Friday, April 03, 2015

Pendakwah yang mantap










Kerja yang akan mendatangkan keuntungan kepada orang-orang yang beriman ialah mengajak orang ramai kepada Islam. Namun begitu, semua usaha yang hendak dilakukan perlu kepada proses dan praktikaliti. Bagi mereka yang lahir sebagai seorang Islam, wajar mensyukuri nikmat tersebut.

Sejarah kegemilangan Islam sejak 1400 tahun yang silam telah berlalu dan hakikat kini ialah umat Islam masih ditekan dan belum bebas sepenuhnya. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi melahirkan sebuah masyarakat Islam yang kembali melaksanakan tuntutan iman dan ibadah. Seringkali kita dengar umat Islam melafazkan keinginan untuk menjadi kelompok masyarakat yang hebat dan hendak sangat masuk ke syurga Allah swt tetapi masih ramai yang kurang berusaha ke arah tersebut.

Bagi umat yang beriman, rintangan dan ujian tidak melemahkan keupayaan mereka apabila tahu apa yang dikehendaki. Dalam hal ini, keluhan dan rintihan untuk mencari mad'u kerapkali kedengaran bagi para dai' yang tidak produktif. Justeru, asas kepada dakwah wajar diberi pendedahan dan perancangan yang jelas supaya dapat melahirkan mukmin yang tahan lasak, bijaksana dan berilmu.

Di mana kita dapat membentuk seorang pendakwah yang kental dan cemerlang dalam usaha-usahanya? Mahu ataupun tidak, keluarga menjadi tempat proses yang paling penting. Pentingnya untuk membina keluarga muslim ini adalah kerana isteri yang bertanggungjawab dapat memberi tarbiyah yang sangat berkesan kepada anak-anak kerana beliau memahami kerja-kerja dakwah. Justeru itu, keluarga menjadi asas kepada pembangunan Islam yang hebat bagi membaiki diri, keluarga dan masyarakat.

Pendakwah juga wajar tahu membezakan amal yang utama dan sampingan supaya hubungan hati dengan Allah swt dan hubungan sesama manusia sentiasa berkeadaan baik. Upaya dengan doa lebih berkat daripada berusaha sahaja tanpa berdoa dan mengharapkan ihsanNya.

Kukuhkan persaudaraan Islam dapat menguatkan kerjasama dan dan menambah keazaman. Proses membentuk dan mendidik perlu sentiasa berjalan seiring serta ia adalah usaha yang berterusan. Tergelincir daripada jalan tarbiyah akan tertinggal di belakang dan perlu mempunyai stamina yang kuat untuk mengejarnya kembali.


"Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan." (Surah Yunus, ayat 36)


No comments:

Post a Comment