Saturday, November 04, 2006

Kadar pertumbuhan masyarakat Malaysia semakin merosot

Selepas 49 tahun merdeka, rakyat Malaysia dijangka bertambah kepada 34.9 juta orang pada tahun 2020. Pertambahan ini dipacu oleh kadar kesuburan jumlah pada 2.6 yang dijangka pada tahun berkenaan. Perangkaan yang lebih tepat telah dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyatakan bahawa penurunan kadar kesuburan wanita iaitu 2.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 2004 berbanding 3.4 anak pada 1990. Keadaan ini disebabkan pelbagai faktor termasuk kesukaran mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya serta kurangnya sokongan sosial.

Kejayaan Malaysia berubah dari sebuah negara berasaskan pertanian kepada sebuah negara pengeksport barangan elektronik dan peralatan perindustrian telah menyebabkan perubahan besar ke atas budaya, nilai dan sikap masyarakat Malaysia keseluruhannya. Program-program pembangunan komuniti seperti Felda dan Felcra serta pewujudan kampung-kampung baru pada peringkat awal pembangunan komoditi telah melahirkan masyarakat yang mempunyai sejumlah pendapatan bagi menampung kehidupan mereka. Dekad 90-an menyaksikan pembangunan sektor industri yang pesat dan telah menggerakkan migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar dan kurang maju ke kawasan yang lebih maju. Perpindahan fizikal ini turut membawa bersama perubahan corak berfikir, budaya kerja dan perspektif baru terhadap kehidupan. Faktor persekitaran juga turut mempengaruhi rangsangan dan minat mereka untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Oleh itu, penginstitusian budaya adalah elemen penting ke atas perubahan-perubahan ini khususnya dalam pembangunan negara. Peranan budaya ke atas perkembangan ekonomi dapat dibahagikan kepada dua keadaan :


i.adalah mustahak untuk memerhati sejauh mana faktor sosial memberi kesan ketara ke atas pembangunan ekonomi,

ii.sejauh mana peranan budaya membentuk proses pembangunan ekonomi.


Dalam masyarakat yang mengejar wang sebagai keutamaan, berlakunya perubahan budaya memang sudah dijangka. Pengenalan sistem ekonomi bebas, struktur keluarga besar telah berkurangan secara perlahan-lahan dan digantikan dengan struktur nukleus. Golongan yang berumur 25 hingga 29 tahun memilih untuk melewatkan perkahwinan. Lebih ramai lelaki yang berumur di bawah 25 tahun masih belum berkahwin. Kadar keseburan jumlah menurun dari 7 kanak-kanak pada 60-an kepada 3.4 pada 1995. Perubahan sosial yang ketara kesan dari perindustrian ialah makin ramai tenaga buruh wanita yang memenuhi permintaan kerja dan sektor industri di Malaysia telah membuatkan kawasan-kawasan terpencil tiba-tiba muncul menjadi kawasan perbandaran utama.

Peranan tenaga kerja wanita meningkat secara mendadak di kawasan bandar dan wanita semakin bijak dan terpelajar untuk memasuki pasaran kerja. Keadaan ini tidak dapat disangkal kerana dalam keadaan ekonomi jenis kapitalis, transformasi ini berlaku dengan sangat pantas.

Sekitar tahun 60-an, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara pertanian. Dalam masyarakat seperti ini, perbelanjaan untuk membesarkan anak-anak adalah sangat rendah. Mempunyai sebuah keluarga besar adalah suatu pilihan kerana keupayaan untuk menampung perbelanjaan melalui konsep bantu-membantu sesama adik-beradik. Anak-anak boleh dianggap sebagai pengganti terhadap prospek keluarga pada masa depan. Bagaimanapun dengan keperluan yang besar terhadap perkembangan anak-anak khususnya pendidikan, keperluan terhadap keluarga besar semakin bertambah. Apatah lagi berlakunya transformasi sistem ekonomi ke arah pasaran terbuka, kos relatif terhadap anak-anak lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Seterusnya saiz keluarga semakin mengecil.


No comments:

Post a Comment