Lelaki soleh adalah istilah yang
agak asing bagi kebanyakan orang pada hari ini. Bagi mereka yang biasa dengan
dakwah dan tarbiyah, lelaki soleh adalah pilihan yang terhad kerana mendapat
gelarnya sudah cukup menghiburkan hati. Apatah lagi di akhir zaman, ketika
ramai orang lelaki yang mengejar keindahan dunia, slogan lelaki soleh bertambah
asing dan jauh daripada fikiran. Wang lebih dekat di hati berbanding keinginan
untuk membentuk peribadi lelaki soleh. Namun, pilihan untuk menjadi lelaki
soleh atau tholeh terletak pada keinginan setiap lelaki kerana
sememangnya mereka diberi pilihan untuk berbuat demikian.
“Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy Syams ayat 7 hingga 10)
Abu Muhammad Jibril, penulis buku “Karakteristik Lelaki Shalih” menceritakan secara panjang lebar mengenai lelaki soleh dari pelbagai sudut. Satu petikan yang menarik dari beliau ialah;
“Lelaki seperti apa yang dicadangkan untuk menjadi seorang bapa yang soleh, atau rahim perempuan yang mana mesti dipilih sebagai tempat tinggal pertama generasi yang soleh? Tentu jawapan yang dikehendaki Islam ialah calon bapa yang soleh dan rahim perempuan yang suci, sementara kesucian rahim mustahil terdapat pada perempuan yang tidak solehah.”
Justeru, pilihan untuk membentuk watak dan personaliti lelaki, perempuan, keluarga dan masyarakat soleh terletak pada pilihan yang asas iaitu calon lelaki soleh mesti mengahwini calon perempuan solehah. Ini syarat paling sesuai untuk membentuk keluarga soleh. Telah tercatat bahawa dunia ini akan diwarisi oleh mereka yang taat, tunduk dan patuh kepada Rab yang Esa.
“Sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur (kitab-kitab yang kami turunkan) sudah tercantum (pada Lauhul Mahfuz) bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.” (Surah Al Anbiya’ ayat 105)
“Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy Syams ayat 7 hingga 10)
Abu Muhammad Jibril, penulis buku “Karakteristik Lelaki Shalih” menceritakan secara panjang lebar mengenai lelaki soleh dari pelbagai sudut. Satu petikan yang menarik dari beliau ialah;
“Lelaki seperti apa yang dicadangkan untuk menjadi seorang bapa yang soleh, atau rahim perempuan yang mana mesti dipilih sebagai tempat tinggal pertama generasi yang soleh? Tentu jawapan yang dikehendaki Islam ialah calon bapa yang soleh dan rahim perempuan yang suci, sementara kesucian rahim mustahil terdapat pada perempuan yang tidak solehah.”
Justeru, pilihan untuk membentuk watak dan personaliti lelaki, perempuan, keluarga dan masyarakat soleh terletak pada pilihan yang asas iaitu calon lelaki soleh mesti mengahwini calon perempuan solehah. Ini syarat paling sesuai untuk membentuk keluarga soleh. Telah tercatat bahawa dunia ini akan diwarisi oleh mereka yang taat, tunduk dan patuh kepada Rab yang Esa.
“Sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur (kitab-kitab yang kami turunkan) sudah tercantum (pada Lauhul Mahfuz) bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.” (Surah Al Anbiya’ ayat 105)
Soalan yang masih berlegar-legar di fikiran kita ialah siapa yang dicatat
sebagai “hamba-hambaKu yang soleh” itu? Apakah mereka masih wujud pada zaman
moden hari ini?
Abu Muhammad Jibril memberi gambaran dan contoh yang jelas tentang salah faham mengenai watak lelaki soleh dalam masyarakat. Gambaran watak yang terpesong ini telah terpahat dalam benak sebahagian masyarakat Islam yang masih menganggap ciri-ciri lelaki soleh adalah begini dan begitu.
Ciri yang salah, pertama ialah menganggap orang-orang yang asyik berzikir, menghitung biji tasbih beribu-ibu setiap hari hingga lupa peranannya dalam masyarakat. Keyakinan golongan ini ialah dengan berzikir begitu mereka akan mencapai taraf “wali Allah.” Lebih teruk lagi mereka ini malas bekerja untuk mencari nafkah kerana menganggap rezeki akan turun dari langit.
Kedua, orang yang memiliki serban besar, berjubah panjang dan memegang jawatan-jawatan utama agama tetapi masih suka berkhidmat dengan kerajaan yang menentang undang-undang Allah swt. Menurut Abu Muhammad Jibril, lelaki jenis ini tidak termasuk dalam terminologi Islam sebagai lelaki soleh.
Ketiga, sarjana-sarjana muslim profesional di universiti dan institusi pengajian tinggi. Bagaimana kehidupan peribadi dan keluarga mereka? Kita boleh lihat dan nilai sendiri?
Lelaki soleh zaman sekarang tidak lagi boleh ditunjuk sepertimana zaman para sahabat. Ketika itu, lelaki paling soleh di dunia, Rasulullah saw, dapat menyatakan watak lelaki soleh dan menerangkan dengan terperinci ciri-ciri kesolehan berkenaan. Malah boleh pula menetapkan sahabat-sahabat tertentu telah kedengaran bunyi tapak kasut di syurga seperti mana yang diisyaratkan kepada Bilal bin Rabbah. Inilah potret lelaki soleh yang jelas untuk kita nilai. Bilal adalah tukang azan dan namanya diabadikan sehingga kini setiap kali muazzin memanggil untuk azan. Dan sahabat ini adalah calon ahli syurga. Penghuni syurga adalah calon yang mengikut penilaian Allah swt, bukannya penilaian manusia.
Justeru itu, golongan pertama, kedua dan ketiga tidak menjadi jaminan sebagai lelaki soleh menurut penilaian Allah swt. Dibandingkan dengan Umar bin Khattab r.a, seorang khalifah yang berjiwa keras tetapi mampu menjadi pemimpin, mempunyai akhlak yang mulia dan juga termasuk dalam golongan lelaki soleh. Walau bagaimanapun ada berita gembira yang dinyatakan oleh Rasulullah saw mengenai kedatangan lelaki (lelaki-lelaki) soleh pada setiap kurun bagi membawa pengislahan dalam masyarakat.
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada setiap permulaan seratus tahun, orang yang memperbaharui urusan agamanya.”
(Riwayat Abu Hurairah)
Yusuf Al Qardhawi (2000) mentafsirkan ungkapan “orang” dalam hadis ini sebagai individu dan kolektif. Contoh individu ialah Umar Abd. Azizi, Imam As Syafie dan Imam Al Ghazali. Manakala beliau sendiri lebih cenderung untuk memilih kolektif kerana boleh jadi mujaddid tersebut wujud dalam bentuk satu jemaah dakwah, tarbiyah atau jihad.
Ada di kalangan pemimpin umat Islam pada hari ini masih terkapai-kapai untuk menerapkan Islam dalam pelaksanaan pentadbiran mereka, tetapi tetap tidak berjaya. Perkara ini menarik perhatian Abu Muhammad Jibril untuk melihatnya dari perspektif yang berbeza.
“Sedangkan tokoh-tokoh masyarakat muslim hari ini rata-rata hanya menjadi pelengkap penderita daripada sistem jahiliyah moden. Mereka diberi kebebasan palsu untuk berbicara tentang Islam tetapi tidak boleh keluar daripada cengkaman musuh.”
Kenyataan ini keras tetapi ada hakikatnya. Abul A’la Maudidi (1970) dalam huraian yang sangat menarik melalui buku Dasar-Dasar Islam, beliau menekankan betapa aqidah adalah prasyarat membentuk jiwa muslim yang benar dan mantap. Perjalanan hidup umat bermula dengan hati kerana hati manusia adalah sumber semua tindakan dan penentu sikap dalam kehidupannya.
“Dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Apabila daging yang seketul itu baik maka akan baiklah seluruh tubuh badannya. Dan apabila rosak daging yang seketul akan rosaklah tubuh badannya. Dan daging yang seketul itu ialah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kekuatan hati ini ialah ia menjadi titik pusat dan sumber kekuatan mental dan fizikal untuk berfikir dan beramal.
Pembentukan lelaki soleh memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang rapi. Ia tidak muncul dalam angan-angan dan cakap-cakap kosong tetapi mesti dilalui secara realiti. Keteguhan dan kesabaran hati menjadi nadi kepada watak lelaki soleh. Perincian lebih lanjut menjadikan lelaki soleh dibahagikan kepada dua iaitu skala kecil dan skala besar.
1. Skala kecil
Ukuran kecil di sini ialah minimum iaitu melaksanakan keperluan minimum perintah-perintah dan kewajipan syarat seorang muslim. Dari Jabir, katanya Rasulullah saw didatangi oleh Nukman bin Qauqal, katanya, ”Harap penjelasan tuan, apabila saya mengerjakan sembahyang yang wajib, dan menghalalkan yang halal serta mengharamkan yang haram, maka apakah mungkin saya masuk syurga? Jawab Rasulullah, “Ya.” (Riwayat Muslim).
Melaksanakan Rukun Iman dan Rukun Islam sudah cukup bagi melayakkan seorang muslim untuk mendapatkan syurga Allah swt. Terlalu mudah bagi mereka yang amalannya sedang-sedang dan tidak mahu bersusah-payah. Darjat lelaki soleh pada skala inipun sudah dikira baik kerana jaminannya pun syurga.
Di samping lengkap pengetahuan dan amalan mengenai tauhid, melengkapkan diri dengan ilmu fiqah menjadikan lelaki soleh skala kecil terpelihara daripada melaksanakan hal-hal yang boleh merosakkan amalan sehariannya. Kitab Kifayatul Akhyar (Kelengkapan Orang Soleh) oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakar (1993) menghuraikan dengan panjang lebar mengenai bersuci, solat, zakat, puasa, haji dan jual beli supaya lelaki soleh tidak terlepas pandang dalam setiap amalan mereka. Ilmu fiqah menyinarkan kembali wajah mereka dengan sinaran air wudhuk dan memperelokkan akhlak melalui ketertiban tingkah laku.
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya.” (Surah Al Baqarah ayat 208)
2. Skala besar
Kunci utama lelaki soleh skala besar ialah taqwa. Darjat taqwa adalah nilaian utama Allah swt kepada umat Islam. Taqwa menukar taraf yang rendah ke peringkat paling mulia sehingga dimuliakan oleh Allah swt.
“Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa.”
(Surah Al Hujerat ayat 13)
Taqwa adalah lambang jiwa yang suci, murni dan bersih. Ini adalah kerana taqwa dibangunkan dengan pembersihan jiwa dan penyucian hati (Ashaari Muhammad, 1990). Taqwa sangat berkaitan dengan aqidah.
”Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” (Surah Al-An'aam, Ayat 122)
Aqidah adalah ruh bagi setiap orang, umpama cahaya yang menerangi kegelapan dan kesesatan. Aqidah juga adalah sumber dari rasa kasih sayang yang terpuji, tempat tertanamnya perasaan yang indah dan luhur, juga sebagai tempat tumbuhnya akhlak yang mulia dan utama (Sayid Sabiq,1978).
Golongan skala besar seperti juga pada namanya, mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar. Mereka ini menjadi pemimpin dalam masyarakat, penunjuk jalan, meletakkan keutamaan untuk menyebarkan risalah tauhid ke seluruh dunia dan berusaha mendapat keredhaan Allah swt. Sesuai dengan peranan mereka, ujian dan cabaran juga hebat. Besarnya cabaran ini bersesuaian dengan kekuatan yang mereka miliki.
Contoh cabaran terbesar lelaki soleh ialah peristiwa Nabi Ibrahim a.s dibakar di dalam api oleh Namrud. Ketabahan, keyakinan dan kesabaran membantu baginda a.s untuk cekal berhadapan dengan watak yang sangat zalim dan tanpa ada rasa perikemanusiaan. Kejayaan terbesar dalam merencana gerakan Islam kesan dari kesolehan iman dan akhlak ialah melatanya dakwah Islam dan kekal ke hari ini walaupun ada masa jatuh dan bangunnya.
”Tidak Kami utus engkau Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Surah Al Anbiya’ ayat 107)
Sifat yang menjadi asas kepada pembentukan lelaki soleh skala besar ialah empat sifat yang ada pada Rasulullah saw iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Mereka yang hebat dapat menguasai kesemua empat sifat ini. Bagi yang baru hendak menjadi dan sedang merancang menjadi hebat, belajar untuk memahirkan diri dengan sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah akan membantu hajat mereka.
Kehadiran lelaki soleh adalah untuk membaiki, membawa rahmat dan kejayaan kepada umat. Kerosakan akhlak dalam masyarakat, pemimpin yang angkuh dan sombong serta ketidakadilan sosial dan ekonomi akan lenyap bersama kemunculan lelaki-lelaki soleh yang menjadi pendokong kepada kebangkitan umat.
Pembinaan watak lelaki soleh sangat bertaut dengan tema ”Islam sebagai satu cara hidup.” Allah swt menciptakan sistem hidup yang lengkap dengan peraturan dan amalan melalui RasulNya supaya umat dapat merasai kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Islam adalah satu sistem atau satu cara hidup yang dibentuk berasaskan ilmu, berbanding sistem lain di mana cara hidup manusia berasaskan kejahilan dan kekurangan oleh kerana ianya sistem yang dihasilkan oleh manusia (Syarifuddin Muhammad et.al). Islam adalah agama yang datang dari Allah swt manakala agama-agama lain yang bikinan manusia berdasarkan persepsi sendiri dan ada yang telah diubah suai selaras dengan kepentingan masing-masing.
”Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam.”
(Surah Ali Imran ayat 19)
Lelaki soleh boleh muncul dalam pelbagai keadaan. Ada yang kehadiran mereka disedari dan ada yang tidak. Yang disedari adalah lebih baik kerana dapat membuat perubahan pada diri, keluarga dan masyarakat. Yang lebih baik lagi ialah mereka mencetuskan perubahan peradaban seperti falsafah, perubatan, matematik, farmasi dan kimia, astronomi, bahasa, sejarah, sosiologi dan budaya. Sumbangan kesolehan dalam falsafah umpamanya seperti Abu Ishak Al Khindi. Beliau menghasilkan 231 judul buku dan diangkat sebagai ahli falsafah Arab yang terkenal. Ibnu Sina adalah tokoh yang alim dalam perubatan dan bukunya masih lagi menjadi rujukan dalam bidang perubatan. Ibnu Khaldun yang terkenal dengan buku ”Muqaddimah” adalah seorang tokoh dalam bidang sosiologi.
Ramai lagi yang terlibat dalam pelbagai bidang dan mereka sangat alim dalam bidang yang diterokai. Tokoh-tokoh ini, kalau dilihat gambar atau potret mereka, ada yang memakai jubah, berserban dan berjanggut panjang. Keadaan ini tidak sedikitpun menghalang mereka untuk maju dalam bidang masing-masing malah menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Justeru, tidak ada gelaran yang tepat bagi lelaki soleh kerana banyak panggilan yang digunakan seperti ”orang-orang yang beriman,” ”orang-orang yang berakal" dan ”haunan”. Tanda atau bukti orang-orang yang baik memang diberikan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya yang terpilih ini. Tanda ini dapat dilihat dari keperibadiannya, ia dapat dilihat sewaktu mereka berjalan di muka bumi dengan sifat yang diistilahkan oleh al quran sebagai ”haunan” (Nik Abd. Aziz,1996). Haunan di sini ditafsirkan sebagai tenang.
Gambaran lelaki soleh ialah seorang yang dinamik, aktif dan menyumbang kepada pembangunan umat manusia. Pada masa yang sama, kehidupannya terikat dengan tauhid dan panduan hidup sebagai hamba Allah. Peribadi dan akhlaknya terpuji sebagai refleksi perhambaan yang maksimum kepada Tuhannya.
Lelaki soleh jika boleh dicari, adalah seperti ”siangnya adalah singa, malamnya adalah ’abid.” Siangnya dia akan bekerja bersungguh-sungguh supaya setiap masa yang dilalui akan membawa manfaat. Berusaha supaya hidup akan berubah, membawa kebaikan kepada masyarakat umum dan tidak mensia-siakan anugerah sihat yang diberikan. Manakala malamnya seperti ’abid bererti mengambil sebahagian dari masa tidur untuk ”bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka” iaitu melaksanakan qiamullail (Nik Abd. Aziz,1996).
Menjadi lelaki soleh bukannya dengan berangan-angan tetapi memerlukan usaha untuk memperbaiki dan mentarbiyah akhlak dengan keutamaan-keutamaan dan kesempurnaan sejak awal (Hasan Al Banna,1998).
Pembentukan lelaki soleh, seterusnya keluarga soleh adalah menyahut nasihat dan peringatan Allah swt supaya umat terhindar dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.
”Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan olehNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At Tahrim ayat 6)
Rujukan
Abu Muhamad Jibril Abdurrahman.1999. Karakteristik Lelaki Soleh. Yogyakarta: Wihdah Press.
Abul A’la Maududi.1970. Dasar-Dasar Islam. Bandung: Penerbit Pustaka. Karya terjemahan.
Ashaari Muhammad.1990. Renungan Untuk Mengubah Sikap. Kuala Lumpur: Penerangan Al Arqam.
Hasan Al Banna.1998. Risalah Pergerakan Ikhwanul Muslimin. Solo: Era Intermedia. Karya terjemahan.
Mahmud Yunus.1973. Tafsir Quran Karim. Djakarta: P.T. Hidakarya Agung.
Nik Abdul Aziz Nik Mat.1996. Pemisah Antara Iman dan Kufur. Kuala Lumpur: Al Hidayah Publishers.
Sayid Sabiq.1978. Aqidah Islam. Bandung: Diponegoro. Karya terjemahan.
Syarifuddin Muhammad et.al. (Tahun tidak dinyatakan). Manhaj Islam Hadhari : Konsep dan Metodologi. Kuala Lumpur: Pusat Kajian dan Pembangunan Manhaj Islam Hadhari.
Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad Al Husaini.1993. Kifayatul Akhyar (Kelengkapan Orang Soleh). Bahagian pertama. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd. Karya terjemahan.
Yusuf Al Qhardawi.2000. Berita-Berita Gembira Tentang Kemenangan Islam. Kuala Lumpur: Al Hidayah Publishers. Karya terjemahan.
No comments:
Post a Comment