Kemalangan helikopter yang meragut enam nyawa
semalam amat mengejutkan kita semua. Helikopter yang membawa ahli politik dan
korporat itu bertolak ke Subang tetapi terhempas di Semenyih. Antara yang
terkorban adalah Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Ahli Parlimen Rompin dan Datuk Seri Azlin
Alias, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri. Mangsa lain adalah juruterbang
Kapten Clifford William Fournier, pembantu juruterbang Aidana Baizieva, ahli
perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan anggota polis Koperal Razakan Seran.
Helikopter keluaran Airbus itu dilapor meletup di udara dan terhempas di
kawasan hutan.
Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis dikatakan
mempunyai jadual harian yang padat sepanjang hari. Beliau bergerak dari satu
tempat ke tempat menggunakan helikopter untuk menjimatkan masa dan dapat
memenuhi semua undangan dengan sempurna. Gambar-gambar yang disiarkan di media
berkenaan perjalanan harian beliau semalam menggambarkan beliau seorang yang
tidak duduk diam.
Sebelah pagi beliau bersarapan di sebuah
restoran dan tengah harinya menghadiri majis perkahwinan anak perdana menteri
di Pekan. Beliau dikatakan akan menghadiri satu lagi majlis perkahwinan pada
sebelah malamnya.
Punca kemalangan ini tidak dapat dipastikan
sehinggalah siasatan disempurnakan. Namun begitu, faktor cuaca, masalah
teknikal dan sabotaj biasanya diberi perhatian.
Jarang-jarang kita dengar kemalangan udara
melibatkan helikopter di negara ini. Biasanya ia berlaku bagi jarak yang agak
lama. Kes seperti ini yang pernah berlaku adalah melibatkan tokoh korporat, Tan
Sri Yahya Ahmad, isteri dan juruterbang pada Mac, 1997 di Kuala Lipis.
Tahap keselamatan pengangkutan udara di
Malaysia masih diyakini walaupun kehilangan tiga pesawat dalam tempoh beberapa
bulan ini. Kehilangan pesawat MH370, pesawat MH17 ditembak dan AirAsia QZ8501
yang terhempas di perairan Selat
Karimata, Indonesia memang suatu yang malang kepada industri penerbangan udara
negara.
Kita tidak tahu bagaimana tindak balas orang
ramai terhadap ketiga-tiga tragedi ini namun publisiti berkaitan keselamatan
yang dilakukan oleh syarikat-syarikat penerbangan yang terlibat sedikit
sebanyak meningkatkan keyakinan kita terhadap aspek keselamatan kapal terbang.
Kematian yang berlaku dalam industri
penerbangan adalah rendah berbanding kematian di atas jalan raya. Justeru,
masih ramai yang memilih kapal terbang sebagai pengangkutan utama. Walaupun
begitu, dengan perkembangan industri kereta api laju dan kemudahan jalan raya
yang dinaik taraf, pengguna boleh memilih pelbagai sistem pengangkutan yang mereka
gemar.
Keselamatan dilihat menjadi salah satu faktor
yang menentukan pilihan pengguna. Walaupun harga berpatutan, ada pengguna yang
tidak teragak-agak memilih perjalanan yang jauh tetapi selamat supaya nyawa
mereka tidak terancam. Secara kasarnya, tragedi yang berlaku ke atas pesawat
Germanwings baru-baru ini mahu dielakkan.
No comments:
Post a Comment