Pada September 2000, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan “Millennium Development Goals” untuk meningkatkan ekonomi, penjagaan alam sekitar dan persekitaran sosial negara-negara miskin pada tahun 2015. MDG ini sebagai komitmen bersama PBB untuk melihat komuniti dunia yang lebih baik. MDG mempunyai lapan matlamat iaitu :
1.Membasmi kemiskinan dan kelaparan.
2.Pendidikan rendah dapat dicapai sepenuhnya.
3.Kesaksamaan gender dan memperkasa wanita.
4.Mengurangkan kematian bayi.
5.Meningkatkan kesihatan ibu mengandung.
6.Menangani HIV/Aids, malaria dan pelbagai penyakit lain.
7.Mengekalkan alam persekitaran.
8.Membina jaringan global untuk pembangunan.
Sama ada kelapan-lapan matlamat ini dapat dicapai atau tidak pada tahun 2015, kemajuan sesetengah bidang masih perlahan. Terdapat usaha yang segera bagi menangani isu-isu ini khususnya kemiskinan.
Kemiskinan adalah masalah manusia yang sama usia dengan sejarah kewujudannya sendiri. Hanya seabad yang lalu, beberapa buah negara dapat melepaskan diri daripada meminum air yang tidak bersih, keputusan bekalan makanan, penyakit epidemik, buta huruf, perumahan yang sesak, kurang penjagaan kesihatan dan kematian bayi pramatang. Dianggarkan sebanyak 2.8 bilion masyarakat dunia mendapat USD$2 sehari dan lebih satu bilion hanya mendapat USD$1 sehari. Sebanyak 40 peratus masyarakat sub Sahara di Afrika kekurangan air untuk diminum. AIDS menjadi penyakit pandemik di seluruh dunia dan memberi kesan buruk kepada benua termiskin iaitu Afrika.
Kemiskinan adalah antara masalah yang tertua di dalam sejarah tamadun manusia sama ada di Barat ataupun Timur. Jika kita bertanya kenapa sesetengah negara kaya dan yang lainnya miskin, kita akan mendapat pelbagai jawapan yang diberikan oleh pemikir-pemikir besar satu abad yang lalu. Namun tidak ada jawapan yang benar-benar betul diberikan kerana konsep kemiskinan adalah berbeza-beza.
Idea mengenai kemiskinan di Barat adalah berdasarkan pembangunan ekonomi pada abad ke-18 di mana pengeluaran barangan untuk memenuhi keperluan asas tertentu. Selama beberapa tahun idea ini menjadi penyelesaian untuk menentukan kemajuan dan keluar daripada insiden kemiskinan. Timbul persoalan kenapa sesetengah negara lebih maju dalam pembangunan ekonomi sedangkan terdapat negara lain yang tertinggal di belakang?
Ada dua jenis kemiskinan yang dikelaskan iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif. Kemiskinan mutlak merujuk kepada keadaan seseorang atau sebuah isi rumah yang tidak berupaya mendapatkan keperluan asas bagi menikmati tahap kesejahteraan hidup yang minimum dan munasabah. Keperluan asas ini merangkumi makan minum, pakaian, tempat kediaman, pendidikan, perubatan dan sebagainya. Jika diambil pendidikan sebagai contoh, terdapat negara yang masih mempunyai penduduk yang buta huruf seperti Afrika, India dan China.
Kemiskinan relatif merujuk kepada perbezaan taraf hidup, kesejahteraan dan kebajikan isi rumah. Contoh kemiskinan ini ialah taraf hidup kumpulan isi rumah yang berpendapatan 10 pertus teratas dengan berpendapatan 20 peratus terendah. Taraf hidup kumpulan isi rumah 20 peratus terendah secara relatifnya miskin berbanding 10 peratus teratas.
Daripada kajian di enam buah negara membangun (Brazil, India, Malaysia, Pakistan, Taiwan dan Thailand), Field (1980) telah membuat ciri-ciri umum mengenai kemiskinan iaitu :
1.Kadar kemiskinan menurun dengan pendidikan.
2.Kadar kemiskinan paling tinggi dalam keluarga yang penjana ekonomi berumur 30-49 tahun.
3.Kadar kemiskinan lebih tinggi di kalangan wanita yang menjadi ketua isi rumah kecuali di Thailand.
4.Kemiskinan meningkat jika saiz keluarga semakin bertambah.
5.Kemiskinan berkurangan dengan bertambahnya penjana ekonomi keluarga.
6.Kadar kemiskinan tertinggi di kalangan mereka yang bekerja sendiri.
Masyarakat berpendidikan dapat menyumbang kepada proses pembangunan ekonomi negara dan secara tidak langsung mengurangkan kadar kemiskinan. Hal ini berbeza dengan masyarakat yang tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Individu atau masyarakat yang berpendidikan akan lebih memahami keperluan mempunyai kesihatan yang baik dan pemakanan yang lebih baik daripada individu atau masyarakat yang kurang berpendidikan. Melalui pendidikan mereka akan diajar dengan pelbagai kemahiran asas kehidupan yang meningkatkan pemahaman terhadap elemen penting yang memberi kesejahteraan dalam hidup.
Negara yang mempunyai kadar celik huruf yang tinggi lebih cenderung menuntut kerajaan mereka supaya lebih bertanggungjawab dan lebih demokratik daripada negara yang kurang berpendidikan dan buta huruf. Negara yang sedang berperang dan mengalami konflik politik yang berpanjangan akan menghadapi zaman sukar bagi membina rakyat yang berpendidikan kerana terdapat keperluan lain yang harus dipenuhi terlebih dahulu. Bencana alam yang dialami oleh negara mundur turut menjadikan keadaan pendidikan lebih teruk jika tidak dibantu seperti keadaan persekitaran yang kotor, busuk, bocor dan tidak sesuai digunakan untuk tempat belajar. Contohnya ialah kejadian gempa bumi di Aceh, Indonesia yang menyebabkan 156 buah sekolah runtuh dan 12,000 murid hilang tempat pelajar (Sila hubungi editor).
Jadual 1 : Kadar Celik Huruf di Malaysia
Pengkelasan kepada Negara Utara-Selatan, maju-sedang membangun dan kaya-miskin telah menjadikan jurang pendidikan semakin luas. Negara-negara yang kaya sangat mementingkan pendidikan dan mendapat pendidikan rendah serta menengah adalah diutamakan. Manakala di negara-negara yang miskin, pendidikan mereka jauh ketinggalan. Negara-negara maju juga membelanjakan banyak peruntukan kepada sektor pendidikan tahap sekolah rendah dan menengah.
Suasana di dalam bilik darjah turut menggambarkan sistem pendidikan di antara kedua-dua jenis negara. Meja, papan tulis, buku rujukan dan latihan, serta alat tulis terdapat di dalam setiap kelas di negara kaya sedangkan di negara miskin, keadaannya sangat daif. Dinding sekolah dibuat sama ada daripada papan lapis, zink atau dipisahkan dengan kain sahaja malah ada sesetengahnya ditampal dengan lumpur. Bilangan pelajar yang ramai dikumpulkan dalam satu kelas dengan kemudahan yang sangat terhad, sesetengahnya terpaksa duduk di atas lantai dengan berkongsi buku teks, alat tulis dan buku nota. Guru-guru yang kebanyakannya tidak terlatih dan kurang kemahiran dalam kaedah pengajaran, mungkin terpaksa melakukan kerja tambahan bagi menambah pendapatan kerana gaji bulanan yang diterima tidak mencukupi.
Kajian kemiskinan di Malaysia tidak diketahui sejak bila dimulakan tetapi Za’ba pernah menulis mengenainya pada tahun 1923 apabila beliau menulis dua artikel mengenai kemiskinan masyarakat Melayu dan cara-cara untuk mengatasinya. The Poverty of Malays dan The Salvation of the Malays telah diterbitkan dalam akhbar The Malay Mail pada Disember 1923. Za’ba berpendapat :
Orang-orang kita Melayu pada perhitungan am atau jumlahnya adalah suatu kaum yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifatnya yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada sifat-sifat kebangsaannya dan adalah juga sebesar-besar kekurangan yang menjadikan mereka kalah dan ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan, miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tingi dan mulia, jadilah mereka tidak dapat tidak tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa (Ungku Aziz,1975).
Za’ba melihat kemiskinan Melayu pada sudut kebendaan dan bukan kebendaan. Kesedaran terhadap pentingnya pendidikan bagi mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan telah lama disedari oleh pemikir-pemikir Melayu terdahulu (Sila hubungi editor).
Jadual 2 : Kadar Kemiskinan di Malaysia, 1970-2002.
Pendidikan adalah peluang yang sangat berharga bagi seseorang sama ada miskin ataupun kaya, bandar ataupun luar bandar. Pengabaian dalam memenuhi peluang ini akan menyebabkannya terus ketinggalan dalam pelbagai bidang lain dan menjejaskan masa depan. Pendidikan yang rendah menyebabkan kemiskinan akan terus berlarutan kerana pekerjaan yang sesuai dengan tahap pendidikan itu juga sangat berkaitan seperti tenaga buruh, jurujual, pembantu kedai, pekerja kilang dan pengawal keselamatan. Bagi mereka, untuk mendapatkan RM1000 sangatlah sukar tetapi mereka tidak ada pilihan kecuali terus bekerja dengan apa yang boleh bagi menyara kehidupan.
Kajian yang dijalankan oleh Fong Chan Ong (1984) merumuskan empat ciri utama kemiskinan di bandar iaitu :
1.Taraf pendidikan yang rendah
2.Kekurangan peluang pekerjaan
3.Saiz keluarga yang besar
4.Kurang mendapat kemudahan sosial
Walaupun kajian ini berkaitan dengan kemiskinan di bandar, ia turut boleh diguna pakai bagi masyarakat luar bandar kerana pendidikan adalah kunci kepada kejayaan hidup. Peluang mendapatkan pendidikan di Malaysia adalah terbuka kepada semua orang. Kesedaran dan sensitiviti terhadap pendidikan akan memberi peluang bagi seseorang untuk menjawat jawatan yang lebih baik walaupun dalam saiz keluarga yang besar.
Kemiskinan akan menutup peluang sesuatu masyarakat untuk memajukan diri dan negara mereka. Kesedaran terhadap pendidikan akan memberi faedah yang sangat besar kepada negara untuk pembangunan yang lebih menyeluruh. Pendidikan yang secukupnya akan menjamin kehidupan pada masa yang akan datang.
No comments:
Post a Comment