Monday, April 20, 2015

Understanding business






Penulis: William G. Nickels, James M. McHugh dan Susan M. McHugh
Tahun: 2013 (edisi kesepuluh)
Penerbit: McGraw-Hill Companies, Inc., New York, USA.
Muka Surat: 577

Buku tebal ini mengandungi enam bahagian dengan 20 bab. Dimuatkan juga bab bonus berkaitan undang-undang, pengurusan maklumat, pengurusan risiko dan kewangan.

Selepas meneliti buku ini, saya tertarik dengan bab enam iaitu berkaitan keusahawanan dan memulakan bisnes kecil.

Bab enam ini bermula dengan pertanyaan kenapa ada orang yang mahu berhadapan dengan cabaran keusahawanan seterusnya memulakan perniagaan kecil.

Menurut Small Business Administration, salah satu sebab utama kegagalan perniagaan kecil adalah lemah dalan pengurusan. Perlu dingatkan bahawa pengurusan yang lemah meliputi pelbagai perkara seperti lemah dalam mengurus, simpan kira, kawalan inventori, promosi ataupun hubungan pekerja-majikan. Ia juga berkaitan dengan kelemahan modal.

Penulis mencadangkan lima langkah penyediaan bisnes kecil ini iaitu perancangan perniagaan, penyediaan kewangan, mengetahui pelanggan, pengurusan sumber manusia dan penyediaan rekod.

Biarpun semua langkah ini penting dalam permulaan dan pengurusan bisnes, dua langkah yang awal iaitu perancangan dan penyediaan kewangan adalah perkara pokok apabila memulakan perniagaan. Selebihnya berperanan semasa bisnes dijalankan.

Perkara lain yang menarik adalah mendapatkan modal untuk memulakan bisnes. Ada beberapa sumber yang berpotensi untuk mendapatkan modal seperti simpanan sendiri, saudara-mara, bekas pekerja, bank, syarikat kewangan, pemodal saham dan agensi kerajaan. Namun, pembiaya yang biasa adalah simpanan sendiri dan rakan-rakan.

Keadaannya berbeza bagi McDonald. Semasa tahun-tahun awal syarikat ini, Ray Kroc berhadapan dengan kesukaran mendapat modal yang mencukupi, lalu beliau mendapatkan bantuan dari pihak pembekal untuk memastikan syarikatnya terus bergerak- beliau meminta pembekal memberikannya bantuan dana. Keadaan ini jarang berlaku. Akhirnya McDonald dan pihak pembekal berkembang bersama-sama. Kaedah ini boleh bermula dengan peniaga meminta nasihat daripada pembekal, jika mereka bersetuju sudah tentu pembekal akan membantu.

Cara lain untuk mendapat modal perniagaan adalah melalui institusi kewangan pembangunan komuniti (Community development financial institutions, CDFIs). Penubuhan institusi ini adalah menjana modal untuk perniagaan kecil dalam komuniti. Ia bermula sekitar tahuan 1980-an oleh pelabur yang mementingkan perkembangan sosial masyarakat seperti golongan pencen yang melaburkan wang simpanan mereka untuk membantu.

CDFIs berjaya kerana dapat mengekalkan disiplin kewangan peminjam iaitu mempunyai insentif menggalakkan peminjam membayar semula pinjaman yang diambil. Antara langkah yang dibuat adalah menyediakan kaunseling perniagaan melalui pembangunan strategi pemasaran, pengurusan inventori dan menambah baik aliran tunai syarikat.


No comments:

Post a Comment