Sunday, April 12, 2015

Azam dan harapan GST








GST, istilah yang popular dalam tempoh sebulan ini. Sebulan maksudnya dua minggu sebelum April dan dua minggu selepas April tahun ini. GST merujuk kepada Goods and Services Tax dan dalam bahasa Melayu adalah Cukai Barangan Perkhidmatan atau CBP. Orang ramai dan media lebih gemar menggunakan GST kecuali akhbar harian terbitan kerajaan negeri Melaka yang menggunakan CBP dalam tulisan mereka.

Ada juga yang berseloroh mengimlakkan GST sebagai Gagal Subuh Tadi, Geng Songkok Tinggi atau Gomoi Sebelum Tidur. Banyak lagilah yang mentafsirkan akronim dengan selera masing-masing.

Seperti kata perdana menteri kita, GST akan meningkatkan pendapatan negara untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi. Harapan kita ke arah itulah.

Pelaksanaan sistem cukai baru ini mempastikan negara kita mendapat wang yang banyak untuk perbelanjaan rakyat. Bukan setakat rakyat miskin, golongan sederhana juga mendapat faedah. Bilangan orang miskin yang semakin berkurangan menunjukkan kita sedang bergerak menjauhi status negara membangun dan menghampiri negara maju yang mana kemajuan ini diukur dari perspektif ekonomi. Dengan melepasi jumlah pendapatan tertentu, negara kita sudah menjadi sebuah negara yang berbeza daripada sebelum ini.

Salah satu kesan penting GST adalah peningkatan pendapatan negara. Peningkatan ini sudah tentunya dituntut oleh semua orang. Kerja makan gaji hendakkan gaji yang lebih besar, yang selalu menadah tangan kerana bantuan kebajikan juga mahukan jumlah bantuan mereka bertambah, kontraktor pembersihan dan berbagai-bagai kontraktor lagi sudah tentu mahukan tawaran kontrak yang lebih besar. Pendek kata semua orang mahukan pendapatan mereka bertambah.

Tempoh sebulan dua ini merupakan tempoh keperitan kepada pengguna kerana terpaksa membayar lebih. Ada slogan yang berbunyi “Mengapa bayar lebih?” Jawabnya kerana ada GST. Persepsi inilah yang sedang berlegar-legar di ruang fikiran orang ramai kerana harga yang mereka bayar sebelum ini telah meningkat.

Membeli barang berharga RM500 yang muat dua buah troli sukar sekali untuk diperolehi. RM500 boleh muat sebuah troli sahaja, sedangkan pendapatan tidak meningkat.

Oleh kerana ini, kerajaan mesti membuat tindakan supaya rakyat dapat memahami kenapa GST dilaksanakan.

Sejak tahun 2000-an, pakar ekonomi dan pakar pembangunan negara telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap masa depan Malaysia yang terlalu bergantung pada subsidi. Pendapatan yang kita dapat dalam perdagangan banyak disalurkan untuk subsidi seperti subsidi harga petrol, harga beras, harga barangan keperluan seperti sayur dan buah serta berbagai-bagai lagi.

Kesan subsidi adalah melemahkan daya saing negara.

Sekarang barulah kita merasai apabila subsidi dikurangkan sedikit demi sedikit, harga barang mula naik. Dijangkakan harga ini akan terus naik.

Bagaimana harga boleh diturunkan?

Saya tidak nampak harga barang boleh diturunkan kerana di sekitar kita, mata wang negara-negara lain sudah meningkat. Yuan atau Renmimbi China yang dulunya hanya separuh daripada RM, kini sudah lebih seratus menokok. Biasanya RM100 sama dengan 200 yuan tetapi yuan sudah tinggi. RM100 hanya dapat di bawah 200 yuan hari ini.

Hendak dibandingkan dengan dolar Amerika sudah tentu jauh kerana satu dolar sudah pun menjangkau lebih RM3.70, keadaan yang sama seperti krisis ekonomi tahun 1998.

Nampaknya di sini, nilai ringgit dan prestasi kewangan kita semakin merosot di sebalik pertumbuhan ekonomi lima peratus setahun. Sepatutnya apabila ekonomi kita produktif, nilai ringgit lebih tinggi dan kuat serta barang-barang kita menjadi lebih murah.

Saya fikir tentu ada sebab lain yang menyebabkan hidup rakyat semakin susah ketika ini. Jurang kaya dan miskin semakin melebar, golongan berpendapatan menengah terus sengsara kerana terperangkap dalam kenaikan gaji iaitu gaji tidak naik tetapi kos sara hidup semakin meningkat.

Apakah untuk keluar dari perangkap ini kita perlukan perubahan politik negara?

No comments:

Post a Comment