Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 yang
sedang berlangsung di PWTC sangat meriah. Semua ruang dipenuhi buku yang
merangkumi pelbagai judul, dari pembangunan diri ke pendidikan, dari kerohanian
ke pembangunan sukan dan dari pendidikan kanak-kanak ke penjagaan orang tua.
Mencari buku yang murah menjadi matlamat saya
kali ini. Tujuannya untuk memenuhi rak-rak buku di rumah yang sudah ada dua
buah. Kehadiran 20 buah buku baru sudah tentu akan memberi lebih keceriaan
untuk membaca.
Saya mencari buku motivasi, perubatan herba
dan karya tokoh.
Buku motivasi saya pilih berkenaan pengurusan
kewangan yang ditulis oleh Robert T. Kiyosaki manakala buku panduan kejayaan
hidup saya pilih buku tulisan Donald Trump. Saya juga mencari buku Kristiane
Backer, seorang mualaf yang pernah bekerja dengan MTV. Buku “Dari MTV ke
Makkah” merupakan karya terjemahan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.
Kristiane Backer agak popular di Youtube
dan kita boleh lihat perubahan hidupnya sebelum dan selepas menjadi seorang
muslim.
Buku lain adalah “Tenggelamnya kapal Van der
Wijck” karya Hamka. Buku ini diterbitkan dalam bentuk kompak dan sesuai dibawa di
dalam beg sandang.
Aras dua dipenuhi syarikat buku yang terkenal
dan popular seperti PTS dan Telaga Biru. Harga diskaun sangat mengasyikkan
hingga tidak sedar buku-buku yang berharga lebih daripada RM200 sudah diborong.
Di sinilah pembaca dan penggemar buku dapat berbelanja lebih.
Pesta buku kali saya berasa ada kelainan
kerana tidak banyak syarikat buku akademik yang mengambil bahagian. Jika tahun
lepas ada banyak syarikat yang berlumba-lumba mempamerkan buku-buku akademik
keluaran mereka, kali ini hanya beberapa buah syarikat yang masih ada di
celah-celah gerai jualan. Justeru, lawatan kali ini hanya dua jam berpusing-pusing
ke semua aras berbanding tiga jam pada tahun lepas. Mungkin penganjur dapat
melihat perkara ini semula supaya pelajar dari institusi pengajian tinggi,
pensyarah dan penyelidik dapat bersama-sama memeriahkan pesta buku ini.
Selepas meninjau gerai jualan dan membuat
pembelian, pesta buku 2015 ini masih menawarkan harga buku yang lebih murah
dengan pelbagai diskaun. Saya tidak pasti sejauh mana jumlah pengunjung telah
datang namun saya melihat minat kepada buku dan membaca sudah semakin
bertambah.
No comments:
Post a Comment