal pasti bagaimana sesuatu masalah yang melibatkan sesebuah masyarakat itu memberikan maklum balas atau reaksi terhadap gejala sosial tersebut. Bagi memudahkan huraian, Herbert Blumer (dalam Zaid Ahmad, 2002) mencadangkan pusingan hidup sebagai masalah sosial dibahagikan kepada : 1) penemuan masalah sosial, 2) pengesahan masalah tersebut sebagai masalah sosial, 3) langkah-langkah pencegahan, 4) menyediakan pelan rasmi untuk tujuan pembasmian, dan 5) pelaksanaan keputusan.


Blumer menyatakan dengan lebih lanjut bahawa kelima-lima peringkat ini berlaku secara evolusi. Sesuatu masalah sosial perlu melalui kelima-lima peringkat di atas secara tidak langsung. Pada peringkat pertama, masyarakat akan merasakan wujudnya masalah sosial tetapi tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang boleh memudaratkan.

Peringkat seterusnya ialah masyarakat mula menyedari kesan yang berlaku akibat daripada masalah sosial yang terjadi. Mereka menyedari bahawa masalah yang dihadapi sememangnya tidak baik dan boleh menjejaskan nilai serta norma masyarakat tersebut. Pada peringkat ini juga masalah sosial yang berlaku sudah mula menunjukkan kesan-kesan negatif yang perlu dibendung dengan segera.

Apabila masyarakat menyedari bahawa masalah sosial yang timbul itu sememangnya boleh memberikan kesan buruk dalam jangka masa panjang, maka masyarakat tersebut akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan masalah itu menular. Pada peringkat ini pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan kesan negatif akibat daripada masalah sosial yang berlaku.

Pada peringkat terakhir pusingan evolusi masalah sosial ini, masyarakat telah mula menyedari bahawa langkah-langkah pencegahan dan penyelesaian yang telah diambil sebelum ini dapat dilaksanakan dengan baik. Masalah sosial yang sebelum ini berlaku dapat dibanteras dengan baik dan situasi ini wajar terus dikekalkan. Masalah sosial yang berlaku di Malaysia dalam apa keadaan sekalipun boleh dikupas dan dibahas dengan lebih mendalam menggunakan pendekatan-pendekatan tertentu. Antaranya ialah pendekatan sosiologikal iaitu satu bidang saintifik yang mengkaji perlakuan individu secara khusus dan masyarakat amnya.


Intipati utama yang menjadi fokus kepada bidang sosiologi ialah bagaimana perlakuan manusia dapat dipengaruhi oleh sekumpulan individu yang membentuk sesebuah masyarakat di dalam sesuatu kawasan. Ia juga meletakkan fokus kepada interaksi sosial yang berlaku dalam sesebuah masyarakat dan bukan kepada individu itu.

Pada dasarnya terdapat lima teori atau pendekatan utama yang boleh membincangkan masalah sosial yang berlaku. Teori-teori yang dimaksudkan ialah teori patologi sosial, teori kecelaruan sosial, teori konflik nilai, teori salah laku dan teori melabel.

Teori patologi sosial menerangkan bahawa seseorang individu yang terlibat dengan masalah sosial dan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat adalah dianggap sebagai individu yang tidak sihat mentalnya dan perlu dikenakan hukuman. Jika sesebuah masyarakat itu terdiri daripada individu yang mempunyai mental yang bersih dan waras, teori ini berpendapat bahawa masalah sosial tidak akan berlaku.


Contoh berlakunya masalah sosial mengikut teori ini sangat mudah dan jelas. Ianya terpampang di dada-dada akhbar setiap masa iaitu sumbang mahram yang semakin mendapat perhatian ramai. Sehingga bulan Jun dan Julai 2002 sahaja, dilaporkan sebanyak 170 kes telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Daripada jumlah ini, 43 kes melibatkan bapa dengan anak manakala 37 kes lagi melibatkan bapa saudara. Kejadian ini memperlihatkan wujudnya ketidakwarasan mental sesetengah individu di dalam masyarakat yang sanggup menghancurkan masa depan anak sendiri. Keadaan ini boleh menjadi lebih serius dan menjadi-jadi jika golongan berpendapatan rendah dan mempunyai tahap pendidikan yang rendah tidak mampu mengawal nafsu akibat terdedah kepada bahan-bahan porno.

Teori kedua yang dibincangkan ialah teori kecelaruan sosial. Teori ini menjelaskan bahawa masalah sosial yang berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan peraturan-peraturan yang digubal untuk berfungsi dengan baik dan berkesan. Dalam erti kata yang mudah, apabila berlakunya masalah yang melibatkan masyarakat tertentu, masyarakat tersebut seolah-olah tiada hala tuju kerana tidak ada undang-undang dan peraturan khusus yang dijadikan panduan.

Bagi teori ini, ia ada kaitan rapat dengan kesan penghijrahan ke bandar yang menimbulkan masalah sosial. Peranan yang longgar oleh pihak yang bertanggungjawab menangani hal ini menyebabkan penduduk setinggan dan penghuni rumah pangsa seringkali berhadapan dengan masalah sosial.

Teori seterusnya ialah teori konflik nilai yang menyatakan bahawa konflik akan wujud sekiranya terdapat jurang perbezaan sosial yang luas di antara satu kelompok masyarakat dengan kelompok masyarakat lain. Konflik juga akan berlaku jika sesuatu kelompok itu tidak menghormati adat dan sensitiviti kelompok yang lain. Bagi menerangkan teori ini, contoh yang mudah ialah pengelompokan sesuatu puak mengikut negeri di sesuatu kawasan perumahan setinggan. Akibat perbezaan adat dan budaya, seringkali berlaku tuduh-menuduh dan salah faham sesama sendiri hingga menimbulkan rasa dendam dan benci. Sikap chauvinistic dan menganggap budaya dan nilai yang dipunyai kelompok sendiri lebih hebat daripada kelompok yang lain menambahkan lagi kerumitan konflik dan salah faham.

Bagi teori salah laku pula, masalah sosial yang wujud di dalam sesebuah masyarakat itu akan mendapat perhatian daripada masyarakat yang lain.


Oleh yang demikian, masyarakat yang memerhati tadi akan berpandangan negatif dan mula menunjukkan reaksi menolak. Teori ini menjelaskan bahawa peraturan yang ada mendapat tentangan daripada golongan yang tidak berpuas hati dan sebagai langkah untuk menunjukkan rasa tidak puas hati ini, mereka mula terlibat dengan pelbagai masalah sosial. Sebagai contoh, remaja yang melepak dan membuat bising di kawasan perumahan kerana mengalami krisis kekeluargaan. Lama-kelamaan mereka berkumpul dan mewujudkan kumpulan yang berunsurkan bantahan seperi “punk” dan “Mat Rempit.”

Teori yang terakhir ialah teori melabel yang sangat berkait dengan aspek pengukuhan tingkah laku. Akibat daripada label yang terus menerus dilakukan, individu yang mendapat label tersebut akan beranggapan bahawa tindakan yang dilakukan olehnya memang patut diberikan label yang sedemikian rupa. Sebagai contoh, jika kita memberi label seseorang kanak-kanak itu nakal, tindakannya selepas itu pun akan turut memperlihatkan sikap nakalnya. Pelabelan yang terus menerus akan menyebabkannya selesa dengan tingkah laku berkenaan dan akhirnya terlibat dengan pelbagai jenis masalah sosial.

Jika kita perhatikan senario masalah sosial di Malaysia, tidak ada satupun faktor terkuat yang dikenal pasti mempengaruhi gejala sosial ini. Terdapat faktor seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan pendapatan. Disebabkan desakan dan hidup, ada segolongan individu tidak dapat bertahan yang menyebabkan timbulnya masalah ragut, dadah, mencuri, gangsterisme, buli dan bermacam-macam lagi.

Masalah-masalah sosial yang timbul


a) Kemerosotan pencapaian akademik

Banyak perkara yang boleh mempengaruhi tahap pencapaian akademik seseorang pelajar. Antaranya ialah tahap pendidikan ibu bapa, pekerjaan, pendapatan keluarga dan saiz sesebuah keluarga. Menurut Noraini (dalam Zarinah Arshat dan Rozumah Baharudin,1999), anak-anak dari keluarga yang mempunyai status sosioekonomi yang tinggi adalah lebih maju dalam persekolahan dan memperolehi lebih tinggi gred pencapaian berbanding anak-anak dari keluarga yang mempunyai status ekonomi yang rendah. Ini adalah kerana dalam keadaan status sosioekonomi yang tinggi, ibu bapa mampu dan boleh menyediakan kemudahan dan persekitaran yang selesa untuk perkembangan pelajaran yang cemerlang.

Ramai pengkaji sosial sama ada di dalam ataupun luar negara membuat kajian ke atas perkaitan di antara faktor latar belakang keluarga dengan tahap pencapaian akademik. Zainah dan Rozumah (1999) telah membuat kajian mengenai faktor-faktor yang membantu kepada pencapaian akademik para pelajar di sekitar Kuala Lumpur. Kajian ini melibatkan seramai 102 orang ibu bapa yang dipilih secara rawak. Anak-anak yang berumur di antara 10 hingga 11 tahun telah terpilih dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati jumlah tahun pendidikan yang diterima oleh ibu bapa mempunyai perkaitan yang signifikan dengan pencapaian akademik anak-anak. Ini bertepatan dengan kajian-kajian sebelumnya oleh Anuar (1990) yang menyatakan bahawa semakin tinggi tahap pendapatan ibu bapa, pencapaian anak-anak lebih baik.

Dari segi Teori Hirarki Maslow, didapati kefahaman kita terhadap perkara ini lebih jelas jika kita dapat mengaitkan keperluan manusia dan tahap-tahap pencapaian yang akan diperolehinya. Menurut Maslow, manusia didorong oleh keperluan-keperluan tertentu iaitu keperluan yang rendah atau bawah perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum dapat meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Ibu bapa yang berpendapatan rendah lebih banyak menumpukan usaha mereka untuk memenuhi keperluan asas seperti mendapatkan makanan dan tempat tinggal yang lebih selesa.


Apabila keperluan-keperluan asas tidak dapat memenuhi kehendak mereka, isu-isu lain yang lebih penting sering diabaikan seperti pendidikan anak-anak dan tahap kesihatan keluarga. Jika dikaitkan dengan Teori Hirarki Maslow ini, ternyata pendidikan anak-anak tidak banyak diberikan perhatian oleh ibu bapa sehinggalah keluarga tersebut menikmati status ekonomi keluarga yang memuaskan. Adalah sukar bagi anak-anak untuk memberi perhatian yang lebih terhadap pelajaran sedangkan pada masa yang sama memikirkan apa yang perlu dimakan untuk mengelakkan kelaparan, tempat belajar yang tidak kondusif dan tidak ada duit untuk beli makanan dan minuman semasa ke sekolah. Keghairahan anak-anak yang masih muda ini untuk belajar hanya tinggal impian dan seterusnya kejayaan yang diingini tidak akan kesampaian.

b) Masalah penyalahgunaan dadah di kalangan remaja

Penyalahgunaan dadah dewasa ini telah dianggap sebagai masalah sejagat. Daripada kes mencuri kasut di masjid, penceraian keluarga hinggalah sanggup membunuh ibu bapa sendiri, ia menjadi episod yang tiada penghujung. Setiap hari sama ada di media massa ataupun elektronik, berita mengenai dadah tidak pernah habis hingga ia menjadi imun kepada sesetengah orang. Jika kita menyelusuri statistik penyalahgunaan dadah di Malaysia, kajian yang dilakukan oleh V. Ravaratnam dan C.P Spencer, 1976 (dalam Mahmood Nazar,1989) boleh dijadikan panduan. Menurut pengkaji ini, kebanyakan individu mula-mula mengambil dadah di Malaysia adalah mereka yang berumur 16 hingga 20 tahun.


Statistik yang diperolehi juga menyatakan bahawa kebanyakan daripada mereka yang mula menggunakan dadah adalah di antara umur 10 hingga 20 tahun, satu penemuan yang jelas memberitahu kita bahawa remaja mula mengenal dadah seawal usia 10 tahun. Soalnya ialah, bagaimana masalah dadah ini boleh menembusi dan menjadi sebahagian daripada hidup remaja pada awal usia 10 tahun ? Dan itupun telah dikenal pasti 29 tahun yang lalu! Apakah pada tahun 2005 ini yang dianggap sebagai era teknologi maklumat dan digital, ditambah pula dengan kepesatan pembangunan negara, anak-anak yang berumur 7 tahun sudah pun mengenal dadah ? Tepuklah dada dan fikirkan kesannya.

Mahu ataupun tidak, faktor ekonomi keluarga dan perkembangan persekitaran turut membantu mewujudkan masalah dadah biarpun pada peringkat awal usia. Kajian ini telah mengenal pasti lapan sebab penagih terjebak dengan dadah iaitu perasaan ingin tahu, melupakan masalah, pengaruh kawan sebaya, membantu proses pembelajaran, untuk memahami diri sendiri, inginkan keseronokan, ingin bebas dan mahu memahami rasa yang berbeza. Daripada lapan sebab tersebut, separuh daripadanya boleh dikaitkan secara langsung dengan kekeluargaan yang terdiri daripada pelbagai alasan.

Jiwa remaja penuh dengan impian yang kadangkala boleh merosakkan masa hadapan. Suka mencuba, tidak mahu dikongkong dan ingin bebas sepenuhnya. Mereka akan cuba menunggang motosikal dengan laju, berambut “punk”, menghisap rokok seperti gaya seorang “hero”, berpasang-pasangan dan menyertai kumpulan rakan sebaya yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat setempat.

Masalah sosial yang paling utama ini, jika dirujuk kepada teori psikososial Erikson, beliau percaya bahawa konflik psikososial yang dihadapi oleh remaja hanyalah satu iaitu mencari identiti. Mereka akan melakukan semua perkara demi untuk memenuhi impian sendiri. Kemudaratan akan muncul dan bertukar menjadi tragedi sekiranya penerokaan diri ini tersalah sasar kepada penyalahgunaan dadah.

Kerapkali ibu bapa terperangkap di antara memenuhi kehendak mereka sendiri dengan keperluan perkembangan anak-anak remaja. Sekali lagi punca masalah ini tidak dapat tidak dikatakan berpunca daripada keluarga. Dadah tidak terikat hanya kepada keluarga berpendapatan rendah kerana ia boleh menjangkau sesiapa sahaja. Hanya kesedaran dan langkah-langkah pencegahan yang mampu membendung gejala ini berterusaan menjadi barah dalam masyarakat.


Di sinilah peranan ibu bapa, pihak sekolah, jawatankuasa kampung atau taman seterusnya agensi-agensi penguatkuasa benar-benar diharapkan. Pengemblengan sumber-sumber ini dapat menangani penularan penyalahgunaan dadah untuk jangka masa panjang khususnya di kalangan remaja.

c) Keciciran sekolah

Kanak-kanak yang tercicir dari sekolah (school dropout) adalah salah satu faktor langsung yang ada kaitannya dengan keupayaan keluarga berpendapatan rendah terhadap kepentingan pendidikan kepada anak-anak. Bagi kanak-kanak ini yang tercicir dan tidak lagi menyambung pelajaran mereka, kesan jangka panjang ialah kesukaran mencari pekerjaan terutama yang melibatkan kemahiran teknologi. Jika mendapat pekerjaan sekalipun, jumlah pendapatan yang akan diperolehi amat berkurangan berbanding pelajar yang memiliki diploma atau ijazah. Peluang mereka untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi amat tipis apatah lagi wujudnya persaingan yang sangat sengit dalam pasaran kerja pada masa kini.


Golongan yang tercicir ini juga terpaksa berhadapan dengan kesusahan dan kesempitan hidup kerana tekanan ekonomi yang dihadapi. Kesan jangka pendek yang menjadi pilihan golongan ini ialah melibatkan diri dalam kegiatan anti sosial seperti mencuri, meragut, merompak, gangsterisme, mengedar dadah dan menyeluk saku. Kegiatan anti sosial ini akan lebih ketara apabila pendapatan yang diperolehi tidak konsisten dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Keciciran dari sekolah akan menjadi-jadi dan bertambah buruk apabila faktor kemiskinan dan hidup merempat meliliti kehidupan keluarga terutama di kawasan setinggan. Adalah lebih mudah bagi ibu bapa untuk memutuskan bahawa menamatkan pendidikan anak-anak akan mengurangkan beban keluarga kerana mereka boleh membantu mencari sumber pendapatan untuk keluarga. Maknanya di sini, beban mencari sumber kewangan telah ditanggung bersama-sama. Akhirnya, dengan kata lain, kanak-kanak yang tercicir ini akan menghadapi masa depan yang sama seperti yang dialami oleh ibu bapa mereka sebelum ini.

Kajian yang dijalankan oleh Yayasan Strategik Sosial (2002) ke atas faktor-faktor yang mempengaruhi keciciran ini telah mengenal pasti lima penyebab utama iaitu kekeluargaan, sikap pada diri sendiri, sistem persekolahan, kesihatan dan persekitaran. Apa yang menarik daripada kajian ini ialah meletakkan faktor keluarga sebagai punca utama masalah keciciran yang berlaku dan sebab utama ialah pendapatan ekonomi keluarga yang rendah. Kehidupan yang miskin dan daif memaksa ibu bapa merelakan anak-anak mereka khususnya yang sulung berhenti sekolah dan mula mencari pendapatan sendiri.

Faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi minda dan perlakuan seseorang. Segolongan kanak-kanak lebih mudah mengikut apa yang berlaku di sekitar mereka tanpa mengetahui baik dan buruknya. Kajian Setinggan Lembah Klang oleh Yayasan Strategik Sosial pada 2001 menunjukkan kebanyakan pelajar tercicir dari sekolah berasal dari perkampungan setinggan.


Apabila seseorang pelajar bergaul dengan rakan yang tercicir, besar kemungkinan pelajar itu pun turut tercicir dari sekolah. Secara psikologi, gerak geri dan perlakuan pelajar yang tercicir lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan dengannya. Dalam kes-kes tertentu, pelajar yang tercicir cuba mempengaruhi kawan-kawannya yang lain untuk menyertai tindakannya yang lebih menyeronokkan. Di samping itu kegelojohan pihak sekolah yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian akademik di kalangan pelajar memberi tekanan ke atas pelajar yang lemah dalam pelajaran.

d) Keganasan rumah tangga

Keganasan rumahtangga bukan satu perkara yanag baru wujud di negara kita, malah telah lama. Cuma bentuknya yang berbeza dari generasi ke generasi. Ia termasuk penderaan atau penganiayaan terhadap suami, isteri atau anak-anak. Keganasan dalam rumahtangga dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang melibatkan serangan, sentuhan, gangguan, kekejaman mental dan fizikal, penganiayaan seksual atau apa-apa perbuatan pencerobohan atau aniaya (Roslee Hj Abbas, 1999).

Di antara punca terkuat berlakunya keganasan rumahtangga ini ialah tekanan hidup dan kaitannya dengan kedudukan kewangan keluarga yang tidak kukuh. Ada kalanya sikap kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri yang saling tidak memahami di antara satu sama lain. Sikap isteri yang suka meminta-minta akan menyebabkan jiwa suami akan merasa tertekan. Bagi mengatasi masalah ini, suami akan menggunakan kata-kata kesat, herdikan atau pukulan bagi mengatasi tekanan. Malahan keadaan akan menjadi lebih parah jika suami mengambil jalan singkat bagi mengatasi tekanan dengan meminum alkohol secara berlebihan dan pertimbangan akal yang rasional tidak mampu mengawal diri. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, ia akan mencetuskan pergaduhan atau konflik yang berkisar mengenai isu-isu kewangan, peranan isteri dan sebagainya.

Kesempitan wang dan tekanan hidup sedikit sebanyak akan memaksa keluarga mencari jalan singkat untuk keluar daripada masalah yang sementara tersebut. Meminjam wang daripada ceti haram atau “Along” dirasakan menjadi pilihan. Akibat tidak mampu membayar balik pinjaman, suami atau isteri takut untuk pulang ke rumah kerana bimbang akan “dikenakan” oleh samseng yang dihantar oleh Along. Bermulalah episod hitam dalam keluarga dengan suami menyalahkan isteri dan isteri menyalahkan tindakan suami. Mangsanya ialah anak-anak. Minda anak-anak yang telah dicemari dengan pertelingkahan, pergaduhan dan penderaan bapa ke atas ibu memberi mesej bahawa keganasan dalam rumahtangga adalah satu bentuk hukuman yang diiktiraf dan dibolehkan.

Bagi mengatasi masalah ini, keganasan rumahtangga ini wajar dibendung dan diatasi supaya sikap kasih sayang, toleransi dan hormat menghormati akan terus kekal mekar dalam keluarga. Walaupun terdapat Akta Keganasan Rumahtangga 1994, diharap ia akan menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan kemelut sesebuah rumahtangga.


Menangani kesan-kesan sosial

Perkembangan ekonomi Malaysia yang pesat pada tahun 1990-an telah mewujudkan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum menyertai setiap aspek pertumbuhan ekonomi. Mengejar kekayaan telah menjadi rutin sebilangan besar masyarakat khususnya di bandar berbanding di luar bandar menjadikan kita tidak terlepas daripada mengalami pelbagai cabaran dan rintangan dalam bentuk isu-isu sosial yang bermacam-macam.

Jika perbandaran dijadikan sebagai contoh, kebanyakan daripada penduduk di kawasan perumahan khususnya setinggan adalah penghijrah dari luar bandar. Penghijrah ini mempunyai perasaan kebersamaan yang sangat sedikit kerana masih merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada komuniti asal. Pada ketika nilai-nilai seperti tolong menolong, gotong-royong, bertanya khabar dan mesra tetap utuh diamalkan di kampung, setibanya di bandar dan berhadapan dengan suasana baru yang serba berbeza, mereka mudah dan rela untuk membiarkan nilai-nilai ini luntur sedikit demi sedikit. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jikalau sebahagian masyarakat di bandar lebih mengharapkan bantuan daripada agensi-agensi awam untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kita boleh juga menangani masalah sosial secara teknikal melalui susun atur dan perancangan yang teratur kawasan perumahan. Di mana-mana sahaja tanpa dapat dinafikan bahawasanya perumahan merupakan dasar dan asas utama bagi pembentukan keluarga yang sejahtera seterusnya masyarakat harmoni. Oleh yang demikian, kemudahan-kemudahan asas di kawasan perumahan seperti padang permainan, taman dan jalan pengangkutan serta sistem pendidikan wajar diutamakan. Semua elemen ini akan mewujudkan iklim hidup yang lebih kondusif dan menyihatkan melalui interaksi, tegur menegur dan bertanya khabar. Kepentingan menyediakan kawasan perumahan yang diisi dengan tempat rekreasi dan sistem pendidikan yang lengkap harus dijadikan fokus kepada perancangan sesuatu penempatan.

Kerajaan Malaysia melalui Laporan Mid Term Review of Eighth Malaysia Plan menyatakan bahawa dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, pelbagai program pembangunan perumahan telah dilaksanakan dan prestasi keseluruhan program perumahan ini amat menggalakkan dengan pencapaiannya melepasi sasaran Rancangan. Kelangsungan pencapaian ini diteruskan lagi dalam Rancangan Malaysia Kelapan dengan keutamaan akan terus diberikan kepada pembangunan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Bersesuaian dengan matlamat tersebut, perkhidmatan perumahan yang baik akan meningkatkan lagi kualiti hidup, menyemai nilai-nilai positif dan menggalakkan sikap berdikari seterusnya akan memperbaiki kehidupan sosial.

Oleh kerana kepadatan penduduk di kawasan setinggan yang tinggi dikatakan sebagai salah satu faktor timbulnya masalah-masalah sosial, tindakan proaktif pihak kerajaan dalam mencari punca kepada masalah tersebut sangatlah dihargai. Dalam usaha mencapai setinggan sifar, sejumlah 800,000 unit rumah telah dirancang untuk dibina bagi memenuhi keperluan rumah (RMKe-7).


Bagi rumah kos rendah, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi meningkatkan kualitinya. Antaranya ialah memperkenalkan reka bentuk baru dengan keluasan lantai 60 meter persegi termasuk tiga bilik tidur serta ruang untuk mencuci dan menjemur pakaian. Berbanding dengan dua bilik sebelum ini yang menimbulkan kesesakan di dalam rumah, ruang lantai yang lebih luas dan penambahan satu bilik menjadikan urusan harian penghuninya yang terdiri daripada ibu bapa dan anak lelaki serta perempuan dapat menerapkan dan mengukuhkan nilai-nilai Islam dalam keluarga tersebut.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan program perumahan khususnya rumah kos rendah, kerajaan telah memperkenalkan tiga program perumahan iaitu :

a) Proram Yayasan Perumahan Untuk Termiskin (YPUT) untuk disewa oleh peserta. Program ini dibiayai oleh Bank Negara Malaysia dan mensasarkan sejumlah 20,963 unit rumah di seluruh negara.

b) Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. PPR telah diperkenalkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dengan sasaran pembinaan sejumlah 54,679 unit rumah untuk disewakan kepada setinggan di seluruh negara.

c) Program Perumahan Rakyat (PPR) Dasar Baru telah mensasarkan pembinaan sejumlah 90,000 unit PPR di seluruh negara. 50,000 unit daripadanya akan disewakan sementara 40,000 unit pula akan dijual. PPR Dasar Baru ini akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan.

Usaha kerajaan menubuhkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 1997 dan memperkenalkan skim harga baru telah meningkatkan bekalan rumah yang berharga tidak melebihi RM150,000.00 melalui kemudahan pembiayaan dan skim harga empat peringkat yang menetapkan harga rumah kos rendah dalam lingkungan RM25,000.00 hingga RM42,000.00. Insentif ini dilaksanakan bagi memberi galakan kepada pemaju perumahan supaya bergiat dengan lebih aktif dalam menyediakan rumah kos rendah untuk rakyat.

Institusi kewangan juga turut menawarkan pelbagai insentif seperti pembiayaan sehingga 95 peratus, pengecualian yuran pemprosesan dan tempoh bayaran bagi pinjaman dilanjutkan sehingga 30 tahun. Yuran guaman bagi perjanjian jual beli dan pinjaman juga telah dikurangkan. Keazaman pihak kerajaan dan kesedaran sosial pihak swasta telah mewujudkan “win-win situation” yang mana pemenang mutlaknya ialah rakyat.

Berdasarkan pada Banci 2000, jumlah unit perumahan di Malaysia telah meningkat daripada 4.06 juta pada 1991 ke 5.55 juta pada 2000 iaitu sebanyak 37 peratus dalam tempoh 9 tahun ini. Sejajar dengan pertambahan unit rumah dalam rancangan kerajaan, sewajarnya jugalah kemudahan-kemudahan asas diperbaiki bagi keselesaan penghuninya. Kemudahan bekalan air paip yang dirawat, bekalan elektrik dan kutipan sampah adalah tiga asas utama yang patut diperhati dan dibaikpulih apabila sesuatu projek perumahan hendak dibangunkan. Selain daripada itu, sistem penyelenggaraan yang teratur dimantapkan bagi memastikan bangunan dan kemudahan yang disediakan serta kemudahan awam yang lain dapat diselenggarakan dengan baik, bersih dan selamat.

Satu perkara yang sangat ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika satu tahun menjadi pemimpin Malaysia ialah memberikan fokus terhadap pertumbuhan ekonomi luar bandar dan agenda kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia di samping memberi tumpuan kepada pelaksanaan program ekonomi global
. Pelaksanaan pelbagai dasar seperti Dasar Sosial Negara (DSN) yang dilancarkan pada 2003 ketika Datuk Seri Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri menandakan satu strategi yang dinamik ke arah pelaksanaan dan pengurusan pembangunan sosial di Malaysia.

Perspektif “sosial” dalam DSN merujuk kepada kehidupan dan jalinan perhubungan yang wujud di kalangan individu dan keluarga dengan anggota-anggota masyarakat dalam mencapai persekitaran yang baik dan memberangsangkan, merangkumi aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan dan persekitaran yang sihat.

Dasar yang lengkap dan praktikal ini menetapkan empat objektif sebagai sasaran bagi keseimbangan pembangunan insan dan negara. Objektif-objektif tersebut ialah :

1.Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi
2.Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat
3.Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial
4.Menjana sinergi multisektor

Kelangsungan kejayaan DSN ini kini diteruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan strategi yang lebih mantap dan berorientasikan pembangunan sosial serta memberi fokus kepada wanita, keluarga dan masyarakat.

Dari segi keprihatinan kepimpinan, Perdana Menteri telah menyatakan dengan jelas di dalam pembentangan Bajet 2006 bahawa dua daripada empat strategi pokok bajetnya ialah menumpukan kepada pembangunan manusia iaitu :

1.Membangunkan modal insan
(human capital)
2.Meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat

Bagi menjayakan agenda sosial ini, Datuk Seri Abdullah telah membuat keputusan memberi peruntukan kewangan 2006 kepada sektor sosial sebanyak 9.9 bilion ringgit berbanding 5.6 bilion ringgit untuk sektor pertahanan dan 3.6 bilion ringgit untuk pentadbiran pembangunan. Bagi pembangunan sumber manusia atau human capital, beliau membuat keputusan memperuntukkan 29 bilion ringgit atau satu per lima daripada peruntukan Bajet 2006 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Sebanyak 5 bilion ringgit telah diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan pelajaran dan latihan untuk guru, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Di samping itu, peruntukan sebanyak 493 juta ringgit disediakan bagi menampung 98 ribu pelajar di sekolah teknikal, vokasional dan institusi latihan kemahiran.

Selain itu, peruntukan hampir satu bilion ringgit disediakan bagi latihan perdagangan dan industri yang sedang dilaksanakan di Institut kemahiran MARA, Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi. Nampaknya usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengatasi punca masalah sosial diberi penekanan yang sangat jelas dan menyeluruh, bukan sekadar usaha mudah seperti “melepaskan batuk di tangga”.

Kepemurahan kerajaan terhadap golongan miskin tegar di bandar terserlah dengan peruntukan sebanyak RM94.2 juta bagi Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Tambahan Makanan Seimbang dan Program Pembangunan Minda Insan. Program Perumahan Rakyat untuk penduduk setinggan Kuala Lumpur dan bandar utama diperuntukan sebanyak RM778 juta ringgit bagi membina 21 ribu unit rumah kos rendah. Sebanyak RM177 juta ringgit diperuntukan secara pinjaman kepada kerajaan negeri bagi meneruskan pembinaan 3,000 ribu unit rumah di bawah Projek Perumahan Awam Kos Rendah. Selain daripada itu, peruntukan untuk Projek Perumahan Mesra Rakyat akan ditambah sebanyak RM100 juta ringgit.

YAB Datuk Seri Abdullah dalam temuramah dengan pihak media sering menunjukkan kebimbangan yang agak sangat dalam peningkatan aliran gejala sosial. Bagi membanteras gejala dadah umpamanya, satu Jawatankuasa Khas Kabinet untuk memerangi gejala dadah dengan melibatkan beberapa buah kementerian dan agensi kerajaan ditubuhkan. Matlamat Jawatankuasa ini ialah untuk memerangi isu dadah dengan lebih efektif dan strategi yang komprehensif dengan mewujudkan program-program pembangunan insan kepada generasi muda dan pelajar sekolah serta mempertingkatkan usaha untuk memulih penagih dadah.

Kita berharap agar usaha yang bersungguh-sungguh ini dapat mengelakkan pertelingkahan kaum seperti mana yang berlaku di Kampung Medan dahulu di antara kaum Melayu dan India yang berpendapatan rendah. Keseimbangan kaum adalah sangat perlu bagi mengelakkan kesan negatif tersebut berulang. Agenda sosial kerajaan yang diberi penekanan oleh Perdana Menteri adalah satu inisiatif ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Petikan ucapan Datuk Seri Abdullah mengenai kepentingan agenda sosial beliau boleh difikirkan bersama iaitu :

“Kemajuan dan kekuatan ekonomi bukanlah segala-galanya. Ia perlu dilihat sebagai landasan untuk mencapai kesejahteraan hidup dan keutuhan sosial. Lantas, perseimbangan kebendaan dan kerohanian sangatlah penting supaya akan lahir tamadun yang agung. Kita perlu bersama-sama mengambil langkah memperkaya jiwa bangsa. Tradisi, budaya dan agama tidak seharusnya menjadi halangan kepada kejayaan sebaliknya perlu digarap sebagai tunjang mendaki ke mercu kecemerlangan yang akan mengangkat martabat bangsa dan kewibawaan negara di mata dunia.”

Kesimpulan

Masalah sosial yang berlaku kesan daripada ketidakupayaan memiliki rumah sendiri perlu kepada pemahaman yang mendalam dan menyeluruh. Keunikan pada susun atur dan pola masyarakat Malaysia yang rencam dan pelbagai sifatnya tidaklah dapat difahami dengan mudah. Demikian juga tindakan dan reaksi yang bersifat “knee jerk” mungkin boleh menyelesaikan masalah jangka pendek tetapi tidak untuk jangka panjang.

Kesan-kesan program dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan baik jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang wajar dibuat pamantauan dan penilaian yang lebih kerap. Ini adalah kerana putaran masa sangat pantas dalam arus globalisasi. Sedang kita cuba mencari penyelesaian tentang sesuatu masalah, datang pula masalah lain. Masalah yang cuba diselesaikan sekarang dengan dasar-dasar yang baru akan terbantut dengan kedatangan masalah baru.

Menyediakan perumahan yang selesa dan selamat kepada rakyat menjadi satu tanggungjawab besar bagi kerajaan yang memerintah. Persekitaran rumah yang selesa ini boleh menyelamatkan anak-anak muda daripada tergelincir dalam aktiviti kurang sihat seterusnya membantu kita mengelakkan pelbagai masalah sosial.



Rujukan
Banci Penduduk dan Perumahan 2000. Januari 2001. Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dasar Sosial Negara 2003. Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Bhd.

Denisan Jayasooria. Pak Lah's Social Agenda: Relevance and Impact into Income Families. Kertas kerja Seminar Kebangsaan Abdullah Ahmad Badawi Satu Tahun di Putrajaya: Perubahan Dalam Kesinambungan. 20 November 2004.

Denisan Jayasooria. 2005. Urban Poor: Issues and Concern. Malaysia Social Matters, Vol No.4. April: 1-2.
http://www.kpkt.gov.my/jpn/

Kenyataan Dasar Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan. 2001. Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Bhd.

Malaysia. 1991. Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara.

Mid-Term Review of he Eight Malaysia Plan 2001-2005. 2003. Economic Planning Unit, Prime Minister's Department. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Bhd.

Mohammad Shatar Sabran. 2003. Mengapa Wujudnya Masalah Sosial? Jurnal Kebajikan Masyarakat, Vol No. 252 Dis: 31-43.

Mohd Razali Agus. 2004. Urban Poverty: The Role of Local Authorities in Malaysia. Malaysian Social Matters, Vol. No. 1 Nov: 1-5

Mohd Taib Haji Dora. 2005. Pendekatan Bantuan Bagi Golongan Miskin Tegar di Melaka. Prosiding Konvensyen Kecemerlangan Sosial dan Pembangunan Komuniti. Melaka: Penerbit Universiti KUTKM.

Norliah Kudus dan Mahadi Abu Hassan. 2005. Masalah Sosial: Isu dan Cabaran Institusi Keluarga. Prosiding Konvensyen Kecemerlangan Sosial dan Pembangunan Komuniti. Melaka: Penerbit Universiti KUTKM.

Nurizan Yahya. 2005. Perumahan dan Persekitaran Ke Arah Kecemerlangan Isi Rumah dan Komuniti. ISM Minda, Institut Sosial Malaysia, Vol. No. 4 Dis:14-18.

Nurizan Yahya dan Laily Paim. 1999. Housing and Social Environment of Industrial Women Workers in Peninsular Malaysia. Jurnal Kebajikan Masyarakat, Vol. No. 212 Dis: 13-25.

Yayasan Strategik Sosial. 2002. Kajian Kelaziman Gejala Sosial di Kalangan Masyarakat India di Malaysia. Kuala Lumpur: Ingara Promotion.

Zaid Ahmad. 2002. Perspektif Sosiologi Dalam Memahami Gejala Sosial. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Konvensyen Khidmat Sosial anjuran Institut Sosial Malaysia, 16-17 Disember 2002.

Zainal Kling. 2005. Islam Hadhari dan Pembangunan Sosial: Nilai dan Modenisasi. ISM Minda, Institut Sosial Malaysia, Vol. No. 3 Jun: 28-31.

Rujuk laman web Polis Diraja Malaysia : http://www.rmp.gov.my untuk maklumat lanjut sertakertas kerja Memacu Ke Arah Wawasan 2020 dan Millennium Development Goals-Agenda Pembangunan Sosial Abdullah Ahmad Badawi, 20 November 2004, Kuala Lumpur.


No comments:

Post a Comment