Entah berapa kali lagi
pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional berkumpul bagi menyuarakan
sokongan mereka kepada presiden dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terbaru ialah sokongan daripada Pemuda UMNO.
Pernyataan sokongan ini
dipercayai sebagai tindak balas kritikan Tun Dr Mahathir ke atas isu-isu yang
melibatkan Alantuya dan 1MDB. Berdasarkan maklum balas, puncanya adalah
kegagalan Najib menunaikan harapan Tun Dr Mahathir untuk membina “jambatan
bengkok” di Johor.
Perbezaan pendekatan ini
membawa masuk sekali perhatian rakyat Malaysia. Sebab-musababnya kita tidak tahu.
Biarlah mereka berfikir sesama sendiri untuk menyelesaikan isu yang belum
disepakati.
Ada perkara lain yang lebih
membimbangkan iaitu nilai Ringgit yang semakin merosot. Hari ini Ringgit sudah
menjangkau RM3.70 untuk satu dolar Amerika. Analisis kewangan menganggarkan
nilai Ringgit akan terus jatuh ke paras RM3.80 sehingga hujung tahun ini.
Maknanya, nilai Ringgit yang
kita ada ini semakin lemah, kita perlu membayar lebih banyak Ringgit untuk
mendapat dolar. Jika dulu RM100 boleh beli banyak barang, sekarang tidak lagi.
Kita perlu bayar lebih.
Harga alat ganti kereta import
juga lebih mahal kerana alat ganti berurus niaga dalam dolar.
Dalam keadaan Ringgit yang
mengecil, pemimpin kita masih berbangga dengan ekonomi yang kompetitif. Rakyat
miskin dan kelompok pertengahan semakin tertekan dengan kadar gaji yang masih
tidak banyak berubah dan alasan yang sering diberi adalah ekonomi tidak
mengizinkan. Alasan yang sama juga diberikan pada masa kini.
Korea Selatan umpamanya, jauh
di belakang kita 30 tahun lalu namun kini mereka jauh di hadapan dalam pelbagai
segi. Bagaimana mereka berjaya dan kita terus gagal?
Malaysia tidak boleh lagi
bergantung pada idea yang tidak memberangsangkan khususnya pertelagahan politik
yang tidak membina. Dalam pembangunan negara, biarlah perbezaan pendapat
diperkecilkan. Tumpuan wajar diberikan kepada cara membangunkan ekonomi dan
menaikkan semula nilai Ringgit supaya rakyat tidak sengsara.
Jika tidak dapat membawa
kemakmuran, berilah peluang kepada pemimpin lain yang lebih dinamik, kurang politiking
dan memberi fokus untuk kesejahteraan rakyat.
No comments:
Post a Comment