Sempena Jumaat yang mulia
ini, banyak amalan yang baik yang boleh diamalkan dan rasanya semua telah
maklum mengenainya. Antaranya, perbanyakkan berselawat ke atas Nabi saw.,
banyakkan berdoa kerana sepanjang hari ini ada waktu-waktu yang mustajab,
bacalah surah al-Kahfi dan lakukanlah segala amalan baik dan tinggal.
Kembali kepada tajuk di atas
yang memberi maksud yang agak mendalam. Walaupun kita merasakan laut yang
tenang itu sangat damai, namun bagi seorang pelayar ia tidak mengharapkan
lautan itu tenang kerana hanya lautan yang berombak kencang sahaja yang
dapat menjadikannya seorang pelayar yang hebat.
Begitu jugalah dengan hidup
kita, setiap ujian yang diberikan oleh Allah swt adalah bersesuaian
dengan diri kita dan semuanya itu tidak lain hanyalah untuk memantapkan iman
kita. Firman Allah swt:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ
وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: "Setiap yang
bernyawa akan merasai mati. Kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan
kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35)
Meskipun kita merasakan
ianya satu kesusahan yang mengganggu perjalanan hidup kita, hakikatnya ia
memberikan kesan hidup yang lebih bermakna selepas itu.
Lebih merisaukan ada yang
tidak sanggup lagi untuk meneruskan hidup dalam keadaan yang susah sehingga
berputus asa untuk hidup. Maka tidak hairanlah ada dikalangan orang Islam
sendiri yang sanggup membunuh dirinya sendiri kerana terlalu sedih, ataupun
terlalu kecewa. Tindakan ini sangat dilaknat oleh Allah swt.
Hadis Abu Hurairah r.a,
bahawasanya Rasulullah saw bersabda:
الَّذِي يَخْنُقُ نَفْسَهُ يَخْنُقُهَا فِي النَّارِ وَالَّذِي
يَطْعُنُهَا يَطْعُنُهَا فِي النَّارِ
Maksudnya: “Orang yang
mencekik dirinya (bunuh diri) maka dia akan mencekik dirinya di neraka, dan
orang yang menusuk dirinya maka dia akan menusuk dirinya di neraka.”
(HR Al Bukhari (1365))
Walaupun kita diminta untuk
ingat kepada mati, tetapi bukanlah bermakna kita boleh meminta untuk mati.
Seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah saw supaya tidak mengharapkan
untuk mati.
Dari Anas bin Malik r.a dia berkata: Rasulullah saw telah bersabda:
لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
Maksudnya : “Janganlah seseorang di antara kalian mengharapkan kematian kerana tertimpa kesengsaraan. Walaupun terpaksa ia mengharapkannya, maka hendaknya dia berdoa, “Ya Allah, berilah aku kehidupan apabila kehidupan tersebut memang lebih baik bagiku dan matikanlah aku apabila kematian tersebut memang lebih baik untukku.”
(HR. Al-Bukhari no. 5671 dan
Muslim no. 2680)
Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah saw bahawa beliau bersabda:
لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ وَلَا يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لَا يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلَّا خَيْرًا
Maksudnya: “Janganlah seseorang mengharapkan kematian dan janganlah dia berdoa untuk mati sebelum datang waktunya. Kerana orang yang mati itu amalnya akan terputus, sedangkan umur seorang mukmin tidak akan bertambah melainkan menambah kebaikan.” (HR. Muslim no. 2682)
Hidup kita adalah berpandu.
Jangan melakukan sesuatu keputusan dengan hanya mengikut kata hati kerana hati
yang sakit biasanya banyak terpengaruh dengan hawa nafsu dan juga hasutan
syaitan. Banyakkan berdoa supaya sentiasa diberi petunjuk untuk meneruskan
hidup supaya tidak terpesong dari kebenaran.
Pusat Islam UTeM
No comments:
Post a Comment