Thursday, April 16, 2015

Tugas perbaikan diri










Kehidupan seharian merupakan ujian daripada Allah swt. Dalam masyarakat yang pelbagai, banyak perkara yang dihadapi oleh para dai’ khususnya yang berkaitan dengan tanggungjawab mereka. Oleh yang demikian, tarbiyah adalah satu keperluan bagi kehidupan dai’ kerana tarbiyah merupakan satu proses ke atas jiwa untuk menimbulkan rasa syukur, tanggungjawab, kesedaran dan kefahaman bagi menggerakkan diri dekat kepada Tuhan.

Imam Hassan Al Banna menyatakan bahawa tarbiyah akan membuahkan dua keinginan iaitu keinginan berupa hidangan santapan baru iaitu ilmu, kesedaran dan kefahaman dalam kalangan dai’ serta  perasaan ingin sentiasa bertatap muka setiap kali berjumpa sesama dai’.

Dua keinginan ini akan sentiasa membuatkan para dai’ lebih kuat menghadapi cabaran-cabaran hidup. Lebih-lebih lagi banyak serangan keyakinan terhadap akidah Islam pada hari yang datang dari pelbagai arah.

Proses pentarbiyahan adalah membina ketahanan dan tanggungjawab bersama bagi membantu masyarakat dari segi memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada kebaikan. Tugas sebagai dai’ tidak boleh ditolak kerana tanggungjawab itu nanti perlu dijawab di hadapan Alah swt. Setidak-tidaknya di lingkungan ahli keluarga dan anak didik. Tugas ini terus berjalan sama ada disedari ataupun tidak.

Ancaman terhadap umat Islam dewasa ini dapat dibahagikan kepada lima sumber iaitu:

1. Sekularisme
Pemisahan di antara agama dan realiti hidup di dunia yang memberi kesan besar ke atas kehidupan dan tingkah laku umat manusia.

2. Liberalisme
Suatu aliran yang melihat Islam daripada sudut yang berbeza seperti berpendapat Al Quran boleh diperdebatkan dan menolak azab seksa kubur.

3. Pluralisme
Menganjurkan fahamanbahawa semua agama adalah sama dan boleh berkongsi rumah ibadat. Kumpulan ini banyak dipengaruhi oleh keadaan di Indonesia yang boleh berkongsi rumah ibadat untuk melaksanakan urusan agama masing-masing.

4. Hedonisme
Mengutamakan hiburan dan sukan yang melalaikan. Bermula dari bangun tidur hinggalah memejamkan mata, apa yang diingat adalah keseronokan tanpa batasan.

5. Khilafatulisme
Perkara-perkara yang khilaf diperbesar-besarkan supaya masyarakat keliru dan berpecah-belah. Kumpulan ini mencanangkan qunut subuh tidak perlu dibaca kuat, tidak boleh pijak di tengah-tengah kubur dan sebagainya. Pertikaian ini menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat yang tidak mempunyai kefahaman yang mendalam mengenai hal berkaitan.

Sahabat-sahabat Rasululah saw sangat merasai tugas dakwah yang menyebabkan mereka sangat rapat dan lebih hampir kepada Allah swt. Keadaan mereka in disebabkan jiwa telah melalui proses pembersihan melalui tarbiyah daripada murabbi agung iaitu Rasul. Pancaran kebersihan jiwa ini telah memberikan keindahan hidup di dunia dan akhirat.

Jika hendak menjadi seorang yang soleh, hendaklah membaiki jiwa dan akhlak. Jika pemimpin hendakkan masyarakat menjadi soleh, hendaklah baiki jiwa dan akhlak serta jika masyarakat hendakkan ummah menjadi soleh, hendaklah membaiki jiwa dan akhlak. Mahu ataupun tidak, ummah yang soleh bermula dengan individu yang soleh dan berakhlak mulia. Jika remaja pada hari ini bergaul bebas dan berzina, apakah ummah pada masa depan akan menjadi soleh dan berakhlak mulia?

Pembinaan ummah ini tidak boleh dimulakan di tempat lain kerana individu adalah unit asas bagi pembinaan yang lebih besar. Lagipun proses intervensi yang dilakukan di bahagian lain tidak akan kekal lama. Kebaikan jiwa adalah kebaikan umat, mengubah jiwa bererti mengubah umat. Oleh itu amalan yang paling utama ialah akhlak yang baik seperti menahan marah, berlapang dada dan merasai cukup dengan apa yang ada.

Dalam masyarakat hari ini, terlalu banyak program ceramah dan kursus diadakan tetapi yang lemahnya ialah proses pembentukan individu melalui tarbiyah. Sudah sampai masanya agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dengan perkara ini menilai semula pendekatan pembangunan ini supaya ia lebih berfokus dan bermatlamatkan pencapaian.

Seseorang murabbi akan menitiskan air mata jika anak didiknya yang dilatih dan ditatang akhirnya menjadi manusia yang hilang panduan dan arah di hujung usianya, tidak mengenal siapa dan di mana Tuhannya.

Kekayaan dan kebaikan terletak pada akhlak. Rasulullah saw amat mencintai orang yang paling baik akhlaknya, rendah hati, akrab dan mudah mesra. Baginda amat membenci orang yang menebarkan fitnah, memecah belah orang lain dan mencari keaiban orang yang bersih.

Akhlak yang baik akan meninggikan kedudukan individu, masyarakat dan jemaah. Ini adalah kesan daripada proses pentarbiyahan seperti solat di pertiga malam, amalan membaca al-quran dan membanyakkan amalan sunat.

Perbincangan akhlak yang soleh ini perlu sentiasa diteliti supaya proses pembentukan akhlak itu sentiasa meningkat agar kesedaran yang menggerakkan diri akan sentiasa bergetar. Hati yang mati umpama cermin yang pudar, wajar menjernihkan hati supaya sensitif. Masalah-masalah yang berlaku seperti rasuah, pembunuhan dan maksiat adalah kerana jiwa yang tidak lagi sensitif dengan Tuhannya.

Ibrahim Adham pernah menemankan seorang musafir berjalan menggunakan satu tunggangan. Mereka silih berganti menaiki tunggangan berkenaan hinggalah haiwan itu dijual. Ketika temannya letih, Ibrahim telah mendukungnya sejauh 48 kilometer! Ibrahim Adham telah menunjukkan akhlak yang sangat mulia kesan daripada proses tarbiyah dan kefahamannya terhadap akhlak.

“Orang-orang yang mendiami kampung (Madinah) dan beriman sebelum mereka (Al Ansar), mereka mengasihi orang-orang yang berhijrah kepada mereka dan tidak ada dalam hati mereka iri hati (dengki) kerana orang-orang Muhajirin mendapat harta rampasan, bahkan mereka mengutamakan (Muhajirin) daripada ahli mereka sendiri meskipun pada sesuatu yang mereka berhajat kepadanya”. (Surah Al-Hasyr ayat 9)

Ahklak adalah asas keutamaan dan kebaikan manfaatnya adalah untuk orang lain. Banyak institusi hancur kerana mementingkan diri. Keikhlasan adalah kunci kepada pembentukan sifat ini. Untuk membentuk akhlak mulia, kita mesti membiasakan diri dengan nilai dan sikap yang mulia walaupun kecil dan nampak remeh. Asasnya ialah untuk membaiki hati supaya dapat dibersihkan karat-karat dan akan memudahkan hidayah Allah masuk menerangi jiwa.

Hati yang sensitif akan merasai tanggungjawab terhadap Islam dan lahir dalam bentuk amal yang mulia
.

No comments:

Post a Comment