Pada tahun ini, sempena Hari Raya Aidilfitri 1427 Hijrah, Petronas memberi “pukulan maut” ke atas anak menantu yang meminggirkan ibu bapa. Kali ini iklan raya Petronas memerihalkan elemen warga emas sebagai watak utama di samping keluarga anak perempuan. Pada tahun-tahun sebelumnya, kumpulan sasar yang biasa diketengahkan ialah ibu tunggal dan kehidupan di kampung. Pemilihan tema warga emas kali ini amat bertepatan kerana perkembangan semasa menunjukkan terdapat perubahan nilai ke atas golongan ini.
Pemodenan hidup menjadikan setiap orang lebih cenderung memiliki sifat individualistik dan mementingkan diri sendiri.
Sindiran yang paling pedas ialah pada babak akhir iklan berkenaan yang memberi keinsafan dan kesedaran kepada anak dan menantu. Mesejnya adalah jelas iaitu jangan berlaku biadap kepada ibu bapa, bersabar menjaga mereka dan memenuhi tanggungjawab sebagai anak dan menantu. Walaupun rumah besar dan hidup mewah, belum tentu dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk ibu bapa khususnya pada masa akhir usia.
Iklan Petronas ini sungguh berkesan dan diharap masyarakat dapat mengambil mesej yang hendak disampaikan meskipun ada yang terasa hati.
Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan 9.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia lebih 60 tahun pada tahun 2020. Di Jepun, pada tahun 2050 dianggarkan terdapat satu juta orang penduduknya yang berusia lebih daripada 100 tahun. Negara matahari terbit ini telah melalui era pertambahan warga emas dan Malaysia sedang mengikut trend berkenaan dari belakang.
Perubahan umur adalah perkara utama yang membezakan peringkat hidup kita. Angka 50, 60 dan 70 menunjukkan perbezaan ketara terhadap keadaan fizikal dan psikologikal seseorang.
Usia 50 tahun, pelbagai perubahan luaran dan dalaman yang berlaku kepada kedua-dua jantina. Bagi lelaki, keupayaan fizikal tidak begitu ketara tetapi masalah utama ialah prostat yang sering mengganggu kehidupan mereka. Simptom susah kencing, duduk berjam-jam di dalam tandas dan sakit ketika kencing adalah petanda bagi masalah yang lebih besar. Wanita turut mengalami penurunan kadar hormon dan menghadapi putus haid atau menopause. Selain itu, kaum hawa ini juga menghadapi masalah tulang yang boleh meningkatkan risiko kecederaan patah tulang.
Walau bagaimanapun peringkat ini masih memberi ruang kepada pemikiran untuk berfikir dan bertindak dengan baik. Ingatan masih lagi kuat dan boleh memberikan idea yang baik.
Usia 60 tahun adalah era perubahan untuk menyesuaikan diri dengan suasana persaraan. Proses mengadaptasi dengan suasana hidup yang baru kadangkala membingungkan. Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan tambahan pula jika tidak melakukan aktiviti senaman atau pergerakan kecil yang berterusan. Masalah penghadaman adalah halangan utama ke arah kehidupan yang menyeronokkan kerana usus semakin lemah. Justeru simptom kembung dan sembelit adalah perkara biasa. Wanita akan kelihatan lebih berkedut jika duduk diam sahaja di rumah kerana tidak ada aktiviti yang hendak dibuat. Keadaan ini menambahkan lagi kemerosotan anggota badan seperti mata yang kabur dan telinga yang tuli. Sepatutnya usia 60-an adalah masa untuk berehat sepenuhnya kerana tidak ada lagi masalah untukmembesarkan anak-anak, bekerja, masalah sosial ataupun melibatkan kerja fizikal. Kalau adapun, mungkin ada yang berminat untuk belajar di maktab, universiti atau belajar ngaji di masjid.
Usia 70-an adalah era senja. Alhamdulillah jika dipanjangkan umur sehingga ke tahap ini kerana keberkatan hidup. Bagaimanapun, perlu dijaga betul-betul supaya tidak ditimpa penyakit yang membahayakan diri. Penyakit yang sinonim dengan usia ialah nyayuk yang boleh menyebabkan apa sahaja pada orang berkenaan. Jadi, bagaimana kita dapat menghindarkan diri daripada mengalami masalah kesihatan seperti warga emas iklan raya Petronas?
Pertama sekali ialah mempastikan makan makanan yang betul, bukannya ikut sedap mulut atau teringat nak makan saja. Pengambilan makanan yang betul dapat membantu proses penghadaman kerana otot-otot usus dapat melaksanakan tugasnya dengan berkesan.
Makanan yang betul akan lebih baik jika ianya berkhasiat. Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah di antara pilihan yang terbaik apatah lagi jika memakai gigi palsu.
Kedua pula ialah mempastikan pengambilan makanan sekurang-kurangnya tiga kali sehari walaupun sedikit. Warga emas memang diketahui makan sedikit dan cepat kenyang namun pengambilan diet yang tetap dapat membantu mengekalkan tenaga sedia ada.
Seterusnya ialah memastikan air diminum dengan secukupnya. Apabila usia semakin bertambah, seseorang itu tidak berasa dahaga walaupun sebenarnya badan memerlukan air. Oleh itu pengambilan air yang cukup dapat membantu mengekalkan keseimbangan bendalir dalam badan.
Selain kesihatan, keselamatan sosial juga amat penting bagi mempastikan golongan warga emas dapat hidup selesa menjelang hari-hari akhir kehidupan mereka. Pencen, wang simpanan KWSP dan insurans adalah instrumen untuk mempastikan kehidupan warga emas lebih terjamin. Iklan raya petronas menggambarkan kehidupan yang tidak ceria seorang bapa bersama anak menantu yang langsung tidak menunjukkan apa-apa sokongan malah dipinggirkan. Keperluan warga emas semakin bertambah selari dengan pertambahan bilangannya. Dalam masa 50 tahun lagi, penduduk Malaysia akan menyaksikan bilangan golongan ini semakin ramai kerana jangka hayat penduduk yang semakin panjang. Apakah anak menantu akan bertindak seperti iklan raya Petronas tahun ini?
No comments:
Post a Comment