Perkahwinan merupakan amalan masyarakat di seluruh dunia. Masing-masing dengan kepelbagaian adat dan tradisi yang menggambarkan kemegahan budaya. Majlis perkahwinan biasanya disambut dengan penuh meriah kerana tujuan berkahwin adalah untuk menambah zuriat, merapatkan silaturrahim dan sebagai strategi politik pada masa depan. Berkahwin amat digalakkan di dalam Islam dan mempunyai saranan khusus mengenai perkara ini melalui sabda Rasulullah s.a.w ,
"Wanita itu dinikahi kerana empat sebab iaitu kerana hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan selamat". (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).
Negara China dan India adalah dua buah negara yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai di dunia. China umpamanya terpaksa memperkenalkan dasar satu anak satu keluarga bagi mengawal kelahiran supaya pertambahan penduduk tidak bertambah secara mendadak selaras dengan keperluan negara. India tidak memperkenalkan dasar sedemikian kerana yakin penduduk yang ramai akan membawa rahmat kepada negara khususnya sumber manusia. Kesan dan peranan perkahwinan ini membawa pelbagai implikasi kepada struktur sosial masyarakat tidak kira besar ataupun kecil.
Manisnya alam perkahwinan ini biasanya dirasai dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama. Pada masa inilah masing-masing cuba memahami pasangan dan berharap hidup akan kekal selama-lamanya. Sekiranya masalah yang timbul dapat difahami dengan baik, lamalah ikatan perkahwinan tersebut, jika tidak terpaksalah masing-masing membuat haluan sendiri. Keadaan yang sebeginilah berlaku di kalangan generasi muda apabila menempuh alam perkahwinan. Penceraian yang berlaku biasanya membawa kesan buruk pada imej diri, keluarga dan trauma yang sangat teruk kepada anak-anak.
Penceraian pada usia awal perkahwinan merupakan mimpi ngeri kepada pasangan yang terlibat. Kematangan hidup adalah faktor yang menjadi keutamaan apabila kita menghuraikan sebab musabab penceraian ini berlaku. Lelaki dan wanita yang berkahwin ini pastinya telah bersedia dari segi emosi untuk berhadapan dengan suasana hidup baru yang lebih mencabar. Tanpa tahap kematangan yang memuaskan, sukar bagi pasangan untuk berbincang menyelesaikan masalah yang dihadapi. Saat-saat berhadapan dengan masalah kewangan, pertengkaran kerana tidak cukup wang bagi keperluan harian dan perbelanjaan harian akan menguji tahap kematangan pasangan ini untuk menyelesaikan masalah dan kemelut hidup yang dihadapi. Maklumat berkaitan perkara ini ditunjukkan dalam Jadual 1, 2 dan 3 di bawah.
Jadual 1 : Umur Min Perkahwinan Pertama
(Sila hubungi editor)
Jadual 1 menunjukkan umur purata perkahwinan pertama bagi lelaki dan perempuan di Malaysia yang memperlihatkan aliran meningkat dari tahun 1980 dan 2000. Pelbagai andaian boleh dilakukan berkaitan hal ini seperti faktor ekonomi dan perubahan sosial masyarakat kini.
Jadual 2 : Perkahwinan Orang Islam di Malaysia, 1999-2003
(Sila hubungi editor)
Jadual 2 menunjukkan pertambahan bilangan perkahwinan bagi pasangan Islam bagi tahun 1999 hingga 2003. Terdapat pertambahan yang agak ketara pada tahun 2003 berbanding 2002. Jika dibandingkan dengan Jadual 3 di bawah, kadar penceraian turut bertambah pada tahun 2003. Kecuali tahun 2002, kadar penceraian menunjukkan peningkatan dan aliran ini dijangka bertambah pada tahun-tahun yang akan datang.
Jadual 3 : Penceraian Orang Islam di Malaysia, 1999-2003
(Sila hubungi editor)
Kehidupan di bandar turut memberi kesan kepada keadaan hidup pasangan muda. Kos hidup yang meningkat, kos keperluan harian yang mahal dan perubahan cara hidup akan menjadikan kehidupan bertambah sukar. Satu pekerjaan sahaja mungkin tidak mencukupi dan perlu ditambah dengan kerja-kerja sambilan yang bersesuaian.
Kesibukan dengan kerja sambilan inilah yang mengundang kepada jurang komunikasi yang semakin melebar. Lama-kelamaan suasana kemesraan di dalam rumah tangga menjadi hambar dan tidak lagi menjadi ”syurga dunia”.
Pengaruh orang ketiga amat memberi impak ke atas situasi perkahwinan walaupun telah menjangkau 20 tahun. Banyak kes seperti ini berlaku yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Golongan muda yang hidupnya telah sebati dengan kemewahan ingin mengekalkan cara hidup begitu akan mencari lelaki yang boleh menampung kemewahan hidupnya. Dari mana mereka hendak mendapatkan wang yang banyak ini? Salah satu daripadanya ialah mencari mereka yang kaya. Kehadiran orang ketiga ini yang berbagai-bagai jenis dan niat boleh sahaja menggugat keharmonian rumah tangga.
Ada ketikanya orang ketiga ini lebih muda, ”bergetah”, ada rupa dan tarikan. Sebaliknya ada juga yang sudah separuh abad, rupa pun kurang dan ”getah dah cair” masih lagi ada tarikan seperti kekasih lama. Sama ada muda ataupun tua, kehadiran orang ketiga amatlah mengganggu dan menakutkan.
Keluarga asal pasangan yang kucar-kacir turut menjadi punca kepada penceraian di awal perkahwinan. Pengalaman ibu bapa dan sokongan serta restu kedua-duanya adalah sangat penting bagi pengekalan keharmonian rumah tangga. Tanpa melihat dan merasai pengalaman perkahwinan, amat sukar bagi mana-mana pihak untuk membuat gambaran tentang alam perkahwinan. Keadaan ini lebih kerap terjadi kepada pasangan yang ibu dan bapanya telah berpisah sejak kecil dan dibesarkan oleh datuk atau nenek.
Keadaan menjadi lebih parah jika pasangan berkenaan terlibat dalam jenayah sama ada kecil ataupun besar. Tertangkapnya salah seorang daripada pasangan ini akan memberi kesan yang sangat besar terhadap perkembangan keluarga yang sejahtera. Di antara jenayah yang boleh menggugat rumah tangga ialah penagihan dadah. Masalah inilah yang mengundang pelbagai kesan negatif terhadap individu yang terlibat dan orang yang berada di sekitar mereka. Kes kecurian, pecah rumah, ragut, kerosakan harta benda dan kadangkala kematian turut dikaitkan dengan penagihan dadah.
Jika pencari pendapatan dalam sesebuah keluarga ditangkap dan disumbat ke dalam penjara, keluarga yang ditinggalkan pasti kehilangan pencari sumber pendapatan. Anak-anak akan terbiar dan kehilangan tempat bergantung. Lebih parah lagi ialah peluang mereka untuk mendapatkan kasih sayang dan kehidupan yang sempurna seperti keluarga yang lain akan tertutup.
Perubahan gaya hidup khususnya di bandar-bandar besar adalah lumrah. Kehidupan di kampung yang dilihat tidak memberi pendapatan yang lumayan kepada kehidupan telah menolak keluar pasangan muda untuk mencari pendapatan yang lebih baik di bandar. Tiba di bandar tanpa ada pendapatan yang kukuh lambat-laun memberi masalah kepada pasangan berkenaan. Pengaruh kehidupan kota akan memberi tarikan yang kuat seperti kemewahan, kesenangan dan keseronokan. Keadaan inilah yang melalaikan sesiapa sahaja yang terpengaruh dengan kehidupan glamor seperti itu.
Umumnya wanita dan kanak-kanaklah yang menjadi mangsa kepada penceraian. Tanpa persediaan dan sokongan yang mantap, wanita akan merasai tekanan yang sangat hebat khususnya emosi sehingga melibatkan tekanan mental dan keadaan hidup menjadi tidak tentu arah. Mereka merasakan hidup tidak memberi makna dan hari yang seterusnya hanyalah memberi kesusahan dan menyeksakan.
Dikategorikan sebagai ibu tunggal adalah sesuatu yang cuba dielakkan oleh wanita kerana kesannya terhadap maruah diri dan keluarga. Tempoh bersedih selepas menerima gelaran ibu tunggal juga amat bergantung kepada kekuatan semangat yang ada pada diri mereka. Sekiranya kuat, cepatlah tempoh bersedih yang dilalui, jika tidak terpaksalah menyimpan perasaan duka dan kecewa tersebut bertahun-tahun lamanya.
Anak-anak membesar tanpa bimbingan yang sempurna lebih-lebih lagi dari segi agamanya. Tanpa didikan solat, penerapan nilai-nilai yang mulia dan asuhan budi yang cemerlang, anak-anak akan membesar sebagai seorang yang buta agama dan tidak tahu asal-usul kajadiannya apatah lagi dalam persekitaran yang mencabar pada hari ini. Agaknya siapakah anak-anak muda yang terlibat dengan kegiatan delikuensi dan Mat Rempit di jalan-jalan raya seluruh negara?
Jadual 4 : Kes Juvana Bersalah yang Dilaporkan kepada
Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
(Sila hubungi editor)
Kenapakah masalah anak-anak liar, terbiar dan lemah dalam pelajaran seringkali dikaitkan juga dengan perpecahan dalam keluarga?
Keupayaan keluarga muda melepasi tempoh 5 tahun alam perkahwinan merupakan satu dugaan. Usaha yang berterusan dan bersepadu di antara kedua-dua pihak akan membuahkan kejayaan yang diharapkan.
No comments:
Post a Comment