Pendidikan merupakan elemen yang sangat penting bagi membangunkan dan memajukan negara. Pendidikan dan ilmu pengetahuan tidak dapat dipisahkan kerana ia memberikan kesuburan kepada erti kemanusiaan dan memperkaya kehidupan melalui pendidikan berterusan. Tamadun-tamadun yang besar terdahulu telah dibina dengan kemajuan pendidikan yang luar biasa. Tamadun Rom, Parsi, China, India dan Islam adalah tamadun yang maju dalam pelbagai aspek kehidupan.
Tamadun China yang telah lama wujud sangat dikenali ramai. Satu daripada hadis Nabi Muhammad SAW juga mengenai galakan menuntut ilmu walaupun sampai ke negeri Cina.
Apakah di zaman baginda SAW agama Islam boleh dipelajari di negeri Cina? Di zaman Nabi, China sudah cekap membuat kertas, bahan letupan, barang tembikar dan lain-lain. Tentu ilmu yang disuruh tuntut di China adalah berkenaan ilmu-ilmu yang lain daripada Islam dan sangat bermanfaat kepada ummah.
Tamadun Islam juga telah mencetuskan kepesatan penemuan-penemuan baru dalam pelbagai bidang kemajuan dunia, merubah paradigma masyarakat dunia terhadap kehidupan dan memberi nafas baru terhadap erti kehidupan. Umat Islam pernah muncul sebagai suatu bangsa yang berilmu kerana amalan agama Islam yang mengalakkan umatnya mempelajari semua cabang ilmu pengetahuan. Islam menyuruh umatnya mempelajari berbagai-bagai bidang ilmu bagi mendekatkan diri mereka kepada pencipta.
Buat pertama kali dalam sejarah umat Arab, ilmu pengetahuan ditekankan sebagai alat untuk memahami kehidupan. Di bawah didikan baginda, pendidikan telah mendapat penghormatan dan pengiktirafan yang tinggi, menjadi tanda kepada tamadun Islam beberapa abad selepas itu. Rahsia di sebalik turunnya wahyu ini ialah Allah SWT tidak memerlukan sistem lain untuk membangunkan umat manusia kerana wahyu ilahi dijamin oleh Allah SWT sehingga ke hari kiamat dan tidak ada lagi selepas ini.
Pendidikan adalah suatu yang dinamik, sentiasa berubah dan bersifat progresif. Negara yang menguasai dinamika pendidikan akan menguasai kunci kejayaan dan dapat mencipta teknologi baru. Finland umpamanya telah melebarkan penguasaan teknologi komunikasi ke seluruh dunia melalui jenama “Nokia”. Finland juga terkenal kerana digolongkan antara negara yang bersih daripada amalan rasuah. Percaya ataupun tidak, tahap pendidikan di Finland sangat mementingkan guru yang berkualiti dan nisbah guru pelajar adalah sangat praktikal. Kelayakan guru sangat tinggi dan sangat dihormati kerana guru adalah pembimbing generasi negara pada masa depan. Bayaran mereka juga memuaskan dan kebajikan dijaga dengan baik.
Jepun dan Jerman adalah dua buah negara yang sangat terkenal dengan pelbagai jenis rekaan dan produk berkualiti bertaraf dunia. Sistem pendidikan kedua-dua buah negara ini menekankan kepada penguasaan ilmu dan teknologi. Elemen ini terbukti mampu memacu pembangunan negara dalam tempoh yang singkat.
Walaupun Jepun mengalami kemerosotan maruah yang teruk selepas Perang Dunia Kedua, tetapi negara ini dapat membina kembali maruah mereka dengan sangat pantas. Pembinaan negara Jerman juga terserlah dengan kualiti dan jenama yang diperlihatkan kepada dunia iaitu Mercedes dan BMW.
Hala tuju pembangunan negara wajar disesuaikan dengan sistem pendidikan bagi menghadapi cabaran-cabaran baru seperti membangunkan sistem pendidikan yang menggabungkan latihan dan ilmu, mengurangkan kegagalan pencapaian di peringkat rendah dan menengah serta mengukuhkan pencapaian institusi pengajian tinggi tempatan. Negara-negara maju umumnya mempunyai rakyat yang berpendidikan kolej dan universiti lebih ramai. Kesan pendidikan yang seharusnya diberi perhatian ialah mampu melahirkan individu yang rasional dalam berfikir dan adil membuat keputusan.
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) meletakkan pembangunan insan sebagai tumpuan untuk memperkasakan sistem pendidikan dan latihan negara. Peruntukan yang sebanyak RM45,149 juta adalah untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran dan pengetahuan bagi melahirkan tenaga kerja yang produktif (Sila hubungi editor).
Jadual 1 : Perbelanjaan dan Peruntukan Pembangunan untuk Pendidikan
dan Latihan 2001-2010 (RM Juta)
Tambahan pula Malaysia akan mencapai status negara maju 14 tahun yang akan datang. Jangka masa ini akan diisi oleh generasi muda yang berada dalam masyarakat kita yang sedang ghairah meniti perkembangan usia dan mereka inilah yang akan merasai sepenuhnya nikmat negara maju. Merealisasikan Wawasan 2020 adalah suatu tugas yang penuh kebertanggungjawaban di atas bahu semua pihak khususnya peneraju pendidikan negara. Sembilan cabaran Wawasan 2020 yang sebahagian besarnya berkaitan pembangunan modal insan bermula dengan cabaran membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan berakhir dengan cabaran membentuk masyarakat yang makmur.
Membentuk pelajar yang berpendidikan lebih sukar daripada pelajar yang bersekolah. Proses persekolahan seharusnya melahirkan pelajar yang berpendidikan. Dua tahun di tadika, enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah tidak bermakna dapat melahirkan individu yang berpendidikan. Bersekolah juga dapat melahirkan pelajar berpendidikan malah kadangkala terdapat kegagalan dalam proses berkenaan kerana pelajar menjadi ”burung kakak tua” yang mengulangi pemikiran orang lain dan memberi penekanan terhadap proses mengingat.
Membentuk masyarakat yang berpendidikan harus bermula dengan perubahan dalam sistem pendidikan dan sikap terhadap pendidikan. Proses pendidikan di sekolah lebih bererti jika ia memberi makna yang sangat menarik terhadap guru dan pelajar. Ini bermakna maksud sebenar pendidikan adalah mencari kebenaran. Bukan sekadar mendapat ilmu tetapi adalah memberi ”simpati” terhadap kepintaran dan kebijaksanaan. Pendidikan juga bukannya mengumpulkan seberapa banyak fakta dan pelbagai objek material tetapi membangunkan sifat ”simpati” yang dipandu oleh kepintaran dan kebijaksanaan. Oleh itu, hasil akhir proses pendidikan yang harus memberikan manifestasi falsafah, moral dan keprihatinan sosial. Peranan pendidikan ialah membangunkan individu sebagai salah seorang ahli pemikir dalam masyarakat bagi mengukuhkan budaya, tradisi dan nilai. Ilmu dan ”bersimpati” terhadap kepintaran dan kebijaksanaan ini mampu menghubungkan diri individu dan masyarakat dengan dunia luar yang dihuni. Kehidupan akan menjadi lebih menarik kerana pengalaman hidup akan merapatkan kita dengan dunia yang ada di sekeliling.
Memberi kesedaran terhadap kepentingan pendidikan adalah usaha yang berterusan dan perlu bersungguh-sungguh. Masyarakat perlu dididik bagaimana hendak menggunakan ilmu pengetahuan bagi kebaikan mereka sendiri, untuk masa depan dan mewujudkan nilai di dalam diri dan kehidupan mereka. Kesedaran ini akan memacu semangat untuk berkorban mencari ilmu. Ketinggian ilmu akan memberi kelebihan kepada individu berkenaan kerana penguasaannya terhadap ilmu pengetahuan.
Kelemahan dan kurang cemerlang di dalam hidup bermasyarakat adalah disebabkan nilai hidup mereka. Kejahilan adalah penyakit hati dan jiwa yang hanya boleh diubati dengan pendidikan dan pengetahuan. Tetapi orang Islam tentu tahu bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib mereka sehinggalah mereka mengubahnya sendiri.
”Sesunguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum kecuali mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”. (Surah Ar-Ra’d : 11)
Yang perlu diubah ialah nilai hidup. Nilai hidup yang dikehendaki adalah suci dan murni supaya umat Islam akan menjadi orang yang beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat.
Membetulkan sikap terhadap pendidikan merupakan satu cabaran. Sistem pembelajaran negara yang masih mengekalkan kaedah pengajaran pasif dan penilaian prestasi yang ketinggalan tidak akan memberi kelebihan kepada generasi muda. Jika perlu, kerajaan boleh membentuk persekitaran kelas yang lebih selesa dan sempurna bagi merangsang proses pembelajaran. Kaedah berasaskan Sigmud Freud yang menitikberatkan hukuman dan dendaan tidak lagi sesuai kerana masyarakat dan ibu bapa perlu membentuk satu pasukan yang berkesan bagi membangunkan pendidikan anak-anak mereka sendiri.
Pendidikan yang seharusnya diutamakan ialah penguasaan ilmu pengetahuan dalam semua bidang bagi mengelakkan penjajahan minda, ekonomi, budaya dan gaya hidup. Kemampuan menguasai pelbagai disiplin ilmu akan mengurangkan kebergantungan negara kepada pakar-pakar luar. Ulama-ulama Islam terdahulu menguasai pelbagai bidang kepakaran pada satu masa. Mereka menguasai ilmu perubatan dan pada masa yang sama mendalami ilmu sosial, sejarah, fizik, astronomi dan sebagainya. Antara mereka adalah Al-Khwarizmi, Al-Farghani, Al-Battani, Abu-l-Wafa, Umar Khayyam, Al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Khaldun, Al-Razi, Ishaq Al-Israili, Ali Ibn Abbas, Abu-l-Qasim, Ibn Sina dan Maimonides.
Muhammad ib Zakaria ar Razi (865-925), Burhanuddin Nafis (1438), Ismail Jurjani(1136), Qutb al Din al Shirazi (1236-1310), Mansur ibn Muhammad, Abu al Qasim al Zahrawi adalah sebahagian saintis Islam yang mengkaji bidang perubatan dan anatomi.
Al Biruni mengkaji ilmu putaran bumi 600 tahun lebih dahulu daripada Galileo dan 700 tahun sebelum Newton. Ali Kushchu, saintis Islam abad ke 15, adalah orang pertama melakar peta mengenai bulan dan sebahagian kawasan bulan mengambil namanya.
Thabit ibn Qurrah, di abad kesembilan menghasilkan kalkulus (differential calculus) berabad-abad sebelum Newton. Battani, saintis abad ke 10 merupakan orang yang pertama menghasilkan ilmu mengenai trigonometri.
Al Maghribi, menghasilkan konsep equation yang hari ini dikenali sebagai Pascal Triangle, 600 tahun sebelum Pascal. Ibn Haitam, hidup di abad ke-11 adalah pengasas kepada ilmu sains optik. Roger Bacon dan Kepler menggunakan asas optik untuk kajian selanjutnya dan Galileo pula menghasilkan teleskop atas asas ilmu optik Ibn Haitam.
Al Kindi memperkenalkan ilmu relatif fizik dan teori mengenai relativiti 1,100 tahun sebelum Einstein. Shamsuddin yang hidup 400 tahun sebelum Pasteur, adalah saintis yang pertama menemui kuman. Ali ibn al Abbas hidup di abad ke 10 adalah doktor yang pertama melakukan pembedahan kanser.
Ketika Christoper Columbus hendak berangkat mencari benua Amerika, beliau berjumpa Raja Sepanyol dengan dikepitnya helaian-helaian peta dunia. Siapa yang menghasilkan peta dunia tersebut? Sejarah kejayaan gemilang kerajaan Islam Andalusia adalah pemangkin kepada keberanian Columbus mencari jalan baru untuk penjelajahan.
Modal insan adalah teras kepada pembangunan sesebuah negara. Pembangunan aspek modal insan sangat penting bagi menjadikan negara lebih berdaya saing. Ia sememangnya menjadi cabaran utama untuk mencapai Wawasan 2020. Rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran berpotensi memiliki modal insan yang besar untuk dirinya sendiri, masyarakat dan negara. Bersusah payah meningkatkan tahap pendidikan adalah usaha murni yang hanya akan dikecapi dalam jangka masa panjang. Ia selari dengan perkembangan dunia yang menyaksikan persaingan sihat antara negara untuk memperkasakan pendidikan masing-masing.
Pendidikan menguatkan pembinaan modal insan. Modal insan yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional yang kedua iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama”. Pembentangan Bajet 2007 telah memberi peruntukan yang besar kepada pembangunan modal insan iaitu sebanyak 21 peratus yang merangkumi RM6.7 bilion untuk pendidikan rendah, RM6.2 bilion untuk pendidikan menengah, RM10.4 bilion untuk pengajian tinggi dan RM10.1 bilion bagi program latihan. Sepanjang tempoh RMK-9, kerajaan akan terus giat membangunkan modal insan untuk memacu transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.
Pendidikan yang sesuai bermakna individu belajar untuk memberi tindakbalas yang positif terhadap persekitaran dan budaya, menghargai kebebasan dan kemerdekaan diri serta memahami kepentingan terlibat secara aktif dalam masyarakat dan budaya mereka. Pendidikan adalah sumber kepada pembentukan watak peribadi. Ia memberi sinaran kepada jiwa, mengusir kejahilan, memperkaya minda, menghasilkan kecemerlangan intelek, menyelamatkan manusia daripada kenangan masa silam, meningkatkan semangat dan memperkasa keyakinan dan keimanan kepada Tuhan.
No comments:
Post a Comment