Tuesday, December 20, 2011

Cari kekuatan dengan sujud

 
 


Masa-masa senggang saya habiskan bersama rakan-rakan bagi membincangkan isu-isu semasa dan pembangunan diri. Antara isu yang sering menjadi perhatian kami ialah bagaimana menyelesaikan masalah hidup yang sentiasa dihadapi.

Setiap hari kita berhadapan dengan masalah yang merisaukan fikiran, mengganggu hubungan dengan orang lain atau memberikan stres yang berpanjangan.

Antara masalah hidup ini ialah tidak ada wang, tekanan kerja, hubungan kekeluargaan kurang harmoni, masalah dalam persahabatan dan masalah diri sendiri seperti kurang yakin atau berpenyakit.

Saya terbaca tajuk muka depan sebuah akhbar tentang seorang artis yang bakal dimufliskan jika tidak dapat membayar hutang melibatkan dua juta ringgit. Kita boleh bayangkan bagaimana artis ini melalui detik-detik sukar dalam hidupnya apabila setiap hari dikejar oleh bank sama ada melalui telefon atau ejen pengutip hutang.

Lalu ada rakan-rakan yang mengesyorkan beberapa pendekatan untuk menghilangkan semua masalah hidup menggunakan beberapa model. Namun tidak menarik kerana dia memilih pendekatan barat yang bersifat sementara dan tidak ada kekuatan pada diri. Kalau diamalkan pun, hanya menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek dan masalah akan datang lagi.

Seorang rakan saya melihat masalah hidup berkait rapat dengan hubungan kita dengan Allah swt. Masalah hiidup dicipta oleh Allah swt dan Dia sahaja yang tahu cara terbaik untuk selesaikan masalah. Apa sahaja yang kita hadapi, ambil air sembahyang dan solat dua rakaat untuk memohon petunjuk. Solat hajat paling istimewa manakala solat dhuha atau istikharah boleh membantu.

Banyak solat bermaksud kerap bersujud. Merendah diri di hadapan Allah swt bererti bersujud dengan penuh khusyuk dan tawadhuk mengharapkan ihsan dan perhatian-Nya. Penyelesaian masalah hidup ada puncanya. Bergantung kepada kita yang memilih.
 
 

No comments:

Post a Comment