Sumber manusia adalah teras utama kepada pembangunan negara khususnya terhadap ekonomi, politik, sosial dan teknologi. Populasi rakyat Malaysia yang berjumlah 23.3 juta pada tahun 2000 dijangka meningkat kepada 28.96 juta pada tahun 2010 dengan kadar purata pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus setahun. Daripada jumlah ini, dianggarkan bilangan belia Malaysia adalah seramai 11.10 juta (2005) dan diramal bertambah kepada 11.65 juta pada 2010 (Sila hubungi editor).
JADUAL 1 : JUMLAH PENDUDUK MENGIKUT KUMPULAN UMUR, 2000-2010
Memandangkan pertambahan jumlah ini adalah selari dengan peningkatan kumpulan umur 0-14 tahun, peranan golongan belia tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Pertambahan populasi rakyat Malaysia turut memberi dimensi baru terhadap cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi. Gelombang globalisasi atau dunia tanpa sempadan tidak lagi boleh disekat atau dihalang dan kita harus menghadapinya dengan kematangan dan kebijaksanaan. Kehadiran globalisasi ini membawa semua elemen sosial, budaya, perdagangan, teknologi, idealisme dan nilai. Pengaruh sosial dan budaya umpamanya telah merentasi fikiran terhadap seks, perkauman, peniruan tingkah laku, penyerangan nilai dan peningkatan kuasa mempengaruhi melalui pelbagai aktiviti yang terang-terangan atau tersembunyi.
Golongan belia merupakan pemangkin kepada perubahan sosial masa kini. Masyarakat belia Malaysia yang semakin terbuka menerima pandangan daripada pelbagai pola pemikiran adalah hasil daripada proses pendidikan yang dilalui. Justeru, tidak lah menghairankan pada hari ini, belia banyak dikaitkan dengan isu-isu sosial utama negara yang memerlukan ketangkasan pihak kerajaan untuk mencari jalan keluarnya.
Dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang lalu, program untuk pembangunan belia meliputi proses menjana pengetahuan dan kemahiran para belia untuk berhadapan dengan dimensi baru cabaran-cabaran semasa khususnya globalisasi. Sebagai fokus utama RMK-8, persediaan pengetahuan dan kemahiran ini adalah bagi mempastikan maklumat berkaitan perkembangan semasa dapat diperolehi dengan cepat. Mencari dan mendapatkan kemahiran adalah satu bentuk kemahiran yang perlu digilap dari semasa ke semasa selari dengan perubahan dan perkembangan teknologi. Belia yang lengkap dengan maklumat tidak banyak menghadapi masalah untuk mencari pekerjaan yang semakin sengit sekarang ini.
Perubahan agak ketara dalam RMK-9 yang memberi tumpuan kepada proses pembinaan ”alat perkakas dalaman” iaitu nilai dan moral bagi melahirkan personaliti unggul. Program pemantapan diri bagi meningkatkan jati diri belia dan remaja ini diorientasi semula bagi meningkatkan keberkesanannya (Rancangan Malaysia Kesembilan, 317). Teras strategik untuk pembangunan belia yang dirangka adalah :
1.Mengupayakan belia untuk masa hadapan melalui peningkatan akses kepada pendidikan dan latihan.
2.Meningkatkan penyertaan belia dalam organisasi belia.
3.Memupuk semangat persaingan di kalangan belia.
4.Memperkukuh rangka kerja perundangan program pembangunan belia.
5.Menggalakkan perpaduan negara dan integrasi sosial.
Barangkali disebabkan kita sedang melalui alaf baru yang mencabar, suara kebimbangan kerap kali kedengaran mengenai keupayaan generasi belia dan remaja kini untuk membentuk acuan kepimpinan negara dan tradisi moral serta budaya nasional. Sesetengahnya rimas dengan penyebaran sejagat mengenai kehidupan moden belia dan remaja kini yang banyak didedahkan kepada MTV, seluar jeans dan makanan segera. Terdapat juga yang melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan budaya berhibur yang turut menimbulkan rasa gerun terhadap keghairahan mencari keseronokan berbanding memenuhi tuntutan sosial di dalam masyarakat (James Youniss dan Miranda Yates, 1999).
Kesungguhan kerajaan menjayakan pembangunan belia dalam RMK-9 adalah meyakinkan dengan memberi penekanan terhadap pendidikan, latihan dan kemahiran melalui program pendidikan sepanjang hayat. Penggunaan teknologi akan menzahirkan pendidikan jarak jauh dan tidak formal sebagai satu langkah bagi meningkatkan kualiti hidup golongan ini ke arah menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
Dasar Belia Negara
Pihak kerajaan memperkenalkan Dasar Belia Negara (DBN) pada tahun 1985 sebagai garis panduan bagi menyusun dan mengendalikan rancangan-rancangan belia di Malaysia. Misi DBN ialah membina golongan belia untuk kesejahteraan negara dan misi ini selari dengan pembangunan pesat negara yang tinggal 14 tahun sahaja lagi untuk Malaysia mencapai status negara maju.
DBN menetapkan beberapa prinsip untuk pembinaan golongan belia yang berkualiti iaitu :
1.Mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
2.Mempunyai semangat perpaduan dan kesukarelaan serta mengamalkan prinsip autonomi.
3.Mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang matang.
4.Menggalakkan penyertaan dalam proses perancangan negara.
5.Mempunyai moral yang tinggi dan sikap yang mementingkan kesihatan dan kecergasan diri.
6.Mempunyai taraf keilmuan yang luas dan mendalam.
Pelbagai strategi yang disusun bagi mempastikan kejayaan DBN dari segi pembinaan karektor, kemahiran dan pengetahuan bagi melengkapkan peribadi belia sebagai pemimpin masa depan negara.
Pembentukan sesuatu dasar seperti ini sangat penting kerana ianya akan menjadi panduan kepada negara bagi menghadapi gelombang globalisasi yang telah menjalari masyarakat. Dikira 20 atau 30 tahun yang lalu, isu vandalisme, gengsterisme, penagihan dadah, jenayah seksual ataupun pengangguran jarang sekali didengari. Apatah lagi HIV/AIDS atau delikuensi.
Keadaan yang telah berubah kini menuntut pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk memahami dan mengenal pasti halangan dan rintangan yang membantutkan perubahan ke arah kecemerlangan belia dan negara. Oleh yang demikian, pelaksanaan dan penekanan terhadap Islam Hadhari, Modal Insan dan Wawasan 2020 adalah sebagai jalan keluar ke atas masalah-masalah yang dihadapi sekarang.
Penekanan terhadap tiga agenda ini dilihat untuk menguatkan dan menambah keupayaan sumber manusia sedia ada, menyuburkan ideologi yang kian malap, memperkukuh jaringan komunikasi dan memantapkan kepakaran bagi persaingan di arena antarabangsa.
Sebahagian besar Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) terarah kepada usaha membina dan membangunkan modal insan. Sebahagian besar daripada RM200 bilion yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri meliputi dan mewarnai komitmen kerajaan bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai minda kelas pertama. Konsep kelas pertama ini meliputi cara berfikir yang sistematik, sikap yang betul dan memaksimumkan penggunaan otak seperti yang dipunyai oleh masyarakat di negara-negara maju.
Langkah kerajaan menubuhkan Institut Penyelidikan Belia Negara (IPBN) adalah bagi memperkasa golongan belia melalui penyelidikan dalam enam bidang utama iaitu memasyarakatkan belia terhadap agama dan budaya, potensi belia dan integriti, belia berpersatuan, kepimpinan dan kesukarelaan, belia dan pendidikan serta belia dan kesedaran politik.
Salah satu kajian yang boleh dijalankan oleh IPBN ialah melihat kembali sistem pengukuhan yang dilaksanakan di dalam sistem pendidikan negara untuk meningkat dan mengekalkan momentum golongan muda ini semasa berlakunya transisi semasa bekerja dan menjadi orang dewasa. Kajian yang menarik ini telah dijalankan di Eropah yang menyatakan bahawa pendidikan formal dan latihan kemahiran yang diberikan telah gagal menyediakan mereka untuk memenuhi permintaan pasaran kerja dan pada masa yang sama, mereka tidak mempunyai nilai tambah yang sepadan dengan perkembangan semasa (Steven Miles et. al., 2002). Apa yang cuba dinyatakan dalam penemuan kajian di atas boleh dikaitkan dengan kegagalan sistem berfikir yang diterapkan dan paradigma yang agak beku serta ketinggalan sehingga membentuk individu yang buntu, keliru, lesu dan beku (Azimi Hamzah dan Turiman Suandi, 1998).
Modal insan dan nilai
Membangunkan modal insan harus bermula dengan nilai kerana nilai inilah yang akan membentuk dan mencorakkan sikap dan pemikiran belia ke arah hala tuju yang dikehendaki. Masyarakat Jepun boleh berbangga dengan kemajuan dan teknologi yang dicapai pada hari ini kerana mereka telah menyediakan nilai-nilai kemajuan bermula dari peringkat tadika lagi.
Pendidikan prasekolah di Jepun tidak mengajar ilmu semata-mata tetapi mengajar, menerap dan melaksanakan ilmu tersebut melalui pelaksanaan nilai. Contohnya nilai menghormati sekolah dan pendidikan. Anak-anak kecil yang berumur lima tahun didedahkan kepada kebersihan, berdikari, ambil berat dan mendengar kata bermula daripada masuk ke kawasan sekolah hinggalah melangkah keluar daripada kawasan sekolah. Guru memaklumkan apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas belajar lima minit lebih awal supaya para pelajar mempunyai budaya bersedia. Guru adalah individu yang sangat dihormati kerana sebahagian besar masa anak-anak adalah bersama dengan mereka.
Selain daripada Jepun, negara yang telah berjaya membentuk belia yang memaksimumkan pembangunan modal insan ialah Finland. Kajian antarabangsa 2003 yang dilakukan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah menempatkan Finland di tempat teratas daripada 40 buah negara yang diuji dalam subjek sains dan tahap celik huruf. Menariknya sistem pendidikan Finland ialah kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan formal ketika berusia 7 tahun dan hanya memperuntukkan 30 jam seminggu untuk kerja sekolah berbanding 50 jam seminggu yang diamalkan oleh pelajar-pelajar Korea.
Berbanding Malaysia, Finland mengamalkan sistem persekolahan formal selama 16.7 tahun sementara Malaysia selama 11.5 tahun.
Daripada 62,000 pelajar sekolah menengah yang menamatkan pengajian setiap tahun, hanya 1000 yang tercicir dan separuh daripadanya akan kembali untuk melengkapkan pengajian mereka.
Masyarakat Malaysia telah didedahkan dengan misi untuk mencapai pendidikan bertaraf dunia supaya produk pendidikan yang bakal dilahirkan tidak menghadapi sindrom mengharap kepada kerajaan. Pendekatan pendidikan haruslah menegaskan pembinaan ”learning skills, thinking skills and problem solving skills, and multiple intelligences” (Isahak Haron, 2005) dan kualiti belia yang terbentuk kelak adalah penuh dengan nilai-nilai progresif, aktif, dinamik dan menepati ciri-ciri World Class Education.
Finland juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah pelajar yang kaki buli, salah guna dadah ataupun tidak beradab dengan guru. Masalah berkenaan tetap wujud dan silih berganti. Kejayaan Finland memajukan sektor pendidikan negaranya adalah kerana penekanan terhadap kepentingan pembangunan modal insan dalam pelbagai bidang melalui pendidikan. Keberanian masyarakat Finland mengadakan beberapa siri eksperimen bagi mencapai taraf pendidikan peringkat dunia bermula sejak pertengahan tahuan 1970-an iaitu para pelajar telah diasingkan melalui ujian khas pada usia 10 tahun bagi ditentukan aliran masing-masing sama ada akademik ataupun teknikal. Kaedah ini dikritik kerana adalah terlalu sukar untuk mengubah sesuatu aliran kerana banyak masa yang telah dihabiskan untuk menyesuaikan diri dengan aliran pendidikan yang berkaitan.
Eksperimen seterusnya ialah menggunakan pendekatan ”pemusatan pelajar” yang memberi lebih kuasa kepada guru dan lebih perhatian ke atas keperluan individu pelajar. Langkah pertama ialah menghapuskan peperiksaan kebangsaan pada usia 10 tahun dan para pelajar dibenarkan untuk meneruskan pelajaran hingga umur 16 tahun. Sekitar tahun 1980-an, semua pelajar dari pelbagai tahap keupayaan dan kebolehan dikumpulkan dalam kelas yang sama. Akhir sekali, pada tahun 1994 sistem pendidikan telah dirombak secara besar-besaran dengan pihak sekolah dan guru telah diberi kebebasan untuk menyediakan keutamaan pendidikan masing-masing.
Terdapat lima ciri kejayaan pendidikan Finland iaitu :
1. Guru yang terlatih
Walaupun gaji tidak begitu banyak tetapi kerjaya perguruan begitu berprestij. Universiti hanya menerima satu daripada tujuh permohonan untuk mengikuti bidang pendidikan. Ternyata menjadi guru sangat sukar berbanding peguam dan doktor.
2. Guru mempunyai autonomi yang luas
Mereka bebas menentukan metod pengajaran, kurikulum dan bebas memilih dan menentukan buku teks. Autonomi ini sangat ketara hinggakan para guru tidak tertakluk pada pemantauan dan penilaian yang kerap. Dengan kata lain, setelah diterima menjadi guru, seseorang itu telah diberikan kepercayaan secara automatik oleh sistem yang telah wujud itu.
3. Pelajar diajar menilai diri sendiri
Guru diberi tanggungjawab melatih para pelajar mereka menilai diri sendiri sejak dari sekolah tadika. Cara ini dapat membentuk pelajar yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja mereka. Seterusnya dapat melahirkan pelajar yang bebas melakukan tugasan berdasarkan tahap tanggungjawab tersebut. Pada peringkat awal persekolahan, aspek penilaian diri hanyalah membuat ekspresi diri sama ada gembira atau sedih. Peringkat yang lebih tinggi pula, para pelajar akan menulis tahap pencapaian diri yang selalunya dibuat pada penghujung tahun.
4. Pelajar digalakkan berdikari
Guru melatih dan memberi galakan kepada pelajar mereka untuk mencari sendiri maklumat yang dikehendaki tanpa bergantung sepenuhnya kepada buku-buku teks. Keupayaan mencari maklumat ini sangat penting dalam proses mencari ilmu kerana jika menulis atau menyalin semula apa yang dikatakan oleh guru, para pelajar tidak akan belajar apa-apa.
5. Pelajar lemah diberikan sokongan berterusan
Barangkali inilah aspek pencapaian pendidikan terpenting di Finland. Usaha ini telah merapatkan jurang perbezaan di antara pelajar cemerlang dan lembap dalam OECD. Masalah lemah dalam pelajaran dan perubahan tingkah laku adalah peluang bagi para guru untuk memperbaiki teknik pengajaran. Setiap pelajar ini mempunyai matlamat pembelajaran tersendiri; mula-mula, pupuk minat untuk datang ke kelas; kemudian datang belajar tepat pada masanya; seterusnya bawa buku dan sebagainya. Guru mempunyai tanggapan positif terhadap pelajar yang tidak mahu buat kerja sekolah kerana yang penting ialah mencuba. Mungkin hari lain pelajar berkenaan akan melakukannya tanpa disuruh.
Kejayaan guru-guru di Finland melahirkan pelajar kelas dunia banyak dibentuk oleh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan khususnya pada awal-awal usia persekolahan. Umpamanya guru tidak mengkritik atau memarahi pelajar jika melakukan kesilapan kerana hal demikian akan memberi malu kepada pelajar berkenaan seterusnya enggan lagi belajar. Falsafah yang dipegang ialah setiap orang dibenarkan membuat kesilapan. Bagi meningkatkan harga diri, para pelajar diminta membandingkan pencapaian mereka hanya dengan rakan-rakan dari tahap berbeza, bukannya sesama sendiri. Kejayaan sistem pendidikan di Finland banyak disumbangkan oleh faktor kesabaran, toleransi dan komitmen ke arah kecemerlangan serta falsafah pengajaran yang sangat menarik iaitu jika saya gagal mendidik dan mengajar pelajar saya, kaedah pengajaran sayalah yang salah.
Perbandingan kejayaan pendidikan di antara Timur dan Barat ini memberi banyak pendedahan, pengajaran dan pengalaman kepada pemimpin dan pembuat dasar untuk melihat dan sentiasa menilai keberkesanan sistem pembelajaran negara.
Ketika Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1982, beliau menyatakan bahawa orientasi semula sangat penting untuk membangunkan Malaysia. Kemajuan yang dikecapi oleh Jepun bukanlah kebetulan tetapi telah melalui proses pengalaman dan eksperimen yang sangat panjang (Harun Che Su, 1982).
Prasekolah asas kejayaan
Pendidikan adalah nadi kepada kemajuan negara. Kepentingan sektor pendidikan ini dapat diimbas dalam setiap bajet yang diumumkan. Contohnya dalam Bajet 2006 yang lalu, kerajaan memperuntukkan RM29 bilion untuk menjana kemajuan pendidikan negara. Langkah kerajaan menjadikan pendidikan sebagai fokus telah mengubah keadaan hidup masyarakat Malaysia keseluruhannya. Oleh yang demikian, memperkemaskan pendidikan prasekolah adalah prasyarat bagi melahirkan golongan belia yang memaksimumkan potensi mereka pada masa hadapan. Pendidikan yang diperolehi dari peringkat awal akan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai kemahiran asas bagi membasmi buta huruf. Sesebuah negara yang mempunyai kadar buta huruf yang tinggi tidak mempunyai peluang dan pilihan yang banyak untuk pembangunan (Zolkepli Buang, 2005).
Kajian yang dilakukan oleh kumpulan sokongan Legal Momentum dan Pusat Kerja Institut Teknologi Massachussetts mengenai kesan ekonomi dan kesan-kesan lain terhadap kebaikan prasekolah sangat baik. Daripada 123 kanak-kanak Afrika Amerika yang berpendapatan rendah dan berisiko tinggi tercicir daripada sekolah, separuh daripadanya yang mendapat pendidikan awal berkualiti didapati berkemungkinan besar untuk tamat sekolah tinggi, mempunyai pekerjaan dan berisiko lebih rendah bergantung kepada badan kebajikan atau dipenjarakan kerana terlibat dengan jenayah. Kanak-kanak yang mendapat permulaan awal yang cemerlang kurang memerlukan kelas pendidikan khas yang mahal dan berkemungkinan besar berjaya memasuki universiti.
Memperkasa pendidikan prasekolah adalah sangat baik kepada pembangunan negara pada masa hadapan. Objektif pendidikan prasekolah ialah menyediakan pengalaman pembelajaran yang sangat berguna kepada kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun bagi menyuburkan potensi sedia ada termasuk perkembangan mental, fizikal dan spiritual. Dengan menguasai kemahiran asas inilah, sikap mereka terhadap pendidikan menjadi positif.
Usaha-usaha untuk menggerakkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah tadika atau pusat pembelajaran bahasa harus dimulakan. Langkah kerajaan untuk menguatkuasakan pendidikan prasekolah ini wajar dinilai dari segi persediaan keluarga keseluruhannya. Bagi keluarga di bandar, ia tidak menjadi masalah yang ketara kerana sedikit sebanyak kemudahan ke arah itu telah disediakan. Masalahnya ialah di luar bandar yang berkait rapat dengan status ekonomi dan kemudahan prasarana. Jika di bandar, bagi kanak-kanak yang lembap dan lemah, terdapat guru khas yang akan memantau perkembangan kemajuan mereka. Kesedaran ibu bapa turut membantu secara tidak langsung seperti menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan turut bersama-sama mempelajari teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Sebaliknya berlaku di luar bandar. Pendapatan keluarga dan kemudahan prasarana adalah di antara faktor yang perlu diambil kira. Ikhtiar yang boleh dilakukan ialah menggalakkan agensi pembangunan luar bandar seperti KEMAS untuk menambah bilangan tadika dan menyediakan makanan tambahan kepada kanak-kanak di tadika berkenaan.
Remaja, belia dan isu
Isu-isu sosial yang melibatkan golongan remaja dan belia boleh menggugat kesejahteraan masyarakat. Masalah yang paling utama ialah penagihan dadah di mana dianggarkan setiap dua jam, dua orang warga Malaysia menjadi penagih dadah. Sehingga kini terdapat 255,725 penagih dan daripada jumlah ini, 70 peratus adalah terdiri daripada golongan belia. Pada tahun 2015, jumlah penagih dadah dijangka meningkat kepada 443,000 (New Straits Time, 23 Oktober 2004).
Jenayah juvana turut merungsingkan pelbagai pihak. Manurut laporan Polis Diraja Malaysia, bagi tempoh 1997 hingga 2001, sejumlah 28,966 juvana telah ditangkap kerana melakukan kesalahan jenayah. Daripada statistik ini, 41 peratus adalah dalam lingkungan umur di antara tujuh dan 12 tahun, 30 peratus lingkungan umur 13 hingga 15 tahun dan 65.2 peratus berada dalam peringkat umur di antara 16 hingga 18 tahun.
Hal yang mengaitkan remaja dan belia tidak berlegar kepada penyalahgunaan dadah malah menjalar kepada masalah kekeluargaan dan komuniti. Lari daripada rumah, ponteng sekolah dan buli adalah contoh-contoh masalah yang kerap diperkatakan.
Walaupun terdapat gemburan di media mengenai tingkah laku belia dan remaja yang negatif, harus juga diambil kira bilangan mereka ini yang bertanggungjawab dan menjadi contoh di dalam masyarakat. Sebahagian besar golongan ini mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi terhadap ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua, aktif dalam pelajaran dan aktiviti di sekolah serta mempraktikkan amalan agama masing-masing di dalam kehidupan seharian. Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negera adalah kesinambungan pemupukan nilai dan budaya mulia yang dikehendaki oleh masyarakat Malaysia.
Golongan muda adalah harapan negara. Di bahu mereka letaknya keyakinan yang kukuh bagi menghadapi empat cabaran utama masa kini yang meliputi politik, ekonomi, agama, kesihatan. Penyertaan aktif Malaysia dalam misi antarabangsa seperti di Bosnia-Herzegovina dan Timur Leste adalah komitmen kerajaan untuk melihat konflik yang berlaku diselesaikan secara campur tangan antarabangsa. Kestabilan politik berasaskan geografi adalah penentu bagi memberi ruang kepada perkembangan ekonomi yang makmur. Pelaksanaan World Trade Organisation (WTO) dan Asean Free Trade Area (AFTA) menjadi cabaran kepada generasi muda hari ini untuk memikirkan persediaan yang akan datang.
Penularan wabak penyakit yang melanda sebuah negara menjadi semakin pantas merebak ke negara yang lain kerana pergerakan penduduk dunia semakin mudah, cepat dan bebas. Tidak banyak sekatan dan halangan yang ada di atas nama pelancongan dan kebebasan bergerak. Keupayaan untuk mencari vaksin baru terhadap wabak penyakit memerlukan para belia yang bijak dan pintar dalam pendidikan. Pelampau agama adalah ancaman yang menjadi duri dalam daging di kalangan masyarakat beragama di seluruh dunia. Ancaman ini bersifat global dan boleh mengancam politik, ekonomi dan sosial sesebuah negara. Golongan ekstremis ini tidak terbatas kepada Islam sahaja kerana kedatangan Islam membawa misi sosial dengan memberi perhatian tinggi terhadap permasalahan masyarakat, bukannya memutarbelitkan fakta dan sejarah (Abdul Rahman Rukaini, 2004). Era proksi dalam peperangan menentang nasionalisme telah berakhir dengan serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq. Penentangan terhadap keganasan yang mengaitkan kumpulan agama telah menyebabkan kemunculan gerakan yang berlindung di sebalik kefahaman agama yang ekstrem dan meraih sokongan belia dan remaja bagi mencapai cita-cita mereka (Mahmood Mamdani, 2004).
Rumusan
Malaysia mempunyai masyarakat yang mendengar cakap pemimpin. Kerjasama di antara kerajaan dan rakyat telah membangunkan sebuah negara yang dahulunya bergantung penuh kepada sektor pertanian kepada sebuah negara yang moden dan berpengaruh. Kekuatan syahsiah yang wujud di dalam diri barisan kepimpinan negara adalah jelmaan proses pendidikan yang dilalui oleh mereka.
Namun begitu, sejarah telah berlalu dan sumbangan golongan belia dalam arus pembangunan negara sangat penting. Perancangan bagi membentuk individu belia yang cemerlang dan komuniti belia yang tersusun wajar diteruskan. Ciri-ciri belia yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti unggul jati diri, kuat berusaha dan mukhlisin harus sentiasa diberi keutamaan. Nilai-nilai unggul ini hendaklah disesuaikan dengan ciri-ciri kepimpinan yang relevan, kukuh dan matang bagi memberi peluang kepada golongan belia mengambil bahagian dalam proses perancangan negara pada semua peringkat membuat keputusan.
Malaysia tidak harus dibangunkan dalam bidang ekonomi sahaja. Ia mesti menjadi negara yang maju sepenuhnya dalam semua bidang : ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan. Kita mesti maju dalam erti kata perpaduan nasional dan sosial, dalam erti kata ekonomi kita, dalam erti kata keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa dan keyakinan (Mahathir Mohamad, 1991). Pendita Za’ba di dalam bukunya ”Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” sentiasa mengulangi bahawa ; “... setiap orang daripada sesuatu bangsa dan setiap kumpulan daripada mereka yang bekerja masing-masingnya atau bersama-sama oleh sebab kuat bergantung pada diri sendiri dan percaya akan kebolehan sendiri, adalah bekerja bagi kejayaan bangsa itu dan kemajuannya adalah kemuliaan dan kemakmuran”.
Dasar Belia Negara yang telah dibentuk tetap menjadi tulang belakang dan rangka kepada setiap perancangan dan pelaksanaan program pendidikan pembangunan negara ke arah kesejahteraan masyarakat. Kesejahteraan negara boleh dicapai melalui penglibatan ahli masyarakat yang berkualiti, demokratik, berpendidikan dan mempunyai tahap toleransi yang tinggi ke arah perpaduan dan keharmonian negara.
Rujukan
Abdul Rahman Rukaini. 2004. Sanggahan Salah Tafsir Islam : Siri Al-Qardhawi Membela Islam. Semenyih, Selangor: Synergymate Sdn. Bhd.
Azimi Hamzah dan Turiman Suandi. 1998. Pengukuhan Sinergi Belia dan Negara : Agenda Agen Pembangunan Pewaris Negara. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Harun Che Su.1982. Pandang Ke Timur: Mengapa Jepun Jadi Pilihan. Kuala Lumpur: Moden Akademik, Institut Bena dan Syarikat S.H. Sahlan.
Isahak Haron. 2005. Ke Arah Inovasi Dalam Pendidikan Kebangsaan. Kertas kerja yang dibentangkan semasa Kongres Pendidikan Melayu Ke-2, anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu pada 26-27 Mac 2005 di Kuala Lumpur.
Mahathir Mohamad. 1991. Malaysia: The Way Forward. Kuala Lumpur:
Biro Tatanegara.
Mahmood Mamdani. 2004. Good Muslim, Bad Muslim. Kuala lumpur: Forum Publications.
Malaysia .2006. Rancangan Malaysia Kesembilan, 2006-2010. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara.
Miranda Yates dan James Youniss. 1999. Roots of Civic Identity : International Perspectives on Community Service and Activism in Youth. New York, USA: Cambridge University Press.
Steven Miles et. al. 2002. Communities of Youth : Cultural practice and informal learning. Hampshire, England: Ashgate Publishing Limited.
New Straits Time, 23 Oktober 2004.
Zaharah Za’ba. 1982. Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zolkepli Buang. 2005. Liberalisasi Komuniti : Peranan Pendidikan Untuk Meningkatkan Pembangunan Lestari Dalam Komuniti. Melaka: Penerbit Universiti KUTKM.

No comments:
Post a Comment