Wednesday, April 08, 2015

Pengalaman misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor








Keadaan mangsa banjir yang berlaku di Johor telah menggamit hati sekumpulan anak muda dari Kuala Lumpur untuk memberikan bantuan sukarela mereka di Kota Tinggi, Johor. Kami sekumpulan tujuh orang telah bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Taman Kota Jaya, Kota Tinggi bagi membantu meringankan kesengsaraan dan penderitaan mangsa banjir di sana. Misi ini bermula pada 23 hingga 26 Disember 2006 yang lalu.

Kami bermalam di transit sementara yang terletak di sebuah poliklinik di Ulu Tiram dan sempat bermalam. Pihak kami telah diberikan penerangan terperinci keadaan banjir oleh rakan-rakan yang lain dan membuat beberapa persediaan yang dapat membantu kami melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ini.

Selesai solat subuh berjemaah dan minum pagi, kami duduk untuk mendengar taklimat ringkas mengenai tugas dan peranan setiap individu dalam kumpulan ini. Selepas semuanya selesai, kami bertolak ke Taman Kota Jaya, Kota Tinggi bagi memulakan misi menyelamat dan membantu mangsa banjir. Perjalanan ke pekan Kota Tinggi tidak dapat diteruskan kerana air masih lagi mengenangi sebahagian besar pekan ini. Oleh itu kami terpaksa mencari jalan alternatif untuk ke Taman Kota Jaya. Kami memilih pusat penempatan sementara mangsa banjir Sekolah Menengah Agama Kota Tinggi. Seramai 3,105 mangsa banjir ditempatkan di sini.

Tanpa menunggu masa yang lama, kami menuju ke Jalan Duku, Taman Kota Jaya bagi membantu mangsa banjir mengemaskan rumah. Keadaan persekitaran penuh dengan sampah sarap seperti perabot rumah, pakaian dan barangan dapur. Air telah surut dan kelihatan ramai penghuni rumah yang membersihkan rumah masing-masing. Keadaan ini menunjukan betapa banjir yang melanda adalah malapetaka besar dan bukannya banjir yang biasa kita lihat dan dengar.

Pasukan kami dipecahkan kepada dua kumpulan untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir. Satu pasukan berada di Jalan Duku dan satu lagi di Jalan Manggis. Operasi bantuan ini berjaya merapatkan hubungan kami dengan penduduk sekitar untuk memberi perkhidmatan terbaik mereka.

Kumpulan Satu telah membersihkan enam buah rumah mangsa banjir manakala Kumpulan Dua telah membersihkan sebuah rumah yang bersaiz besar iaitu rumah Encik Naz, peniaga gerai makan di Leng Corner, Taman Kota Jaya. Setelah selesai, kami kembali ke pusat penempatan sementara untuk makan tengah hari, solat zohor dan rehat. Ketika ini kami telah memilih surau Taman Kota Jaya sebagai penempatan sementara dan markas operasi bagi membincangkan tindakan selanjutnya. Kehadiran pasukan ini disambut baik oleh ahli jemaah surau dan kehadiran kami sangat dirasai.


Pada sebelah petang kami bertolak semula ke kawasan sekitar Taman Kota Jaya untuk meninjau keadaan mangsa banjir. Didapati keadaan semakin pulih dengan kebanyakan penduduk membersihkan rumah masing-masing. Air masih lagi berada di paras lutut bagi kawasan berhampiran ladang kelapa sawit di belakang taman ini dan keadaan terkawal.

Sebelah malam kami merancang untuk menyiarkan multimedia tsunami tetapi tidak dapat dilakukan kerana pihak RELA mengadakan pengagihan sumbangan daripada Sultanah Johor kepada mangsa banjir. Bagi mengisi masa, kami mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu RELA menguruskan agihan berkenaan sehinggalah semua mangsa banjir menerima bahagian masing-masing.

Pagi 25 Disember, semua ahli kumpulan telah diberikan taklimat ringkas mengenai tugas dan peranan masing-masing.

Sekumpulan telah membantu tukang masak menyediakan sarapan pagi kepada mangsa banjir manakala sekumpulan lagi membersihkan persekitaran tempat tinggal mangsa banjir ini.

Jam 10 pagi, kami dipecahkan kepada tiga kumpulan kecil dan dibantu oleh sukarelawan Ulu Tiram yang semuanya berjumlah 15 orang. Setiap kumpulan dikehendaki mencari dan membantu mengemaskan rumah mangsa banjir. Antara rumah yang terlibat ialah petugas tukang masak dan rumah di sekitarnya di Jalan Belinjau. Sebanyak empat buah rumah telah dibersihkan. Didapati keadaan persekitaran masih tidak berubah dengan sampah sarap berselerakan di sana sini. Ketika ini bekalan elektrik telah dapat dipulihkan. Empat orang telah ditugaskan di tempat memasak bagi membantu penyediaan makanan manakala dua orang lagi membantu kumpulan perubatan ke dewan penempatan sementara yang berdekatan.

Misi diteruskan lagi pada sebelah petang dengan semua pasukan digerakkan untuk mencari dan membantu mangsa banjir mengemaskan rumah masing-masing. Tidak ramai yang berada di kawasan rumah masing-masing ketika ini kerana hujan renyai-renyai mulai turun dan berlarutan sehingga ke pagi.

Persembahan multimedia tsunami tidak dapat dilaksanakan lagi kerana bekalan elektrik terputus sepanjang malam dan berlarutan hingga ke pukul 3.43 pagi. Aktiviti alternatif ialah mengadakan pemeriksaan di tiga blok asrama sambil memberi khidmat susulan seperti meneman ke bilik air, menguruskan keperluan peribadi dan bertanyakan masalah-masalah yang dihadapi.

Hari terakhir kami di sini merupakan kenangan indah bersama mangsa banjir. Berkenalan dengan tukang masak sukarela yang bersama-sama menyediakan makanan adalah suasana indah dan tidak akan dapat dilupakan dalam sepanjang hidup kami. Selepas solat subuh, semua sukarelawan mengemaskan pakaian masing-masing dan memberikan khidmat dengan membersihkan surau untuk menamatkan operasi membantu mangsa banjir. Kami bertolak dari Kota Tinggi menuju ke Larkin bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Misi ini telah berjaya mencetuskan semangat kesukarelaan anak-anak muda dari Kuala Lumpur ini di samping merapatkan hubungan dengan RELA, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat Pegawai Daerah dan pihak Sekolah Menengah Agama Kota Tinggi.

No comments:

Post a Comment