Saturday, November 04, 2006

Pendidikan dalam Bajet 2007

Pendidikan adalah pelaburan pada masa hadapan. Mempunyai tahap pendidikan yang baik bererti mempunyai masa depan yang cerah. Falsafah Pendidikan Negara menyatakan bahawa matlamat pendidikan di negara kita ialah untuk mengembangkan potensi setiap individu secara seimbang. Bagi menjayakan misi ini, usaha menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda negara ini telah dimulakan dan telah banyak kejayaan yang dicapai.

Bajet 2007 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini telah memberi penekanan yang besar kepada pendidikan negara. Sebanyak RM33.4 bilion disediakan untuk pendidikan dan pembangunan modal insan yang merangkumi RM6.7 bilion untuk pendidikan rendah, RM6.2 bilion untuk pendidikan menengah, RM10.4 bilion bagi pendidikan tinggi dan RM10.1 bilion untuk program latihan. Jumlah ini sangat banyak bagi membangunkan sektor pendidikan modal insan bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia.

Keprihatinan kerajaan untuk memberi peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat ditambah lagi dengan pemansuhan yuran peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di semua sekolah kerajaan mulai tahun depan. Ini menggambarkan bahawa kepentingan pendidikan patut dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Penambahan bilangan sekolah di seluruh negara dirancakkan dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion. Dengan adanya sekolah-sekolah ini, masyarakat luar bandar khususnya akan mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih sempurna. Pembinaan sekolah ini dirasakan selari dengan program pembangunan luar bandar yang melibatkan projek pembinaan jalan raya, projek bekalan air dan kemudahan bekalan elektrik.

Pengumuman kenaikan RM20 kadar bantuan kepada 1.5 juta murid daripada keluarga miskin daripada RM30 kepada RM50 sebulan dan bagi yang di sekolah menengah daripada RM50 kepada RM70 sebulan adalah langkah bijak bagi membantu kecemerlangan pelajar-pelajar miskin. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka agar dapat memberi perhatian yang lebih banyak kepada pelajaran dan mendapat peluang yang lebih baik demi masa depan. Jurang pencapaian di antara pelajar miskin dan kaya akan turut dapat dikurangkan.

Selain pengenalan Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris, sekolah kebangsaan turut berpeluang mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil. Program perintis di 220 buah sekolah kebangsaan diharap dapat memperkasa pendidikan sekolah kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan di Malaysia.
Biasiswa untuk pelajar yang mendapat 10A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (keluarga berpendapatan rendah RM1500 sebulan dan ke bawah) untuk melanjutkan pelajaran adalah bertepatan dengan usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai generasi berilmu dan dapat membangunkan negara ke arah Wawasan 2020.

Peruntukan untuk pendidikan awal dapat memberikan harapan dan sinar kepada setiap individu untuk berkembang dengan lebih sempura, membantu membentuk kemahiran asas yang diperlukan sebagai persediaan ke sekolah rendah dan menunaikan hak kepada kanak-kanak untuk belajar menguasai dan membentuk masa hadapan mereka.

Pendidikan rendah dan menengah adalah sebagai persediaan untuk menjadi warganegara yang baik, setia dan bertanggungjawab terhadap negara. Generasi pelapis yang mempunyai ketinggian budi pekerti, pintar dan beradab bagi menjayakan misi sebagai khalifah di muka bumi.

Manakala pelajar di institusi pengajian tinggi adalah jaminan melahirkan individu yang boleh berfikir dan bijak membuat keputusan. Rasional dalam tindakan dan mengungguli setiap bidang penyelidikan dan pembangunan. Mengembalikan kegemilangan falsafah pendidikan ulama Islam yang menjadikan kebenaran sebagai fokus dalam mencari ilmu agar menginsafi kekerdilan diri.

Pelaburan dalam pendidikan adalah keperluan untuk pembangunan negara. Betapa banyak bajet yang diperuntukkan adalah semata-mata membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berpendidikan bermula dari peringkat paling awal sehinggalah ke peringkat paling akhir kehidupan. Ilmu itu tidak pernah pernah habis dan pencarian ilmu akan digantikan oleh generasi seterusnya supaya kebenaran sentiasa terpelihara dan dihormati.

No comments:

Post a Comment