Tuesday, December 13, 2011

Gaya membuat keputusan







Ada berbagai-bagai gaya untuk membuat keputusan yang mempengaruhi keupayaan dan kebolehan setiap orang. Antara gaya ini ialah suka berlengah, konservatif, dan ikut gerak hati. Setiap satu daripada gaya ini ada kekebihan masing-masing yang boleh digunakan dalam masa-masa tertentu.

Suka berlengah adalah tanda sentiasa mencari alasan supaya dapat melambat-lambatkan kerja. Macam-macam alasan yang diberi sama ada munasabah ataupun tidak dan terpulang untuk diterima.

Teknik suka berlengah menunjukkan tahap lemah dalam proses membuat keputusan kerana akan mengganggu setiap tahap perancangan. Namun teknik ini ada baiknya kerana dalam sesetengah kes melengah-lengah menimbulkan hal lain yang lebih menyentuh hati.

Contohnya begini. Sepasang suami isteri yang memiliki baki cuti tahunan membuat keputusan untuk bercuti beberapa hari. Namun suami tidak dapat memberi kata putus kerana memikirkan beberapa urusan pejabaty ang belum selesai. Teknik ini merencatkan semua perancangan keluarga dan menimbulkan masalah komunikasi.

Konservatif bermaksud cuba mengelak risiko ketika memikirkan beberapa pertimbangan untuk membuat keputusan. Puncanya ialah perkara baru yang menimbulkan rasa tidak selesa menyukarkan proses membuat keputusan. Walau bagaimanapun gaya ini paling selamat kerana ada elemen berhati-hati dalam proses memberi keputusan. Tindakan berhati-hati menjadikan keputusan yang diambil lebih cenderung kepada meraikan kejayaan jika berjaya dan mencari alasan sampingan jika gagal.

Ikut gerak hati bergantung kepada keadaan, pengetahuan dan ilham. Kalau ilhamnya cepat, keputusan segera akan dibuat, jika tidak kena tunggu. Seperti suami isteri tadi, si suami membuat keputusan selepas mendapat ilham dan gerak hati itu sangat kuat mendesak mereka untuk bergerak. Selepas bercuti barulah mereka sedar ilham yang diterima suami ada maksud tersirat.

Ketika perjalanan pulang ke kampung, mereka menerima panggilan memaklumkan terdapat kematian di kampung dan mereka sekeluarga memang sedang menuju ke rumah berkenaan. Walau bagaimanapun keputusan berdasarkan gerak hati sepatutnya diiringi dengan maklumat dan pemikiran yang waras.

Terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan gaya ini.

 

No comments:

Post a Comment