Perhimpunan Agung UMNO melabuhkan tirai dengan bai'ah untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya. Para perwakilan kelihatan bersemangat meraikan ucapan presiden parti yang bersungguh-sungguh menagih simpati ahli-ahli UMNO sebagai persediaan pilihan raya ke-13 nanti.
Gesaan, rayuan, kritikan dan cemuhan yang jarang kita dengar dalam ceramah-ceramah politik UMNO terdedah keluar ke dalam media. Istilah paling jelek ialah 'bangsat' yang mencemuh orang Melayu yang tidak menyokong mereka. Tentulah panggilan ini ditujukan kepada penyokong pembangkang. Namun orang Melayu yang tidak berminat dengan UMNO mahu pun PAS atau PKR pasti terasa hati, mungkin meluat dengan orang yang menggelar itu.
Dari nada yang dilontarkan oleh presiden UMNO kepada perwakilan, terasa ada talian hayat yang diperlukan untuk Barisan Nasional kembali meraih dua per tiga. antaranya ialah mengambil kembali calon-calon yang terbuang tetapi ada harapan besar untuk menang. Puak-puak muda yang ghairah hendak bertanding hanya boleh senyum sumbing kerana mungkin diketepikan. Dasar pemilihan calon yang meletakkan kriteria 'boleh menang' sebagai syarat dipilih tentu menimbulkan persaingan yang sengit. Rata-rata bakal calon ini perlu memiliki kekuatan sendiri untuk dipilih.
UMNO parti lama yang telah melalui pelbagai ujian dan cabaran. Semuanya dapat dihadapi dengan berjaya setakat ini. Konsep pragmatik yang menjadi amalan membolehkan UMNO terus survive hingga kini. Di kawasan-kawasan yang berpotensi menang, anak-anak buah sentiasa bekerja bersungguh-sungguh mempastikan bos mereka berjaya.
Strategi politik setiap parti politik berbeza-beza. UMNO dengan caranya, PAS, DAP dan PKR dengan cara masing-masing. Orang Melayu memberikan kuasa kepada pemimpin yang mereka percaya boleh memimpin mereka di dunia dan akhirat. Trend orang Melayu yang menunjukkan bantahan kepada UMNO diperlihatkan secara jelas dalam pilihan raya lepas. Mitos bahawa hanya UMNO yang dapat memberi pembangunan sudah terlerai kerana tanpa Barisan Nasional rakyat di negeri pentadbiran parti pembangkang dapat menikmati hidup yang sama dengan negeri-negeri lain.
Kesedaran inilah yang telah wujud dalam kalangan orang muda hari ini.
Strategi DAP untuk menang memang diketahui. Di kawasan yang tentu kalah, mereka tidak beri perhatian sebaliknya pengundi dari kawasan luar mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di kawasan yang tentu menang. Di Pulau Pinang, ada kajian yang dilakukan telah menunjukkan trend pengundi dari negeri-negeri utara mendaftarkan diri di kawasan undian Pulau Pinang demi mempertahankan kemenangan masing-masing. Barangkali strategi yang sama diguna pakai hingga timbul istilah 'pengundi hantu'.
UMNO dan Barisan Nasional sedang berhadapan dengan perubahan politik Malaysia. Pengaruh dari Tunisia, Mesir dan Libya mungkin tidak besar tetapi kesedaran politik dan 'good governance' semakin tinggi. Apatah lagi kajian Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International menunjukkan penglibatan rasuah semakin membesar hinggakan cakap-cakap kedai kopi dalam kalangan orang kampung sudah menjadi lumrah. Rasuah telah menjadi pengetahuan umum dan kerajaan sedia ada berhempas-pulas menonjolkan imej bersihnya.
Barisan sedang berhadapan dengan jentera perang pilihan raya yang sangat kemas dan tersusun. Tersilap langkah, Putrajaya akan beralih tangan.
No comments:
Post a Comment