YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Belanjawan 2005 menjelaskan bahawa:
”Kemajuan dan kekuatan ekonomi bukanlah segala-galanya. Ia perlu dilihat sebagai landasan untuk mencapai kesejahteraan hidup dan keutuhan sosial. Lantas, perseimbangan kebendaan dan kerohanian sangatlah penting supaya akan lahir tamadun yang agung. Kita perlu bersama-sama mengambil langkah memperkaya jiwa bangsa. Tradisi, budaya dan agama tidak seharusnya menjadi halangan kepada kejayaan sebaliknya perlu digarap sebagai tunjang mendaki ke mercu kecemerlangan yang akan mengangkat martabat bangsa dan kewibawaan negara di mata dunia.”
Dua daripada empat strategi pokok bajet beliau telah ditumpukan kepada pembangunan manusia (human development) iaitu:
1.Memastikan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kualiti kehidupan
2.Membangunkan sumber manusia atau human capital sebagai pemangkin pertumbuhan
Kesungguhan YAB Perdana Menteri untuk menjayakan agenda pembangunan sosial diperjelaskan dengan peruntukan kepada sektor sosial yang dua kali ganda lebih besar daripada peruntukan untuk sektor pertahanan (RM7.6 bilion atau 26.9 peratus daripada keseluruhan bajet). Ketika melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 11 Januari 2005 yang lalu, YAB Perdana Menteri berharap kerajaan akan menjadikan program meningkatkan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat sebagai agenda penting bagi membangunkan tenaga manusia yang mempunyai pelbagai kemahiran dan seiring dengan pembangunan nilai murni dan budi pekerti yang tinggi.
Selama 48 tahun proses pembangunan masyarakat telah berlaku dalam negara kita hingga pernah digelar sebagai “Harimau Asia”. Dalam istilah kerangka pemikiran moden, perubahan itu adalah pemodenan tetapi gagasan pemodenan itu sendiri boleh ditafsirkan dengan pelbagai bentuk kefahaman. Golongan ekonomis mempunyai gagasan pembangunan dan tahap perkembangannya sendiri. Golongan politik mengenengahkan gagasan perkembangan sistem politik serantau dan global. Golongan sosiolis pula melihat daripada kerangka pemikiran kemasyarakatan manakala pendidik mempersembahkan skema pemikiran dari sudut pendidikan mereka.
Dalam sejarah perkembangan tamadun barat, konsep modenisasi pembangunan yang sangat kuat pengaruhnya ialah konsep yang membawa manusia menjalani kehidupan dengan mudah, ringkas, pantas, menjimatkan serta berasaskan perkakasan. Namun, modenisasi jugalah yang menyebabkan masyarakat kehilangan nilai pembangunan diri. Hilang rasa kebersamaan, kekitaan dan kerohanian. Hal ini tidaklah sukar untuk difahami kerana apabila manusia meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap mesin sebagai instrumen yang lebih cekap dan efisien berbanding manusia, maka sedikit demi sedikit nilai simpati, ihsan, kasih sayang dan sebagainya akan terhakis sama ada disedari ataupun tidak.
Biar apa pun pandangan dan kefahaman mengenai pemodenan, harus difahami bahawa evolusi masyarakat Malaysia yang telah berlalu hampir 50 tahun itu dari bentuk tradisional, ringkas dan kekampungan kepada bentuk bandar, industri, buruh berbayar, moden dan kompleks. Masyarakat kampung yang tradisional sentiasa diperkuatkan dengan jaringan kesatuan komuniti yang amat rapat, kenal-mengenal dan mempunyai institusi kekeluargaan yang mantap. Di bandar pula tidak terdapat jaringan kekeluargaan tetapi jaringan sosial kesan dari kebersamaan hidup berkomunikasi dan kepentingan bersama.
Kerapuhan Institusi Keluarga
Kepesatan pembangunan yang agresif sejak dua dekad yang lalu telah merubah nilai, sikap dan budaya masyarakat baik di kampung mahupun di bandar. Perkembangan industri dan urbanisasi sedikit sebanyak telah menjejaskan nilai-nilai asas masyarakat khususnya perubahan ketara akibat berlakunya perubahan dalam cara gaya hidup keluarga. Ditambah lagi dengan proses perubahan politik, ekonomi, komunikasi dan kebudayaan yang telah membangunkan satu sistem sosial yang berlainan daripada bentuk tradisional.
Sebagai contoh, pada akhir tahun 1970an, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia telah banyak membawa pelabur asing untuk membuka kilang dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada ramai penduduk Malaysia. Dinyatakan bahawa penyertaan wanita khususnya dalam sektor tenaga buruh telah meningkat dari 44.6 peratus pada tahun 1995 kepada 46.7 peratus pada tahun 2000 dan terus bertambah pada 47.7 peratus pada tahun 2003. Pembangunan ini juga telah meningkatkan kadar celik huruf (umur 10 tahun ke atas) sehingga tahun 2002 kepada 94.0 peratus, antara yang terbaik di Asia Tenggara.
Pengaruh perkembangan pembangunan atas nama pembangunan negara telah memberi kesan kepada institusi keluarga. Antaranya ialah:
1.Kerapuhan institusi keluarga dan peningkatan keluarga asas telah mengurangkan saiz isi rumah. Purata saiz isi rumah dalam tahun 1980 ialah 5.2 orang, mengurang ke 4.8 orang pada tahun 1991 dan 4.6 orang pada tahun 2000.
2.Penyertaan wanita dalam tenaga buruh dijangka meningkat daripada 44.5 peratus pada tahun 2000 kepada 49.0 peratus menjelang tahun 2010. Keadaan ini akan meningkatkan keperluan sokongan untuk penjagaan anak seperti pusat asuhan, pengasuh, pembantu rumah dan masalah mengimbangi peranan sebagai isteri, ibu, pekerja dan penjagaan ibu bapa.
Dalam konteks negara kita, keluarga adalah unit asas masyarakat yang terdiri daripada individu yang mempunyai hubungan darah atau persaudaraan melalui ikatan perkahwinan yang sah di antara lelaki dan perempuan serta anak-anak mereka (termasuk anak angkat) dan ahli-ahli keluarga lain jika ada. Dalam menghadapi proses pemodenan dan pembangunan yang pesat, unit keluarga semakin tergugat dengan pelbagai jenis isu dan masalah yang mengikis sedikit demi sedikit keluhuran budi bahasa dan adab sopan.
Keganasan dan Penderaan Dalam Rumah Tangga
Keganasan dan penderaan dalam rumahtangga secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai perlakuan dera oleh suami terhadap isteri dan sebaliknya, ibu bapa atau penjaga terhadap anak-anak atau mana-mana anggota lain dalam keluarga termasuk penderaan ke atas orang dewasa yang tidak berkeupayaan. Perbuatan dan tindakan ganas dalam keluarga boleh menyeksa mangsa dari segi fizikal, mental dan psikologi seterusnya dapat mengubah tanggapan mangsa terhadap pendera. Perasaan balas dendam dan iri hati akan terus mencengkam mangsa hingga nilai-nilai positif dalam hidup tidak lagi kelihatan. Isteri, suami, anak atau ahli keluarga yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga selalunya akan hilang harga diri dan malu kepada orang sekeliling.
Mereka juga akan sentiasa mengutuk diri sendiri dan menerima hakikat bahawa mereka berhak didera kerana gagal memenuhi kehendak orang yang menindas. Isteri yang didera selalunya akan terasa dirinya tidak boleh menjadi isteri yang baik, rasa rendah diri dan hilang keyakinan diri. Anak-anak pula akan membina rasa benci kepada diri sendiri, lemah daya ketahanan dalam menghadapi masa depan, lekas terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik dan sentiasa menganggap dirinya tidak upaya melakukan sesuatu dengan baik dan betul.
Data yang diperolehi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia menunjukkan bahawa bilangan kes baru penganiayaan isteri atau suami yang dikendalikan sepanjang tahun 1983 hingga 1993 ialah sebanyak 445 kes (Rujuk Jadual 2). Jika jumlah tersebut ditambah dengan jumlah kes bagi tahun 1994 (43 kes) dan tahun 1995 (17 kes), ianya berjumlah sebanyak 505 kes. Kemungkinan bilangan berkenaan hanyalah sebahagian kecil daripada kes-kes yang sebenarnya berlaku dan dilapor kepada pihak berkuasa.
Transisi Struktur Keluarga
Keluarga di Malaysia sedang mengalami aliran transisi dari segi dinamik struktur dan kehidupan seharian kesan dari pembangunan sosio ekonomi, urbanisasi dan proses perindustrian. Dengan perubahan tersebut, banyak fungsi tradisi sistem keluarga luas telah berpindah kepada pihak kerajaan dan institusi-institusi di luar daripada sistem keluarga.
Contohnya pendidikan bimbingan dan perkembangan nilai, moral, kebudayaan, adat resam dan agama menjadi asas keluarga tradisi. Penjagaan anak-anak juga tertumpu kepada pusat-pusat penjagaan kanak-kanak atau pembantu-pembantu rumah asing. Nilai-nilai tradisi masyarakat tentunya berbeza dengan pengasuh atau penjaga kanak-kanak ini menyebabkan wujudnya sedikit sebanyak kekeliruan budaya dan adab sopan biarpun nilai-nilai sejagat masih kekal.
Bagi ibu bapa yang mengambil berat perkembangan pembangunan insan anak-anak mereka, pastilah taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang mempunyai modul dan program pendidikan berkualiti akan menjadi pilihan. Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika merasmikan Konvensyen Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Putrajaya baru-baru ini pernah menyatakan bahawa tidak perlu bagi pengusaha taska menyediakan program pendidikan yang susah difahami oleh kanak-kanak tetapi cukup mengajar mereka bagaimana menghormati rakan-rakan, guru, ibu bapa dan masyarakat. Melalui kesedaran inilah kita dapat mempertahankan nilai dan adab sopan generasi akan datang berbanding penjaga atau pengasuh asing yang tidak begitu memahami budaya masyarakat Malaysia.
Perbandaran dan Migrasi
Penghijrahan dari luar bandar ke bandar atau antara negeri khususnya di kalangan belia telah membentuk kesan sosial yang lebih teruk seperti setinggan, kesesakan dan pencemaran alam sekitar. Bagi penghijrahan antara negara, dengan kebanjiran pekerja-pekerja asing secara sah atau tidak sah dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Vietnam, Kampuchea dan India, ia menimbulkan implikasi sosial dan budaya yang lebih parah dan membebankan. Keadaan ini telah menyebabkan bertambah besarnya saiz bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Kelang, Georgetown, Johor Bharu dan Ipoh. Sekarang ini lebih daripada 50 peratus penduduk Malaysia tinggal di bandar-bandar.
Walaupun kewujudan bandar-bandar ini begitu pesat, ia harus sejajar dengan strategi pembangunan perumahan bandar. Konsep petempatan yang diutarakan oleh Habitat (Pusat Petempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) boleh digunapakai kerana mengenengahkan idea supaya sesebuah petempatan manusia harus mempunyai segala kemudahan prasarana atau infrastruktur dan sosial. Dalam hal ini, aspek kemanusiaan dan kemasyarakatan harus diseimbangkan dengan keperluan teknologi dan teknikal yang lain supaya nilai-nilai tradisi dan progresif dapat berkembang dengan bebas.
Pembangunan sosioekonomi telah membawa cabaran yang besar kepada institusi keluarga. Terdapat keluarga yang tidak dapat melaksanakan peranan dengan berkesan bagi menjamin keharmonian keluarga dalam mendidik, membimbing, membentuk akhlak, memberi kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak. Kelonggaran ikatan kekeluargaan merupakan antara faktor utama yang mengikis nilai-nilai murni dalam masyarakat yang lebih besar.
Ketika pembangunan negara yang semakin pesat, ikatan kekeluargaan menjadi semakin longgar. Pembangunan yang pesat ini tidak dapat dinikmati sepenuhnya kerana berlaku keruntuhan moral, rohani dan penyimpangan sosial. Oleh yang demikian, kerajaan telah memperkenalkan beberapa pendekatan bagi mempastikan pengukuhan nilai-nilai asas dalam masyarakat terus subur sepanjang masa.
Dasar Sosial Negara
Dasar Sosial Negara (DSN) adalah dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju serta mantap. Dasar ini telah dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2003 merupakan dasar payung yang merangkumi falsafah dan semua dasar pembangunan sosial yang berteraskan kepada perlembagaan, Rukunegara dan Wawasan 2020. Objektif dasar ini ialah mempastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi serta membangunkan dan memperkasakan insan sepanjang hayat supaya penerapan nilai-nilai murni dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Melalui program intervensi dan advokasi, nilai yang merupakan intipati kepada budaya masyarakat akan diterapkan secara sukarela dan diterima. Nilai positif melalui pelaksanaan program-program berteraskan nilai murni perlu diketengahkan khususnya peringkat kanak-kanak dan pelajar sekolah. Nilai seperti menghormati orang yang lebih tua tanpa mengira latar belakang, etnik dan umur amat signifikan untuk masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Trend menghayati nilai murni menjadi satu dasar apabila negara mula melihat bahawa amat penting diwujudkan satu dasar yang memberi fokus kepada keseimbangan pembangunan ekonomi dan sosial.
Pendekatan Islam Hadhari
Bagi mempertahankan nilai dan norma dalam masyarakat supaya tidak terlalu ghairah dengan pembangunan dan pemodenan hingga melupakan tradisi budaya, YAB Perdana Menteri telah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari sejak tahun 2004 untuk membangkitkan kesedaran baru masyarakat terhadap konsep sebenar ajaran Islam. Pendekatan Islam Hadhari memberi keutamaan terhadap pembangunan dan pembinaan peradaban yang didasarkan pandangan semesta alam (Islamic worldview) dengan memberi tumpuan melalui penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan insan dan kesempurnaan pembangunan fizikal. Islam Hadhari seharusnya mendorong lagi usaha semua pihak untuk memenuhi Dasar Sosial Negara kerana ia memberi justifikasi keagamaan yang kuat untuk meniupkan semangat baru ke arah merealisasikan masyarakat Malaysia dan menjurus kepada pencapaian matlamat Wawasan 2020.
Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Islam Hadhari adalah bagi melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan rohani, akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai. Inilah acuan masyarakat Malaysia yang kita idami.
Pembangunan Keluarga dan Komuniti
Jika diteliti strategi pembangunan sosial YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelihatan satu konstruksi model yang mana unit keluarga dilihat sebagai unit asas untuk mengukuhkan program-program pembangunan. Tumpuan yang kuat diberikan kepada pembinaan sebuah unit keluarga yang penyayang. Dasar-dasar utama yang dirancang mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu yang merangkumi kemasyarakatan dan pendidikan. Antara dasar yang menyokong matlamat tersebut ialah Dasar Perpaduan Nasional, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Sosial Negara. Semua dasar ini jelas membuktikan betapa Malaysia memberi penekanan kepada penerapan nilai-nilai murni dan kesejahteraan rakyat.
Keputusan kerajaan melaksanakan kerja lima hari bermula pada 1 Julai 2005 yang lalu membolehkan institusi keluarga diperkukuhkan. Komunikasi di antara suami isteri dan anak-anak akan lebih kerap di samping aktiviti keluarga bersama mampu memberi nilai tambah kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi menjayakan kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni ini.
Sistem Kawalan Sosial
Bagi mewujudkan pola tingkah laku dan budaya hidup yang berkualiti, institusi sosial wajar diperkukuhkan supaya masyarakat dapat berfungsi dengan baik untuk memenuhi keperluan sosial. Oleh yang demikian, sistem kawalan sosial yang berkesan di pelbagai peringkat kehidupan harus dikemaskini. Sistem kawalan sosial yang rapi dan munasabah mesti diwujudkan dari institusi perundangan dan pentadbiran negara hingga ke institusi keluarga dan persekolahan. Pihak kerajaan perlu membentuk visi dan misi yang jelas mengenai nilai dan budaya hidup yang hendak dibangunkan. Setidak-tidaknya pun kembali menghayati nilai-nilai yang selaras dengan Rukunegara ”kepercayaan kepada Tuhan” ataupun nilai-nilai murni yang telah diterapkan ke dalam kurikulum seperti baik hati, berhemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, adil, kebersihan fizikal, jujur, rajin, bekerjasama, sederhana, bersyukur, bersemangat kemasyarakatan dan berdikari.
Kita menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran bagi menangani gejala buli dengan menubuhkan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin yang dibarisi pakar dan pembabitan ibu bapa, guru dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Melalui usaha ini diharap generasi muda kita tidak mudah terpengaruh dengan nilai dan akhlak buruk yang boleh menjejaskan peradaban bangsa dan negara.
Di samping itu pengenalan Komsas (komponen sastera) Bahasa Melayu di sekolah sebagai satu saluran alternatif menerapkan nilai-nilai murni di sekolah mampu memupuk jati diri, semangat patriostisme dan bangga terhadap bangsa dan negara.
Kesungguhan dan ketegasan kerajaan melaksanakan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 1987 adalah satu pendekatan bagi membolehkan sistem kawalan sosial dilaksanakan dengan berkesan. Melalui langkah ini, penerbit majalah dan akhbar tempatan akan cenderung ke arah pemberitaan bercorak positif dan membina minda masyarakat.
Nilai-Nilai Kemanusiaan
Nilai kemanusiaan yang dipupuk oleh ajaran agama khususnya Islam bertujuan membawa manusia mencapai kebahagiaan dan manfaat. Bagi mencapai tujuan itu, nilai kemanusiaan tidak boleh dibina di atas sifat atau naluri kemanusiaan semata-mata. Di sinilah letaknya peranan agama yang yang meniupkan roh kemanusiaan serta memandu dan mengatur perjalanan sifat kemanusiaan tersebut kerana tabiat dan naluri manusia tidak pernah kebal daripada perasaan cemburu, iri hati dan sebagainya.
Dari perspektif Islam, peranan akidah atau iman dalam pembentukan nilai sangat mustahak. Tanpa akidah, nilai kemanusiaan mungkin dapat dibentuk berasaskan pemikiran dan pengalaman manusia semata-mata tetapi nilai ini tidak berupaya membawa masyarakat menikmati satu tahap kualiti kehidupan yang diidam-idamkan.
Malaysia akan menjadi sebuah negara yang disegani jika warganya terdiri daripada individu dan masyarakat yang mengamalkan budaya yang penuh dengan nilai-nilai murni. Namun cabaran untuk mengamalkan budaya luhur dan murni ini adalah sukar pada zaman teknologi maklumat dan materialisme berbanding 30 atau 40 tahun yang lalu tetapi itu tidaklah bermakna kita perlu menyisihkan diri daripada arus dunia.
Memupuk dan membangunkan budi bahasa dan nilai-nilai murni adalah peranan semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan dan individu. Kesepaduan kerjasama ini akan memastikan kemajuan yang kita kecapi kini akan seiring dengan pengekalan budaya bangsa dan negara. Pengemblengan usaha dan tenaga ini diharap dapat mengukuhkan nilai ke arah masyarakat hadhari dan komuniti sejahtera Malaysia.
Sebagai negara yang progresif dan mengamalkan sistem ekonomi terbuka, kita tidak dapat lari daripada menerima pengaruh luar. Walau bagaimanapun, dengan menggunapakai prinsip-prinsip Islam Hadhari, insyaallah kita mampu membentuk peribadi setiap ahli masyarakat melalui pendekatan yang penuh hikmah dan bijaksana bagi melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bersahsiah mulia dan berakhlak tinggi.
Rujukan
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 2005. Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2004. Kuala Lumpur
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. 2003. Dasar Sosial Negara. Kuala Lumpur
Mohd Razali. 2001. Perumahan Awam. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.
Munif Zarirruddin Fikri Nordin. 2002. Nilai Kemanusiaan Dari Perspektif Islam : Satu Penelitian Dalam Aplikasi Kerja Sosial dalam Abd. Razak Abd. Manaf dan Zakiyah Jamaluddin (penyelenggara) : Artikel-Artikel Pilihan. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.
Norliah Kudus, Mahadi Abu Hassan . Mei 2005. Prosiding Konvensyen Kecemerlangan Sosial dan Pembangunan Komuniti. Melaka: Penerbit Universiti KUTKM
Zainal Kling. Jun 2005. Nilai dan Modenisasi. Kerja Kerja di Seminar Kebangsaan Islam Hadhari dan Pembangunan Sosial : Pemantapan Strategi Ke Arah Pembangunan dan Kesejahteraan Sosial anjuran Institut Sosial Malaysia.
Berita Harian. 1 Julai 2005.
No comments:
Post a Comment