Tuesday, April 14, 2015

Usahawan ikan tilapia










1.0       Pendahuluan

Industri kecil dan sederhana (IKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. Kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat iaitu pada purata 8.4% setahun dalam tempoh masa 1989-1994 ternyata tidak akan tercapai tanpa sumbangan dan sokongan besar IKS. Peranan dan sumbangan ini dijangka menjadi semakin penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas, tulang belakang dan pendukung dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020.

Secara umumnya, IKS membuka banyak peluang pekerjaan, sumbangan dalam meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran wang asing, mewujudkan distribusi pendapatan yang lebih baik, membantu dalam melahirkan dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja terlibat baik di peringkat pekerja mahupun pada peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing. Walau bagaimanapun, untuk menjadi usahawan IKS yang berjaya bukan perkara yang mudah dan boleh didapati begitu sahaja. Seorang usahawan itu perlu bijak dalam mengendalikan sesuatu perniagaan atau perkhidmatan  yang diceburi. Usahawan yang bijak menggunakan peluang dan ilmu yang ada pada diri mereka, akan dapat memajukan perniagaan yang diceburinya itu dengan jaya.

Penternakan juga salah satu bidang dalam IKS yang merupakan penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara. Pelbagai ternakan yang boleh diternak seperti ikan, lembu, kambing, ayam dan sebagainya. Penternakan ikan air tawar sebenarnya memberikan pulangan lumayan kepada penternak jika mereka mengusahakannya secara bersungguh-sungguh. Antara penternak ikan air tawar yang berjaya di kawasan Gemencheh, Sharif Ismail, 40 tahun yang telah melibatkan diri dalam industri ternakan ikan air tawar iaitu tilapia sejak dua tahun lalu. Kebiasaannya penternakan air tawar ini dilakukankan oleh syarikat yang berskala besar. Namun, beliau telah mengambil langkah positif menyahut cabaran kerajaan untuk menjadi usahawan IKS alternatif kepada pengeluar yang berjaya.

Sebelum terlibat secara serius dalam ternakan ikan air tawar, Sharif telah mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu dan maklumat bersesuaian. Antara yang dilakukan seperti membuat kajian dan penyelidikan terhadap potensi perniagaan tersebut selain mengenal pasti permintaan pasaran. Tujuannya adalah untuk memastikan dia benar-benar bersedia memulakan aktiviti ternakan itu sekali gus berhadapan dengan segala cabaran mendatang.

Selepas semuanya berjalan lancar, pada awal tahun ini, Sharif Ismail memulakan perusahaan ternakan ikan air tawar di tanah milik bersama isterinya seluas 1/2 hektar di Kampung Air Gelugor, Gemencheh, Negeri Sembilan. Beliau tidak mempunyai perkongsian perniagaan dengan syarikat luar. Encik Sharif hanya menjalankan perniagaannya sendiri dengan pinjaman modal daripada kerajaan dan wang simpanan beliau. Bermula dengan modal RM15 000, Sharif membina dua buah kolam berukuran 200 kaki x 100 kaki dan sebuah kolam lagi berukuran 300 kaki x 30 kaki. Kedua-dua kolam ini dapat menampung lebih kurang 30 000 ekor ikan tilapia di mana bekalan benih ikan diambil daripada pembekal di Rawang, Selangor.

Biarpun nampak remeh tetapi sebuah kolam ikan menelan kos antara RM3,500 hingga RM4,000 bergantung kepada mutu dan upah mengorek kolam dan tidak termasuk kos anak benih. Beliau tidak mengenal erti susah payah walaupun pelbagai rintangan dan cubaan dalam memperluaskan penternakan beliau. Beliau tetap gigih melakukan kerja-kerja tersebut bersama isteri dan keluarganya. Mengenai pasaran, Encik Sharif menyatakan permintaan ikan tilapia  amat menggalakkan terutama di pasar tani, pemborong dan pasar besar Tampin. Oleh hal yang demikian, penternakan beliau kini giat berkembang maju dan semakin dipandang masyarakat.


2.0       Latar Belakang Projek Penternakan

Sharif mula terbabit dengan aktiviti penternakan sejak dua tahun yang lepas. Minatnya untuk menjalankan bidang penternakan tercetus apabila melihat kejayaan rakan baiknya yang berjaya dalam bidang penternakan lembu. Selepas itu, beliau telah mengikuti Kursus Penternakan Ikan Air Tawar yang telah dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Sembilan. Sejak dari saat itu, Sharif mula mengorak langkah dalam bidang penternakan ikan air tawar.

Jenis projek yang telah dijalankan ialah projek industri kecil sederhana iaitu projek ternakan ikan air tawar.Lokasi projek ternakan ikan air tawar ini terletak di Kampung Air Gelugor, Gemencheh Negeri Sembilan. Lokasi projek ternakan ini juga bersebelahan dengan rumah beliau. Selain itu, beliau juga ada menternak lembu dan kambing secara kecil-kecilan.

Sejarah permulaan projek ini bermula daripada idea Sharif sendiri yang ingin menambah pendapatan hidup dan ingin mengunakan pengalaman daripada kursus ternakan ikan air tawar yang telah diikuti serta dorongan daripada ahli keluarga yang memberi semangat dan galakan untuk Sharif memulakan projek ternakan ikan air tawar ini. Pada mulanya Sharif telah mendapat bantuan daripada kerajaan untuk memulakan projek ternakan ikan air tawar ini tetapi untuk menguruskan projek ternakan ikan air tawar secara kecil-kecilan sahaja, namun setelah mendapat sedikit pengalaman dan modal dari keuntungan yang lalu, Sharif telah memulakan projek ternakan air tawar secara sendiri.

Beliau memulakan projek ternakan ini pada awal bulan Februari 2012. Pada peringkat permulaan dua buah kolam telah digali dan sumber air untuk ternakan ikan telah diperoleh daripada sungai yang berdekatan di mana air sungai tersebut telah dipam dan disalurkan terus pada kolam ternakan ikan.

Modal permulaan untuk projek ternakan ikan air tawar ini berjumlah sebanyak RM15,000 merangkumi kos untuk pembinaan kolam, benih ikan dan juga makanan ikan. Sebanyak 15,000 benih anak ikan telah dimasukkan pada setiap ikan menjadikan jumlah keseluruhan benih anak ikan untuk permulaan projek ini sebanyak 30,000 ekor.

Keluasan saiz kawasan ternakan ikan air tawar ialah ¼ ekar manakala saiz untuk kolam yang pertama ialah 60 X 30 meter persegi, dan saiz untuk kolam kedua ialah 90 X 10 meter persegi. Jenis ikan yang telah diternak ialah ikan tilapia merah. Menurut Sharif, faktor dia memilih untuk menternak ikan tilapia merah adalah kerana ikan tilapia merah mendapat permintaan yang tinggi  dalam kalangan pengemar makanan berasaskan ikan air tawar. Selain itu, ikan tilapia merah juga mudah untuk diternak dan dalam jangka masa tiga bulan sahaja ikan ini boleh dipasarkan.

2.1       Objektif Penubuhan

Menurut Sharif, projek penternakan ikan tilapia yang diusahakan olehnya bertujuan untuk menjadi pengeluar dan pengeksport ikan tilapia ke pasaran antarabangsa di peringkat global. Di samping untuk menambah pendapatan, beliau juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat untuk bekerja di kolam ikan tilapia yang ditubuhkannya. Tambah beliau lagi, ikan tilapia berpotensi untuk dipasarkan ke tahap antarabangsa. Justeru itu, beliau juga melahirkan hasrat untuk memasarkan ikan tilapia beliau ke seluruh semenanjung Malaysia dan seterusnya ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Tambahan lagi, objektif kajian ini dilakukan adalah untuk mengkaji pengaruh sebuah syarikat di bawah kelolaan “Satu Daerah Satu Industri” terhadap penduduk setempat dan ekonomi di Melaka dan mengkaji perkembangan perniagaan yang berasaskan perkhidmatan seperti ini. Selain itu, dapat mengenal pasti beberapa cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh syarikat tersebut terhadap sosioekonomi negeri Melaka dan mengkaji tahap pencapaian perniagaan yang memasarkan barangan tempatan seperti syarikat ini. Akhir sekali, tugasan ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penubuhan sebuah syarikat yang maju dan pengaruhnya.

2.2       Gambaran projek

Projek kolam penternakan ikan tilapia yang diusahakan Sharif mempunyai dua buah kolam ikan yang berdekatan dengan rumahnya. Kolam pertama berukuran 30mx60m per segi dan kolam kedua berukuran 91mx9m per segi. Kemudian, kapasiti benih ikan untuk dua buah kolam adalah sebanyak 30,000 benih ikan tilapia. Kawasan kolam yang dibina oleh Sharif juga sangat strategik kerana berdekatan dengan sungai di mana beliau boleh mendapatkan sumber air bagi ikan-ikan tilapia yang diternak olehnya. Beliau menggunakan pam untuk menyedut air dari sungai tersebut.

Kaedah pelaksanaan atau rutin kerja yang dilakukan oleh Sharif adalah pemeriksaan ke atas kolam khususnya pada waktu pagi. Keadaan ini bagi mengelakkan beliau mengalami masalah-masalah diluar jangkaan. pada waktu pagi sesudah terbitnya matahari, beliau memberi makanan iaitu palet kepada ikan. Kira-kira satu tan palet sebulan dibeli untuk dua buah kolam tersebut. Beliau juga memeriksa jika terdapatnya kebocoran pada pam penyedut air. Selain memeriksa kualiti air, beliau juga membersihkan penapis saluran air masuk dan keluar. Beliau juga mengawal rumpai air untuk mengelakkan air menjadi keruh serta mengawal pemangsa seperti biawak, burung hantu dan memerang. 

Kemudian pada waktu petang, beliau membersihkan kawasan kolam dan memberi memberi makanan kepada ikan sekali lagi. Beliau juga menukar air kolam dengan menggunakan motor pam setiap tiga bulan. Menurut Sharif lagi, jika air ditukar tiga bulan sekali, tahap tumbesaran ikan akan menjadi lebih cepat dan boleh dipasarkan dalam masa tiga bulan. Sebaliknya jika air tidak ditukar, ikan boleh dipasarkan dalam masa enam bulan. Antara lain, beliau juga melakukan catatan harian sebagai laporan kolam beliau.

Semasa musim menuai hasil, penuaian ikan boleh dilakukan mengikut bilangan ikan yang hendak dituai iaitu sama ada penuaian secara sebahagian atau secara keseluruhan. Bagi penuaian secara sebahagian, Sharif menggunakan jala untuk menangkap ikan. Cara ini selalunya digunakan oleh beliau untuk menjual ikan kepada penduduk tempatan. Bagi penuaian secara keseluruhan pula, beliau akan mengeringkan kolam secara keseluruhan untuk menangkap semua ikan. Cara ini selalunya digunakan apabila beliau mendapat tempahan daripada pemborong-pemborong dari pasar dan juga restoran-restoran besar.

2.3       Kekuatan Projek Penternakan

Antara kekuatan yang dapat dilihat semasa melakukan kajian ialah lokasi yang strategik. Hal ini kerana kolam yang dibina berdekatan dengan sumber air utama iaitu Sungai Gemencheh, yang memudahkan kerja menyalurkan air baru ke dalam kolam dijalankan. Selain itu, kekuatan projek penternakan ini adalah ikan tilapia merah yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan. Pada masa sekarang, ikan air tawar telah menjadi kegemaran ramai dan tilapia merah antara ikan yang mendapat permintaan tinggi justeru pengusaha membuat keuntungan yang besar dalam masa yang singkat. Ikan tilapia cepat membesar dan jika dijual secara borong di pasar boleh mencecah sehingga RM8 ke RM10 per kilogram. Selain itu, kekuatan projek ternakan ini ialah kurangnya pesaing lain di sekeliling kerana, hanya ada dua pengusaha yang menternak ikan air tawar di kawasan Kampung Air Gelugor termasuk Sharif sendiri.

2.4       Kelemahan Projek Penternakan

Antara kelemahan yang dapat dilihat semasa melakukan kajian ialah kekurangan tenaga kerja. Projek ternakan ikan air tawar yang dijalankan hanya mempunyai dua orang tenaga kerja, ini menyukarkan lagi aktiviti-aktiviti harian dijalankan. Contohnya, jika ada pemborong yang ingin membeli ikan-ikan ini, aktiviti menangkap ikan akan sedikit lambat kerana kurangnya tenaga kerja. Selain itu, kelemahan yang terdapat pada projek pembangunan ini ialah terdedah kepada bencana alam. Walaupun terletak di kawasan yang strategik, tetapi kawasan penternakan ini tidak terlepas daripada bencana alam yang sering terjadi iaitu banjir.

2.5       Impak Sosio Ekonomi kepada Penduduk Tempatan dan Negara

Sosio ekonomi akan memberi pelbagai impak kepada penduduk tempatan antaranya  ialah  membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Dengan adanya sejumlah  penduduk  tempatan  yang  menjalankan projek sosioekonomi, mereka akan turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk  tempatan  yang  lain  sebagai  pekerja  di  dalam  projek  sosioekonomi  mereka.

Bagi penduduk tempatan yang bekerja sebagai nelayan, mereka tidak perlu risau dengan masalah musim tengkujuh di mana laut bergelora yang menyukarkan mereka untuk mencari  rezeki kerana sosioekonomi juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan. Tambahan pula, penduduk tempatan boleh menambahkan lagi mata pencarian mereka melalui projek sosioekonomi walaupun projek tersebut hanya dijadikan sebagai kerja sampingan mereka. Melalui projek sosioekonomi juga, penduduk tempatan boleh mendapat harga yang lebih murah berbanding dengan harga pasaran. Contohnya, sekiranya penduduk tempatan membeli ikan terus dari kolam ternakan, harganya pasti lebih murah berbanding dengan harga di pasar. Keadaan sedemikian kebiasaannya dilakukan oleh penduduk yang berpendapatan rendah kerana mereka ingin berjimat dengan pendapatan mereka yang kecil.

Seterusnya, penduduk tempatan akan lebih berani untuk menceburi dalam bidang sosioekonomi setelah melihat kejayaan penduduk tempatan yang lain. Sosioekonomi adalah pilihan yang tepat untuk penduduk tempatan ceburi kerana ia hanya memerlukan modal yang kecil untuk memulakan projek tersebut dan penduduk tempatan tidak memerlukan kelulusan yang tinggi untuk menjalankan projek tersebut.

Sosioekonomi juga akan memberi impak positif kepada negara. Dengan adanya banyak peluang pekerjaan yang dibuka melalui projek sosioekonomi, masalah pengangguran di dalam negara dapat  dikurangkan. Negara juga akan menjadi contoh kepada negara-negara lain sebagai negara yang maju tanpa mengalami masalah pengangguran. Bagi projek   perikanan, ia boleh dijadikan sebagai sumber protein tambahan kepada negara selain berharap kepada sumber protein di laut.

Jika projek ini dilakukan dengan meluas, ia juga boleh dijadikan sumber bekalan utama kepada negara tanpa berharap kepada sumber dari laut. Melalui sosioekonomi, ekonomi negara juga akan  bertambah dan menjadi lebih kukuh. Sekiranya ekonomi dunia meleset, ekonomi negara tidak akan terjejas dengan adanya sosioekonomi di dalam negara.

2.6       Permasalahan yang Dihadapi dan Cara Penyelesaiannya

Setiap usahawan mempunyai masalah dalam menempuhi bidang keusahawanan ini. Seperti  Sharif, beliau sebagai penternak dalam bidang penternakan sendiri menjelaskan bahawa sering menghadapi masalah semasa menjalankan aktiviti penternakan.

Antara masalah yang dihadapi oleh Sharif ialah ketika fasa awal aktiviti penternakan, dia berhadapan dengan masalah keadaan tanah dan air yang belum disesuaikan lagi. Namun, pada fasa kedua, dia semakin mempelajari teknik penternakan yang bersistem dan penggunaan air yang lebih serasi untuk ternakan. Beliau juga telah mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.

Selain itu, dia juga sering berhadapan dengan masalah gangguan binatang-binatang seperti biawak. Biawak ialah sejenis binatang yang gemar memakan ikan. Oleh itu, Sharif telah membuat jaring di sekeliling pagar kolam agar masalah kedatangan biawak dapat diatasi.

Malahan, sumber air yang berhampiran dengan kawasan penternakan telah dicemari minyak kelapa sawit. Oleh itu, Sharif telah mendapatkan sumber air daripada sungai lain yang bersebelahan dengan sungai yang tercemar tersebut.

Di samping itu, penternak ikan pada zaman ini seperti Sharif akan mengalami risiko yang tinggi kerana makanan ikan mahal dan peratus kematian ikan amat tinggi iaitu antara 50 hingga 80 peratus. Keadaan ini amat membimbangkan beliau.
           
Tambahan pula, risiko-risiko yang bakal dihadapi begitu merisaukan Sharif. Antara risiko yang paling dibimbangi beliau ialah musim banjir. Musim banjir merupakan musim yang paling ditakuti oleh para nelayan mahupun penternak ikan. Hampir kesemua daripada mereka mencari rezeki dengan adanya ikan, tetapi pada musim banjir mereka tidak mempunyai pendapatan untuk menyara keluarga.

2.7       Cadangan dan Potensi Masa Hadapan

Cadangan masa hadapan bagi para usahawan semestinya mahu meluaskan lagi perusahaan agar dikenali ramai supaya mendapat lebih keuntungan berbanding kini. Menurut Sharif, kita tidak boleh bergantung pada satu perkara sahaja. Kita perlu merancang masa hadapan bagi menjamin kehidupan sebagai seorang usahawan. Beliau juga melahirkan hasrat untuk memajukan diri sendiri supaya beliau akan menjadi seorang pengeluar ikan air tawar yang terbesar dan berjaya.
Sharif telah menjalankan perniagaan yang berdaya maju, justeru perancangan beliau adalah untuk mengembangkan lagi sayap perniagaannya. Beliau merancang untuk menambah atau meluaskan lagi kolam ikan agar dapat menambahkan lagi pendapatan keluarganya dan membantu masyarakat untuk membeli ikan dengan harga yang berpatutan. Menurut Sharif lagi, beliau juga ingin mempelbagaikan lagi penternakan yang dilakukan oleh beliau iaitu membina kandang kambing dan menternak lebih 100 ekor kambing untuk dipasarkan.

Selain itu, projek ternakan ikan air tawar ini juga mempunyai potensi yang besar untuk lebih maju pada masa hadapan kerana kurangnya daya saing dan juga pengalaman Sharif yang sudah mahir dalam selok-belok penternakan. Tempahan ikan juga pasti akan bertambah kerana ikan air tawar kini menjadi pilihan ramai untuk dijadikan santapan. Selain itu, Sharif juga tidak perlu untuk membeli benih ikan yang baru kerana proses pembiakan dapat dilakukan dengan sendiri pada masa akan datang.
                                                                                                                                                                                            

Rujukan

Pembangunan Sosioekonomi Malaysia. (2009). Kementerian Pengajian Tinggi.
http://www.melaka.gov.my/bm/perniagaan-a-ekonomi/165-industri-kecil-a-sederhana.html
http://www.mdsb.gov.my/industri_kecil;jsessionid=743204750A230919EE2596AA828FBF55



No comments:

Post a Comment