Tuesday, September 30, 2008

Minyak ikan jadikan kanak-kanak bijak

Kanak-kanak yang mengambil makanan tambahan minyak ikan setiap hari dikesan lebih bijak dan cemerlang dalam peperiksaan mereka, menurut kajian.

Penyelidikan oleh Majlis Mukim Durham mendapati pelajar yang mengambil kapsul Omega-3 dalam masa setahun sebelum peperiksaan GCSE memperoleh keputusan lebih baik berbanding mereka yang tidak mengambilnya.

Lebih 3,000 pelajar tahun 11 di seluruh negara mengambil kapsul minyak ikan setiap hari.

Kanak-kanak yang berterusan mengambil makanan tambahan percuma memperoleh dua gred lebih tinggi dalam peperiksaan mereka, purata 17.7 mata lebih, berbanding pelajar yang tidak mengambilnya.


Bagaimanapun, saintis menyangkal uji kaji itu kerana ia tidak memasukkan kumpulan kedua kanak-kanak yang mengambil pil placebo.

Ketua pakar pemakanan di Kolej King di London, Profesor Tom Sanders, berkata percubaan itu tidak 'rawak' yang penting untuk mengelakkan perubahan yang mungkin berlaku.

"Tiada rumusan boleh dibuat mengenai faedah atau sebaliknya," katanya.

[Berita harian Online, 30/9/2008]

Monday, September 29, 2008

Politik penguasaan dunia dan isu yang selainnya

Penulis: Dr. Chandra Muzaffar
Penerbit: Arah Publications
ISBN: 978-983-3718-31-3
Pengulas: Mohd. Khuzairi Ismail

Buku yang membincangkan mengenai permasalahan politik semasa dan isu antarabangsa dalam konteks pembacaan ringan sesuai untuk pemahaman secara santai agak sukar untuk ditemui di pasaran.

Lazimnya kebanyakan buku dengan fokus perbincangan sebegitu seringkali merungkai sesuatu isu atau polemik antarabangsa dengan sangat mendalam dan begitu terperinci, tiada bezanya seperti bacaan ilmiah atau buku rujukan untuk penuntut-penuntut di universiti.

Dengan konsep penerbitan sebegitu, bahan bacaan yang seharusnya berguna sebagai tatapan umum untuk menyingkap jendela dunia dan memahami isu serta polemik semasa antarabangsa berubah menjadi buku yang sangat membosankan.

Berbeza dengan buku Politik Penguasaan Dunia & Isu Yang Selainnya ini, perbincangan mengenai permasalahan dunia dikumpulkan materialnya daripada siri-siri wawancara penulis sebagai seorang penganalisis antarabangsa, seperti yang pernah tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tujuh wawancara mengenai pelbagai isu antarabangsa utama yang menjadi perhatian dunia sepanjang masa itu diangkat semula ke dalam buku ini dan disusun mengikut kepentingan isu bermula pada Oktober 2001 sehingga April 2006.

Selain perbincangan dalam bentuk wawancara, buku ini turut dibahagikan kepada bab lain yang turut memuatkan tujuh artikel penuh yang mengupas pelbagai isu dan permasalahan global lain secara terperinci.


Seperti sesi wawancara, beberapa artikel itu juga pernah disiarkan di dalam Utusan Malaysia serta penerbitan antarabangsa lain termasuk untuk majalah Tempo, Indonesia.

Antara isu yang disorot oleh penulis yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) di dalam wawancara itu termasuk percubaan segelintir elit yang diketuai oleh kepimpinan politik Amerika Syarikat (AS) untuk menguasai dunia.

Faktor-faktor yang menyebabkan politik penguasaan dunia ini, sifat politik penguasaan dunia, kesan-kesan daripada penguasaan, pendorong-pendorong politik penguasaan dan penentangan terhadap penguasaan politik elit Washington dan sekutu-sekutunya antara yang dapat difahami menerusi pembacaan buku ini.

Dalam salah satu sesi wawancara yang dimuatkan juga, penulis diajak berbincang mengenai seruan damai bagi 2005 dalam perspektif kelangsungan usaha untuk membetulkan kepincangan politik dunia.

Ternyata perbincangan itu yang berkisar mengenai aktiviti militan dan pengganas, peperangan di Iraq dan Afghanistan, kemelut krisis Palestin dan Israel serta keangkuhan AS sebagai perencana polemik antarabangsa masih menjadi isu yang relevan untuk dibincangkan dan belum berkesudahan sehingga kini.

Satu sesi wawancara turut didedikasikan buat Chandra mengupas mengenai peperangan yang dilancarkan oleh AS dan sekutunya, Britain ke atas Iraq pada 2003 yang disimpulkan beliau sebagai satu bentuk penjajahan baru menerusi pencerobohan bersifat penaklukan dan penguasaan.

Menerusi kupasan Chandra itu, dapat difahami agenda sebenar di sebalik peperangan itu ialah untuk membentuk satu Orde Baru iaitu dunia yang mana AS tidak ada tentangan sebaliknya menguasai 100 peratus dunia dan mewujudkan empayar global pertama dalam sejarah manusia.

Isu-isu lain yang turut dibincangkan termasuk hubungan antara peradaban, khususnya Barat dan Islam, cabaran terorisme serta peranan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam pergerakan keamanan dunia.

Malah, Chandra menerusi satu artikel di dalam buku ini turut membincangkan secara terperinci mengenai pertembungan Islam dan Barat secara menilai faktor-faktor yang mendorong golongan tertentu di Eropah menaruh minat terhadap agama sebagai fenomena sosial.

Selain permasalahan antarabangsa, Chandra menerusi perbincangan di dalam buku ini juga memberi perhatian istimewa mengenai isu-isu domestik yang berhubung kait secara tidak langsung dengan politik antarabangsa seperti isu keharmonian agama dan hubungan ulama dengan masyarakat di negara ini.

Meletakkan dirinya sebagai aktivis yang pernah terbabit dalam gerakan reformasi sosial sejak tahun 1970-an, Chandra dalam perbincangan mengenai isu tempatan itu meletakkan satu impian tentang masa depan Malaysia supaya jurang perbezaan antara kaum dari segi sosial dan ekonomi dapat dikecilkan.

Beliau juga mahu isu-isu mengenai keadilan, ketelusan dan penyelewengan serta krisis nilai yang semakin meruncing dalam masyarakat diberikan perhatian secara serius oleh kerajaan dan dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu lebih terbuka mendengar pendapat yang berbeza.

Sesuai dengan kepekaan pengamatan beliau terhadap amalan berpolitik tempatan, Chandra menerusi salah satu sesi wawancara itu juga menyimpulkan untuk melihat satu suasana berpolitik yang lebih sihat dan kurang konfrontasi – sesuatu yang sememangnya ditagih dalam senario politik negara ketika ini.



[Utusan Online, 29/9/2008]

Pelan strategik lonjak kecemerlangan IPT

oleh Syuhada Choo Abdullah

Sebuah universiti baru berstatus Apex akan dibina dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi melonjakkan kecemerlangan pengajian tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pejabat Pengurusan Program (PMO) Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata cadangan membina universiti itu adalah projek trek ketiga Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

"Menubuhkan universiti baru berstatus Apex bagi membentuk kecemerlangan dari peringkat awal lebih mudah berbanding melaksanakan perubahan di universiti sedia ada.


"Bagaimanapun, rancangan ini tertakluk kepada kedudukan kewangan kerana pembinaan universiti baru berstatus Apex memerlukan perbelanjaan tinggi," katanya kepada Berita Harian.

Awal bulan ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan pemilihan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Universiti Apex pertama, mengatasi beberapa universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM).

Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. Sahol Hamid berkata, pemilihan USM untuk merintis program itu adalah projek trek pertama PSPTN.


Beliau berkata, kementerian akan meneliti perkembangan USM dan jika ia menunjukkan kemajuan baik, kemungkinan besar satu lagi proses penilaian dan pemilihan universiti lain untuk memasuki program itu akan diadakan dalam tempoh setahun dua lagi.

Katanya, UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disenarai pendek dalam pemilihan sebelum ini, bagaimanapun tidak akan dipilih secara automatik sebaliknya perlu bersaing semula.

Beliau berkata, persaingan akan terbuka kepada permohonan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mungkin sudah melakukan penambahbaikan serta mencatat peningkatan kemajuan.


"Namun sebelum itu, kemungkinan besar kita akan melaksanakan dulu projek trek kedua PSPTN, iaitu program Apex khusus untuk pusat kecemerlangan di universiti yang tertumpu kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan saja. Polisinya berbeza dengan kemasukan keseluruhan sebuah universiti dalam program Apex.

"Insya-Allah, proses trek kedua ini akan bermula pada Disember depan, termasuk membuka permohonan dan keputusan pemilihan pusat kecemerlangan akan ditentukan menjelang Jun tahun depan," katanya.

[Berita Harian Online, 29/9/2008]

Sunday, September 28, 2008

SMS lebih bahaya

Perbuatan menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ketika memandu lebih bahaya berbanding memandu dalam keadaan mabuk atau berada dalam pengaruh dadah, menurut penyelidikan baru Britain.

Kajian ke atas pemandu berusia antara 17 dan 24 tahun mendapati risiko mereka terbabit dalam kemalangan meningkat mendadak jika menulis, membaca malah walaupun tidak mempedulikan mesej teks ketika memandu.

Mesej teks mempunyai impak terbesar dalam kemampuan mereka memastikan kenderaan berada dalam lorong yang betul, dengan skil pemanduan mereka dinilai menjadi 90 peratus lebih teruk berbanding 35 peratus jika menghisap ganja.

Waktu yang diambil untuk bertindak balas juga perlahan sehingga 35 peratus, penurunan teruk berbanding pemandu yang melanggar had pengambilan alkohol ketika memandu dengan 12 peratus dan menghisap ganja sebanyak 21 peratus.


Kajian itu, yang diawasi oleh pertubuhan kenderaan Britain, Royal Automobile Club Foundation (RAC), menggesa kempen baru diadakan untuk memberi amaran kepada pemandu muda mengenai bahaya mesej teks.

“Peserta dalam kajian itu hampir sebulat suara dalam pandangan mereka bahawa memandu dalam keadaan mabuk adalah tindakan paling bahaya di jalan raya. Namun penyelidikan jelas menunjukkan pemandu yang bertukar mesej teks lebih bahaya berbanding pemandu pada had alkohol dibenarkan.

“Tiada pemandu bertanggungjawab yang akan memandu dalam keadaan mabuk. Kita perlu memastikan golongan ini memahami tindakan bertukar atau membaca mesej teks adalah perkara paling bahaya boleh dilakukan ketika memandu,” kata pengarah RAC, Stephen Glaister.


Menurut RAC, 48 peratus rakyat Britain berusia antara 18 dan 24 tahun menghantar atau membaca mesej ketika memandu walaupun dilarang berbuat demikian.

[Berita Harian Online, 28/9/2008]

Tingkatkan toleransi ketika Ramadhan

Suasana berpuasa di kalangan masyarakat Islam telah dimaklumi oleh seluruh rakyat Malaysia. Kehadiran bulan Ramadhan selama sebulan mengubah sejenak rentak hidup sebahagian besar masyarakat. Jika sebelum ini masyarakat Islam bersenang-senang dengan makan dan minum sepanjang hari, kini ia menjadi tegahan di siang hari. Bagaimanapun mereka tidak ada masalah untuk mengikut arahan ini.

Masyarakat bukan Islam turut mempelajari perubahan gaya hidup ini. Jika mereka berhajat untuk makan di restoran pada pukul 7 petang, mereka akan dapati semua tempat telah penuh diisi. Pada masa depan tentulah mereka akan memilih waktu lain untuk datang. Dari sinilah kefahaman terhadap amalan agama Islam bermula.

Ramadhan, awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka. Apakah umat Islam benar-benar menggunakan peluang ini untuk beribadah sepenuh hati kepada Allah swt? Peluang untuk menggandakan pahala dalam semua perkara – solat sunat, sedekal jariah, tadarus al-quran atau beriktikaf di masjid.

Sebahagian besar surau dan masjid akan penuh dengan jemaah yang teruja dengan solat tarawih pada awal Ramadhan namun suasana ini semakin malap apabila tibanya akhir Ramadhan. Awanya bersemangat, penghujungnya lesu. Keadaan ini wajar diubah. Di akhir Ramadhan Allah swt menghadiahkan malam lalilatur qadar iaitu satu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah swt dalam surah al-qadr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-quran) pada malam kemuliaan (al-qadar). Dan tahukah kamu apakah malam qadar itu? Malam qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

Ramadhan bukan sahaja bulan untuk beribadah bagi mendapatkan ganjaran pahala malah bulan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bulan Islam betapa Islam adalah suatu sistem hidup yang merangkumi semua perkara. Mengajak mereka untuk berbuka puasa bersama adalah permulaan yang sangat baik bagi mengenengahkan keindahan Islam.

Masyarakat bukan Islam di Malaysia berada dalam keadaan memahami kehendak masyarakat Islam ketika berpuasa seperti menjaga makan dan minum malah berhati-hati apabila memilih pakaian yang hendak dipakai supaya tidak terlalu menjolok mata.

Bagi mendedahkan suasana berpuasa dan detik-detik ketika buka puasa, penyelidik bersama-sama rakan-rakan yang bukan Islam telah memilih sebuah restoran untuk berbuka. Kehadiran mereka ke majlis ini sangat dirai dan dihargai kerana kesudian mereka untuk melihat dan merasai suasana indah ketika berbuka. Di situ mereka boleh memilih apa sahaja makanan dan minuman yang disukai.


Seorang rakan dari Myanmar membisikkan ke telinga penyelidik bahawa ini adalah kali ketiga beliau bersama-sama berbuka puasa sejak belajar di Malaysia. Kefahamannya terhadap agama Islam dan amalan berpuasa juga turut bertambah kerana amalan puasa dalam setiap agama berbeza-beza.

Sementara rakan yang beragama Hindu dan Sikh turut berasa gembira kerana dapat hadir ke majlis itu. Ketika orang lain mencari-cari makanan untuk berbuka, mereka memerhati dengan minat bagaimana sepuluh minit sebelum berbuka digunakan oleh kami. Tidak ada perebutan, setiap orang berbaris mengambil makanan, sabar menunggu giliran dan anak-anak juga dididik dengan kesabaran untuk makan.

Toleransi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum berada pada kedudukan yang sangat baik ketika ini apabila kefahaman agama ditekankan. Suasana seperti ini perlu dimantapkan supaya setiap orang akan lebih hormat sesama sendiri. Jiran menghormati jiran, pemimpin menghormati kehendak rakyat dan orang beragama memberi faham kepada masyarakat. Dalam jangka masa panjang, kefahaman beragama memupuk sikap saling menghormati dan membina hubungan mantap antara kaum.

Thursday, September 25, 2008

Iklan raya Petronas 2008

Tahun ini Petronas memilih tema anak muda yang celik IT dan sibuk dengan kerja sebagai mesej kepada rakyat Malaysia untuk menyambut Aidilfitri. Walaupun sibuk dengan urusan kerja, si anak berusaha untuk pulang ke kampung iaitu senario yang sinonim dengan budaya balik kampung setiap kali tibanya hari lebaran.

Iklan raya ini telah berada di YouTube dan bilangan pelayarnya semakin meningkat. Ulasan yang diberikan oleh mereka menggambarkan iklan Petronas ini kurang memberangsangkan dan tidak ada kelebihan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Salah satu ulasan yang diberi ialah 'bosan lak ai....da la ending x paham...'

Bagi mereka yang bijak menilai iklan ini, didapati terdapat lima mesej yang telah disampaikan oleh Petronas. Ia merangkumi nilai kekeluargaan, tanggungjawab anak, peranan orang tua sebagai pemberi nasihat dan ingatan malah tanggungjawab syarikat telekomunikasi kepada masyarakat luar bandar di Malaysia.

Mesej yang pertama ialah nilai kasih sayang ibu kepada anak. Sudah menjadi kelaziman bagi semua ibu untuk menyediakan apa sahaja yang terbaik untuk anak-anak sama ada makan minum, pakai dan tempat tidur. Ibu tidak begitu loghat jika tempat tidurnya tidak selesa asalkan si anak dapat melelapkan mata dan berehat dengan cukup.

Kedua, teguran dan nasihat orang yang lebih tua sangat penting. Ia mesti didengari kerana mereka adalah orang yang 'makan garam lebih awal' iaitu sudah masak dengan alam kehidupan. Mereka hidup dalam jangka masa yang lama dan sudah matang untuk menilai baik dan buruk. Justeru teguran orang-orang tua yang meminta anak-anak muda mengutamakan keluarga adalah nasihat yang paling bermakna ketika musim perayaan ini. Selagi ada ibu dan ayah, kehadiran mereka berdua mesti dihargai dan dirai.

Ketiga, pendidikan telah mengubah cara hidup dan status kehidupan orang-orang kampung. Anak-anak mereka pada hari ini ramai yang sudah berjaya. Sedikit-sebanyak perubahan ini disumbangkan oleh corak pendidikan yang dilalui oleh anak-anak. Kehidupan di kampung sama sekali berbeza dengan di bandar. Kemudahan Internet, talian telefon dan teknologi perhubungan yang baik semuanya tertumpu di bandar. Kemudahan yang serupa tidak wujud di kampung. Iklan ini secara tidak langsung mengajak syarikat telekomunikasi menilai kembali tanggungjawab mereka di kawasan luar bandar supaya nikmat pembangunan dapat turut dirasai oleh orang kampung.

Keempat, anak lelaki zaman ini suka cakap lepas dan kurang berfikir kesan yang akan timbul selepas itu. Mereka fikir apa yang difikirkan itu adalah betul tanpa dapat menyelami baik dan buruknya. Bagi ibu dan bapa, kemahiran keibubapaan sangat penting untuk mendidik dan membesarkan anak-anak supaya nilai-nilai yang disepakati bersama dapat berjalan seiring dengan nilai yang diamalkan di dalam masyarakat. Ramai anak yang kurang mengambil berat kesihatan ibu bapa di kampung kerana perubahan nilai telah berlaku ketika proses tumbesaran anak, bermula dari sekolah menengah hinggalah masuk ke universiti dan bekerja.

Kelima, lumrah orang muda, semuanya hendak cepat. Adalah lebih baik jika mereka dapat berfikir sejenak dan meningkatkan tahap kesabaran supaya tindakan yang diambil itu tidak memberi penyesalan di kemudian hari.

Kesibukan bekerja di kalangan sebahagian besar masyarakat hari ini telah melonggarkan ikatan kekeluargaan tradisional masyarakat. Banyak masa di tempat kerja bererti kurangnya interaksi di kalangan ahli keluarga seterusnya memudarkan kasih-sayang di antara satu sama lain.

Perkembangan teknologi sedia ada masih belum dapat digunakan secara maksimum oleh masyarakat kampung. Di sinilah peranan dan tanggungjawab syarikat telekomunikasi untuk mempastikan nilai-nilai murni di dalam keluarga akan terus mekar dan dipertahankan.

Wednesday, September 24, 2008

Part time jual burger

Ramai yang sudah kenal dengan Ramly burger, jenama yang berjaya menembusi pasaran roti burger dan semua yang berkaitan dengan bisnes burger. Jenama Ramly juga melangkah jauh ke Brunei, Singapura dan negara-negara lain. Selain Ramly, ada juga jenama lain yang juga tidak kurang hebatnya.

Siapakah yang menjadi pelanggan-pelanggan Ramly burger ini? Ramai.

Menjual burger dengan gerai kecil di hadapan 7-11, simpang tiga jalan atau di sebelah kedai mamak boleh menambah pendapatan sahaja. Untuk menjadi kaya, kenalah usahakan cara lain.

Bagi peniaga burger kecil-kecilan, pengalaman dua orang sahabat ini boleh dijadikan panduan berguna untuk memulakan bisnes ini. Fauzi dan Rashdan, bisnes burger mereka dari pukul 7.30 malam hingga 1 pagi setiap malam kecuali malam Isnin. Maknanya, dalam seminggu mereka bekerja 6 malam. Sebelah siang mereka bekerja makan gaji dengan orang lain.


Peralatan untuk bisnes burger mereka sangat mudah. Duah buah meja lipat, sebiji tong gas, dapur dan sebiji lampu kalimantang yang disambungkan ke bateri kereta Proton Saga.


Keperluan lain ialah telor, sos, keju, salad, burger ayam dan daging, dan yang penting roti burger. Soft skills mereka sama saja dengan orang lain.

Pesaing-pesaing Fauzi dan Rashdan sangat ramai. Di sekitar mereka saja ada tiga lagi gerai burger yang sama. Kenapa burger mereka menjadi pilihan?

Pertama, lokasi. Simpang tiga, di hadapan 7-11 dan restoran mamak 24 jam. Setiap hari orang ramai akan nampak mereka. Keinginan untuk membeli burger akan lebih cepat jika kita sudah biasa dengan gerai ini.

Kedua, harga yang berdaya saing. Pesaing mereka meletakkan harga yang lebih tinggi. Contohnya burger daging spesial. Fauzi dan Rashdan menjual dengan harga RM2.40 berbanding pesaing RM3.00 satu. Perbezaan 60 sen memberi makna yang sangat besar kepada pelanggan kerana kualiti burger Fauzi dan Rashdan lebih baik dengan harga yang murah. Tentulah pembeli akan memilih burger yang murah dan lebih baik.

Dan ketiga, mesra. Fauzi dan Rashdan lebih mesra dan mahu juga bertegur sapa dengan pelanggan. Walaupun mereka tidak kenal dengan pelanggan yang ramai tetapi dengan menegur "Bang, dari mana?" "Bang, baru balik kerja?" Ini sudah cukup mewujudkan hubungan yang erat di antara pembeli dan penjual.

Tuesday, September 23, 2008

Sejauhmana persepsi masyarakat terhadap Teresa Kok dalam isu seperti makanan anjing?

Selepas seminggu ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan ISA, timbul pula isu hidangan yang disediakan seperti makanan anjing. Dalam sidang media yang dilaporkan oleh Buletin TV3, beliau berkata, 'makanan disediakan seperti makanan anjing, mereka beri saya dua biji telur separuh masak untuk makan tengah hari dan malam, sedikit kuah dan timun.'

Pihak polis dalam siaran media menyatakan penahanan Teresa Kok adalah kerana demi keselamatan negara manakala bagi Teresa Kok sendiri, beliau tidak tahu kenapa ditahan dan dibebaskan.

Isu makanan babi timbul kerana ahli parlimen itu tidak selesa dengan makanan yang disediakan bagi seorang tahanan di lokap lebih-lebih lagi yang dikenakan ISA. Apabila ditahan, semua kebebasan yang ada sebelum itu telah dihadkan dan dia perlu patuh kepada peraturan dan kehendak pihak yang menahannya. Dia tidak boleh makan nasi dengan sudu dan sebaliknya perlu menggunakan lima jarinya supaya tidak ada senjata yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri atau orang lain ketika ditahan. Semua lauk yang diberi juga bebas daripada tulang.

Teresa Kok ditahan kerana kesalahannya sendiri. Pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan tanpa sebab musabab melainkan ada alasan kukuh. Justeru beliau perlu bersedia dengan apa sahaja tindakan yang telah diperuntukkan dalam undang-undang negara.

Penyelidik berminat membuat tinjauan ke atas isu Teresa Kok ini setelah beliau membuat tambahan ke atas kenyataan sebelum ini iaitu 'baik sikit daripada makanan anjing.'

Beberapa ulasan telah diamati di laman web yang menyiarkan berita ini termasuk Malaysia Today. Kebanyakan ulasan lebih menjurus kepada kekesalan ke atas kata-kata celupar yang keluar dari mulut ahli politik berkenaan. Salah satu ulasan tersebut ialah ciri-ciri makanan yang disebut oleh Teresa Kok ialah makanannya semasa hidup susah di kampung. Namun kini pengulas berkenaan telah hidup senang dan dapat masuk ke universiti. Beliau hanya mencatat nama Waris Jari Telunjuk.

'hmmm... makanan yg minah ni hina adalah makanan aku masa aku kat kampung dulu.. masa tu hidup keluarga aku susah, mak dgn bapak aku cuma mampu sediakan makanan mcm tu ja.. sedih betul aku bila dia cakap mcm tu...tapi aku dapat gak masuk universiti...dua kali aku masuk universiti...hina sangatkah makanan aku masa aku susah dulu tu?'

Teresa Kok wajar menjaga mulutnya, kerana itulah dia perlu belajar bahasa dan tatasusila Melayu. Ulasan yang diberikan oleh Aily dan Hasry adalah maklum balas jelas bahawa Teresa Kok tidak peduli dengan siapa sahaja.
Aily berkata,

'Kalau mulut tu dah tak boleh jaga itulah dia... semua yang dia cakap akan menyakitkan hati.'

Manakala Hasry mengulas dari persepektif bahasa iaitu,

'Teressa Kok should learn Bahasa Melayu better ... She said 'the food i ate worst errrr ... similar to dog food' Bahasa Melayu translation would be 'makanan yang saya makan lebih teruk ... errrr ... lebih kurang seperti makan anjing.' Now she blame reporter for misinterprete her statement. Utusan ... time to sue back Teressa Kok.'

Ulasan di ruang sembang Yahoo didapati lebih banyak dan berbagai-bagai.

Penyelidik teringat semasa isu Datuk Ahmad yang heboh dengan isu kaum Cina adalah pendatang, ia dipetik oleh seorang wartawan perempuan dari Sin Chew Daily. Sama seperti kes Teresa Kok ini, apabila JPM mahu menyiasat isu makanan anjing, beliau mula kelam-kabut dan menukar kenyataannya kepada 'baik sedkit daripada makanan anjing.' Lalu menyalahkan wartawan Utusan Malaysia yang memetik kata-katanya dari Malaysiakini dan Buletin TV3.

Teresa Kok juga bertindak sama seperti Datuk Ahmad iaitu menyalahkan wartawan dan media.

Mengimpikan seorang ahli politik yang jujur, amanah dan melaksanakan tanggungjawab adalah impian setiap rakyat Malaysia. Bagi masyarakat Islam, memilih pemimpin yang beriman dan bertakwa adalah syarat paling utama. Pada masa yang sama juga, pemimpin berkenaan mesti menolak sama sekali isme-isme yang menghalang deen Islam daripada berada dalam masyarakat.

Tindak-tanduk Teresa Kok amat berbahaya kepada keselamatan negara dan pihak polis tentu mempunyai maklumat yang lebih terperinci kerana mereka mempunyai peralatan lengkap untuk mendapatkan maklumat, pegawai penyiasat yang terlatih dan prosedur operasi yang kemas.

Bagaimana persepsi masyarakat Islam ke atas Teresa Kok selepas tujuan penahanannya didedahkan oleh pihak polis?

Pertama, Teresa Kok mula dipandang sebagai ancaman kepada kewujudan sebuah masyarakat Malaysia yang bertoleransi dan hormat-menghormati. Ancaman yang dimaksudkan ialah menceroboh hak-hak beragama dan pengamalan ajaran Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya beliau berkuasa di peringkat persekutuan, apakah ada jaminan beliau tidak akan bertindak dengan lebih jauh untuk menimbulkan keresahan kepada masyarakat bukan Islam? Pihak polis tidak boleh bertolak-ansur dan memberi ruang kepada perlakuan yang mengancam keselamatan negara.

Kedua, apabila Teresa Kok menyatakan bahawa beliau dihidang nasi dengan telur separuh masak, kuah dan timun ketika dalam tahanan, hakikatnya ialah beliau tidak pun bersyukur kerana diberi makan dan minum sepanjang tempoh tahanan tersebut. Dia ingin dilayan seperti orang yang tidak ditahan yang mana adalah mustahil baginya. Sekiranya pemimpin tidak bersyukur dan berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri, dia tidak layak lagi dipilih untuk memimpin negara.

Ketiga, menyalahkan akhbar kerana dikatakan memutarbelit laoran adalah trend paling mudah bagi ahli politik. Tidak perlu menyalahkan sesiapa kerana sebahagian besar wartawan adalah profesional sepertimana yang ditekankan oleh Tan Hoon Cheng dari Sin Chew Daily. Teresa Kok bertindak menyalahkan wartawan Utusan Malaysia.

Keempat, menganggap makan nasi dengan telur separuh masak, sedikit kuah dan timun sebagai seperti makanan anjing adalah satu penghinaan kepada orang yang kelaparan, fakir dan miskin yang ada di antara mereka tidak jumpa nasi selama seminggu. Teresa Kok sendiri belum pernah merasai kehidupan yang sukar, tidak pernah hidup miskin dan tidak kenal erti lapar. Justeru, beliau tidak rasa menyesal untuk berkata demikian.

Kelima, Teresa Kok bukan jenis pemimpin yang tahan lasak dalam perjuangan. Beliau ditahan selama seminggu dan sudah ada rungutan sedangkan ada pemimpin yang ditahan enam tahun ISA tidak pernah merungut tentang makanan atau layanan yang diterima. Jiwa mereka kental tetapi jiwa Teresa Kok sangat lemah dan mudah patah semangat. Sebaiknya beliau sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan apabila cuba menggugat keselamatan negara.

Persepsi masyarakat Islam barangkali telah mula menunjukkan bibit-bibit negatif ke atas Teresa Kok. Jika dulu beliau diangap wira rakyat oleh sebahagian rakyat Malaysia, kini wira itu tidak lagi menjadi sandaran jika beliau memilih untuk terus menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Teresa Kok perlu memulih kembali imejnya yang sudah dianggap sebagai mengancam keselamatan negara

Monday, September 22, 2008

Sejarah penerbit buku tertua di dunia

oleh Roosfa Hashim

Cambridge University Press yang ditubuhkan atas perkenan King Henry VIII pada 1584 dianggap sebagai penerbit buku tertua di dunia pada masa ini. Sejak mula ditubuhkan, penerbit yang lebih dikenali sebagai CUP itu bukan sahaja melalui pengalaman penerbitan, bahkan juga pelbagai krisis dan perubahan termasuklah kebangkitan Richard Bentley pada 1690- an, zaman pembaharuan Victoria, kemunculan pelbagai penerbit universiti yang menjadi saingannya, dua perang dunia, krisis tahun 70-an yang ditamatkan oleh Ketua Eksekutif CUP, Geoffrey Cass.

CUP sentiasa dipandang sebagai penerbit universiti yang istimewa selain Oxford University Press. Sejak ditubuhkan pada 1584 dan menerbitkan sekurang-kurangnya satu judul setahun selepas itu, telah menjadikan CUP sebagai penerbit dan pencetak buku paling tua di dunia. Tujuan penubuhannya kini adalah bagi memperkukuh pengajaran dan pembelajaran, mengembangkan ilmu pengetahuan, dan merancakkan penyebaran hasil penyelidikan.

Namun demikian, pada era awal penubuhannya, CUP belum begitu serius dalam penerbitan buku tetapi lebih banyak berfungsi sebagai pencetak khususnya dalam mencetak Bible dan khutbah. Bahkan, sebahagian besar daripada sejarahnya CUP lebih berperanan sebagai pencetak, bukan sebagai sebuah penerbit seperti pada hari ini.

Jadi agak lama juga CUP tidak terlibat sangat dengan kegiatan kesarjanaan. Kerana itulah terbitan CUP pada zaman awalnya tidaklah sangat membanggakan sama ada dari segi pembangunan judul, jumlah judul mahupun mutu terbitan. Salah satu contoh kegagalan peringkat awal CUP ialah penerbitan tiga volum buku Byzantine Suidas pada 1705 yang mana naskhah terakhirnya masih tidak dapat dijual sehinggalah pada tahun 1752.

Pada tahun 1717 pula, CUP hanya menerbitkan dua set khutbah sahaja manakala pada 1729-30 pula cuma enam judul buku yang diterbitkannya. Pada sekitar 1870-an, barulah CUP berubah menjadi penerbit buku yang tulen baik dari segi kedudukannya di peringkat antarabangsa mahupun jangkauan subjek yang diterbitkannya.

Apabila mula berubah menjadi penerbit universiti, CUP berdepan pula dengan pelbagai kerenah pentadbir dan ahli akademik di fakulti. Keadaannya sama saja dengan apa yang dihadapai oleh penerbit universiti di dunia ketiga pada hari ini. Namun dengan perubahan waktu, CUP berjaya membina identitinya sebagai penerbit universiti yang disegani.

Beberapa judul CUP yang dianggap besar dan berjaya dalam sejarahnya yang panjang itu termasuklah Bible Baskerville (1763), Codex Bezae (1793) dan Globe Shakespeare (1864). Judul-judul ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Judul pertama kerana teknik persembahannya yang indah dan menarik; judul kedua kerana memenuhi keperluan kesarjanaan ketika itu dan judul ketiga kerana kelarisannya. London sentiasa menjadi faktor terbaik bagi pasaran buku yang besar. Inilah salah satu faktor utama kejayaan CUP.

CUP mula aktif dalam pemasaran selepas tahun 1870-an. Pada 1872, penjualan Bible, buku khutbah dan doa mencatat jualan sebanyak hanya 58 pound sterling dan buku selain Bible dan khutbah sebanyak 242 pound sterling. Ini bermakna selepas tiga ratus tahun penubuhannya CUP masih lagi hanya sebuah pencetak. Kuliah oleh Seeley berjudul The Expansion of England (1883) sungguhpun dicetak oleh CUP tetapi diterbitkan oleh Macmillan, sebuah penerbit lain yang terkemuka di London.

Perubahan besar CUP bermula dengan terbitnya Cambridge Modern History, English Hisorical Review, Cambridge Medieval History dan Cambridge History of English Literature. CUP kemudian menerbitkan karya Russell dan Whitehead berjudul Principia Mathematica (1910-13) tetapi CUP tidak membayar royalti kepada penulisnya selama hampir empat puluh tahun. Ini bermakna, tradisi yang sebenar belum tumbuh di CUP.

Pada awal abad ke-20, CUP mula rancak menerbitkan buku-buku tentang tanah jajahan British dan muncullah Cambridge History of India (1922) dan Cambridge History of the British Empire (1927). Pada 1941, CUP menerbitkan karya Sir Ernest Baker berjudul The Ideas and Ideals of the British Empire dalam siri 'Current Problems'.

Buku-buku CUP kemudian memperlihatkan sambutan baik pembaca dengan jualan yang besar misalnya buku sains karya Sir James Jeans berjudul The Mysterious Universe (1930) yang mencatatkan jualan 100 ribu naskhah. Karya Sir Charles Sherrington berjudul Man on His Nature (1951) pula dapatlah dianggap sebagai salah satu buku terbaik dan terhebat pernah diterbitkan oleh CUP. Pada ketika itu, kedudukan CUP sudah mula diterima sebagai penerbit universiti yang terbaik.

Hakikat ini terbukti apabila pengarang terkemuka Ivor Jennings, sarjana dari London School of Economics menawarkan supaya bukunya Cabinet Government diterbitkan oleh CUP sungguhpun penerbit Allen & Unwinn lebih awal berminat untuk menerbitkannya.

Pada hari ini, CUP menjadi penerbit bagi buku ilmiah dan buku pendidikan, sebuah pencetak, selain juga menjadi pencetak bagi dokumen rasmi untuk University of Cambridge.

CUP kini adalah sebuah organisasi global dengan struktur serantaunya berada di Amerika, United Kingdom, Eropah, Timur tengah dan Asia Pasifik. CUP kini berada di bandar raya besar seperti New York, Melbourne, Madrid, Cape Town, São Paulo dan Singapura, selain mempunyai pejabat dan ejen di 30 buah negara negara lain.

Terbitan CUP disasarkan untuk pasaran dunia, dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke ijazah lanjutan dan pembaca profesional. Kekuatan CUP pada hari ini juga terletak pada penerbitan 230 jurnal ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu.
CUP kini mempunyai seramai 25,000 pengarang dari 116 negara dan menerbitkan antara 1,500 dan 2,000 judul baru dalam setahun.

[Utusan Online, 22/9/2008]

Branding Malaysia

Penulis: LS Sya
Tahun: 2005
Penerbit: Oak Enterprise, Petaling Jaya, Selangor
Muka surat: 322

Tun Dr Mahathir pernah ditanya bagaimana beliau mendapat idea menjadi perdana menteri. Lalu dia berkata, "Ketika di kampung saya melihat ramai orang kampung yang menunaikan sembahyang maghrib dan isya' di surau tetapi tidak ramai yang sembahyang subuh di sana. Banyak alasan yang diberi oleh orang kampung ini dan satu alasan yang sangat kuat ialah kerana takut. Waktu subuh adalah gelap dan orang kampung tidak berani ke tali air atau telaga untuk mengambil air sembahyang kerana kedudukannya yang agak jauh dari rumah. Kalau saya dapat alirkan terus air ke dalam rumah, tentu ramai yang akan ke surau untuk sembahyang subuh."

Beliau bercita-cita hendak mengubah keadaan itu dan menjadi perdana menteri yang telah banyak membuat perubahan kepada masyarakat kampung.

Di peringkat negara dan global, Tun Dr Mahathir telah mencetuskan Menara Berkembar Petronas sebagai pengealan kepada Malaysia untuk dipromosi ke seluruh dunia.

Buku Branding Malaysia memberi pengalaman baru yang mengasyikkan kepada pembaca yang berminat untuk memasarkan produk mereka. Ia dibahagikan kepada tiga bahagian dan setiap bahagian mengandungi 10 bab.

Bahagian 1 menerangkan doktrin pembinaan bangsa dan penerangan lanjut tentang penjenamaan Malaysia. Semua prinsip penjenamaan yang telah dibincangkan boleh diguna pakai untuk memperkenalkan produk dan sebagainya. Bagi menghuraikan secara lanjut konsep ini, LS Sya menggunakan teknik penulisan yang dipanggil bridging technique.

Melalui teknik ini, beliau menggunakan cerita bagi memberi gambaran dan menghubungkannya kepada konsep atau isu-isu utama yang dibincangkan. Cerita banyak membantu sesuatu konsep untuk mudah difahami, menarik dan tidak menjemukan.

Bahagian 2 berkaitan Malaysia sebagai pejuang jenama. Bahagian ini berguna untuk jurujual Malaysia yang ingin mendapatkan kelebihan bersaing di arena global. Bagi menjayakan cita-cita ini di pasaran, pendekatan yang berbeza mesti digunakan berbanding jenama yang telah terkenal. Ia juga membantu promosi perusahaan kecil dan sederhana.

Bahagian 3 adalah pendedahan kepada kejayaan negara-negara luar terutamanya Amerika Syarikat. Apa yang Malaysia boleh belajar daripada mereka, usaha menguruskan jenama sedia ada dan membina reputasi? Hari ini tidak ada orang, tempat atau produk yang mempunyai sejarah yang panjang tentang pengiktirafan terhadap jenama selain daripada Amerika Syarikat.

Apakah Malaysia mampu menempuh cabaran ini untuk menjadi sebuah jenama global?

Saturday, September 20, 2008

Sejauhmana Akta Hubungan Kaum mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia?

Sejak pilihan raya umum yang lalu, hubungan kaum di negara ini dikatakan bergolak. Kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri dan kurangnya kerusi parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah menyaksikan beberapa insiden yang menggugat perpaduan kaum di negara ini.

Penahanan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ahli parlimen Seputeh Teresa Kok dan pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dikatakan kemuncak kepada keresahan masyarakat ke atas isu ini. Hoon Cheng yang melaporkan isu pendatang Cina dikenakan tahanan ISA kerana pihak polis ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporannya dan pada masa yang sama mengurangkan ancaman keselamatan yang dihadapinya.

Manakala Teresa Kok, seorang ahli politik yang lantang, ditangkap kerana penglibatannya dalam isu azan di Kinrara dan papan tanda pelbagai bahasa yang dikhuatiri boleh menggugat keselamatan negara.

Malaysia adalah sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum. Di sini ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, India Muslim, Siam dan Orang Asli. Negara ini juga menjadi tempat imigran dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Nepal dan Thailand mencari rezeki. Sejak Mei 1969, kerajaan mengambil banyak langkah penguatkuasaan bagi mengekang pertelingkahan kaum daripada terus berlarutan.

Dari sudut undang-undang, dua akta yang terkenal ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Hasutan 1948 sentiasa digunakan bagi mengekang mana-mana individu dan kumpulan yang cuba mencetuskan polemik perkauman yang boleh menggugat keselamatan negara.

Pada 1987, ISA digunakan bagi menahan mereka yang mencetuskan perbalahan kaum seterusnya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ditangkap di bawah akta yang sama kerana mencetuskan keadaan resah di dalam negara pada 1998.

Berhadapan dengan ketegangan kaum ini, satu mekanisme konkrit wajar difikirkan supaya sebarang percubaan ke arah konflik perkauman dapat dipatahkan. Justeru cadangan kerajaan untuk membentuk Akta Hubungan Kaum (AKH) merupakan siri perundangan yang mengukuhkan lagi ISA dan Akta Hasutan. Ia dijangka merangkumi pelbagai sudut seperti agama, bahasa, kebudayaan, adat tradisi, sensitiviti dan sejarah.

Di peringkat antarabangsa, terdapat satu undang-undang berkaitan kaum Yahudi yang dikenali sebagai antisemitisme. Ia merupakan suatu sikap permusuhan atau prasangka terhadap kaum Yahudi dalam bentuk penganiayaan atau penyeksaan ke atas agama, budaya, etnik atau kelompok ras yang dimulai dari kebencian ke atas individu hingga masyarakat.


Sesiapa sahaja yang bercakap atau mengeluarkan pendapat yang boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap kaum itu boleh dikenakan tuduhan antisemitisme. Bagaimanapun sejarah bermulanya undang-undang ini bermula sejak 1096 masihi lagi.

Bagaimana pula AHK yang akan dicadangkan ini berperanan?

Kerajaan tidak wajar meniru sepenuhnya antisemitisme semata-mata hendak melindungi mana-mana kaum sebaliknya perlu mengutamakan toleransi, penyuburan kasih sayang dan saling hormat-menghormati sesama kaum. Tiga keutamaan ini boleh menjadi pemacu ke arah pembinaan hubungan kaum yang lebih berkualiti, menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan ekonomi dan dapat memulakan langkah awal terhadap kemajuan berasaskan kelas sosial.

Pengenalan AHK ini perlu mengambil kira pendidikan negara kerana sekolah merupakan alat sosial asas kepada perpaduan rakyat. Oleh kerana Malaysia bersikap toleransi dengan kewujudan sekolah-sekolah vernakular, AHK tidak banyak membantu mewujudkan perpaduan rakyat yang sebenar kerana ia bersifat menegah, bukannya merangsang kepada perpaduan.

Usaha-usaha yang lebih agresif mesti diteruskan oleh Kementerian Pelajaran bagi memperkasa sekolah kebangsaan supaya daya tarikan ada di situ dari segi kualiti pengajaran dan pendidikan, pelajar yang berakhlak mulia dan dapat mewujudkan daya saing peringkat dunia. Dengan cara ini, lama-kelamaan sekolah-sekolah vernakular akan ditinggalkan dan lenyap sama sekali.

Politik, ekonomi dan sosial hanya mewujudkan perpaduan kaum yang rapuh. Ternyata selepas 51 tahun merdeka, Malaysia masih merancang dan melaksanakan polisi dan keputusan ke arah mempertahankan hubungan kaum yang sedia ada. Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan selepas wujud jurang pendapatan antara kaum yang besar dan komponen parti BN masih lagi berpaksikan kaum masing-masing.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Wolfgang Schaeuble pernah mengutarakan polisi berkaitan kaum di Jerman dengan berkata, "kami tidak bertolak ansur dengan sebarang unsur ekstremis, xenofobia atau antisemitisme." Kerajaan Malaysia juga mesti mengekang dan mengawal sepenuhnya aktiviti-aktiviti negatif yang cuba menimbulkan keresahan kaum tanpa mengira siapa.

Pada masa yang sama, kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi menggalakkan toleransi, persefahaman dan kesedaran masyarakat melalui program-program bersama. Ini semua untuk mempastikan rakyat pelbagai kaum berasa selamat dan menghargai kehidupan mereka sebagai seorang warganegara Malaysia.

Friday, September 19, 2008

Sistem pengangkutan awam perlu 'sentuhan' lestari

oleh Dr Zaini Ujang

Profesor Mogens Henze dari Denmark terperanjat ketika saya menjemput beliau dengan kereta baru malam itu. Dengan nada sinis, beliau mendakwa saya tidak prihatin terhadap isu perubahan iklim dan tidak menunjukkan komitmen mesra alam untuk diteladani.

Walaupun saya memberi alasan bahawa kereta kedua itu milik isteri saya untuk kemudahan ke tempat kerja, beliau tetap menyalahkan saya.

Demikian kejadian menarik untuk sama-sama kita hayati. Profesor tersohor dari Universiti Teknikal Denmark yang berbasikal ke tempat kerja itu berhujah jika golongan yang memahami ilmu alam sekitar tidak menunjukkan komitmen menggunakan pengangkutan awam atau mengamalkan dasar sebuah-kereta-untuk-seisi-rumah, maka sukar untuk Malaysia memajukan sistem pengangkutan awam.


Pengangkutan awam bukan sekadar suatu kemudahan awam, tetapi suatu cara hidup lestari warga kota.

Ketika ini, pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia bertumpu pada jalan raya yang menjadi nadi perhubungan utama antara dua destinasi, terutama dari tempat kediaman ke tempat kerja. Hal ini bukan saja fenomena bandar, malah di desa terpencil. Jalan raya juga menjadi laluan untuk kita bercuti, khususnya pada musim perayaan.

Peranan jalan raya bertambah penting dengan peningkatan kenderaan persendirian, termasuk di kalangan pekerja berpendapatan rendah. Bagi keluarga kelas menengah di bandar, sebuah kereta tidak mencukupi.


Bagi keluarga kaya pula, kereta mewah menjadi ukuran, di samping jenama dan bilangan. Pada hemat saya, dasar kereta nasional dan dasar pengangkutan awam ketika ini turut menyumbang kepada kadar pemilikan kenderaan persendirian yang tinggi. Akibatnya, kadar penggunaan pengangkutan awam mengalami pengurangan daripada 34 peratus pada 1985 kepada 16 peratus pada 2003.

Kesannya ialah kesesakan dan kemalangan jalan raya. Sehubungan itu, jalan raya terpaksa dibesarkan dan ditambah jaringannya. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), sejumlah RM18.415 bilion dibelanjakan untuk pembangunan jalan raya, manakala 22 projek dengan perbelanjaan berjumlah RM4 bilion dilaksanakan di bawah skim bayaran tertangguh.

Di bawah program penswastaan, sejumlah RM4 bilion dilaburkan untuk menyiapkan empat lebuh raya bertol dan memulakan pelaksanaan enam projek baru. Biaya pengangkutan bandar pula sejumlah RM706 juta. Dalam RMK-9, bajet pembangunan jalan raya sejumlah RM17.303 bilion.

Jaringan jalan raya bertambah dari 66,390 kilometer kepada 77,673 kilometer (km) dalam tempoh RMK-8. Dalam tempoh sama, petunjuk kepadatan jalan raya meningkat daripada 0.20 kepada 0.24 dan Indeks Pembangunan Jalan meningkat daripada 0.75 kepada 0.85.


Namun, dalam keghairahan kita merancang, membina dan membesarkan jalan raya, banyak faktor yang juga penting sering kali terabai. Misalnya, faktor pelestarian sistem. Perlu difahami bahawa jalan raya adalah satu komponen dalam sistem pengangkutan. Komponen lain ialah kereta api, rel bandar, pengangkutan air dan udara. Dalam konteks bandar, komponen jalan raya, rel bandar dan kereta api boleh digabungkan bagi mewujudkan sistem yang bersepadu, cekap, anjal dan bolehpercaya (reliable).

Sesebuah sistem tidak lestari menyebabkan kesesakan dan kemalangan jalan raya, malah meningkatkan pelepasan bahan cemar ke udara. Ia juga merugikan pengguna dari segi masa dan peningkatan kos bahan api. Selain itu, pembakaran bahan api juga meningkatkan pelepasan karbon.

Sejak 20 tahun lalu, banyak negara maju cuba mengurangkan pemilikan kereta persendirian dan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, berjalan kaki dan berbasikal. Pelbagai insentif diberi, bahkan disogokkan. Dasar punitif turut diperkenalkan. Ada juga bandar raya, termasuk Singapura dan Kerajaan Tempatan London, mengenakan cukai jalan tambahan kepada pengguna kenderaan persendirian ke pusat bandar pada hari berkerja.

Selain itu, kecekapan, kesepaduan dan keanjalan perkhidmatan rangkaian rel bandar perlu ditingkatkan dengan menyediakan jaringan pengangkutan lain, khususnya teksi dan bas sebagai pelengkap. Sistem ini sudah diamalkan dengan meluas di bandar utama di Eropah.

Saya juga mencadangkan agar pengangkutan air dimajukan sebagai alternatif, khususnya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Sistem sungai di Kuala Lumpur berpotensi untuk dijadikan laluan pengangkutan awam jika aras sungai didalamkan dan terusan dibina, seperti Amsterdam dan London. Dari segi kesan alam sekitar, pengangkutan air kurang menggunakan tenaga berbanding kenderaan darat, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon. Hal ini juga akan memberi impak kepada inisiatif pelestarian sungai seperti yang berjaya dilakukan di Sungai Cheonggyecheon, Seoul.

Hal ini selari dengan strategi RMK-9, iaitu 'menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai mod perjalanan utama khususnya di kawasan bandar dengan meningkatkan penyepaduan pelbagai mod pengangkutan'. Pada hemat saya, pelaksanaan sesuatu dasar mantap seperti dihasratkan dalam RMK-9 memerlukan biaya besar untuk menyediakan kemudahan awam yang efisien, murah, anjal, bersepadu, bolehpercaya dan mesra pengguna. Namun, saya juga berharap supaya pelaksanaan RMK-9 turut mengambil kira penyertaan masyarakat dalam strategi pelaksanaan dasar pengangkutan awam.

Masyarakat perlu disedarkan tentang tujuan dan aspirasi dasar yang dilaksanakan. Menerusi strategi ini nanti, dasar bersifat insentif dan punitif boleh digabungkan. Kita juga perlu meningkatkan kesedaran dan imej pengangkutan awam.

Malah, pembuat dasar juga perlu menunjukkan teladan. Jika kita menggalakkan orang ramai menaiki LRT ke tempat kerja, maka mulakan dengan diri sendiri setiap hari, bukan hanya ketika majlis perasmian atau mengiringi lawatan VVIP saja.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kenderaan persendirian, khususnya berkereta adalah pilihan paling sesuai di jalan raya ketika ini. Itulah pilihan Pak Menteri, pegawai kanan, tokoh korporat, ahli profesional, usahawan dan golongan pekerja.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia.

[Berita Harian Online, 19/9/2008]

Wednesday, September 17, 2008

Bisnes program playground

Kanak-kanak lebih mudah belajar melalui bermain. Ketika berusia dua hingga empat tahun, mereka memerlukan aktiviti yang boleh merangsang prkembangan minda dan belajar untuk memahirkan diri dengan kemahiran sosial.

Belajar sambil bermain lebih menghiburkan di samping membantu perkembangan fizikal, intelektual dan emosi supaya pembentukan kanak-kanak menjadi lebih seimbang.

Pembelajaran boleh dibuat di rumah dengan persekitaran yang kondusif dan sesuai dengan cita rasa kanak-kanak. Bagi yang ingin meneroka bisnes ini secara serius, anda boleh belajar pelaksanaan konsep program playground dengan modal RM2,500.

Setelah melalui kursus dan latihan, anda boleh mula mengenakan bayaran dari RM100 hingga RM150 mengikut topik iaitu deria, haiwan, warna, sains atau bahasa. Terpulang kepada anda bagaimana hendak menguruskan masa permainan tetapi sebaiknya ialah lapan minggu. Hari yang sesuai pula ialah hari Sabtu atau Ahad selama satu jam setiap hari.

Bagi pengusaha tadika, program playgroup ini sangat sesuai untuk pelajar mereka. Selain memberi kemahiran tambahan, pelajar turut mendapat teknik baru dalam pembangunan diri yang menyeluruh. Ibu bapa berpuas hati dan bisnes tadika secara tidak langsung akan mendapat imej yang positif.

Tuesday, September 16, 2008

Guna kaedah mudah belajar Sains, Matematik

Ramai murid gagal menguasai Sains dan Matematik sehingga timbul cadangan agar kedua-dua mata pelajaran itu kembali diajar menggunakan bahasa Melayu.

Saya berpendapat masalah tersebut timbul bukan kerana murid-murid terbabit 'otak beku' atau tahap kecerdikan mereka rendah tetapi kerana mereka tidak faham dan tidak diberi kefahaman tentang kedua-dua mata pelajaran itu dengan betul.

Guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu kelihatan serba kekok, malah mereka semacam mengalami kejutan budaya apabila terpaksa mengajar dalam bahasa Inggeris.

Saya mengambil contoh di salah sebuah sekolah rendah yang agak terkemuka di Kota Bharu, Kelantan iaitu di tempat anak saya belajar.

Kelemahan murid-murid di situ dalam kedua-dua mata pelajaran amat ketara, kecuali bagi ibu bapa yang ada kemampuan dan menghantar anak-anak ke tuisyen sains dan matematik.

Bukan itu sahaja, hanya beberapa helaian buku kerja anak saya yang terusik dan banyak yang tidak diperiksa sedangkan penggal persekolahan sudah lebih setengah tahun.

Bila ditanya anak kenapa kerja sekolah tidak dibuat, jawapannya tidak tahu dan cikgu belum ajar lagi kerana kononnya cikgu jarang masuk kelas. Bila ditanya kenapa cikgu jarang masuk kelas, jawabnya cikgu pergi berkursus.

Oleh kerana banyak masa guru dihabiskan untuk berkursus, masa untuk mengajar hanya sedikit dan mahu tidak mahu masa untuk murid belajar dan diajar terhad.

Justeru apa bila menghadapi ujian dalam keadaan yang tidak cukup ilmu, maka markah yang diperolehi semestinya rendah.

Seingat saya sebelum mata pelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, anak saya dan rakan-rakan sekelas memperolehi markah 80 peratus ke atas tetapi sekarang menurun kepada 50 peratus.

Kemerosotan pencapaian dalam mata pelajaran berkenaan jelas disebabkan murid tidak diajar dan guru tidak mengajar dalam jangka masa yang mencukupi.

Kita tidak salahkan guru kerana terpaksa menghadiri kursus untuk mengelak rasa kekok ketika mengajar dan menjauhi kejutan budaya iaitu terpaksa mengajar menggunakan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.

Untuk jangka panjang mengajar sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris memang melabakan tetapi apakah bagi keperluan jangka pendek murid-murid terpaksa menjadi mangsa.

Walaupun agak terbeban, namun ibubapa terpaksa menghantar anak-anak ke pusat tuisyen menjadikan pusat pengendalian tuisyen melimpah dengan pelajar.

Bagaimanapun ia tidak banyak membantu kerana tuisyen bahasa Inggeris tidak mengajar tentang istilah-istilah sains dan matematik pun.

Tujuan mendidik adalah supaya golongan pendidik dapat memberi ilmu kepada kumpulan yang hendak dididik.

Persoalannya, bagaimana pendidik boleh memberi pendidikan yang berkesan jika tugas mendidik diberikan dalam keadaan serba kekok dan menggunakan bahasa yang tidak benar-benar dikuasai.

Sepatutnya kaedah termudah digunakan untuk mewujudkan pelajar bijak sains dan matematik. Gunakan bahasa yang boleh memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran supaya tiada siapa rugi yang dalam hal ini.

Jika bahasa Melayu lebih mudah difahami maka gunakanlah bahasa tersebut sebaliknya jika bahasa Inggeris lebih berfaedah untuk jangka panjang maka ia bukannya sesuatu yang mutlak untuk ditolak.

Berhubung dengan istilah-istilah sains dan matematik, serahkan sahaja kepada pakar-pakar bahasa dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada unit khusus di samping mempunyai pakar dalam bidang peristilahan. Yang pentingkan perlu dipastikan para pelajar tidak menjadi mangsa keadaan.

RAMLI ABDUL HALIM
Kota Bharu, Kelantan

[Utusan Online, 16/9/2008]

Monday, September 15, 2008

Researching society and culture

Editor: Clive Seale
Tahun: 2001
Penerbit: SAGE Publications Ltd, London, United Kingdom
Muka surat: 349

Researching society and culture adalah buku yang berkaitan dengan teks pengenalan tentang metodologi kajian untuk pelajar-pelajar dalam bidang sains sosial dan pengajian kebudayaan. Ia padat dan dibahagikan kepada tiga objektif iaitu:

-Menyediakan pandangan menyeluruh dan pengenalan kaedah penyelidikan yang digunakan dalam sains sosial dan pengajian budaya.

-Menyediakan pelajar-pelajar dengan kemahiran memulakan penyelidikan melalui pengalaman penyelidikan sebenar.

-Mengenal pasti isu-isu metodologi dan teoritikal dalam penyelidikan.

Buku ini dibahaskan kepada empat bahagian. Pertamanya membincangkan falsafah sains sosial, perkembangan dalam teori sosial, metodologi dan kegunaan perspektif sejarah dalam penyelidikan.

Bahagian kedua meneroka tentang kepentingan permulaan untuk melakukan kajian dan berbincang untuk menyediakan kertas cadangan penyelidikan.

Bahagian ketiga meliputi keseluruhan kaedah metodologi yang digunakan oleh penyelidik sosial dan budaya, dari statistik dan kerja-kerja penyelidikan dengan pendekatan kualitatif dan diakhiri dengan bab yang berkaitan pembacaan dan penulisan dalam bidang penyelidikan.

Dimuatkan juga siri bengkel dan perbincangan yang disesuaikan dalam setiap bab dan dicorakkan demikian bagi memudahkan pelajar untuk menggunakan metodologi yang berkaitan dengan penyelidikan mereka.

Sunday, September 14, 2008

RPK dan fikrah yang bebai

Apabila empat agensi kerajaan iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat laporan polis ke atas Raja Petra Kamarudin kerana dua artikel yang dianggap keterlaluan, penyelidik mula meneroka tulisan-tulisan beliau dan juga komenter pengunjung laman web Malaysia Today. Dua artikel yang dipertikaikan itu ialah 'Not all Arabs are descendants of the Prophets' dan 'I promise to be a good, non-hypocritical Muslim.'

Bagi artikel pertama, ia berkaitan perbualan RPK dengan Konsulat Mongolia di Malaysia. Sebahagian besar kandungan ini menjurus kepada kisah pembunuhan wanita Mongolisa, Altantuya. Penyelidik tidak berminat hendak mengulas artikel ini.

Artikel kedua yang ditulis oleh RPK menyentuh secara langsung tentang Islam dan umat Islam. RPK membuat tanggapan dengan 'membakulkan' Islam dan umat Islam sebagai hipokrit, sangat buruk dan menimbulkan kebencian orang lain kepada Islam dan umatnya.

Tulisannya berterus-terang. Jelas dan mudah difahami maksudnya. Salah satu ayat berkenaan ialah: But only Muslims pretend to be good when they are actually bad.

Beranggapan hanya orang Islam yang berpura-pura menjadi baik sedangkan mereka adalah sangat teruk merupakan pandangan yang dangkal dan keterlaluan. Ternyata RPK menyealahkan orang Islam walaupun beliau mengakui ada orang Islam yang baik.

Kenyataan kedua ialah: Muslims do everything Islam is against. Muslims are hypocrites.

Ia amat janggal dan memberi maksud bahawa Nabi Muhammad saw telah salah menyampaikan ajaran Islam, berkecamuk hingga menjadikan umat Islam hipokrit.

Walaupun maksudnya ialah orang Islam di Malaysia (kerana beliau menyatakan 1.2 juta pekerja di sektor awan hanya berpegang kepada satu akidah iaitu Islam), apakah orang Islam negara lain yang melayari tulisan itu tidak tersentuh hati mereka?

Banyak lagi kenyataan RPK yang mengguris hati sesiapa sahaja yang membaca tulisan beliau walaupun bukan seorang Muslim.

Penyelidik sentiasa berminat dengan dua isu di Internet iaitu kisah mereka yang memeluk Islam , dan kedua ialah golongan murtad dan membenci Islam yang mendedahkan diri mereka kepada umum.

Golongan yang memeluk islam sentiasa berasa bangga dan syukur kerana mendapat hidayah Allah swt dan menerima Islam sebagai cara hidup mereka. Kehidupan mereka juga banyak berubah khususnya apabila mula mengerjakan solat lima waktu atau membaca al-quran. Kita boleh melayari YouTube.com untuk melihat testimoni mereka.

Sesiapa yang menjadi Muslim adalah ketentuan Allah swt. Mereka terpilih menerima hidayah. Sejak zaman Rasulullah SAWsaw, para sahabat yang jahil dan pelaku zalim kepada Islam dan orang Islam akhirnya menjadi seorang Muslim yang taat kepada perintah dan larangan Allah swt.

Hidayah Allah swt tidak diberikan kepada semua orang kerana mereka yang mendapat akidah tauhid ini adalah yang terpilih termasuk RPK, isterinya dan anak-anak.

Sangat malang bagi seorang pejuang rakyat seperti RPK yang akidahnya adalah akidah tauhid tetapi fikrahnya memancar kebencian yang membuta ke atas Islam dan umat Islam.

Ketika jemaah Islamiah berdakwah di seluruh dunia kerana menyampaikan seruan dan ajaran Islam, RPK telah membuat kecelaruan yang menimbulkan resah di kalangan umat Islam.

Jadi, bagaimana kita harus mengadili RPK setelah beliau mengadili Islam dan orang Islam dengan persepsi yang sangat buruk?

Kita tidak tahu bagaimana penghayatan Islam RPK dan keluarganya. Adakah mereka benar-benar memahami Islam dan tuntutannya? Imam Hassan al-Banna berusaha menyampaikan dakwah Islamiah kepada masyarakat Mesir sehingga beliau dibunuh. Kematiannya dikenang sehingga sekarang dan kata-katanya sentiasa menyegarkan para pendakwah seluruh dunia.

Penyelidik beranggapan RPK wajar menilai kembali fikrahnya sendiri supaya tulisan-tulisan di laman webnya nanti mempunyai kredibiliti dan boleh dijadikan sandaran untuk berhujah.

Menerima idoelogi yang berlawanan dengan al-quran dan sunnah adalah salah bagi setiap orang Islam kerana syahadah mereka dengan jelas meletakkan Allah swt dan rasul sebagai yang tertinggi. Mengejek ajaran Islam dan memperlekeh orang-orang Islam adalah sifat sebenar orang munafik.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." [Al Hujurat: 6]

Saturday, September 13, 2008

Memerangi kemiskinan menerusi kemajuan digital

Oleh Jeffrey D Sachs

Jurang digital semakin rapat. Aliran maklumat digital - melalui telefon bimbit, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet - kini tersebar ke seluruh pelosok dunia hingga ke negara paling miskin, membawa bersamanya revolusi dalam bidang ekonomi, politik dan kemasyarakatan. 

Kemiskinan tegar sering berkait dengan daerah terpencil, terutama kawasan jauh di pedalaman. Tetapi telefon bimbit dan internet menamatkan pengasingan ini. Kewujudan sistem digital membuktikan ia adalah teknologi pengaliran maklumat terbaik dalam proses pembangunan ekonomi hari ini.

Jurang digital yang semakin berakhir bukan disebabkan ledakan tanggungjawab sivik, sebaliknya dicetuskan kuasa pasaran yang luar biasa. Teknologi telefon bimbit hari ini semakin kukuh, apa lagi dengan nilai penghantaran data seunit begitu murah, sekali gus tidak menghalang penduduk dunia yang miskin untuk turut memilikinya.

Setakat ini lebih 3.3 bilion pengguna telefon bimbit di seluruh dunia – purata satu telefon bimbit bagi setiap dua penduduk dunia.

Lebih menarik, usaha menembusi pasaran negara miskin juga menyaksikan peningkatan begitu rancak. India saja memiliki lebih 300 juta pengguna, dengan peningkatan pengguna kira-kira lapan juta sebulan. Brazil mencatat angka 130 juta dan Indonesia kira-kira 120 juta pengguna.

Benua Afrika yang masih dihuni beberapa negara termiskin dunia turut menyaksikan peningkatan menakjubkan – dengan lebih 280 juta pengguna.

Telefon bimbit kini satu pandangan biasa bukan saja di bandar, bahkan di kampung kecil. Walaupun masih ada individu tidak memiliki telefon bimbit, mereka sudah pasti akan mengenali orang yang mempunyainya.

Majoriti rakyat Afrika mempunyai sekurang-kurangnya satu telefon bimbit untuk tujuan kecemasan, sama ada milik sendiri, meminjam dari jiran atau sekurang-kurangnya dimiliki kedai komersial. Lebih menakjubkan ialah peningkatan status maklumat digital – kini sistem tanpa wayar semakin rancak menggunakan talian telefon bimbit ke Internet, komputer peribadi dan pelbagai perkhidmatan maklumat lain. Nilai faedah daripada teknologi ini begitu luas.

Penduduk miskin dunia terutama di daerah terpencil kini mula memiliki akses tanpa wayar untuk menggunakan perkhidmatan perbankan dan pelbagai bayaran lain. Antara yang paling popular ialah sistem M-Pesa yang diperkenal Kenya dan membenarkan perpindahan wang melalui telefon.

Maklumat yang boleh dimuatkan ke dalam teknologi mengagumkan ini turut tersebar kepada pelbagai industri lain – kesihatan, perbankan, malah hiburan – selain fungsi asalnya untuk mewujudkan komunikasi di kalangan keluarga dan teman-teman.

India, pusat dunia bagi kejuruteraan perisian utama global, syarikat teknologi tinggi dan memiliki kawasan pedalaman padat, dengan lebih 700 juta penduduk miskin yang memerlukan hubungan dengan dunia luar untuk pelbagai isu, dilihat sebagai perintis terbaik untuk memacu pembangunan ekonomi melalui kemajuan digital.

Kerajaan dan syarikat perniagaan semakin rancak berganding bahu dalam perkongsian sektor awam-swasta, untuk menyediakan perkhidmatan penting bagi rangkaian digital ini.

Beberapa negeri di bawah pentadbiran India seperti Andhra Pradesh dan Gujarat, sudah mempunyai perkhidmatan ambulans bagi tujuan kecemasan lebih pantas yang boleh dihubungi berjuta-juta penduduknya. Ini semua kerana sokongan padu telefon bimbit, sistem komputer yang canggih dan pelaburan dalam sektor kesihatan yang lebih baik bagi warga luar bandar.

Beberapa sistem teleperubatan bagi skala besar kini menyediakan perkhidmatan kesihatan asas, malah penjagaan jantung kepada penduduk luar bandar.

Selain itu, skim jaminan pekerjaan yang baru diperkenalkan di daerah luar bandar dua tahun lalu, bukan saja berjaya memberi pekerjaan kepada jutaan penduduk miskin melalui bantuan kewangan awam, bahkan membawa jutaan penduduk lain ke dalam sistem perbankan formal – semua ini dibina atas rangkaian digital India.

Dari sudut komersial pula, revolusi telefon bimbit mencipta revolusi logistik bagi pemasaran produk pertanian sehingga barang runcit.

Petani dan pemborong boleh berhubung secara langsung melalui telefon bimbit dan pusat pengedaran di daerah masing-masing, sekali gus membolehkan petani menjual hasil pada harga lebih tinggi dan tanpa bertangguh.

Pembekal pula boleh menghantar hasil pertanian ini ke pasaran dengan kadar kerosakan minimum dan harga lebih rendah bagi pengguna akhir. Pengukuhan rantaian nilai ini bukan saja meningkatkan hasil pendapatan petani, bahkan memperkasa kepelbagaian tanaman dan meningkatkan mutu pertanian.

Pada masa sama, syarikat perisian dunia mencipta pelbagai pekerjaan dalam dunia teknologi maklumat, termasuk mewujudkan peluang perniagaan sehingga ke kampung.

Turut mengalami perubahan ialah bidang pendidikan. Kini di seluruh dunia, sekolah pada semua peringkat melalui proses globalisasi, menyertai rangkaian pendidikan digital dunia.

Pelajar di Amerika Syarikat akan belajar mengenai Afrika, China dan India, bukan saja daripada buku atau video, bahkan melalui hubungan langsung antara kelas di kalangan negara dunia.

Pelajar akan berkongsi idea melalui sembang (chats) secara langsung, berkongsi kurikulum, projek, video, gambar dan teks, yang boleh dihantar melalui rangkaian digital. Universiti juga kini mempunyai dewan kuliah global, dengan pelajar menghadiri kuliah, kumpulan perbincangan dan penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi dunia lain.

Sejak setahun kebelakangan ini, universiti saya sendiri – Universiti Columbia di New York – berganding dengan universiti di Ecuador, Nigeria, United Kingdom, Perancis, Ethopia, Malaysia, India, Kanada, Singapura dan China dalam 'Kelas Global' yang secara serentak menghubungkan ratusan pelajar di lebih 12 kampus bagi kursus mengenai pembangunan mapan global.

Dalam buku saya The End of Poverty, saya menulis bahawa kemiskinan melampau boleh berakhir menjelang 2025. Satu ramalan sukar dicapai jika mengambil kira keganasan global, perubahan iklim dan pelbagai ancaman lain yang boleh menjejaskan bekalan makanan, tenaga dan air.

Tetapi teknologi maklumat digital, sekiranya digunakan secara kerjasama di seluruh dunia, boleh menjadi alat penting manusia, kerana ia membolehkan kita berganding secara global dalam pasaran, rangkaian sosial dan kerjasama bagi meleraikan semua masalah bersama.

Penulis ialah Profesor Ekonomi dan Pengarah Institut Bumi di Universiti Columbia. Hakmilik projek Syndicate, 2008)

[Berita Harian Online, 13/09/2008]

Friday, September 12, 2008

Padah laporan sensitif

Akbar melaporkan bahawa wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana laporannya berhubung kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang meyifatkan orang Cina di Malaysia adalah pendatang. 

Setelah Datuk Ahmad digantung keahliannya selama tiga tahun sebagai ahli UMNO, tiba pula giliran wartawan berkenaan dikenakan tindakan. Namun beliau tetap dengan pendiriannya melaporkan apa yang dikatakan oleh pemimpin UMNO berkenaan. 

Peranan seorang wartawan ialah menyampaikan maklumat yang perlu diketahui oleh pembaca. Sama ada maklumat berkenaan disukai atau tidak, penilaian akhir terletak kepada editor media. Kerap kali terjadi sesuatu berita yang dianggap remeh dan kerdil tiba-tiba menjadi satu isu besar yang boleh mengancam keselamatan negara. 

Dalam kes Datuk Ahmad dan Tan Hoon Cheng, berita yang dilaporkan oleh akhbar Sin Chew Daily telah menjadi isu nasional yang dikhuatiri boleh menggugat keselamatan negara. Isu kaum sangat sensitif di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Isu ini kemudiannya telah mengundang campur tangan politik di mana parti Gerakan telah mengemukakannya kepada pimpinan Barisan Nasional yang membentuk kerajaan ketika ini supaya Datuk Ahmad dikenakan tindakan. 

Datuk Ahmad telah dikenakan hukuman dan beliau menyifatkan "hari ini adalah hari Tsu Koon." Walau bagaimanapun bagi masyarakat umum, kita tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Datuk Ahmad itu dan berharap tidak ada lagi kekeruhan yang boleh membebankan masyarakat ketika ini dalam isu pendatang berkenaan. 

Namun episod ini belum lagi berakhir. Akhbar Sin Chew Daily diberi tunjuk sebab dan wartawannya dikenakan tahanan di bawah ISA kerana dilihat sama-sama terlibat dalam isu ini. 

Dilema seorang wartawan di antara pekerjaan dan laporan yang betul tidak dapat dielakkan. Namun negara ini ada panduan dan peraturan yang mesti diikuti. Seseorang tidak boleh menulis semua perkara yang difikirkannya betul tanpa memikirkan baik dan buruknya kepada keselamatan negara. 

Sebagai contoh, baru-baru ini pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin telah dikenakan tahanan ISA. Laman webnya disekat kerana telah membenarkan pengunjung webnya mempersenda Nabi Muhammad SAW dengan menyamakan dengan orang biasa. Tindakan ini sangat tidak bijak dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Namun kita harus sedar Raja Petra adalah seorang yang berfikiran liberal dan fikrahnya tidak menggambarkan fikrah seorang muslim yang boleh kita jadikan sebagai teladan. 

Hoon Cheng juga mesti sedar perkara ini. Isu kaum sentiasa dijaga oleh kerajaan dan pihak angkatan tentera sendiri berasa khuatir jika isu ini meletus di dalam masyarakat kerana perbalahan kaum akan menggugat keselamatan negara. 

Tanpa mengira kaum, setiap orang mesti mempastikan diri mereka berada dalam lingkungan had yang dibenarkan untuk bercakap mengenai sesuatu kaum. Sebaik sahaja Malaysia mendapat kemerdekaan daripada British, kaum Cina dan India turut diterima menjadi warganegara Malaysia dan hidup bersama sehingga sekarang. 

Peredaran masa telah mendewasakan kita dan sebarang isu remeh yang berkaitan dengan perbalahan kaum harus dinilai berdasarkan kematangan berfikir bukannya bermain dengan emosi.

Thursday, September 11, 2008

Meriah pasar Ramadhan

"Kemeriahan pasar Ramadhan umpama semut-semut yang bertumpu pada gula," kata seorang penceramah jemputan ketika memberi kuliah di Masjid Jame', Serdang.

Bagi merasai sendiri senario pasar Ramadhan pada tahun ini, penyelidik telah mengunjungi pasar Ramadhan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Apabila sukar mencari tempat letak kereta, ia bermakna kawasan sekitar pasar Ramadhan ini ramai orang. Akhirnya terpaksa diletakkan di bahu jalan, bertentangan dengan Masjid Jame' Sungai Besi. Masjid ini menyediakan bubur lambuk kepada orang ramai bermula selepas asar pada setiap petang. Ada lima periuk besar yang digunakan untuk memasak bubur lambuk berhampiran pagar masjid. Setiap orang hanya dibenarkan mengambil dua beg bubur.

Di kawasan pasar, semua bangsa ada – Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban kerana di kawasan ini ada Kem Sungai Besi iaitu penempatan pasukan angkatan tentera Malaysia, maktab dan juga universiti. Semua jenis makanan menarik minat dan menaikkan selera.

Cuma harganya agak mahal berbanding tahun lepas. Air tebu segelas sudah naik kepada RM3, laksa utara juga RM3 sebungkus. Makanan yang lain juga ada yang kekal harganya tetapi kuantiti semakin kurang.

Dari segi peniaga, didapati kaum wanita lebih ramai daripada lelaki. Ada yang meletakkan anak dara sebagai pelaris jualan untuk membantu meningkatkan jualan walaupun yang dijual hanyalah kuih-muih.

Tumpuan pengunjung di sini adalah gerai ikan bakar daun pisang. Dari ikan kecil hinggalah besar, ramuan ikan bakar ini pasti menarik sesiapa sahaja yang lalu untuk membeli seekor dua untuk berbuka puasa di rumah. Harganya juga boleh tahan.

Pasar Ramadhan, di mana saja ia dibuka, akan tetap menjadi tumpuan kerana mampu menyediakan pilihan juadah makanan untuk berbuka puasa. Selain harga yang berpatutan dengan kualiti, kebersihan kawasan pasar Ramadhan juga didapati semakin baik dan memuaskan. Pakaian peniaga juga semakin kemas ada ciri-ciri korporat dalam usaha mereka ini. Setahun sekali berniaga di bulan puasa dapat memupuk budaya niaga di kalangan masyarakat Islam.

Dicadangkan kepada pihak berkuasa tempatan dapat merancang kawasan pasar Ramadhan yang lebih luas dan mudah diakses oleh orang ramai supaya semua golongan masyarakat dapat merasai keunikannya dan menghargai bulan puasa ini.

Wednesday, September 10, 2008

10 sebab mengapa anda perlukan wang

1. Kos hidup semakin tinggi

Barang naik - minyak petrol naik, sayur naik, tol naik, belanja bulanan naik. Semuanya naik. Pendapatan yang tidak cukup untuk menampung kenaikan sedangkan simpanan tidak ada. Kerja yang ada cuma cukup untuk belanja makan-minum dan bayar sewa sahaja.

2. Banyak hutang

Setiap bulan, peti surat rumah anda penuh dengan bil: elektrik, air, pembentungan, astro dan hutang kereta, rumah dan perabot. Di mana hendak cekau wang untuk bayar kad kredit dan pinjaman bank?

3. Memiliki harta benda mewah

Bayangkan keadaan anda yang melangkah masuk ke dalam rumah mewah, naik kereta baru atau berjalan makan angin. Tentu seronok! Kalau hendak jemput rakan-rakan datang ke rumah pun rasa tidak malu. Selama ini anda hanya telan air liur melihat orang lain pandu kereta besar dan mewah. Alangkah bagusnya jika memiliki Mercedez, BMW atau Harrier, barulah bergaya.

4. Persediaan hari tua

Hari tua anda belum tentu penuh dengan warna warni. Walaupun telah bekerja bertahun-tahun tetapi simpanan tidak juga banyak. Alangkah baik jika simpanan anda melebihi enam angka dalam bank, jadi tidak perlu risau lagi untuk bekerja penat siang dan malam.

5. Bercuti dan melancong ke luar negara

Bila kali terakhir anda membawa keluarga melancong? Kesibukan dan jumlah wang yang sedikit menyukarkan anda untuk bercuti dan merasai nikmat melancong. Alangkah bahagianya jika anda dapat peluang makan angin ke mana-mana sahaja yang anda mahu.

6. Bisnes sendiri

Anda minat bisnes tetapi tidak cukup modal, kurang pengalaman dan jaringan rakan niaga yang sedikit. Hendak cuba buka bisnes tidak pasti jenis apa yang sesuai. Jadi kenalah tunggu dapat pinjaman bank.
7. Membantu keluarga dan adik-beradik

Niat anda sangat baik. Bayangkan anda dapat hantar wang belanja setiap bulan ke kampung dan membantu keluarga anda hidup dengan senang. Lebih-lebih dapat mengumpulkan wang untuk menghantar ibu dan ayah menunaikan haji ke Mekah.

8. Pendapatan yang stabil dan terjamin

Anda tidak ada kerja atau mungkin kerja yang dilakukan sekarang tidak memuaskan hati anda kerana pulangannya tidak setimpal. Keadaan ekonomi yang tidak menentu merisaukan anda jika tempat kerja ditutup. Jika ada pekerjaan tambahan, tentu masalah ini tidak timbul.

9. Jemu dengan kegagalan

Anda sudah mencuba berbagai-bagai bentuk bisnes dan semuanya gagal sama sekali. Rakan bisnes anda tidak pula mengalami masalah seperti anda sebaliknya anda seorang yang terkontang-kanting memulakan bisnes dari bawah.

10. Harga diri

Apabila wang boleh dicari dengan mudah, tumpuan anda seterusnya ialah meningkatkan harga diri anda sendiri dalam bidang akademik. Dapat gelaran Dr adalah kemuncak kepada pencapaian seorang pelajar dan tentu ramai orang yang hormat. Dengan ilmu anda menyumbang idea, dengan wang anda memberi pertolongan.

Tuesday, September 09, 2008

Putus hubungan dengan UMNO, masa terbaik untuk MCA

Keputusan parti Gerakan memutuskan hubungan dengan kepimpinan UMNO Pulau Pinang kerana tertekan dengan isu 'pendatang' dilihat sebagai langkah awal bagi parti itu untuk dikeluarkan daripada komponen Barisan Nasional. Keputusan itu juga adalah keputusan pucuk pimpinan parti dan menjadi kayu ukur kepada kesetiaan dan kesepaduan parti-parti komponen berkenaan.

UMNO dan Gerakan telah menjadi rakan akrab di Pulau Pinang pada 1972 apabila Gerakan menyertai Perikatan seterusnya Barisan Nasional. Hubungan ini meminggirkan MCA yang sentiasa berada di bawah bayang-bayang Gerakan di negeri itu. Berikut adalah maklumat yang diperoleh mengenai Gerakan.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau singkatannya Gerakan merupakan sebuah parti politik di Malaysia
yang diasaskan pada 24 Mac 1968, kini ia merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional.

Presiden Gerakan sekarang ialah
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertindak sebagai Pemangku Presiden selepas Dr Lim Keng Yaik meletakkan jawatan pada 8 April 2007. Parti ini dijangka akan mengadakan pilihan raya kepimpinan pada penghujung 2008.

Pada 27 Ogos 2005
, Gerakan mengadakan pilihan raya parti yang memperlihatkan kedudukan Dr Lim Keng Yaik sebagai presiden dicabar oleh timbalannya, Kerk Choo Ting.

Dr Lim mengukuhkan
kedudukannya sebagai presiden parti selepas memenangi 983 undi berbanding 628 undi yang diperoleh oleh Kerk. Koh Tsu Koon menjadi Timbalan Presiden yang baru selepas beliau menang tanpa bertanding pada hari pencalonan bagi pilihan raya parti.

Pada November 2006, presiden parti komponen Barisan Nasional yang lain, Parti Progresif Penduduk (PPP), M. Kayveas, mengusulkan penggabungan di antara Gerakan dan PPP tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Kebanyakan anggota parti Gerakan terdiri daripada 80 peratus etnik China, dan 15 peratus ialah etnik India, Melayu dan lain-lain. Parti ini mencatat rekod pilihan raya terburuk semasa berlangsung Pilihan Raya Umum 2008
yang memperlihatkan Gerakan hanya memenangi dua kerusi, berbanding kemenangan 10 kerusi pada pilihan raya sebelumnya.

Parti ini juga kehilangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sudah dikuasai oleh mereka bagi satu tempoh yang panjang. Berikutan kekalahan parti dalam pilihan raya yang lalu
, presidennya iaitu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab dalam kekalahan tersebut.

Analisis secara mendalam terhadap keputusan Gerakan untuk tidak mahu lagi bersama dengan UMNO Pulau Pinang boleh dilihat dari dua perspektif.

Pertama, hubungan Gerakan-UMNO Pulau Pinang di mana Presiden UMNO sendiri adalah Pengerusi UMNO Pulau Pinang. Secara tidak langsung Gerakan telah memutuskan hubungan dengan pengerusi UMNO negeri tersebut. Ia juga memutuskan hubungan dengan Presiden Barisan Nasional dan Presiden UMNO. Dengan keputusan itu, berakhirlah era hubungan intim UMNO-Gerakan sama ada di peringkat negeri atau pusat.

Kedua, hubungan Gerakan-UMNO Malaysia. Memandangkan masalah ini dicetuskan oleh Gerakan (kerana pemisahan hanya akan memusnahkan Barisan Nasional), pemimpin-pemimpin Gerakan tidak dapat lari daripada memikul tanggungjawab di atas setiap keputusan mereka. UMNO masih kuat dan berpengaruh walaupun kalah banyak kerusi parlimen dalam pilihan raya umum yang lalu. Kekuatan UMNO ialah keupayaannya untuk menaikkan sentimen kaum Melayu di seluruh negara. Apakah UMNO Johor atau UMNO Negeri Sembilan akan berdiam diri? Sekiranya sentimen ini digerakkan dengan membawa sekali unsur agama, seluruh bangsa Melayu akan terkesan dengan tindakan Gerakan.

Dari segi sejarah, kehadiran orang-orang Cina ke Semenanjung Tanah Melayu secara besar-besaran bermula ketika lombong bijih timah dibuka oleh British. Mereka datang dari tanah besar China dengan sehelai sepinggang tanpa ada apa-apa kekayaan. Kedatangan mereka dari kawasan di luar rantau Melayu inilah digelar sebagai pendatang. Begitu juga jika orang Arab datang ke sini dia juga akan digelar pendatang.

Setelah orang-orang Cina mendapat kerakyatan, istilah pendatang tidak lagi relevan kerana masyarakat ini diterima menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu dengan mengiktiraf kontrak sosial. Hak mereka dilindungi sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang perlu ditimbulkan ialah kesetiaan mereka ke atas negara ini dan sumbangan bagi membangunkan Malaysia bersama-sama kaum yang lain.

Perpaduan rakyat Malaysia pada hari ini telah berlaku melalui proses yang panjang. Banyak nyawa yang hilang kerana perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Hidup di dalam sebuah negara yang aman, toleransi tinggi dan memegang nilai-nilai yang disepakati bersama adalah lebih baik daripada hidup dalam keadaan berprasangka, dendam dan berpecah-belah.

Di Malaysia, perpaduan adalah istilah yang seringkali menjadi produk untuk ahli-ahli politik mencipta kemahsyuran. Tidak banyak usaha yang bersungguh-sungguh untuk menjelmakan perpaduan dalam erti kata sebenar. Kerajaan masih lagi membenarkan sistem pendidikan dengan kaedah vernakular seperti sekolah jenis kebangsaan Cina diberi sokongan dan bantuan beroperasi. Malah di Perak, kerajaan negeri memperuntukkan tanah sebagai sumber pendapatan untuk survival sekolah-sekolah Cina di negeri itu.

Seorang pengunjung laman web Lim Kit Siang berpendapat sekolah Cina bukan semuanya baik malah lebih banyak yang membawa keburukan. Realitinya adalah seperti berikut:

-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang tidak dapat bercakap dan menulis dalam bahasa Malaysia atau Inggeris adalah produk sekolah Cina.

-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang berpendapatan rendah seperti penjaja, mekanik atau kontraktor adalah produk sekolah Cina.

-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang fanatik dan tebal unsur perkauman kecinaan adalah produk sekolah Cina.

-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang menganggur adalah produk sekolah Cina.

-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang terlibat dalam kegiatan haram seperti ah long, kongsi gelap dan bookies adalah produk sekolah Cina.

-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang profesional atau mendapat pekerjaan yang baik adalah Cina yang pendidikan Inggeris.

-Kebanyakan orang Cina Malaysia yang dapat berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain dengan baik adalah Cina yang berpendidikan Inggeris.

Melihat kepada isu Gerakan ini, wajar kita melihat latar belakang pendidikan pemimpin-pemimpin mereka supaya pemahaman kita ke atas isu ini akan lebih jelas. Siapa mereka, belajar di mana, dibesarkan di mana atau di mana mereka bekerja adalah antara soalan-soalan utama yang patut menjadi pertimbangan kita untuk menilai kesetiaan Gerakan kepada barisan nasional atau negara Malaysia.

Sejauhmana Gerakan dapat menyumbang kepada penyuburan pembentukan Bangsa Malaysia juga menjadi tanda tanya apabila enggan bertolak ansur mencari penyelesaian konflik sesama rakan sendiri. Apakah Gerakan boleh diharapkan untuk menjadi pentadbir Pulau Pinang selepas ini?

UMNO wajar menjadikan MCA sebagai rakan mereka di negeri itu kerana Gerakan bukanlah sebuah parti komponen yang setia dalam perjuangan. Masyarakat Melayu di Pulau Pinang juga tidak berada pada kedudukan yang lebih baik sepanjang pemimpin Gerakan menjadi Ketua Menteri malah banyak isu dan keluhan yang kita dengan daripada Melayu Pulau Pinang.

Sudah sampai masanya kepimpinan Melayu di negeri itu berasa insaf dengan kuasa yang mereka ada dan tindakan mereka terhadap masyarakat Melayu. Berjuang atas prinsip bangsa tidak akan ke mana kerana agama lebih menjanjikan kejayaan. Soal mementingkan kuasa, pengaruh dan harta mesti dibuang jauh-jauh daripada setiap pemimpin Melayu Pulau Pinang. Apakah kerana Gerakan tahu yang pemimpin Melayu di sana sudah kemaruk kuasa dan harta maka ia tidak takut lagi dengan ketuanan Melayu di negeri itu?

Ingatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal supaya kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas pencetus perkauman menunjukkan keprihatinan pasukan keselamatan itu untuk menjaga keselamatan negara. Angkatan tentera berada di bawah Yang di-Pertuan Agong. Kesetiaan mereka kepada baginda tidak dapat dipersoalkan dan penglibatan tentera untuk meleraikan konflik kaum diharap tidak akan menjadi kenyataan kerana kesannya yang berpanjangan seperti yang berlaku di kebanyakan negara pada hari ini.

Monday, September 08, 2008

Agar cinta bersemi indah

Penulis: Mohammad Fauzil Adhim
Tahun: 2002
Penerbit: Gema Insani, Jakarta, Indonesia
Muka surat: 290

Betapa banyak rumah tangga yang tidak bahagia setelah meraih kekayaan harta benda, mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan dan status sosial yang tinggi dalam masyarakat. Jika sebelum ini mereka saling redha-meredhai, hari ini yang wujud hanyalah kekhuatiran dan kecemasan untuk mempertahankan harta yang dimiliki, pekerjaan yang dicari dan status sosial yang diingini.

Dari sehari ke sehari, kehidupan yang dilalui oleh setiap pasangan ada masanya dilalui dengan suasana aman dan ada kalanya pertelingkahan. Derap bahagia rumah tangga ada pasang dan surutnya. Emosi dan rasional sering bertingkah. Sebagai contoh, panggilan "sayang" atau "abang" bukanlah sekadar panggilan ketika di awal perkahwinan sebaliknya ia juga boleh digunakan bagi pasangan yang telah bertahun-tahun hidup bersama kerana pasangan begini perlukan panggilan yang lebih romantik dan meletup-letup.

Pasangan muda sudah cukup dengan kata-kata "sayang" dan "abang" kerana setiap kali ia dipanggil, hati mereka berbunga-bunga. Bisikan mesra sudah membuatkan dada mereka bergetar melayari keindahan malam. Namun, pasangan tua tidak begitu. Mereka perlukan penghargaan peribadi yang dapat menimbulkan keghairahan cinta dan tumbuh kasih sayang. Melalui cara ini, peribadi mereka akan berkembang dengan persahabatan yang ikhlas, kasih sayang yang hebat dan dapat menyatakan keperluan seksual dengan lebih sempurna.

Ulasan Editor: Penulis buku ini seorang yang muda tetapi berpengalaman dalam bidang kekeluargaan dan banyak menulis mengenai topik ini. Buah tangan "Agar Cinta Bersemi Indah" amat sesuai bagi pasangan yang baru berumah tangga dan juga pasangan yang ingin meningkatkan kasih sayang sesama mereka.

Saturday, September 06, 2008

Reaksi saling menghasut

oleh Zainal Kling

Kasihan Datuk Ahmad Ismail dan Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memohon maaf kepada kaum Cina Malaysia. Berapa banyak lagi agaknya orang Melayu atau pemimpin UMNO akan memohon maaf atas kesalahan mereka seperti mencabut keris dalam perhimpunan parti politik mereka sendiri, memperjuangkan 'ketuanan' mereka di tanah tumpah darahnya ataupun menjadi organisasi politik mempertahankan Perlembagaan Persekutuan negara mereka lalu dituduh perkauman (racist).

Inilah nasib organisasi politik yang menampakkan kelemahan semangat dan kepimpinan. Tidak lagi berdaya membentuk corak pemikiran bangsa dan menentukan arah tujunya malah dihina pula sebagai organisasi penghasut dan tunduk memohon maaf.

Sayangnya kisah 'menghasut' oleh Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera ini hanya dilaporkan oleh sebuah akhbar Cina dan tidak pun dijelaskan oleh penuturnya, yang sudah pasti amat ketakutan setelah dituduh sedemikian.

Bagi mereka yang faham akan laporan akhbar amat tahu bahawa apa yang diletak dalam tanda petikan kata belum tentu merupakan ucapan sebenar. Seringkali kata-kata dalam tanda petikan kata adalah ciptaan dan tafsiran penulis atau pelapor yang mendengar.

Walaupun seringkali mereka membuat rakaman namun dalam keadaan yang amat bising, bingit dan jauh dalam kempen pilihan raya atau malah ucapan dalam dewan sekalipun, ucapan sebenar belum tentu dapat didengar. Setiap patah perkataan yang diucapkan belum tentu dapat dirakam dengan jelas.

Apalagi yang menulis dan merakam itu kurang mempunyai kefahaman bahasa khusus bahasa Melayu maka rakaman dan tafsirannya belum tentu tepat.

Oleh kerana memang sengaja terdesak untuk merakam kata-kata yang berbau hasutan seperti yang dituduh terhadap Ahmad itu maka apa saja didengar oleh pelapor seperti itu akan dicatat seperti yang ingin didengar. Ini memang menjadi suatu prinsip psikologi pendengaran dan pemikiran.

Walau apa pun keadaannya, perasaan dan pemikiran tentang 'keturunan pendatang', ke'pendatangan' dan 'kesamaan' adalah isu-isu yang amat runcing bagi orang Cina Malaysia dan diperkatakan oleh ramai orang Melayu kini.
Di mana-mana berlaku perbincangan tentang hal ini dan dalam pelbagai bentuk. Baik dalam percakapan biasa, perbahasan dan apa lagi dalam kempen pilihan raya.

Barangkali amat wajar diteliti beberapa perkara yang merupakan isu-isu itu untuk mencari kejelasan dan kewarasan. Kenapa ramai orang dan pertubuhan Melayu memperkatakan hal ini? Kenapa pula ramai orang dan pertubuhan Cina mempersoal hal ini?

Barangkali kita sedang menyaksikan proses hukum physic sedang berlaku: 'Bagi setiap tindakan, terdapat reaksinya'. Ini adalah hukum alam. Di mana saja suatu tindakan berlaku akan berlaku tindak balas. Jadi sikap orang Melayu seperti yang dilambangkan oleh Ahmad Ismail ialah reaksi orang Melayu yang membalas tindakan orang Cina mempersoal 'hak istimewa' orang Melayu/bumiputera atau 'kontrak sosial' yang selama setengah abad telah diamalkan dan diterima sebagai asas kehidupan sosial di Malaysia.

Jika orang Cina dan bukan Melayu/bumiputera dapat mempersoal 'hak istimewa' Melayu malah menjadikannya sebagai isu kempen Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan pilihan raya kecil di Permatang Pauh maka sudah pasti orang Melayu akan mempersoal isu yang sama dan sudah lama terlindung oleh undang-undang hasutan.

Justeru, jika prinsip physics tit-for-tat dapat difahami dalam rangka jaringan hubungan sosial yang amat erat dan rapat, malah sentiasa bersemuka pada setiap masa, maka orang Cina mesti sentiasa faham bahawa orang Melayu akan membalas sikap mereka yang amat perkauman juga itu.

Setakat ini orang Melayu sudah menunjukkan rasa amat tidak senang, malah marah terhadap sikap mempersoal hak istimewa Melayu, kedudukan Islam dan kontrak sosial yang dinafikan oleh bukan Melayu.

Dalam banyak hal, belum ada tindakan melapor kepada polis atau tindakan mahkamah dilakukan kecuali kes Karpal Singh yang mempersoal prerogatives Sultan Azlan Shah. Ternyata orang Melayu/bumiputera masih amat sabar tentang hal itu dan hanya menunjuk perasaan.

Namun kita sudah melihat betapa suhu hangat hubungan kaum dalam negara sudah meningkat sejak beberapa bulan terakhir ini. Tidak dapat tidak, jika orang Cina/bukan Melayu berterusan melakukan pelbagai persoalan yang melanggar Akta Hasutan maka orang Melayu akan juga terus melanggar undang-undang yang sama kerana ternyata pihak berkuasa tidak bertindak sewajarnya terhadap bukan Melayu.

Barangkali persoalan Ahmad berkaitan 'keturunan pendatang' dan 'persamaan' adalah perkara yang orang Cina/bukan Melayu harus sedia untuk menerima komentar dan ulasan itu sebagai petanda betapa tidak puas hati orang Melayu terhadap sikap dan tindakan rasis dan cauvinis mereka.

Yang pertama, memang benar orang Cina adalah keturunan pendatang. Ini fakta nyata dan bukan sejarah sahaja. Segala petanda dan jati diri yang dipertahankan adalah identiti dengan ciri-ciri 'keturunan kependatangan' Cina. Baik dari segi nama, bahasa, adat istiadat dan bentuk fizikal semuanya adalah petanda kependatangan dari negara asing.

Dalam hal ini dari China (atau India) dan sebagainya. Apakah orang Cina malu dipanggil Cina maka fakta sejarah itu mahu dilupakan. Ternyata tidak, malah dipertahankan bermati-matian.


Jadi, yang menjadi persoalan ialah sebutan 'pendatang' bagi seorang keturunan Cina atau keturunan pendatang, kerana datuk nenek memang pendatang ketika zamannya terdahulu. Bagi keturunan Cina sekarang memang benar mereka bukan lagi' pendatang'. Mereka adalah rakyat Malaysia keturunan pendatang yang lahir di Malaysia, menjadi rakyat dengan perjalanan undang-undang kerana salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan rakyat Malaysia.

Justeru, sebutan 'keturunan pendatang' itu tidak salah, memang wajar dan merupakan bukti sejarah. Yang salah ialah menyebut mereka sebagai 'pendatang'.

Jadi mempersoal kerakyatan seseorang rakyat Malaysia adalah salah dari segi undang-undang. Namun orang Cina mesti menerima bahawa mereka adalah 'keturunan' daripada golongan pendatang yang berada di sini untuk mencari rezeki atau sebagainya dan kemudian diterima sebagai rakyat dengan perjalanan perundangan.

Jika rakyat daripada keturunan yang mendatang itu tidak sudi mengakui akan kependatangan datuk nenek mereka dan menafikan fakta sejarah itu atau malah mengadakan hujah bahawa mereka tidak terlibat dengan persetujuan oleh datuk nenek mereka itu, maka apakah mereka ingin menafikan keputusan roh datuk nenek mereka untuk menerima undang-undang sedemikian.

Bagi seluruh rakyat Malaysia, kita perlu memahami keadaan sebenar. Pada saat ini hampir semua yang menjadi penghuni negara dan menjadi rakyat adalah atas perjalanan perundangan. Maka semuanya adalah rakyat bagi negara Malaysia.

Tidak dapat lagi kita menuduh seseorang yang lahir di sini kini sebagai pendatang, walau dari mana pun keturunan asalnya. Hanya yang baru datang dari segala pelosok dunia kerana desakan ekonomi atau sebagainya maka mereka itu pendatang.

Oleh demikian, kita harus berhati-hati tentang sebutan dan tuduhan yang mencabar kebenaran serta jati diri setiap rakyat demi keutuhan bangsa dan negara. Mana-mana pihak tidak boleh mempersoal yang lain seperti yang dilindungi oleh Akta Hasutan tanpa satu reaksi yang wajar danreciprocal oleh satu pihak lagi.

Maka orang China/bukan bumiputera jangan mempersoal 'hak istimewa Melayu/bumiputera' atau hal-hal lain jika tidak mahu reaksi yang sama beratnya terhadap mereka. Inilah hukum alam yang sangatsangat reciprocal atau saling bertindak sifatnya.

[Utusan Online, 6/09/2008]